Anju tertekan kena jel
|
|
KUALA LUMPUR - Pelakon dan model kontroversi Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul mengakui dirinya menghadapi tekanan perasaan ketika dua hari bermalam di Penjara Kajang.
Perkara itu dinyatakan oleh Zarina, 27, atau lebih mesra disapa sebagai Anju menerusi akaun Twitternya semalam setelah dijamin keluar oleh adik perempuan tirinya Jumaat lalu.
Seorang pengikut di Twitter pelakon itu bertanya apakah pengalaman dan perasaannya duduk di penjara.
Zarina menjawab di akaun Twitternya: "Kalau macam awak, saya rasa awak sudah menangis. Hanya yang kuat boleh bertahan."
Dalam pada itu, Zarina memberitahu, dia akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan situasi yang berlaku ke atas dirinya.
"Kepada semua wartawan beri peluang untuk saya berehat dahulu. Insya-Allah dalam minggu depan saya akan jelaskan. Buat masa ini saya sibuk berbincang dengan peguam dan keluarga," ujarnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarkan kepada Kosmo! Ahad kelmarin.
Mama bantah Papa yuran baharu ambil amah RM6,700
|
|
KUALA LUMPUR - Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) membantah cadangan yuran baharu sebanyak RM6,700 yang akan dikenakan untuk mengambil pembantu rumah Indonesia kerana menyifatkan bayaran tersebut terlalu tinggi dan membebankan.
Presidennya, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein (gambar) berkata, kos yang diumumkan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) dianggap tidak relevan dan Mama percaya kos sebenar pengambilan adalah lebih rendah.
Sehubungan itu, pihaknya meminta Papa memberi penjelasan terperinci berhubung kadar baharu itu terutamanya penambahan sebanyak RM2,189 berbanding bayaran yang ditetapkan pada memorandum persefahaman Mei tahun lepas iaitu sebanyak RM4,511.
"Mama anggap ia (kos pengambilan pembantu rumah) terlalu tinggi dan membebankan sedangkan kos sebenar tidak sampai sebanyak itu.
"Kami sebagai majikan perlu tahu butiran bayaran tersebut satu persatu, mengapa ia terlalu tinggi daripada kadar sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kereta pegawai kastam disimbah cat
JOHOR BAHRU – Seorang pegawai kastam terkejut apabila mendapati rumah dan sebuah kereta jenis Toyota Wish miliknya disimbah dengan cat berwarna coklat dalam kejadian di Taman Desa Skudai di sini awal pagi kelmarin.
Selain itu, mangsa yang bertugas di Bahagian Pengimbas, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah dekat sini turut mendapati cermin dua lagi kenderaannya iaitu jenis Proton Iswara dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dipecahkan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Hashim Haron, dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, pegawai kastam terbabit, Ismail Sulaiman, 55, terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi seperti cermin dipecahkan.
Turut berada di rumah ketika itu ialah isteri dan dua anaknya yang berusia 14 dan 18 tahun.
“Mangsa kemudian keluar dan mendapati rumahnya dan juga kereta Toyota Wish yang diletakkan di hadapan rumah dalam kawasan pagar telah disimbah dengan cat berwarna coklat.
“Sementara dua lagi kenderaan (Proton Iswara dan Pajero) yang diletakkan di hadapan rumah di luar pagar dipecahkan cermin. Semua kenderaan itu milik mangsa,” katanya.
Bekas polis minta penjelasan status diri
SEBERANG JAYA - Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan status dirinya selepas diberhentikan kerja akibat tindakan tatatertib tujuh tahun lalu.
Syed Zamari Shas Sayed Hassan, 37, mendakwa dia diberikan surat berhenti kerja pada tahun 2005 atas kesalahan tidak hadir bertugas ketika berkhidmat di Balai Polis Pasir Puteh, Kelantan.
"Selepas menerima surat berhenti kerja tersebut, saya telah menyerah diri di balai polis yang sama dan ditahan selama empat hari untuk siasatan lanjut.
"Saya kemudian diminta menunggu sehingga kertas siasatan mengenai kes saya selesai sebelum dijatuhkan tindakan tatatertib," katanya di pejabat Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.
Mayat tinggal rangka, rentung di ladang sawit
KOTA TINGGI – Seorang pekerja ladang kelapa sawit yang terletak berhampiran jalan pintasan Kota Tinggi di sini yang ingin memulakan rutin kerjanya seperti biasa terkejut apabila menemui rangka manusia dalam keadaan rentung semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Che Mahazan Che Aik berkata, sebelum menemui rangka tersebut, pekerja ladang yang berusia 34 tahun itu hairan melihat sebuah kenderaan jenis Fortuner yang tersadai di ladang kelapa sawit milik Persatuan Nguangxi Johor terbakar.
Sebaik sahaja mendekati kenderaan tersebut, saksi mendapati kereta itu telah terbakar dan terdapat satu mayat dalam keadaan rentung di bahagian tempat duduk pemandu.
“Dia kemudian bergegas memaklumkan kepada majikannya sebelum mereka menghubungi pihak polis,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Teman lelaki buka mulut
|
NEW DELHI - Teman lelaki seorang gadis yang maut selepas dirogol secara beramai-ramai dan diserang dengan kejam sehingga mencetuskan ketegangan di India, menceritakan pengalaman ngerinya kepada media.
Temuramah lelaki yang namanya tidak didedahkan itu disiarkan oleh saluran televisyen Zee News.
Menurutnya, kejadian pada 16 Disember lalu itu berlaku apabila mereka menaiki sebuah bas untuk pulang ke rumah mangsa di pinggir New Delhi selepas menonton wayang.
Sebaik sahaja masuk ke dalam bas, dia dan kekasihnya diserang sebelum mangsa dirogol dalam bas oleh enam lelaki yang mabuk. Dia dan mangsa turut dipukul dengan batang besi. Insiden itu berlaku selama dua jam setengah. Mereka kemudian dicampak keluar dari bas terbabit dalam keadaan bogel.
"Serangan itu sangat ganas dan saya tidak sanggup menceritakannya kepada kamu. Binatang pun tidak akan bertindak sedemikian," katanya yang patah kaki.
Lelaki itu mengkritik pihak polis kerana lambat tiba di tempat kejadian. Polis juga mengambil masa selama 30 minit berikutan percanggahan pendapat mengenai balai polis mana yang perlu mengambil tanggungjawab ke atas jenayah itu, sebelum membawa mereka ke hospital.
"Saya ada melawatnya di hospital. Dia memberikan semua maklumat terperinci mengenai penyerangnya dan mahu melihat mereka dibakar hidup-hidup," katanya lagi.
Berikutan siaran temuramah itu, polis India semalam telah membuka kertas siasatan ke atas Zee News.
Kertas siasatan itu didadftarkan pada Jumaat. Polis mendakwa temu ramah itu boleh menyebabkan identiti mangsa diketahui, sekali gus melanggar undang-undang India. - AFP
Tuna dilelong RM5.5 juta
TOKYO - Seekor tuna sirip biru gergasi mencatat sejarah apabila ia dilelong pada harga AS$1.8 juta (RM5.5 juta) dalam satu majlis lelongan pertama di pasar ikan Tsujiki, dekat sini semalam.
Harga tersebut adalah tiga kali ganda berbanding rekod jualan tahun lalu iaitu AS$640,000 (RM1.9 juta). Ikan seberat 222 kilogram itu ditangkap di perairan Oma, utara Jepun. Pasar ikan Tsujiki sering mengadakan acara lelongan ikan dan menjadi antara lokasi kegemaran pelancong asing.
Ikan itu dibeli oleh Kiyoshi Kimura, presiden dan pemilik syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Sushi-Zanmai. Kimura juga memenangi bidaan ikan tuna sirip biru pada tahun lalu.
"Saya mahu memenuhi ekspektasi pelanggan yang ingin menikmati tuna terbaik Jepun pada tahun ini. Dengan tuna ini, saya harap dapat menceriakan rakyat Jepun," kata Kimura yang dipetik daripada akhbar Jiji Press.
Berdasarkan kepada harga itu, sekilogram ikan tuna tersebut berharga sekitar 700,000 yen (AS$7,940 atau RM24,180). Maka, sekeping sushi yang menggunakan ikan itu boleh mencecah harga kira-kira 30,000 yen (AS$340 atau RM1,036).
Namun, Kimura menyatakan dia tidak akan menjual sushi pada harga begitu mahal. Sebaliknya hanya dijual pada harga lebih realistik iaitu 398 yen (AS$4.50 atau RM13.75). - AFP
No comments:
Post a Comment