Wednesday, January 9, 2013

BUKAN DI GUA MUSANG...BANYAK TEMPAT PUN BEGITU

Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah

SEBUAH van polis membawa lima lelaki dipercayai perogol meninggalkan sebuah mahkamah majistret di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Lima lelaki yang dituduh merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun di dalam sebuah bas secara bergilir-gilir pada 16 Disember tahun lalu dihadapkan ke mahkamah majistret di selatan Delhi semalam.
Semua mereka dituduh melakukan kesalahan itu ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menonton filem di New Delhi bersama teman lelakinya.
Mangsa yang merupakan pelajar bidang fisioterapi disahkan meninggal dunia pada 29 Disember lalu selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di Singapura.
Lima lelaki yang didakwa itu ialah pemandu bas tersebut, Ram Singh dan adiknya, Mukesh Singh.
Penjaja buah-buahan, Pawan Gupta dan seorang pencuci bas, Akshay Singh serta pengajar kecergasan, Vinay Sharma turut didakwa melakukan perbuatan itu.
Perbicaraan kelima-lima suspek yang berumur 19 hingga 35 tahun itu terpaksa diadakan secara tertutup ekoran orang ramai membuat bising.
Majistret Namrita Aggarwal memutuskan supaya orang ramai dan media tidak dibenarkan masuk sepanjang perbicaraan berlangsung.
Aggarwal berkata, pendengaran seterusnya akan diadakan pada 10 Januari ini.
Seorang pegawai polis berkata, semua tertuduh memakai penutup muka ketika memasuki mahkamah.
Menurut seorang pendakwa raya, Rajiv Mohan, seorang peguam akan membela mereka.
Kebanyakan peguam dikatakan tidak sanggup untuk mewakili mereka kerana kekejaman yang dilakukan oleh para suspek itu.
Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan hukuman mati.
Seorang lagi suspek berumur 17 tahun akan dibicarakan di sebuah mahkamah juvenil kerana usianya di bawah umur. - Agensi

Penggodam komputer bank ditangkap di Bangkok


HAMZA (tengah) dikawal dua anggota polis pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat Biro Polis Imigresen di Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang penggodam komputer warga Algeria yang diburu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana mencuri berjuta-juta dolar dari beberapa buah bank Amerika Syarikat (AS) untuk membiayai kehidupan mewahnya ditangkap di sini, kata polis Thailand semalam.
Lelaki tersebut, Hamza Bendelladj kelihatan tenang walaupun mengetahui bahawa dia bakal diekstradisi ke AS.
"Apabila ditanya apa yang dilakukan dengan wang tersebut, dia menjawab wang itu digunakan untuk melancong dan menjalani kehidupan mewah seperti menaiki penerbangan kelas pertama serta tinggal di kediaman mewah," kata Ketua Polis Imigresen, Phanu Kerdlabphol.
Menurutnya, pihak FBI menjejaki graduan sains komputer itu selama tiga tahun selepas dia mula menggodam bank-bank AS ketika berusia 20 tahun.
"Dia telah menggodam komputer beberapa buah bank AS dan pernah mencuri transaksi berjumlah AS$10 juta (RM30.4 juta) dari sebuah bank," tambah ketua polis tersebut.
Pemuda itu ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini kelmarin selepas dia tiba dari Malaysia untuk menyambung penerbangan ke Kaherah. - AFP

Penduduk pakai kostum pelik di Silio


SEORANG lelaki memakai kostum seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio kelmarin.


SILIO, Sepanyol - Beberapa orang lelaki memakai kostum pelik yang menyebabkan sebahagian mereka kelihatan seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio, utara negara ini kelmarin.
Terdapat juga penduduk yang memakai topeng muka, kulit haiwan dan pakaian yang berwarna cerah pada festival itu.
Ia merupakan festival pertama diadakan di Eropah pada awal tahun ini.
Festival tersebut berasal dari era empayar Rom.
Muka penduduk yang menyertai festival itu diwarnakan hitam dengan kepercayaan ia akan dapat mengelak kedatangan roh jahat. - Agensi

Imej sotong gergasi yang dirakam di Lautan Pasifik didedahkan saintis


IMEJ yang disiarkan pihak stesen televisyen NHK dan Discovery Channel semalam menunjukkan sotong gergasi di dalam laut dekat Kepulauan Ogasawara, Jepun.


TOKYO - Beberapa saintis menyatakan mereka berjaya merakamkan gambar seekor sotong gergasi sepanjang kira-kira lapan meter di dasar Lautan Pasifik.
Pendedahan itu dibuat semalam selepas pihak Muzium Sains Kebangsaan Jepun berjaya membuat penggambaran haiwan laut dalam itu di habitat semula jadi sotong berkenaan buat kali pertama.
Ia merupakan hasil kerjasama dengan stesen televisyen NHK dan saluran Discovery Channel.
Para saintis itu menemui sotong tersebut pada kedalaman 630 meter dengan menggunakan sebuah kapal selam pada Julai tahun lalu sekitar 15 kilometer ke timur Pulau Chichi di utara Lautan Pasifik.
Penyelidik muzium tersebut, Tsunemi Kubodera berkata, pasukan penyelidikannya mengekori sotong besar itu pada kedalaman 900 meter ketika haiwan berkenaan menyelam jauh ke dasar lautan.
Rakaman stesen televisyen NHK menunjukkan haiwan berwarna perak dan bermata hitam besar itu berenang melawan arus laut dengan belalainya melilit umpan sotong.
"Haiwan itu bersinar dan amat cantik," kata Kubodera.
Sebelum ini, Kubodera hanya merakamkan gambar seekor sotong raksasa yang ditangkap dan dinaikkan ke dalam botnya pada tahun 2006. - AFP

Bilionair cadang bina penempatan di Marikh


IMEJ yang dirakamkan kenderaan robotik Curiosity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan sebuah kawasan di Marikh pada 23 Ogos tahun lalu.


NEW YORK - Bilionair yang merupakan pengasas sistem pembayaran internet, PayPal merancang membina penempatan masa depan di planet Marikh untuk beribu-ribu penjelajah angkasa lepas, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Bilionair berkenaan, Elon Musk merancang membina sebuah bandar di planet itu untuk 80,000 penjelajah.
Musk, 41, memiliki roket Falcon 9 yang digunakan untuk membawa kargo Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
Tamadun baharu itu kelak akan dibekalkan dengan teknologi canggih dan terhad kepada golongan yang suka memakan sayur-sayuran.
Bercakap kepada Persatuan Aeronautik Diraja, usahawan tersebut berkata, beliau telah menunggu selama 10 tahun untuk berkongsi visi tersebut.
"Adalah tidak munasabah kerana tiada roket, tiada prasarana dan NASA yang mendominasi penjelajahan angkasa lepas tidak merancang untuk meneroka Marikh.
"Namun, dengan usaha saya dan ramai lagi usahawan sektor swasta, misi itu semakin hampir menjadi kenyataan," katanya.
"Di Marikh, anda boleh memulakan sebuah tamadun baharu," tambah Musk.
Beliau yang juga seorang jurutera pernah bercadang untuk menghantar sebuah roket ke Marikh.
Roket tersebut akan membawa beberapa suka-relawan dengan bayaran £300,000 (RM1.4 juta) seorang. - Agensi

Tanah diteroka, orang lain dapat

DUA peneroka kecewa apabila tanah yang mereka usahakan sejak puluhan tahun lalu diberi kepada pihak lain di Relai, Gua Musang semalam.


GUA MUSANG - Tindakan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas memajak tanah seluas 4,000 hektar di Relai dekat sini, kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan dua pemimpin DAP Perak telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk yang sudah hampir 20 tahun mengusahakan tanah di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Norzula Mat Diah berkata, setelah sekian lama penduduk mengusahakan tanah tersebut, mereka masih tidak diberi geran walaupun telah banyak kali membuat permohonan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, kelulusan terhadap permohonan pajakan tanah bukan mudah dilakukan tetapi kerajaan negeri seolah-olah begitu cepat memajak tanah tersebut kepada syarikat luar.
"Lebih 10,000 permohonan daripada penduduk di seluruh daerah untuk mendapatkan geran telah dihantar kepada Majlis Daerah Gua Musang tetapi tidak satu pun diluluskan, namun hairannya permohonan yang dibuat oleh syarikat swasta mendapat kelulusan yang cepat daripada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam

Jangan naikkan tambang bas sekolah sesuka hati

KUALA LUMPUR - Para pengusaha bas sekolah di seluruh negara diminta berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terlebih dulu sekiranya berhasrat untuk menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun 2013.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pengusaha bas harus mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SPAD dan tidak menaikkan tambang sewenang-wenangnya tanpa mendapat persetujuan SPAD.
"Sekiranya mereka (pengusaha bas) masih berdegil dan menaikkan tambang tanpa persetujuan SPAD, maka ibu bapa wajib segera melaporkan perkara ini kepada SPAD atau pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil terhadap mereka," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media baru-baru ini mengenai dakwaan ibu bapa pelajar sekolah bahawa ada segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang telah menaikkan tambang pada tahun ini.

Lolos angkara serbuk lada


ABDUL RAHIM (kanan) bersama beberapa pegawai melawat anggota polis yang cedera selepas dibelasah sekumpulan OKT di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH - Sembilan orang kena tahan (OKT) berbahaya yang dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth di sini dengan menaiki sebuah van untuk proses pertuduhan dan perintah reman bertindak nekad membelasah empat anggota polis pengiring hingga menyebabkan mereka berjaya meloloskan diri semalam.
Kejadian pukul 9.30 pagi di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam iaitu kira-kira dua kilometer dari kompleks itu mengakibatkan seorang anggota polis dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala.
Dua lagi yang dikenali sebagai Sharifuddin dan Mahendren pula cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan manakala seorang lagi turut cedera di bahagian sama.
Mereka merupakan anggota polis dari unit pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Kesemua OKT merupakan penjenayah berbahaya kerana terlibat dalam jenayah berat seperti bunuh, rompakan berkumpulan dan mendatangkan cedera dengan senjata tajam. Ketika kejadian, kesemua tangan mereka digari.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebelum kejadian, keempat-empat anggota itu telah mengambil kesemua OKT terbabit dari Penjara Pulau Pinang untuk dibawa ke kompleks berkenaan bagi proses pertuduhan dan reman kes masing-masing.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, beberapa OKT berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van terpaksa memberhentikan kenderaan itu untuk meleraikannya.

Ribut Sunamo dijangka sebabkan banjir gelombang ketiga


BEBERAPA orang penduduk riang bermain air laut di Pantai Beserah, Kuantan biarpun ancaman ribut Sunamo dijangka melanda kawasan pesisir Pahang esok dan Khamis ini.


KUALA TERENGGANU - Ribut Sunamo dijangka menyebabkan angin kencang serta hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir gelombang ketiga di negeri ini.
Ribut tropika dengan kekuatan 112 kilometer (km) sejam itu kini berlegar di perairan Laut China Selatan, namun orang ramai tidak perlu panik kerana ia dijangka tidak akan membadai negara ini.
Sebaliknya, kekuatan ia dijangka berkurangan kepada 36km sejam dan menghampiri perairan Dungun sejauh kira-kira 600km hari ini dan esok.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Tajul Ariffin Muhamad memberitahu, walaupun kekuatan sudah berkurangan namun awan yang disedut ribut berkenaan ketika ini hingga menyebabkan cuaca panas akan dilepaskan ketika kekuatan ribut itu berkurangan.
"Awan tersebut akan menyebabkan hujan lebat kemungkinan menyebabkan banjir besar yang berlaku ketika gelombang pertama dulu atau lebih besar lagi.
"Ribut ini tidak pernah berlaku di negara ini dan kita sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Maut disengat tebuan tanah


KAMARULZAMAN menunjukkan sarang tebuan tanah yang dibakar di kawasan tanah lapang dekat rumahnya di Gua Musang semalam.


GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak maut selepas disengat puluhan ekor tebuan tanah ketika hendak pulang ke rumah selepas bermain bola sepak bersama dua kakaknya di tanah lapang berhampiran rumah di Kampung Tanah Putih di sini baru-baru ini.
Kejadian pukul 6 petang 30 Disember lalu itu mengakibatkan Amirul Shafiq, 4, maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang kira-kira enam jam kemudian.
Mengimbau semula kejadian itu, bapa mangsa, Kamarulzaman Abdul Hamid, 34, memberitahu, ketika insiden tersebut berlaku, dia tiada di rumah kerana bertugas sebagai buruh di Jabatan Perhutanan di Ipoh, Perak.
Katanya, dia bergegas pulang sebaik dihubungi isterinya, Nik Jah Nik Soh, 35, pada pukul 6 petang mengatakan anaknya dikejarkan ke hospital tersebut kerana disengat tebuan berwarna hitam dan kuning itu.
“Saya sampai pada pukul 9.30 malam dan masa itu anak saya sudah dimasukkan ke wad dan dia boleh makan seperti biasa. Bagaimanapun, enam jam selepas kejadian, dia disahkan meninggal dunia,” ceritanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Penculik ditembak mati


SHUKRI (kanan) dan pegawainya menunjukkan pistol yang dirampas daripada dua lelaki yang mati ditembak pada sidang akhbar di Ipoh semalam.


IPOH – Penderitaan seorang wanita yang diculik selama 11 hari oleh tiga lelaki bersenjatakan pistol berakhir apabila dia diselamatkan manakala dua suspek ditembak mati dan seorang lagi berjaya ditahan dalam kejadian berbalas tembak di Kilometer 76, Jalan Sitiawan-Taiping dekat Trong, Taiping kelmarin.
Kejadian pukul 9.45 malam itu mengakibatkan dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an mati selepas terkena tembakan yang dilepaskan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, mangsa berusia 52 tahun yang merupakan anggota keluarga ahli perniagaan terkenal di sini diculik di depan rumahnya oleh empat lelaki menggunakan sejenis kenderaan di Taiping pada 26 Disember lalu.
Katanya, pada masa sama, suspek turut cuba menculik anak saudara mangsa berusia empat tahun yang berada bersama wanita itu namun gagal.
“Penculik kemudian menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan sebanyak RM30 juta. Polis yang menerima laporan kemudian menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sering dijadikan 'karung tinju'


ANIRA memangku bayinya yang berusia 40 hari sambil diperhatikan anak sulungnya, Nur Syazwani dan kakaknya, Anita ketika ditemui di Kangar semalam.


KANGAR - Seorang ibu muda yang menjadi mangsa belasahan suaminya di Kampung Repoh di sini pada Sabtu lalu mendakwa dia kerap dijadikan 'karung tinju' oleh lelaki tersebut hanya kerana kesalahan kecil seperti lambat memasak nasi atau terlepas menjawab panggilan telefon.
Anira Aziz, 27, mendakwa, kejadian pada Sabtu lalu merupakan salah satu daripada berpuluh kejadian dia dipukul selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya sejak tujuh tahun lalu.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata. Anira mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinan terdahulu.
"Saya dipukul hampir setiap minggu angkara sikap cemburu buta suami. Saya kini sudah serik untuk meneruskan kehidupan bersamanya selepas dia memukul saya depan orang kampung dalam keadaan yang mengaibkan.
"Dia memukul saya atas alasan yang remeh seperti lambat masak nasi atau terlepas menjawab panggilan telefon. Dia melarang saya keluar sesuka hati kerana bimbang saya akan menjalinkan hubungan sulit ketika dia bekerja di Kuala Lumpur," dakwanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Repoh di sini.

No comments:

Post a Comment