Monday, November 29, 2010

YANG TERSURAT KITA DAH TAHU DAN NAMPAK...YANG TERSIRAT HANYA ALLAH SAJA YANG TAHU...TENTU ADA HIKMAHNYA...JADI BERTAQWALAH SERTA MOHONLAH PERLINDUNGAN DARIPADANYA

Sujud dakap jenazah suami

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my

PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.
PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.
ALIH...kakitangan DBKL mengalihkan tunggul pokok yang tumbang.
ALIH...kakitangan DBKL mengalihkan tunggul pokok yang tumbang.
KUALA LUMPUR: Hanya deraian air mata pilu dapat menggambarkan kesedihan seorang isteri ketika mencium mayat suaminya yang berlumuran darah akibat dihempap tunggul pokok tumbang secara tiba-tiba berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hayati Husin, 30-an hanya mampu bersujud sambil mendakap kepala suaminya yang ditimpa batang pokok sebesar dua pemeluk.

Sumber polis trafik berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila Mohd Helmi Hussin, 37, sedang menunggang motosikal bersendirian arah Jalan Raja Chulan, di sini.
Menurutnya, sebatang tunggul pokok setinggi kira-kira 10 meter tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa yang dipercayai tidak sempat mengelak.

“Difahamkan, mangsa baru saja menghantar isterinya Hayati yang bekerja di sebuah bank tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di sebuah bank berhampiran Jalan Raja Chulan, di sini.

“Namun, selepas beberapa minit menghantar isterinya, mangsa dihempap tunggul pokok yang rebah menyilang di jalan berkenaan. Kejadian itu menyebabkan kepala dan tubuh mangsa cedera parah dan dia mati di lokasi kejadian,” katanya.

Isteri mangsa yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh rakan sekerja bergegas ke lokasi kejadian.

Suasana di tempat kejadian menjadi pilu apabila Hayati dipapah rakan tidak dapat menahan sebak dan kemudian bersujud sambil mencium kepala suaminya sebagai tanda kasih.
Episod sedih itu turut meruntun hati beberapa anggota polis trafik dan orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian.

Anggota polis trafik bersama anggota bomba dan penyelamat serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memindahkan mayat mangsa selain mengalihkan batang pokok terbabit yang menghalang laluan.

Hayati kemudian turut menaiki kenderaan polis menghantar jenazah suaminya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Bapa saudara Hayati yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak buahnya memberitahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9 pagi.

Dia yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, bergegas pulang ke ibu kota dan terus ke HKL.

Menurutnya, melalui gambar dirakam kawan arwah di tempat kejadian, dia mendapati pokok itu sudah reput. Katanya, kejadian malang itu mungkin dapat dielak jika pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan dan menebang pokok yang boleh membahayakan nyawa.

“Namun, kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang,” katanya.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid HKL sebelum dibawa ke kampung halaman mangsa di Ipoh, Perak untuk dikebumikan


Ditinju sebelum bersalin

Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali
am@hmetro.com.my

MUAR: Penderitaan seorang wanita yang hampir melahirkan anak bertambah parah apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun dihantar suaminya ke hospital itu selepas mengadu sakit perut mahu melahirkan anak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dipercayai ditumbuk suspek di dalam lif pusat perubatan berkenaan.
“Ketika kejadian, suami mangsa meletakkan kenderaan di petak parkir, manakala suspek membantu menolak mangsa menggunakan kerusi roda ke wad bersalin.

“Ketika berada di dalam lif, mangsa ditumbuk di perut beberapa kali, sebelum dia dihantar ke wad bersalin,” katanya.

Mangsa yang terkejut dan berada dalam kesakitan akibat tindakan tidak berperikemanusiaan pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang berumur 33 tahun, sebelum suami mangsa membuat laporan polis berkaitan insiden terbabit

Menurut beliau, polis kemudiannya menahan pengawal keselamatan terbabit untuk membantu siasatan.

“Kami merujuk suspek ke Wad Psikiatri HPSF dan dia dipercayai mempunyai masalah mental.
“Siasatan awal mendapati suspek baru dua bulan bekerja di syarikat kawalan keselamatan di HPSF,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Jurucakap HPSF pula memaklumkan bahawa mangsa selamat melahirkan bayinya tidak lama selepas kejadian dan kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat



Ibu rentung

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.
TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.
KUANTAN: Kegembiraan seorang ibu untuk menyambut menantu berakhir tragedi menyayat hati apabila dia rentung selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengedar kad kahwin anak perempuannya yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember ini.
Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Kemaman, di sini, semalam, mangsa, Senik Osman, 69, rentung selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama suaminya, Abdul Ghani Ahmad, 72, dirempuh sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki, Patrick Chai Yew Fai, 22.

Mangsa yang berasal dari Bukit Kuin, di sini, tidak sempat diselamatkan apabila kenderaan mereka terbakar selepas dirempuh kereta dipandu Patrick yang berasal dari Kubang Buaya, di sini.
Suami mangsa yang juga seorang mekanik dan Patrick dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, pasangan warga emas berkenaan dalam perjalanan pulang dari Kemaman selepas mengedarkan kad undangan perkahwinan anak keempat mereka, Fauziah Abd Ghani, 30, yang dijadualkan berlangsung bulan depan di rumah mereka kepada saudara-mara di Kemaman.

Adik mangsa, Mohamad Abdul Rahman, berkata kakaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi semalam dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik


Katanya, kakaknya gembira kerana Fauziah akan melangsungkan perkahwinan dan segala persiapan untuk menyambut ‘orang baru’ dalam keluarga berjalan lancar.

“Saya sedih apabila mengenangkan peristiwa ini. Kali terakhir saya berbual dengannya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) dan dimaklumkan mereka berdua dalam perjalanan balik ke rumah.
“Dia hanya memaklumkan sudah mengedarkan kad undangan itu di sana (Kemaman),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati kereta Vios dipandu Patrick dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman cuba memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dipandu Abdul Ghani.

Katanya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta Proton Iswara yang parah sempat keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang di tempat duduk depan dipercayai tersepit gagal keluar sebelum kenderaan itu terbakar.

“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng, dekat sini, tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebelum mayat Senik dikeluarkan dan dihantar ke bilik mayat HTAA.

Zulkifli berkata, kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke HTAA untuk rawatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment