Monday, December 20, 2010

BEGITULAH TAKDIR ALLAH...JADI BERHATI2...SENTIASALAH MOHON PERLINDUNGAN ALLAH SWT

5 polis derita santau

Oleh Asmah Rusman dan Hamizah Badiran
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Risiko sebagai anggota polis bukan sekadar ancaman maut melalui senjata moden, tetapi turut diserang melalui cara mistik oleh penjenayah yang menyimpan dendam kesumat apabila kegiatan mereka ditumpaskan.
Itu terpaksa ditempuhi seorang anggota polis hanya mahu dikenali sebagai Hafis dan empat rakan sekerjanya yang kini menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal.

Menurut Hafis, 23, akibat perbuatan itu seorang daripada rakannya paling teruk menderita apabila ditujukan santau katak puru hingga menyebabkan perutnya membesar seperti wanita mengandung dan keras seolah-olah diisi pasir dan batu.
“Saya dan tiga rakan lain mengalami nasib sama, namun cara santau yang digunakan berbeza. Kata bomoh, kami berempat ditujukan santau angin yang menyebabkan kami sakit perut.

“Orang yang menghantar santau itu menggunakan objek seperti paku, jarum, rambut dan tulang babi hutan sebagai ramuan racun yang dimasukkan ke dalam makanan kami.

“Kami dinasihatkan supaya tidak makan di restoran kegemaran kerana racun santau itu ditujukan terus ke situ. Bukan sekadar melalui makanan, malah racun santau juga akan ‘melekat’ pada badan kami setiap kali kami datang ke restoran berkenaan,” katanya.

Hafis berkata, mereka berlima menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional selepas doktor gagal mengesan punca mereka sakit perut dan kerap demam.

Menurutnya, kejadian itu mula mereka sedari awal bulan lalu apabila seorang rakan terbabit memberitahu dia menerima SMS amaran berbunyi ‘siaplah korang, salah satu jarum akan kena pada kau dan kawan-kawan kau yang lain...tunggu je lah hari mati korang’.

“SMS itu dihantar seorang daripada suspek sindiket mencuri motosikal yang saya dan rakan-rakan tumpaskan Mei lalu dan dia kini masih dalam proses pengadilan.

“Namun, saya tak ambil berat sangat mengenai SMS itu kerana hal ugut-mengugut dan amaran sudah lumrah dalam kerjaya kami,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hafis, telahannya meleset apabila selang seminggu kemudian, dia menerima khabar seorang rakannya yang terbabit dalam usaha melumpuhkan sindiket mencuri motosikal itu sakit teruk akibat penyakit misteri.

“Bomoh mengatakan penyakit itu ada kaitan dengan seekor katak puru yang diletakkan dalam kawasan rumahnya dan haiwan itu digunakan sebagai ‘alat’ untuk memastikan ilmu hitam yang ditujukan kepada mangsa lebih berkesan.

“Lebih menakutkan, bomoh berkenaan memberitahu jika katak itu tidak ditemui, kawan saya itu sukar dipulihkan dan akan menemui ajal perlahan-lahan,” katanya.

Hafis berkata, bimbang keadaan rakannya itu, mereka mencari katak dimaksudkan sepanjang malam sehingga ia ditemui di bawah tangga rumah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Dia mendakwa, mereka bernasib baik kerana katak puru itu ditemui awal kerana keadaannya yang tinggal nyawa-nyawa ikan menandakan rakannya mungkin menemui ajal pada bila-bila masa.

Sebelum itu, Hafis berkata, anak rakannya pernah bercerita mengenai beberapa kejadian pelik berlaku di rumahnya seperti mendengar seseorang mengorek tanah dan menanam sesuatu di luar rumah.

“Selepas rakan pertama itu menderita sakit perut, saya dan tiga rakan lain pula mengalami masalah sama. Kami pergi ke hospital, tapi doktor tidak dapat mengesan punca penyakit kami.

“Kami terpaksa merujuk pengamal perubatan alternatif dan kami dimaklumkan perut kami sakit disebabkan perbuatan khianat,” katanya. Hafis berkata, walaupun lebih sebulan kejadian itu berlaku, dia dan rakan-rakan belum sembuh sepenuhnya kerana bisa akibat cucukan daripada barangan kotor yang dihantar itu belum dikeluarkan sepenuhnya




15 minit lawan beruang

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

TANAH MERAH: Parang tumpul menyelamatkan seorang penoreh getah yang terpaksa bergelut dengan seekor beruang madu selama hampir 15 minit dalam kejadian di Kampung Bukit Jong, Jeli, disini menyebabkan mangsa cedera di kaki akibat digigit haiwan itu.
Dalam kejadian jam 4 petang Selasa lalu, selepas kakinya digigit beruang berkenaan Osman Salleh, 35, nekad mengetuk kepala haiwan itu dengan parang tumpul, sekali gus menyelamatkan dia daripada dicederakan lebih teruk.

Sebelum kejadian, Osman yang baru selesai berkebun dan menoreh getah bersama bapanya, Salleh Mahmud, 72, menunggang motosikal berseorangan pulang ke rumah.
Di pertengahan jalan kira-kira dua kilometer dari rumah, dia terserempak dengan beruang berkenaan yang dianggar setinggi satu meter dalam keadaan bulunya mengembang dan kelihatan marah.

Nasib tidak menyebelahinya apabila enjin motosikalnya tiba-tiba mati menyebabkan Osman tiada pilihan selain mempertahankan diri dengan menggunakan motosikal Honda itu sebagai penghadang.

Bagi mengelak terkaman beruang itu, Osman beberapa kali berlari mengelilingi motosikal dan hampir mengalah selepas motosikalnya jatuh mengakibatkan dia diterkam haiwan liar berkenaan

“Apabila diterkam beruang itu, saya hampir mengalah kerana kepenatan tetapi terus bergelut dengan beruang itu.

“Nasib baik saya membawa bersama sebilah parang yang dapat digunakan untuk mempertahan diri. Namun, beruang berkenaan sempat mencakar kaki kiri dan mencengkam kaki kanan saya dengan taringnya.

“Saya nekad mengetuk kepala haiwan itu menggunakan parang dan tindakan itu menyelamatkan diri daripada terus menjadi mangsa serangan kerana beruang melepaskan gigitan dan beredar,” katanya ditemui di Wad 1, Hospital Tanah Merah, semalam.

Menurut anak keempat daripada tujuh beradik itu, dalam keadaan kesakitan dia menggagahkan diri menunggang motosikal bagi menyeberangi Sungai Pergau dekat Kuala Balah, untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Balah.

“Saya kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan sehinggalah hari ini,” katanya yang tinggal di Kampung Tengku Abdul Rahman Kuala Balah, Jeli.

Osman berkata, dia tidak menyalahkan haiwan itu kerana mungkin ia dalam keadaan sakit dan tujuannya menyerang mungkin untuk mengelak ancaman manusia.

“Sepanjang berkebun, sudah beberapa kali saya bertembung dengan beruang madu hitam yang mempunyai jalur putih di tengkuk hingga ke hidung, tetapi tidak mengganas,” katanya.

Namun, berdasarkan cerita penduduk setempat, spesies haiwan terbabit sebelum ini pernah menyerang beberapa penoreh getah di Kampung Bukit Jering dan Kampung Tok Ali, di sini




Lekat di bumbung

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my

MAUT...mayat Muhamad Fadli (gambar kecil)  yang maut berada di atas bumbung kereta dalam kemalangan malam kelmarin.
MAUT...mayat Muhamad Fadli (gambar kecil) yang maut berada di atas bumbung kereta dalam kemalangan malam kelmarin.
JEMPOL: Seorang penunggang motosikal ‘terbang’ sebelum melekat dan menemui ajal di atas bumbung kereta dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, Muhamad Fadli Arbian, 20, mati serta-merta akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian melakukan siasatan selepas menerima maklumat mengenai kemalangan.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari Batu Kikir menghala Kuala Pilah termasuk laluan bertentangan.

“Berikutan itu, motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya bertembung dengan Proton Gen2 menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Gen2 berusia 39 tahun tidak cedera dan membuat laporan polis selepas kejadian serta diambil keterangan bagi membantu siasatan


Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan itu dan pada masa sama meminta kerjasama saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa yang beralamat di Kuala Pilah dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Mohd Zulfaqar Ismail, 24, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi seseorang menggunakan telefon bimbit arwah.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan sebelum melihat adik ipar masih bernafas. Tidak lama kemudian pegawai perubatan yang berada di situ memaklumkan arwah meninggal dunia,” katanya

No comments:

Post a Comment