Wednesday, December 22, 2010

BILA MALANG TAK BERBAU...BEGITU LAH LEMAH MANUSIA....BILA SAMPAI TAKDIR KITA TAK MAMPU MENOLAKNYA....MAKA BERTAKWA SERTA TAAT ATAS PERINTAHNYA...KERANA ALLAH BERKUASA ATAS SESUATU....

Bayi koma dicampak bapa



MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas koma dipercayai didera bapa kandungnya yang ‘naik angin’ kerana tidak tahan mangsa kerap menangis.
Dalam kejadian pada petang Ahad lalu, mangsa yang berasal dari Jasin dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) untuk menjalani rawatan selepas tidak sedarkan diri akibat dibaling bapa kandungnya ke atas katil.

Menurut sumber, bapa mangsa berusia awal 30-an itu bertindak kejam selepas tidak tahan mendengar tangisan anak tunggalnya menyebabkannya bengkak di kepala.
Katanya, selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri, lelaki terbabit dan isterinya berusia awal 30-an panik lalu membawa anak mereka ke HM untuk pemeriksaan.

“Mangsa dirujuk ke HM pada hari sama dan selepas diperiksa doktor, bayi itu terpaksa menjalani imbasan CT Scan sebelum doktor mendapati mangsa mengalami pendarahan dalaman otak dan terpaksa dirujuk ke HKL bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya memaklumkan bayi berkenaan masih kritikal.

Katanya, doktor mengesyaki mangsa didera berdasarkan kecederaannya lalu membuat laporan di pondok polis hospital kira-kira jam 1 pagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan dan menjalankan siasatan menyeluruh.

“Hasil siasatan, bayi berkenaan dipercayai didera dengan dibaling bapanya ke atas katil hingga cedera dan tidak sedarkan diri. Mangsa kini dirawat di ICU HKL selepas dirujuk doktor di HM,” katanya.


Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang tangkapan kerana kes masih dalam siasatan.

“Pada masa sama, ibu bapa mangsa masih menunggunya menjalani rawatan di HKL. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Melaka Dr Narimah Nor Yahaya ketika dihubungi mengesahkan bayi berkenaan kini dirujuk ke HKL selepas dimasukkan ke HM.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kecederaan mangsa kerana kes disiasat polis.



Menangis lihat ibu masih hidup



pix_middle
IPOH: “Saya menganggap ibu seperti mati hidup semula sebaik melihatnya terbaring atas katil dalam keadaan masih bernyawa,” kata Faisal Ismail, 40, anak kepada Dariah Ismail @ Duranee Songserm, 59, seorang daripada mangsa kemalangan bas yang meragut 27 nyawa di Simpang Pulai, dekat sini kelmarin.
Faisal tiba di sini jam 3 pagi semalam dari Hatyai, Thailand bersama adik ibunya, Aida Mohammad @ Thainya Anusorn Sukhumalsakul, 36, yang pada mulanya bertujuan melakukan pengecaman ‘jenazah’ ibunya.

“Hancur luluh hati saya selepas melihat nama ibu berada dalam senarai mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu di Bilik Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Hati saya berdebar-debar ketika diminta masuk ke bilik mayat membuat pengecaman, tetapi terkejut apabila melihat mayat itu bukan ibu saya.
“Saya memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan hospital yang kemudian membawa saya ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi mengecam sama ada salah seorang mangsa cedera dalam kemalangan itu ibu saya.

“Saya menangis kegembiraan apabila melihat ibu saya terbaring dan masih hidup. Dia bagaimanapun masih belum sedarkan diri dan menggunakan alat bantuan pernafasan kerana cedera di kepala dan dada. Saya berdoa ibu terus bertahan,” katanya dalam bahasa Melayu pelat Selatan Thai.

Sementara itu Aida berkata, dia menghubungi saudara di Pattani supaya menukar majlis tahlil kepada majlis kesyukuran apabila mendapat tahu kakaknya masih hidup.


“Saya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas menonton berita Buletin Utama TV3 di Hatyai pada malam tadi (kelmarin) dan menghubungi rakan yang bekerja sebagai pemandu bas pelancongan di negara ini supaya ke HRPB bagi mengenal pasti siapa terkorban.

“Hanya Tuhan tahu betapa pilu hati apabila rakan menghubungi saya dan memaklumkan nama kakak berada dalam senarai mangsa yang mati.
“Saya dan Faisal datang ke sini dan tiba di bilik mayat HRPB jam 3 pagi. Air mata kesedihan saya bertukar menjadi tangisan kegembiraan apabila mengetahui kakak saya masih hidup,” katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Hatyai.

Kegembiraan sama turut dikongsi bapa Areena Songserm, 20, yang juga anak saudara perempuan Dariah dan Aida, yang turut berada dalam senarai mangsa mati didapati masih hidup.

Nasir Ismail, 51, berkata, dia sudah bersedia menghadapi apa juga kemungkinan, terkejut apabila melihat jasad dikatakan mayat Areena itu bukan anaknya.

“Saya bersyukur kepada Allah apabila mendapati Areena cuma cedera dan berlaku kesilapan dalam penyenaraian nama mangsa yang mati.
“Areena yang cedera di kepala dan kaki, mungkin dibenarkan keluar hospital beberapa hari lagi,” kata Nasir yang memberitahu anaknya yang menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Walailak, Nakhon Si Thammarat, Thailand.

Dia mengikuti rombongan melancong ke negara ini bersama ibu saudaranya, Dariah, sempena cuti semester.



Lekat di tayar



NGERI...mayat mangsa  yang maut digilis sebuah lori tanah di Jalan Kampung Banai, Jitra.
NGERI...mayat mangsa yang maut digilis sebuah lori tanah di Jalan Kampung Banai, Jitra.
JITRA: “Saya terdengar jeritan remaja itu memanggil ‘mak’ sebaik terhumban daripada motosikalnya sebelum meninggal dunia digilis lori membawa muatan batu dari arah bertentangan.
“Apabila menghampiri kawasan itu, saya mendapati dia sudah meninggal dunia dan mayatnya dalam keadaan cukup ngeri,” kata seorang saksi kemalangan di Jalan Kampung Banai, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, mangsa, Mohamed Hafiz Mohamed, 14, yang menunggang motosikal meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Rashid, 40-an, berkata dia yang menunggang motosikal bersama anak perempuannya berusia 11 tahun berada kira-kira 50 meter di belakang remaja terbabit.

Katanya, ketika melalui selekoh tajam di kawasan itu, motosikal ditunggangi remaja itu terbabas sebelum merempuh sebuah lori di depannya.

“Remaja itu terhumban di atas jalan sebelum digilis lori berkenaan. Saya dan beberapa penduduk kampung berhampiran berusaha menarik remaja itu yang melekat di bawah tayar lori,” katanya.
Menurutnya, pemandu lori itu melarikan diri kerana bimbang dipukul orang ramai.

Katanya, kawasan itu menjadi laluan utama lori membawa muatan batu dan tanah dari kawasan bukit berhampiran menuju ke Bukit Pinang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu

Siasatan awal mendapati, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai terbabas di selekoh tajam sebelum terjatuh di atas jalan dan digilis lori terbabit.

“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dikeluarkan dari bawah tayar kira-kira sejam kemudian. Berdasarkan siasatan, remaja berasal dari Bukit Pinang itu tidak memiliki lesen dan masih di bawah umur.

“Pemandu lori berusia 32 tahun itu sudah diambil keterangan selepas dihantar penduduk kampung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk menyerah diri,” katanya.

Mayat Mohamed Hafiz kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jitra sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan, kelmarin.

No comments:

Post a Comment