Monday, December 20, 2010

MASALAH NI ADA DI CERITA DAN DIAJAR DALAM ISLAM...DAN MUNGKIIN LEBIH LUAS HURAIAN DARI SEGI HUKUM

RENCANA UTAMA


PMS indikasi kesuburan




FARISYA Rahman, 25, merupakan seorang gadis yang aktif, periang, bertenaga dan sering membuatkan teman-teman di sekelilingnya ketawa apabila melayan setiap patah bicara dan keletahnya.
Namun, pada masa-masa tertentu setiap bulan dia akan menjadi pendiam, pucat dan pergerakannya juga terbatas. Malah, adakalanya Farisya akan menjadi emosi dan marah-marah tanpa sebab.
Pada masa itu, rakan-rakannya sudah tahu mengapa dia berkelakuan sedemikian.
"Hmm...datang bulanlah tu..." Terpacul sebaris ayat yang begitu klise dilontarkan terhadap kaum Hawa daripada rakan sekerja yang sudah lali dengan perubahan Farisya setiap bulan.
"Itulah yang saya hadapi setiap bulan ketika haid. Pantang ada orang cakap silap sikit, pasti saya akan marah-marah tidak tentu pasal. Keadaan ini menyebabkan ada segelintir rakan-rakan menjauhkan diri sepanjang tempoh tersebut," kata eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.
Berlainan pula dengan Nurul Ain Rosly, 20, yang selalu menahan kesakitan akibat senggugut setiap kali haid.
"Hari pertama haid memang menyakitkan. Adakalanya, saya mengerekot baring di dalam bilik dan tidur kerana tidak betah melakukan kerja lain. Perut rasa memulas seperti mahu membuang air besar.
"Bagi mengurangkan kesakitan, apa yang saya lakukan adalah minum segelas milo O panas. Bukan saya sahaja, kawan saya juga mengalami masalah yang sama. Akibat kesakitan yang tidak tertahan, dia mengerekot baring di kaki lima ketika mahu pergi membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman," cerita pendidik itu.
Gangguan rutin
Mungkin itu senario yang biasa anda hadapi atau lihat yang berlaku di tempat kerja, sekolah, kuliah, di tempat awam dan sebagainya.
Kitaran haid bukanlah sesuatu yang asing dalam diari seorang wanita. Ia dikenali dengan banyak nama seperti rakan karib, bendera Jepun, The Curse atau ta yee mah.
Walau apapun namanya, kehadiran singkat dalam kehidupan kaum Hawa setiap bulan disambut dengan pelbagai ragam dan reaksi akibat perubahan hormon sehingga ia mengganggu rutin wanita.
Ada segelintir wanita pula mengeluh pada waktu haid kerana ia dianggap mengganggu perjalanan hidup mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.
Mungkin ramai wanita tertanya-tanya, mengapakah kitaran haid menjadi punca ramai di antara mereka tidak senang duduk, mengurung diri, personaliti berubah, emosi di luar kawalan dan tidak kurang pula yang terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk menyambut haid yang menyakitkan?
"Haid ialah pendarahan daripada faraj. Ia adalah perkara normal yang berlaku pada tubuh gadis yang mencapai akil baligh dan ia akan berhenti apabila seseorang itu mencecah lingkungan usia 50 tahun.
"Sebelum seseorang gadis mendapat haid pertama, dia perlu mempunyai struktur otak yang normal, hormon yang seimbang dan organ reproduktif iaitu ovari, uterus serta faraj yang normal," kata pakar obstetrik dan ginekologi(O&G), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj ketika menyampaikan forum interaktif mengenai haid anjuran PT Softex Indonesia. PT Softex Indonesia merupakan pengeluar utama tuala wanita di Indonesia.
Perubahan hormon
Setiap bulan, ovari akan mengeluarkan telur. Proses tersebut dikenali sebagai pengovuman. Pada waktu itu, perubahan hormon berlaku bagi menyediakan rahim untuk kehamilan.
Jika pengovuman berlaku tetapi telur tidak disenyawakan, lapisan di dinding rahim akan gugur melalui faraj yang dikenali sebagai haid.
"Sesetengah wanita menghadapi kejang perut atau senggugut di bawah abdomen ketika haid bermula. Ia menyebabkan aktiviti seharian mereka terganggu.
"Amalkan menuam abdomen bagi mengurangkan rasa sakit," ujarnya berkongsi tip.
Kesakitan yang kerap dialami oleh wanita sebelum atau menjelang haid ialah sindrom sebelum haid (PMS). Ia merujuk kepada simptom fizikal dan emosi.
Antara simptomnya termasuklah keletihan, kekejangan abdomen dan sakit kepala. Selain itu masalah kembung perut merupakan perubahan fizikal yang dialami manakala ketidakstabilan emosi, keresahan dan kemurungan pula merupakan perubahan dari aspek mental.

WAKIL media yang hadir pada forum interaktif mengenai haid di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sesetengah kajian menunjukkan PMS berlaku kerana hormon progesteron yang dirembeskan selepas berlakunya ovulasi.
"Jika kita berasa sakit janganlah mengeluh kerana PMS menunjukkan seseorang itu sedang berovulasi. Itu petanda seseorang itu subur," katanya.
Namun, ramai mengaitkan kesakitan yang dialami kerana melanggar pantang larang ketika haid. Antaranya termasuklah minum air kelapa, makan buah nanas, tembikai dan minuman berkarbonat.
Ada pula yang memberikan petua supaya minum air halia bagi mengelakkan kesakitan. Sejauh manakah kebenarannya?
Dr. Harlina memberitahu, senario tersebut merupakan petua orang lama yang seringkali didengar.
"Sebagai contoh, ketika haid tidak boleh makan nanas kerana jika makan nanas ia akan menyebabkan darah haid keluar dengan banyaknya.
"Kita sering mengamalkan pantang larang yang kita pelajari daripada ibu kita dan mereka pula mempelajari daripada ibu mereka seperti pantang minum air kelapa atau makan nanas semasa haid tetapi tiada bukti klinikal bahawa ia berasas. Semuanya di minda kita, ia dikenali sebagai kesan plasebo," ujarnya.
Sehubungan itu Dr. Harlina menasihatkan supaya mereka yang mengalami PMS mendapatkan nasihat daripada pakar diet tentang pemakanan yang betul.
Penjagaan diet yang betul dapat membantu wanita menyesuaikan edaran haidnya, mengurus kekejangan perut dan mengurangkan senggugut.
Beliau memberitahu, ramai di kalangan pesakitnya mengadu mengenai kitaran haid yang tidak menentu.
"Ada beberapa faktor yang menyebabkan ketidaktentuan kitaran haid iaitu ketidakseimbangan hormon, perubahan gaya hidup kerana stres atau hampir menopaus.
"Daripada membuat diagnosis sendiri atau membandingkan pengalaman dengan orang lain, adalah lebih baik berjumpa dengan pakar ginekologi atau sakit puan," sarannya.
Elakkan kafein
Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagi Fadzli Omar, 33, berkata, pada peringkat awal berkahwin beliau juga amat sukar memahami simptom PMS yang dialami isterinya.
Anak bongsu daripada empat beradik yang kesemuanya lelaki itu mengakui dia amat tertekan dengan sikap isterinya setiap kali mengalami pusingan haid.
"Adakalanya kami bergaduh hanya kerana perkara-perkara kecil kerana isteri saya menjadi sangat sensitif.
"Lama-kelamaan saya mula memahaminya dan memberi sokongan. Adakalanya isteri saya terpaksa mengambil ubat tahan sakit kerana senggugutnya agak teruk atau menuam bahagian bawah perut dengan air panas," kata bapa kepada tiga anak itu.
Pakar dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Shariza Abdul Razak menegaskan wanita yang mengalami masalah senggugut perlu menghindari makanan yang mengandungi gula terproses seperti coklat, gula-gula dan air berkarbonat.
"Walaupun makanan ini dikatakan boleh menenangkan tetapi ia boleh meningkatkan kekejangan pada abdomen dan rahim selepas beberapa jam dimakan," ujarnya.
Selain itu, makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti makanan dalam tin, kerepek dan bertih jagung perlu dielakkan.
"Sebelum haid wanita akan mengalami penambahan berat badan beberapa kilogram (kg) dan sekali gus menyebabkan timbulnya simptom retensi (pengumpulan) air dalam badan.
"Sehubungan itu, dengan pengambilan makanan bergaram yang tinggi, kesannya akan menjadikan lebih banyak air terkumpul dalam badan dan mengundang ketidakselesaan," tegasnya ketika dihubungi.
Dr. Shariza juga tidak menggalakkan wanita yang mengalami simptom senggugut meminum air yang tinggi kandungan kafein seperti kopi. Begitu juga makanan yang mengandungi lemak seperti daging merah dan aiskrim kerana ia menyebabkan salur darah mengecut dan mengundang kesakitan pada bahagian abdomen.
Sehubungan itu, beliau menyarankan wanita yang mengalami masalah ketika haid mengambil sajian yang berbijirin penuh untuk mengelakkan rasa letih dan tidak bermaya.
"Selain itu juga, sayur-sayuran dan buah-buahan akan menyumbang kepada kandungan vitamin tambahan dalam badan.
"Malah, makanan yang mengandungi asid lemak omega 3 seperti ikan dan makanan yang mengandungi vitamin B kompleks amat digalakkan selain pengambilan air dalam kuantiti yang banyak untuk menggantikan cecair yang hilang ketika haid," tegasnya.

No comments:

Post a Comment