Monday, December 20, 2010

KEGUNAAN MASJID ADALAH LUAS...NI TELAH DITUNJUK OLEH RASULLULLAH SAW...JANGAN DIJADIKAN TEMPAT BERBUAT MUNGKAR ATAU TEMPAT MENGAJAR ILMU ISLAM YANG TIDAK SYUMUL ATAU JUGA MENGAJAR ILMU ISLAM YANG TELAH DISELEWENGKAN SERTA TIDAK BERCAKAP KEPADA PERKARA2 YANG HAQ....

Perlu hormat agama lain



SAYA amat kecewa dengan laporan media termasuk dalam laman web yang memetik kenyataan beberapa individu yang membentangkan kertas kerja dalam satu seminar baru-baru ini berkaitan isu pluralisme.
Pluralisme adalah suatu ancaman kepada Islam, tetapi tuduhan melampau dan tergesa-gesa terhadap beberapa tokoh politik sebagai penganut fahaman pluralisme ini amat berbahaya kepada keharmonian hidup antara umat beragama di Malaysia.

Budaya ala-Taliban ini amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

Saya bukan ahli Pas dan bukan ahli mana-mana parti politik, tetapi saya amat kecewa apabila tokoh agama yang diakui ramai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, cuba dikaitkan dengan fahaman pluralisme semata-mata kerana menghadiri majlis penganut agama Buddha.

Ini suatu tuduhan yang amat jahat. Rekod tuan guru membuktikan beliau amat konsisten dalam isu Islam.

Kita perlulah membezakan antara sikap menghormati kebebasan pegangan agama orang lain yang diakui Islam dengan hakikat maksud pluralisme.

Tidak sepatutnya mereka yang bergelar sarjana tidak memahami metodologi ilmu dalam menilai perbezaan di antara dua perkara ini.

Dalam al-Quran, Surah al-Kafirun memberikan ruang memperakui hak penganut agama lain dalam mengamalkan kepercayaan mereka, manakala Surah al-Mumtahanah, menyuruh orang Islam berbuat baik dengan penganut bukan Islam.

Erti ruang toleransi dan saling menghormati hak sesama manusia untuk hidup secara harmoni itu diakui oleh Islam dan bukannya satu ciri penganut pluralisme.

Bukankah Nabi Muhammad sendiri pernah menerima rombongan penganut Kristian Najran di dalam Masjid Nabawi? Bahkan baginda membenarkan mereka melakukan ibadat agama mereka di dalam masjid kedua paling suci itu.

Bukankah Nabi Muhammad pernah bangun bagi menghormati jenazah seorang penganut Yahudi yang lalu di hadapannya?

Bukankah Saidina Omar al-Khattab sewaktu membuka Palestin memberikan kebebasan dan penghormatan yang amat luar biasa kepada Patriach Kristian di sana dan mengunjungi Gereja Nativity?

Apakah Nabi Muhammad dan Saidina Omar ini juga penganut pluralisme? Sudah tentu tidak! Dan dengan itu formula dan kaedah pihak yang gelojoh ini juga salah dan amat berniat jahat.

Saya bimbang wujud kecenderungan beberapa pihak daripada kalangan ahli akademik dan ahli agama menggunakan isu akidah untuk tujuan mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik.

Juga menggunakan isu akidah untuk menyesatkan dan memurtadkan orang politik yang tidak sebulu dengan mereka.

Hal ini akan menjurus kepada pegangan melampau dan boleh mencetuskan kekecohan antara agama di Malaysia.

Akibat sikap seperti ini, banyak pihak akan disesatkan dan dipertikaikan akidah mereka.

Juga formula mereka yang melampau ini akan menimbulkan salah tafsiran terhadap sikap harmoni Kerajaan Persekutuan kepada penganut berbilang agama di Malaysia.

Apakah dasar kerajaan ini juga akan mereka sesatkan, termasuk pemimpin yang terbabit?

Saya menyeru umat Islam terutama ahli akademik agar bersikap jujur dan adil dalam memperkatakan soal Islam dan terutama dalam soal hubungan dengan agama lain.

Semua pihak perlu berhati-hati terutama dalam menyatakan pandangan yang boleh membawa kepada permusuhan beragama dan berpolitik.

Rujuklah kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam mengeluarkan pandangan Islam, bukannya dengan emosi bagi menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam dan permusuhan di antara umat Islam dengan bukan Islam.

Islam tidak memerlukan mereka yang berpemikiran pelampau, kolot dan amat konservatif bagi membela agama suci ini.

DR JUANDA JAYA
Mufti Perlis




Martabat kembali fungsi masjid



DEWASA ini fungsi masjid sudah mula dipersoalkan di negara kita angkara sesetengah pihak sering menyalahgunakan masjid untuk kepentingan peribadi atau tujuan tertentu.
Sudah ada pihak yang seakan-akan hendak mengubah fungsi asal masjid kepada fungsi lebih berbentuk duniawi iaitu sebagai medan politik yang mementingkan kuasa dan kedudukan.

Kalau mahu berpolitik banyak lagi medan dan platform yang disediakan.
Biarlah orang yang memasuki masjid itu bersih hati daripada segala jenis fahaman politik dan hanya fokus kepada amalan dilakukan demi mencari keredaan Allah.

Masyarakat kita sudah cukup bosan dan muak dengan amalan politik yang bertopengkan agama. Kenapa kita masih mahu menggunakan agama sebagai alat politik? Biarkanlah agama itu bebas dan tidak berparti.

Gunakanlah masjid sebaik mungkin demi pembangunan ummah daripada pelbagai aspek seperti ekonomi dan sosial.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid dengan program yang bermanfaat dan tidak berkepentingan mahupun bercanggah dengan ajaran Islam.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor




Petunjuk awal kanser perut



NORA, 47, berasa sangat sakit di perut sejak enam bulan lepas. Dia percaya ia hanya masalah ‘angin’ tetapi sejak kebelakangan ini minyak angin yang menjadi penawar selama ini tidak melegakan sakitnya.
Gary, 53, pula sering mengadu gastrik sejak sebulan lepas. Apabila dia ke klinik, doktor memberitahunya mengalami gastritis dan mengesyorkan ubat untuk melegakan sakit itu. Doktor menasihatkannya supaya makan mengikut masa.

“Tetapi saya tidak faham,” kata Gary. “Saya makan mengikut masa.”

Ia mungkin sukar untuk percaya, tetapi simptom pada Nora dan Gary mungkin penunjuk awal masalah yang lebih besar - kanser perut

Dr Ramesh Gurunathan, seorang pakar bedah Gastrousus di Pusat Perubatan Sunway, menyatakan kes kanser perut berlaku pada kadar berganda di Malaysia berbanding 700 kes pada 1997 walaupun kes kanser ini berkurangan di seluruh dunia.

“Ini sesuatu yang membimbangkan,” katanya di Kongres Ketiga Kanser Gastroesofageal di Pusat Perubatan Sunway, baru-baru ini.

Kanser perut adalah kanser ketujuh paling lazim di kalangan lelaki Malaysia dan kesepuluh paling lazim pada wanita.

Dr Gurunathan berkata, ramai rakyat Malaysia bagaimanapun masih tidak sedar masalah sebenar di sebalik simptom ini. Ini kerana mereka sering menganggapnya sebagai sakit perut biasa disebabkan tidak makan mengikut waktu atau amalan pemakanan kurang baik.

Beliau berkata, pesakit di peringkat pertama atau peringkat kedua kanser perut mungkin mengalami simptom berikut yang lazimnya tidak banyak berbeza daripada sakit perut biasa:



  • Senak perut atau rasa kurang selesa di perut.




  • Perut macam ada angin, terutama selepas makan.




  • Cepat kenyang, walaupun makan sedikit saja.




  • Pedih hulu hati.




  • Rasa mual.

    Bagaimanapun, katanya, ramai mengalami sebahagian saja simptom ini di peringkat awal. Simptom di peringkat lanjut kanser adalah lebih ketara, seperti najis berwarna hitam yang menunjukkan pendarahan di perut, kehilangan berat badan, hilang selera, rasa letih, sering muntah atau muntah darah.

    “Malangnya, simptom ekstrem inilah yang memaksa pesakit untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” kata Dr Gurunathan.

    “Ketika itu ia mungkin terlalu lewat.”

    Punca sebenar kanser perut masih tidak diketahui, tetapi terdapat faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser.

    Kajian menunjukkan kehadiran bakteria Helicobacter Pylori atau H Pylori, dalam 70 hingga 90 peratus daripada pesakit dengan kanser perut.

    Bakteria ini boleh bertindak sebagai kaseinogen yang akhirnya boleh menyebabkan kanser perut, kata Dr Ragunathan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna semua yang dijangkiti akan menghidap kanser.

    Beliau menunjukkan satu penemuan menarik daripada penyelidikan yang dijalankan di Malaysia iaitu lebih ramai masyarakat India dijangkiti H Pylori berbanding masyarakat Cina, tetapi lebih ramai kaum Cina menghidap kanser perut.

    Dr Gurunathan berkata, simptom awal jangkitan H Pylori hampir sama dengan kanser perut dan adakalanya pesakit dirawat menggunakan ubat saja.

    “Tetapi jika simptom sama berulang walaupun selepas mengambil ubat, anda perlu ke hospital dan jalani pemeriksaan,” kata beliau.

    Ujian darah biasa boleh menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti H Pylori. Rawatan mungkin semudah satu dos antibiotik selama seminggu, katanya.
    Bolehkah jangkitan berulang? Mungkin, kata doktor, tetapi kemungkinannya sangat kecil.

    Kajian menunjukkan asal-usul etnik dan genetik juga memainkan peranan ketara dalam menentukan siapa lebih berkemungkinan menghidap kanser.

    Statistik 2006 Institut Kanser Kebangsaan menunjukkan kaum Cina mewakili 61.7 peratus daripada pesakit kanser perut, diikuti Melayu (25.9 peratus) dan India (12.4 peratus).

    “Kami cuba mencari kaitan antara jenis diet yang eksklusif kepada setiap kumpulan etnik itu dan kemungkinan faktor lain, tetapi memandangkan pengaruh antara budaya di Malaysia, keputusannya tidak jelas,” katanya.

    Pada masa sama, makanan mentah yang mengambil masa lama untuk dicerna boleh meningkatkan risiko kanser. Penemuan ini mempertikai kepercayaan segelintir pakar kesihatan yang menggalakkan makanan mentah sebagai alternatif lebih sihat kepada makanan yang dimasak.

    “Makanan mentah dikatakan antara sebab mengapa negara seperti Jepun menyaksikan kejadian kanser lebih tinggi,” kata Dr Gurunathan.

    “Saya tidak berkata anda tidak langsung boleh makan sushi, tetapi mungkin boleh dihadkan kepada sekali setiap bulan.”

    Selain itu, makanan yang digarami, disalai, dijeruk atau makanan diawet yang lazim di negara seperti China, Korea dan Jepun juga dikaitkan dengan risiko lebih tinggi bagi kanser perut.

    Obesiti, penuaan dan tabiat buruk seperti merokok dan ketagihan alkohol juga dikatakan sebagai menyumbang kepada kanser perut.

    Di Jepun, di mana insiden kanser perut sangat tinggi, imbasan dijalankan bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

    “Bagaimanapun, ia tidak mungkin dapat dilakukan di Malaysia kerana kadar kejadian tidak setinggi seperti di Jepun selain ia tidak berkesan dari segi kos,” kata Dr Gurunathan.

    Beliau berkata, kanser perut boleh dikesan menggunakan kaedah endoskopi. Kaedah ini menggunakan satu tiub dengan lensa video pada hujungnya yang dimasukkan ke ruang dalam perut menerusi mulut.

    Menggunakan kaedah ini, keseluruhan dinding boleh diperiksa secara visual dan diambil sampel tisu di tempat yang disyaki untuk menentukan kehadiran sel barah, jika ada.

    Beliau berkata, di hospital kerajaan, pemeriksaan menggunakan endoskopi ini dijalankan pada harga murah iaitu RM20 kerana kosnya disubsidi kerajaan.
    Bagaimanapun, katanya, selepas itu doktor mungkin hanya mahu merawatnya dengan ubat-ubatan saja.

    Oleh itu, katanya, jika pesakit itu berusia lebih 45 tahun, mempunyai kanser perut dalam sejarah keluarga dan mengalami simptom itu untuk satu tempoh, mereka harus memaklumkan perkara ini kepada doktor dan bertanya: “Haruskah saya menjalani endoskopi?”

    Jika kanser perut dikesan sementara ia masih di peringkat pertama, pembedahan mungkin tidak perlu untuk mengeluarkan ketumbuhan.

    “Ia boleh dikeluarkan menggunakan endoskopi dan bagi peringkat kedua, satu pembedahan dikenali sebagai gastrostomi mungkin perlu,” kata Dr Gurunathan.
    Prosedur ini membabitkan pembuangan separuh hingga keseluruhan perut bergantung kepada kedudukan ketumbuhan. Ini mungkin disusuli rawatan kemoterapi atau radioterapi.

    Bolehkah seseorang hidup tanpa perut? Jangan terkejut, doktor berkata boleh.
    “Mereka masih boleh menikmati kehidupan agak baik. Satu-satunya masalah ialah mereka mungkin terpaksa makan sedikit-sedikit, enam atau tujuh kali sehari,” katanya.

    Bagaimanapun, peringkat tiga dan empat mungkin sukar untuk dirawat, katanya.
    “Rawatan bagi mereka ini lebih kepada penjagaan paliatif, radioterapi dan kemoterapi. Jadi jalani pemeriksaan awal jika anda mengesyaki sesuatu tidak kena. Ia boleh dirawat jika dapat dikesan awal,” katanya. - Bernama.



  • No comments:

    Post a Comment