NEGARA
Rugi RM177j: Sime Darby saman bekas CEO
KUALA LUMPUR - Kemelut kerugian firma perladangan konglomerat Sime Darby Bhd. (Sime Darby) semalam sampai ke kemuncaknya apabila firma itu memfailkan saman terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid (gambar) dan empat yang lain ekoran kerugian yang dialami sebanyak RM177 juta oleh firma itu.
Selain Sime Darby, empat plaintif lain adalah Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., Sime Darby Energy Sdn. Bhd., Sime Darby Marine Sdn. Bhd. dan Sime Darby Marine (Hong Kong).
Kesemua plaintif menamakan empat lagi defendan selain Ahmad Zubir iaitu Pengarah Urusan Sime Engineering Services, Datuk Mohamad Shukri Baharom, Abdul Rahim Ismail, Abdul Kadir Alias dan Mohd. Zaki Othman.
Mengikut pengumuman Bursa Malaysia, firma perladangan yang terbesar di dunia itu telah memfailkan writ saman tersebut berhubung Projek Petroleum Qatar iaitu Projek Minyak Maersk dan projek pembinaan kapal marin.
Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan menerusi firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim & Co. di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi (Dagang) di sini.
NEGARA
Tiada lagi miskin tegar di bandar - Raja Nong Chik
KUALA LUMPUR - Kerajaan semalam mengisytiharkan bahawa kawasan bandar terutama di Kuala Lumpur tidak lagi mempunyai golongan miskin tegar.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar kecil) berkata, bilangan penduduk miskin dan mudah miskin pula telah dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding tahun lepas.
"Mulai tahun hadapan, kita akan tingkatkan (bantuan) golongan yang disasarkan ini. Kita ada program-program seperti penjualan rumah, bantuan pelajaran dan baru-baru ini Skim Prihatin untuk kematian dan lain-lain.
"Di bawah elemen kesejahteraan bandar, kita fokus kepada golongan miskin iaitu bantuan latihan kemahiran perniagaan kecil," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres Sedunia Pertama Pengurusan Aset Infrastruktur di sini semalam.
Februari lepas, beliau mengumumkan sasaran kementerian untuk membasmi kemiskinan tegar di seluruh Wilayah Persekutuan menjelang akhir tahun ini.
NEGARA
30,863 dapat semua A
PUTRAJAYA – Seramai 30,863 daripada 439,456 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini memperoleh semua A meningkat 0.65 peratus berbanding 28,188 calon tahun lalu.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud (gambar) berkata, pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini 2.74 meningkat berbanding 2.78 tahun lalu.
“Keseluruhannya pencapaian calon PMR tahun 2010 dalam 16 mata pelajaran adalah yang terbaik berbanding tempoh empat tahun lalu,” katanya semasa membentangkan analisis keputusan PMR 2010 di sini semalam.
NEGARA
Pelanggan kerugian RM1.5 juta
KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 orang yang mahu melancong ke luar negara terpaksa menelan hakikat pahit mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta akibat ditipu sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej diskaun sehingga 70 peratus tetapi sebenarnya tidak wujud.
Kebanyakan mereka yang ditawarkan pakej melancong ke Eropah, Jepun, Hong Kong, China, Australia dan Taiwan mengalami kerugian tidak kurang RM3,000 malah dalam kes ekstrem, terdapat pelanggan mengalami kerugian sehingga RM30,000.
Agensi pelancongan ‘hantu’ itu cukup licik menipu pelanggan yang terpedaya dengan iklan pakej pelancongan syarikat tersebut dalam media.
Syarikat tidak bertanggungjawab itu turut menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sepanjang tahun ini untuk mencari mangsa.
Lebih memeritkan, pelanggan terbabit tidak dapat berbuat apa-apa melainkan membuat laporan polis dan mengadu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kerana pejabat agensi pelancongan tersebut yang terletak di Cheras sudahpun ditutup.
NEGARA
Pelacur asing cabar polis
KUALA LUMPUR – Masih tidak serik! Walaupun telah banyak kali diserbu, pelacur yang bersidai di kaki lima di bangunan empat tingkat di Wisma Indah Jalan Pudu di sini bukannya berkurang tetapi bertambah rancak.
Mereka yang beraksi manja dan berpakaian seksi terus menjalankan tugas menggoda pelanggan berhidung belang tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa pelacur tempatan, China dan Filipina terus mendominasi kawasan berkenaan sejak empat bulan lalu sejak awal pagi.
Wartawan yang berpura-pura mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank kemudian terus didekati seorang pelacur yang menawarkan khidmat urutan badan
NEGARA
Kontraktor mati ditetak
KUANTAN - Hasrat seorang lelaki untuk memanggil rakannya bekerja berkecai apabila mendapati kenalannya itu mati selepas ditetak di tengkuk dengan parang di sebuah rumah dua tingkat di Lorong Sekilau 34 di sini semalam.
Kejadian pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan seorang kontraktor, Chan Kin Wai, 45, mati dalam keadaan terbaring di ruang tamu. Ketika kejadian, isteri dan anaknya tiada di rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Pemangku Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, rakan mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an sebelum itu telah pergi ke rumah mangsa dan mendapati terdapat dua gadis bersamanya.
Katanya, tidak lama kemudian, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal Yamaha RXZ terus masuk ke rumah mangsa lalu mengacukan parang ke arah kontraktor tersebut.
"Suspek kemudian menghalau ketiga-tiga mereka keluar lalu mengunci pintu. Selepas 10 minit, rakan mangsa datang semula ke rumah selepas mendapati dia tidak datang bekerja tetapi hairan apabila melihat rumah itu berkunci.
"Selepas panggilannya tidak disahut, lelaki itu yang curiga telah memecahkan pintu rumah dan terkejut apabila mendapati mangsa terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam
NEGARA
SMS tipu minta tambah prabayar
KUALA LUMPUR - "Tolong belikan ayah 'top up' (tambah nilai) RM50. Ini nombor baru ayah 017*******, ayah ada masalah di balai polis. Tak payah dulu telefon, nanti ayah telefon, cepat sikit."
Demikian taktik terbaru sindiket penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang giat menipu mangsa.
Seorang penerima SMS tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Zirman, 30, memberitahu, dia terkejut selepas membaca SMS yang menunjukkan seolah-olah bapanya berada dalam kecemasan.
"Mula-mula baca SMS tersebut, saya panik kerana bimbang sesuatu berlaku pada ayah. Saya pun terus ke kedai dan membuat tambah nilai pada nombor diberikan.
"Namun, selepas membuat tambah nilai ayah saya masih tidak telefon seperti dijanjikan," katanya.
Menyedari sesuatu yang pelik, dia akhirnya menghubungi nombor yang diberikan dalam SMS tersebut namun, tidak ada jawapan.
"Saya hubungi pula nombor asal ayah saya, bila saya tanya apa yang berlaku di balai polis tadi, ayah kata tiada apa-apa yang berlaku," katanya
Nak untung lebih, jual barang luput tarikh
MELAKA - Demi mengejar keuntungan lebih, sebuah pasar raya di sini didakwa sanggup menjual barangan yang tamat tarikh luput.
Pengerusi Persatuan Pelindung Melaka , Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa tertipu apabila membeli barangan yang ditawarkan potongan harga namun, sebenarnya barangan itu telah tamat tarikh luput.
"Bertindak atas aduan yang diterima, saya sendiri telah ke pasar raya terbabit bagi menjalankan siasatan dan mendapati aduan yang diterima itu benar.
"Kita memandang serius perkara ini dan meminta pengurusan pasar raya terbabit lebih bertanggungjawab kerana ia melibatkan kesihatan pengguna," tegasnya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini semalam.
No comments:
Post a Comment