Tuesday, December 21, 2010

TIMBANG2 SERTA FIKIR2KAN KENAPA PERKARA NI BERLAKU....ADAKAH BENAR KITA JAUH MENINGGAL HUKUM HAKAM SERTA AJARAN ISLAM....KERANA MENGEJAR KEMEWAHAN DAN TERPERDAYA DENGAN FILEM2 SERTA MEDIA2...... KERANA MEREKA SERTA MASYARAKAT BEGITU JUGA PEMIMPIN2 TAK MENDIDIK AGAR KITA BERTAKWA...

PROJEK KANTOI


SERI KEMBANGAN – Dua wanita warga Thailand hanya sempat membalut tubuh genit mereka dengan sehelai tuala apabila premis yang dijadikan tempat pelacuran diserbu anggota Penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), malam kelmarin.

Difahamkan, wanita terbabit dipercayai baru sahaja melakukan ‘projek’ bersama pelanggan masing-masing berikutan penemuan beberapa kondom terpakai.

Sinar Harian dimaklumkan sebelum itu niat asal sepasukan anggota penguat kuasa MPSJ ke premis itu sebenarnya untuk menyerbu sebuah pusat hiburan.

Namun, anggota yang menjalankan serbuan di Jalan PSK 4, Pusat Perdagangan Seri Kembangan di sini terkejut apabila menemui dua wanita terbabit dalam keadaan separuh bogel.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, anggota memecah masuk sebuah premis kira-kira jam 10 malam kelmarin selepas menerima aduan pengusaha menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Bagaimanapun, katanya ketika operasi dijalankan, anggota menemui satu lorong tangga yang mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan terperinci di tingkat atas premis tersebut.

“Mengejutkan apabila pemeriksaan dijalankan di tingkat atas rumah kedai itu menemukan anggota dengan 12 ruang yang dibuat sekatan seperti bilik dan ditandakan dengan nombor 1 hingga 12.

“Pemeriksaan dijalankan dari bilik ke bilik sebelum wanita warga Thailand yang dipercayai menjalankan khidmat pelacuran ditemui dalam bilik bernombor 10 dan 12,” katanya.

Zulkurnain berkata, hasil pemeriksaan turut menjumpai kondom yang sudah digunakan di dalam bilik sama wanita berkenaan dicekup.

“Pengusaha premis dan dua wanita itu diserahkan kepada pihak pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Bagaimanapun pelanggan yang dipercayai melanggan kedua-dua wanita itu dapat meloloskan diri.

“Manakala Majlis mengambil tindakan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM1,000,” katanya

Kata beliau lagi tindakan memecahkan sekatan di dalam premis tingkat atas turut dijalankan kerana premis tersebut tidak mendapat kelulusan yang sah daripada MPSJ.




Lima beranak hidup melarat


POKOK MANGGA - Kemiskinan menyebabkan seorang ibu tunggal bersama empat anaknya di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang, di sini terpaksa ‘ikat perut’ setiap hari.

Tindakan itu menyebabkan lima beranak itu sering mengalami sakit perut disebabkan terpaksa berlapar.

Ibu tunggal berkenaan, Aisah Saadun, 45, berkata kehidupan mereka sekeluarga susah selepas arwah suaminya, Kahar Jamaah, meninggal dunia kira-kira 16 tahun lalu.

Menurutnya, dia dan empat anaknya yang kini berusia 18 hingga 24 tahun terpaksa menumpang di rumah jiran sebelum menyewa rumah yang didudukinya kini.

“Pernah dalam tempoh dua atau tiga hari, kami anak beranak tidak menjamah walau seulas nasi pun dan terpaksa menagih sedikit makanan di gerai berdekatan, atau dibantu jiran tetangga yang bersimpati.

“Sewa rumah sebanyak RM150 sebulan juga sudah tertunggak sehingga mencecah tiga bulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, dekat sini semalam.

Aisah berkata, dia bernasib baik kerana pemilik rumah sewa berkenaan, Said Aim, 80, memahami masalah mereka dan tidak pernah mendesak membayar tunggakan.

Malah, katanya, Said sering memberi makanan untuknya, selain meminjamkan sedikit wang jika dia memerlukan.

Menurutnya, untuk mengurangkan bebanan keluarga, dia terpaksa bekerja di kebun sayur milik seorang Tionghua di Klebang.

Aishah yang berasal dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia dan berstatus penduduk tetap (PR) di negara ini berkata, salah seorang anak perempuannya sudah berkahwin.

Manakala, katanya, tiga daripada mereka masih belum mendirikan rumahtangga dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Semua anak saya warganegara Malaysia, tetapi mereka tidak pernah bersekolah akibat kemiskinan hidup.

“Dua anak lelaki yang masih bujang berusia 18 dan 24 tahun pula melakukan pekerjaan sampingan sekadar mengisi perut mereka sendiri sahaja dan itu pun kalau ada kerja,” katanya.

Sementara itu, Said berkata, dia sangat bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan menyebabkan dia tidak sampai hati meminta tunggakan sewa.

“Keluarga ini miskin dan saya pun tak tergamak memaksa dia bayar sewa rumah. Kalau dia pinjam duit saya pun, saya tak sampai hati minta balik kerana tahu kesusahan mereka,” katanya.



Aku mahu bunuh kau!

AYER KEROH - Gara-gara mengugut untuk membunuh bekas isteri, seorang kontraktor dihukum penjara lima hari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Harun Zainal, 37, mengaku bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Fairuz Johari.

Terdahulu, pada prosiding yang berasingan, Harun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebelum menukar pengakuan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah boleh menyebabkan kematian atau cedera parah terhadap Jamilah Nikmat, 43, dengan mengeluarkan perkataan “aku mahu bunuh kau”.

Harun dituduh melakukan kesalahan itu pada 2 Julai 2010, kira-kira jam 5.30 petang di kaki lima Pizza Hut di Plaza Pandan Malim, Melaka Tengah.

Tertuduh yang bercerai dengan bekas isterinya setahun lalu itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika pendakwaan memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran.

Harun yang diwakili peguam belanya, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memohon supaya diringankan hukuman kerana tertuduh perlu menyara dua anak dengan bekas isteri, berumur 12 dan 13 tahun.

“Tertuduh yang mempunyai isteri baru dan kini mengandung tujuh bulan juga telah memohon maaf dengan bekas isteri atas perbuatannya itu.

“Dipercayai, ketika kejadian tertuduh dalam keadaan tertekan dan tanpa berfikir panjang mengeluarkan kata-kata berkenaan, sedangkan tertuduh tiada niat untuk betul-betul melakukan perbuatan itu," katanya.

Sementara itu, mangsa yang dipanggil di hadapan mahkamah turut memohon diringankan hukuman terhadap bekas suaminya itu.

“Saya telah berbincang dengan tertuduh dan memaafkannya selepas dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu,” katanya.

Mohd Fairuz sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya dengan mengawal emosi dan keadaan walaupun pengadu adalah bekas isteri.

“Anak tanggungjawab awak. Jika tidak minta di dunia, akan diminta juga di akhirat nanti,” katanya.

Mohd Fairuz kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima hari daripada tarikh ditangkap pada 16 Disember lalu dan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, pada 2 Julai lalu, Jamilah telah bergaduh dengan isteri tertuduh di lorong belakang Plaza Pandan Malim berhampiran Politeknik Kota Melaka sebelum pengadu melarikan diri ke keretanya.

Sewaktu mahu menghidupkan enjin kereta, Jamilah didatangi Harun dan mereka bertengkar.



Warga emas mati dikelar

GEORGETOWN - Seorang warga emas ditemui mati dengan tiga kesan kelar di leher, dipercayai dibunuh di dalam kereta di Gat Lebuh Gareja, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa, Moey Guan Chin, 89, dari Simpang Empat, Nibong Tebal ditemui berlumuran darah dalam keadaan terlentang di tempat duduk pemandu kereta oleh orang awam yang melalui kawasan itu.

Sebelum dibunuh, mangsa dipercayai bergelut dengan suspek berdasarkan percikan darah yang banyak di dalam kereta Perodua Kancil itu.

“Balai Polis Lebuh Pantai mendapat panggilan daripada orang awam pada kira-kira jam 6.15 petang memaklumkan mengenai kejadian itu. Kita percaya kejadian berlaku beberapa jam sebelum itu.

“Seorang saksi ternampak kejadian yang berlaku dan polis sudah mengambil keterangannya,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian.

Kong Meng berkata, berdasarkan keterangan saksi, suspek dipercayai berusia 40an, memakai kemeja T hitam tanpa kolar dan bertubuh gempal serta ketinggian kira-kira 170 sentimeter.

Menurutnya, saksi itu ternampak sebuah kereta berada di kawasan tempat letak kereta di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Saksi yang berada berdekatan ternampak kereta itu dalam keadaan bergoncang. Selepas itu keluar seorang lelaki dari kereta berkenaan. Suspek kemudian dilihat mencampakkan sesuatu ke dalam longkang berhampiran.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai sebilah pisau pemotong buah berukuran 15 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kes itu,” katanya.

Kong Meng berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa dan identitinya dikenal pasti melalui kad ahli kelab lumba kuda yang dimilikinya.

Beliau berkata, kenderaan berkenaan juga dalam keadaan berkunci dan terdapat banyak percikan darah, terutama di tempat pemandu.

“Ketika ini, kita masih menyiasat motif kejadian dan kecederaan lain yang dialami mangsa. Setakat ini dompet mangsa gagal ditemui manakala barangan lain seperti telefon bimbit dan kunci kereta masih ada bersamanya.

“Kita juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.



Kes jenayah membabitkan remaja serius

JOHOR BAHRU - Kes jenayah membabitkan remaja dilihat semakin serius dan tindakan bagi mengenal pasti punca serta menangani masalah itu perlu dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri, Dr Robia Kosai berkata, beliau khuatir dengan kejadian yang membabitkan anak muda yang terlibat dalam jenayah seperti membunuh yang semakin ketara.

“Pertumbuhan trend kes juvana melakukan keganasan yang terlampau semakin serius. Perkara ini amat membimbangkan khususnya mereka ini terlibat dalam jenayah terlampau sehingga membunuh,” katanya ditemui pemberita selepas melawat Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, di Hospital Sultan Ismail, di sini, semalam.

Dr Robia berkata, beliau yakin punca kepada keadaan ini ialah remaja tidak mempunyai ruang untuk melepaskan geram.

“Kita perlu duduk memikirkan perkara ini dan mungkin boleh diletakkan dalam kokurikulum bagaimana pengurusan kemarahan.

“Kerajaan Negeri akan duduk berbincang dalam masa terdekat dengan pihak-pihak berkaitan seperti dari sudut agama dan kaunseling untuk mencari penyebab keadaan ini berlaku,” katanya.

Katanya, antara faktor pendorong kepada keadaan itu ialah keluarga, persekitaran dan tiada pembimbing dari orang yang lebih berusia dalam hidup mereka

No comments:

Post a Comment