NEGARA
Isteri sempat hantar SMS
SEREMBAN - Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar oleh pramugari Malaysia Airlines (MAS), Chin Swee Len kepada suaminya tidak lama sebelum mayatnya ditemui di kawasan letak kereta sebuah hotel di Belanda minggu lalu menjadi bukti wanita itu bukan mangsa kes jenayah.
SMS itu yang dihantar kepada suaminya, Cheng Yin Chet, 39, menyatakan bahawa dia pada waktu itu pening kepala akibat jet lag selepas menempuh penerbangan selama hampir 13 jam dari Kuala Lumpur ke Amsterdam, Belanda.
Sindrom itu kebiasaannya berlaku selepas seseorang itu menempuh penerbangan jarak jauh dan merentasi zon waktu sehingga menyebabkan lesu dan mudah hilang pertimbangan.
Yit Chet pada sidang akhbarnya di sini semalam berkata, isterinya mungkin mengalami sindrom itu ketika dia melihat pemandangan bandar Amsterdam dari pelantar terbuka di tingkat 9 Hotel Radisson, tempat mangsa menginap di antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi (waktu Belanda).
Serentak dengan itu, Yin Chet menafikan spekulasi isterinya itu mati akibat bunuh diri atau menjadi mangsa kes jenayah.
NEGARA
Mati dibelasah bukan pasal curi getah beku
RANTAU PANJANG – “Mesti ada sebab lain. Saya tak percaya dia dipukul sampai mati pasal curi getah beku.’’
Demikian kata Mohamad Che Ngah, 67, bapa kepada Saupi Mohamad, 38, yang maut dibelasah penduduk kampung dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang kelmarin di Kampung Bakat Hilir, dekat sini selepas disyaki mencuri getah beku.
Beliau mendakwa, anaknya itu tidak pernah terlibat dengan kejadian jenayah.
“Dia pergi bekerja di kilang kayu di Gua Musang selepas raya haji tahun lepas dan sejak itu langsung tak balik-balik,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gual Tok Deh, dekat sini semalam.
NEGARA
Tiga sahabat mati ditikam
|
|
ALOR GAJAH - Tiga rakan maut selepas ditikam dalam satu pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di tepi jalan Kampung Solok Binjai, Pengkalan Balak di sini malam kelmarin.
Mayat Lan Ee Shen, 20, Chong Sang Keong, 17, dan Tai Chi Yong, 18, ditemui di tempat kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka di Taman Mengkuang di sini kira-kira pukul 10.45 malam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pada mulanya, polis mendapat maklumat mengatakan berlaku kemalangan jalan raya di situ.
"Anggota polis kemudian menemui tiga lelaki terbaring di tempat kejadian dan selepas pemeriksaan dibuat terdapat kesan tikaman pada ketiga-tiga mangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ghee Lye berkata, ketiga-tiga mangsa dikatakan bergaduh dengan sekumpulan suspek sebelum mereka ditikam berdasarkan beberapa saksi yang mendengar bunyi seperti orang bertengkar di kawasan itu.
TERKINI
Polis cari Ah Hon bantu siasatan 3 sahabat mati
23/01/2011 8:30pm
MELAKA - Polis Melaka kini menjejaki seorang remaja, Lee Jun Hon @ Ah Hon, 17, bagi membantu siasatan kes tiga sahabat yang ditemui mati dengan kesan tikaman dan tetakan di badan di Kampung Solok, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, pada Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, remaja lelaki itu yang berasal dari Lubok Cina di sini, adalah sumber penting dalam siasatan kes tersebut.
Justeru polis meminta mereka yang mengenali atau mengetahui sebarang maklumat mengenai Lee agar tampil membantu, katanya kepada pemberita, di sini hari ini. - Bernama
NEGARA
Anak anggota polis tidak tahu bapa koma
KUALA LUMPUR - "Saya terpaksa beritahu anak saya bahawa ayahnya keluar bekerja untuk mencari rezeki."
Demikian menurut Hazina Hamid Sultan (gambar), 29, isteri kepada seorang pegawai polis, Inspektor Shukri Hat, 30, yang koma selepas terbabit dalam kemalangan ketika cuba mengejar pengedar dadah minggu lalu.
Katanya, dia terpaksa merahsiakan keadaan suaminya daripada anak sulung, Luqman Nul Hakim, 3, yang sering bertanya mengapa ayahnya tidak pulang ke rumah.
"Saya pernah beritahu ayah kemalangan tetapi dia masih kecil dan tidak faham semua itu," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini semalam.
Pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak yang berusia 10 bulan.
Hazina berkata, suaminya sudah menunjukkan perubahan positif meskipun masih belum sedar daripada koma.
Kosmo! pada 18 Januari lalu melaporkan Shukri cedera di kepala apabila motosikalnya merempuh sebatang tiang lampu ketika hendak mengejar dua suspek kes dadah di Jalan Tun Sambanthan.
NEGARA
Tukang masak cedera disambar api tong gas
KUALA LUMPUR - Seorang tukang masak cedera apabila disambar api ketika memasak di dapur sebuah restoran dekat Pusat Penjaja Wangsa Maju, Seksyen 2 di sini semalam.Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa, Geo Ming Pek, 62, mengalami kecederaan ringan di tangan dan kakinya.
Penolong Pengusaha Balai Bomba Maharajalela, Mohd. Firdaus Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.40 petang lalu bergegas ke tempat kejadian.
"Kami dimaklumkan tong gas yang bocor tiba-tiba menghasilkan api kecil lalu menyambar tangan serta kaki mangsa.
"Mangsa telah dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut," katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Firdaus, siasatan awal mendapati kemalangan kecil itu berlaku disebabkan bahagian injap keselamatan pada tong itu tidak berfungsi dengan baik sehingga mengakibatkan kebocoran gas.
NEGARA
Ibu mahu pembunuh Nor Dania Qistina dikenakan hukuman setimpal
JOHOR BAHRU - "Selagi tidak dijatuhkan hukuman setimpal selagi itu saya tidak puas hati."Demikian luahan Nur Aquilla Razali, 27, ibu kepada kanak-kanak, Nor Dania Qistina Norafizan, 3, yang maut akibat didera pada 9 Januari lalu.
Katanya, dia percaya pihak berkuasa dapat melaksanakan hukuman yang sewajarnya terhadap mereka yang menyebabkan kematian anak perempuannya itu.
"Saya yakin undang-undang akan menghukum mereka yang bersalah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan suami wanita itu, Norafizan Ludin, 30, dan isteri mudanya, Dewi Nadia Alias, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan membunuh dan mendera Nor Dania Qistina.
Kedua-duanya turut dituduh mendera kakak dan adik mangsa, iaitu Nor Dania Batrisha, 5, dan Danish Irsyad, 1.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Nur Dania Qistina disahkan mati akibat didera pada 9 Januari lalu dengan 73 kesan lebam di tubuhnya serta berapa organ dalaman rosak teruk dipercayai dipukul dengan objek keras.
TERKINI
Getah: Pekebun bina pondok, khemah elak hasil dicuri
23/01/2011 5:58pm
TEMERLOH - Harga getah yang tinggi memaksa penduduk beberapa kampung di daerah ini membina pondok dan khemah untuk bermalam di kebun masing-masing bagi mengelak hasil getah dicuri.
Kegiatan mencuri getah semakin berleluasa bukan sahaja pada waktu malam malah pada tengah hari sejak harga komoditi itu meningkat.
Ketua Kampung Kelibang, Kerdau, Mat Amit Jainal berkata, pekebun terpaksa bersengkang mata dan berkawal menjaga kebun di pondok dan khemah yang didirikan mereka untuk mengatasi masalah itu.
Beliau berkata lebih 10 kejadian kecurian telah dilaporkan berlaku di sekitar kampungnya dalam tempoh 15 hari lepas.
"Sejak tindakan berjaga-jaga dan berkawal dilakukan pekebun dengan kerjasama Rela, kegiatan mencuri getah kini agak berkurangan,” katanya. - Bernama
DUNIA
Ombak ganjil ragut satu nyawa
SYDNEY - Satu ombak besar yang ganjil melanda pantai Stanwell Park menyebabkan seorang maut dan seorang lagi kritikal manakala puluhan lagi terpaksa mendapatkan rawatan, lapor sebuah akhbar semalam.Semasa kejadian, 50 orang sedang berenang dan apabila ombak itu melanda, ia menghanyutkan puluhan orang ke dalam laut kelmarin.
Tiga anggota pangawal pantai yang sedang bertugas bergegas menyelamatkan orang ramai yang dihanyutkan ombak itu.
Seorang lelaki berumur 63 tahun mati selepas anggota paramedik gagal untuk membantunya bernafas di tempat kejadian. - Agensi
DUNIA
Wanita lumpuh selepas kena 'ciuman cinta' di leher
AUCKLAND - Seorang wanita berusia 44 tahun lumpuh buat seketika selepas dia dicium pasangannya di bahagian leher, lapor sebuah akhbar semalam.Dia lumpuh di bahagian lengan kiri semasa menonton televisyen.
Doktor-doktor yang memeriksanya bingung mengenai punca dia diserang strok sehinggalah mereka mendapati terdapat tanda ciuman cinta di bahagian lehernya sekali gus meleraikan misteri serangan strok itu.
Wanita itu kemudian memberitahu doktor bahawa dia dicium beberapa hari sebelum diserang strok.
Seorang doktor, Teddy Wu dari Hospital Middlemore di Auckland berkata: "Disebabkan ia merupakan ciuman cinta, terdapat sedutan yang kuat.
Menurutnya, terdapat darah beku di dalam arteri di tempat sedutan itu dibuat.
Dia berkata, darah beku tersebut tidak dapat bergerak menyebabkan strok itu berlaku. Wanita itu pulih selepas dirawat dengan ubat antibekuan. - Agensi
No comments:
Post a Comment