Kelahiran bayi tidak sah taraf pada tahap kronik
Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu, kadar tertinggi dicatatkan pada Mei dengan 72 kelahiran dan September 60 kelahiran yang dikaitkan dengan kemunculan ‘produk’ yang dibuat sembilan bulan sebelum itu iaitu pada Ogos dan Disember.
Hasil kelahiran dicatatkan dua bulan itu juga dikaitkan sebagai ‘musim mengawan’ pasangan muda-mudi yang berpesta seks tanpa ikatan sah pada malam sambutan hari kemerdekaan dan tahun baru.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad berkata, jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan warganegara dan bukan warganegara.
“Angka ini begitu menggerunkan dan menunjukkan penyakit masyarakat yang membimbangkan semua pihak. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan daripada ibu beragama Islam.
“Jadi kita minta kerjasama agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain bersama membanteras pergaulan bebas muda-mudi bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah maksiat dan menghasilkan anak luar nikah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di pejabat JPN Terengganu, di sini, semalam.
Pada majlis itu, lima orang menerima sijil warganegara mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan lapan lagi mengikut Perkara 19(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan lapan berasal dari Kemboja serta masing-masing satu dari Indonesia dan India.
DUNIA
Jejak kedua UFO ditemui di Yogyakarta
YOGYAKARTA, Indonesia - Belum reda kekecohan mengenai bulatan tanaman yang dipercayai jejak objek terbang tidak dikenali (UFO) di Sleman, kelmarin, warga Yogyakarta kembali digemparkan dengan penemuan satu lagi bulatan misteri, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Bulatan misteri kedua itu bercorak geometri yang baru itu ditemui di Dusun Wanujoyo Kidul, Desa Srimartani Kecamatan Piyungan, Kabupaten Bantul, Yogyakarta.
Ia terletak lima kilometer dari bentuk bulatan pertama yang ditemui di sawah padi di Sleman tetapi ukurannya pula lebih kecil.
"Saya sedang mencari rumput, saya lihat banyak padi yang landai dan membentuk bulatan," kata seorang pemuda Harjono, yang menemui corak bulatan misteri itu.
Ia dipercayai terbentuk lebih lima hari berdasarkan sebahagian padi yang rebah sudah mula tegak berdiri.
Lebih menghairankan, padi yang rebah itu juga tidak patah.
Menurut seorang penduduk tempatan Tukijo, 53, yang tinggal dalam jarak sekitar 100 meter dari tempat corak aneh itu ditemui, dia tidak mendengar bunyi suara atau melihat cahaya sebelum lingkaran itu ditemui.
"Tiada sebarang tanda-tanda ganjil sebelum bentuk bulatan itu ditemui," katanya.
Kawasan itu kini dipagari dengan garisan polis bagi mengelak dipijak oleh orang ramai yang berpusu-pusu tiba kerana mahu melihat fenomena tersebut.
Sementara itu, beribu-ribu orang membanjiri daerah Sleman semalam semata-mata untuk melihat sendiri bulatan misteri yang pertama.
Bulatan itu memiliki corak seperti bunga dengan luas sekitar 70 meter.
Ia kini menjadi tumpuan orang ramai sehingga polis terpaksa memagari kawasan itu dengan menggunakan pita berwarna kuning bagi menghalang bulatan itu dipijak oleh orang ramai.
Beberapa penduduk kampung di Sleman pula mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran kepada orang luar yang datang untuk melihat bentuk misteri itu.
Ketua kampung Jogotirto tempat corak aneh itu ditemui, Guntur Purwanto berkata, bulatan itu muncul di tengah-tengah sawah bendang pada Ahad lalu.
Antara yang hadir semalam dan turut memberikan pendapat mengenai bentuk itu ialah beberapa pegawai dari agensi angkasa lepas Indonesia, ahli-ahli astronomi dan pegawai-pegawai agensi nuklear.
Kesemua mereka bagaimanapun, bersetuju bentuk misteri itu bukan disebabkan UFO. - Agensi
Nora Danish lega
Oleh Muhd Izawan Baharin dan Riduan Abd Rahman
“Saya nafikan gosip yang mengaitkan percutian saya dengan keluarga Jejai di Jepun sebagai punca perpisahan mereka sedangkan hubungan sudah putus dua bulan sebelum itu,” katanya.
Nora atau nama sebenar, Nora Danish Mohd Hanif, 29, berkata dia perlu bertegas dalam perkara itu kerana tidak mahu namanya dikaitkan lagi.
“Saya tidak mahu orang salah faham dan mengaitkan saya dalam perkara itu. Saya kena bertegas kerana sampai bila-bila pun saya akan dikaitkan dengan perkara ini,” katanya
Nora berkata, sebelum ini dia sedih kerana sering dikatakan masuk campur dalam hubungan Jejai atau Rizal Ashram Ramli, 34, dengan Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 27.
“Saya sedar ada spekulasi yang sering mengaitkan nama saya kononnya mengganggu hubungan mereka.
“Walaupun gosip itu tidak menyebut nama, saya sedar ia ditujukan kepada saya tetapi saya cuma diam dan membiarkan masa menentukan. Sekarang sudah jelas dan terjawab,” katanya yang dihubungi, semalam.
Menurutnya, dia tidak ada hak untuk masuk campur dalam urusan perhubungan Jejai dengan Fasha kerana mereka bukan lagi suami isteri.
“Kami sudah lama bercerai dan kalau satu hari nanti mereka ditakdirkan berkahwin pun saya tidak ada sebarang masalah.
“Saya sendiri mengaku sedang mengenali seseorang ketika ini seperti yang Jejai katakan dalam akhbar hari ini (semalam),” katanya.
Nora berkata, sebelum mereka bercuti di Jepun pada 30 Disember lalu, Jejai ada menceritakan kepadanya hubungannya dengan Fasha sudah dua bulan berakhir.
“Saya cuma mendengar saja kerana saya tidak mahu mengambil tahu tetapi bersyukur kerana Jejai memberi kenyataan tidak mengaitkan saya dan saya tidak tahu mengenai kenyataan itu sehinggalah membacanya di akhbar.
“Sebelum ini saya sedih kerana ada sesetengah orang hanya mendengar pandangan sebelah pihak saja dan membuat spekulasi sendiri tanpa meminta penjelasan saya,” katanya.
Mengenai kenyataan Fasha, Jejai masih menghubunginya dan menghantar SMS sepanjang ahli perniagaan itu bercuti, Nora berkata, dia tidak tahu apa-apa.
“Mereka sudah putus dua bulan sebelum kami pergi Jepun, kalau Jejai hantar pun mungkin sebagai kawan yang bertanya khabar.
“Selepas hampir tiga tahun bercerai, ini kali pertama saya mengikut keluarga bekas suami bercuti,” katanya.
DUNIA
Jet Li jadi warga Singapura
|
|
SINGAPURA - Bintang kung fu kelahiran Beijing, China yang terkenal, Jet Li semalam mengesahkan bahawa dia telah menjadi warganegara Singapura.
Li mengambil keputusan untuk menetap di Singapura kerana aspek keselamatan dan sistem pendidikan negara itu yang memberi penekanan terhadap pengajaran Bahasa Inggeris dan Mandarin kepada para pelajarnya.
Menurut Li, dia mahu anak-anaknya menerima pendidikan bahasa Inggeris dan Cina di negara tersebut.
Li yang membintangi banyak filem Hollywood termasuk The Expendables dan The Mummy: Tomb of the Dragon Em peror menyatakan keputusannya itu turut dipengaruhi oleh ketiadaan paparazi di negara itu.
"Anak-anak saya akan menerima pendidikan dua bahasa yang baik selain kestabilan sosial negara ini.
"Mereka (anak-anaknya) juga tidak akan diganggu oleh para wartawan," kata Li dalam bahasa Mandarin.
Li yang berada di Singapura untuk menyertai persidangan dermawan menyatakan rasa terkejut ekoran minat orang ramai berhubung penghijrahannya dari Amerika Syarikat (AS) ke Singapura.
"Melucukan kerana saya telah memegang pasport AS dan tinggal di sana selama 20 tahun, tiada siapa yang bercakap mengenainya. Sekarang, bila saya datang ke Singapura, semua orang ingin tahu kenapa saya datang ke sini," katanya.
Terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa bintang filem itu membeli sebuah rumah berharga AS$14 juta (RM42.7 juta) di Singapura.
Li tidak menyatakan sama ada dia menggugurkan ke rakyatan AS dan China tetapi undang-undang Singapura membenarkan rakyatnya memiliki dua kerakyatan.
Li mengikut jejak langkah aktres popular China, Gong Li yang menjadi warganegara Singapura pada 2008. - AFP
DUNIA
'Raja Kasino' kecewa dengan keluarga
|
|
HONG KONG - 'Raja kasino' berusia 89 tahun yang menukarkan Pulau Macau yang mundur menjadi ibu kota perjudian Asia, Stanley Ho semalam mendakwa keluarganya sebagai 'penyamun' berhubung pertikaian kekayaannya yang berjumlah AS$3 bilion (RM9.1 bilion).
Seorang peguam Ho berkata, anggota-anggota keluarga 'raja kasino' itu terdiri daripada 17 orang anak yang dilahirkan oleh empat isterinya telah menyalahgunakan syarikat miliknya untuk kepentingan peribadi dan dia kini kecewa dengan perbuatan mereka.
"Mereka (anggota keluarganya) diberikan 48 jam untuk menyelesaikan isu pembahagian harta itu atau kami akan memulakan tindakan di Mahkamah Tinggi Macau bagi memastikan empayar yang dibina selama lebih empat dekad oleh Ho tidak akan dibahagi-bahagikan," kata peguam raja kasino berkenaan, Gordon Oldham.
Bagaimanapun, anggota-anggota keluarga 'raja kasino' itu membalas dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa Ho sendiri yang bersetuju untuk membahagikan empayar perjudian miliknya, SJM Holding secara sama rata kepada mereka.
Anggota-anggota keluarga itu mengugut untuk menyaman peguam Ho jika perkara itu dibawa ke mahkamah.
Sepanjang hidupnya, raja kasino itu kerap dicemari kontroversi.
Ho yang sebelum ini terkenal kerana menjalani kehidupan sebagai kaki perempuan, terlantar di hospital sejak pertengahan tahun 2009 kerana masalah kesihatan yang tidak dapat dipastikan.
Namun, beberapa laporan menyatakan, dia mengalami kecederaan otak selepas terjatuh di rumahnya.
Ho mula memperolehi kekayaan dengan menyeludup barang mewah ke Macau dari tanah besar China ketika Perang Dunia Kedua.
Dia kemudian berulang kali menafikan terbabit dalam kumpulan-kumpulan penjenayah di Macau.
Macau yang sebelum ini tanah jajahan Portugal dikembalikan kepada China pada 1999 dengan pulau itu merupakan satu-satunya lokasi perjudian kasino di China.
Pada tahun lalu sahaja, Macau mengaut pendapatan AS$23.5 bilion (RM71.7 bilion) hasil aktiviti perjudian, empat kali ganda lebih tinggi berbanding kota judi Amerika Syarikat (AS), Las Vegas.
Ho menikmati monopoli industri kasino di Macau dari tahun 1960-an hingga 2002 namun selepas itu, pentadbiran tempatan memberikan lesen kasino kepada beberapa syarikat lain termasuk dari Las Vegas. - Agensi
DUNIA
PM Itali lepas kemarahan
|
|
ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang dihantui dengan dakwaan media mengenai parti seks dan pelacur melepaskan kemarahannya dalam sebuah rancangan televisyen yang disiarkan secara langsung.
Berlusconi menghubungi program Infidele yang membincangkan kehidupan seksnya kelmarin secara langsung di televisyen.
Pertikaman lidah bermula apabila Berlusconi, 74, mengutuk program itu sebagai menjijikkan, berasaskan kepada penipuan dan dikendalikan oleh hos yang keji, teruk serta memualkan.
Ketika Berlusconi meneruskan caciannya, hos itu memanggilnya sebagai seorang yang biadab dan menasihatkan perdana menteri itu supaya menyerahkan diri kepada mahkamah dan bukannya melepaskan kemarahan di televisyen.
Berlusconi didakwa menganjurkan parti-parti seks, menyimpan pelacur di apartmen mewah dan membayar wang untuk mendapatkan khidmat seks daripada seorang pelacur bawah umur bernama Ruby atau nama sebenarnya Karima El Mahroug.
Ketika hampir separuh rakyat Itali mahu beliau meletakkan jawatan, satu kaji selidik yang dijalankan oleh akhbar Corriere della Sera pada Ahad lalu menunjukkan sokongan terhadap parti Rakyat Bebas (PDL) pimpinan Berlusconi meningkat dalam bulan lalu.
- AFP
Jutawan rugi RM4.67 juta dalam tempoh beberapa jam
|
|
NEWCASTLE - Jutawan yang juga pemilik kelab bola sepak Newcastle United, Mike Ashley rugi hampir £1 juta (RM4.8 juta) dalam masa beberapa jam, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Sebuah akhbar Britain melaporkan Ashley, 47, kerugian besar gara-gara berjudi buah dadu di sebuah kasino tempatan.
Insiden memalukan itu berlaku baru-baru ini ketika dia keluar bersuka ria dengan ditemani pengurus kelab bola sepak liga perdana Inggeris itu, Alan Pardew.
"Dia (Ashley) bertaruh besar, sehingga beribu-ribu dan kadangkala mencecah puluhan ribu di meja judi dadu itu," kata seorang saksi.
"Mereka meninggalkan kasino itu sekitar pukul 4 pagi waktu tempatan dan ketika itu, Ashley telah kerugian £970,000 (RM4.67 juta) tetapi dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kecewa," tambahnya.
Ashley yang merupakan seorang usahawan produk sukan dilaporkan memiliki kekayaan mencecah £700 juta (RM3.3 bilion). - Agensi
No comments:
Post a Comment