Kisah penggemar reptilia
APABILA seekor iguana sepanjang kira-kira satu meter dan berwarna oren yang dikeluarkan dari sangkar besinya mencengkam lengan Azlan Ahmad, 34, wajah lelaki itu kelihatan tenang, tidak gentar meskipun sedar haiwan itu bersifat agresif.
Itu bukanlah pengalaman pertamanya memangku haiwan reptilia itu. Iguana tersebut yang dinamakan Big sudah menjadi haiwan peliharaan Azlan sejak sembilan tahun lalu. Kini Big berusia 11 tahun.
Menurut Azlan, Big diberikan seorang kenalannya sekitar tahun 2002 sebagai hadiah dan ia menjadi haiwan peliharaan pertamanya daripada kumpulan reptilia.
"Big asalnya berwarna kehijauan tetapi berubah warna apabila semakin dewasa. Ia juga tidak pernah mengawan kerana saya tidak mahu ia tercedera kerana iguana sangat agresif ketika mengawan sehingga boleh merosakkan struktur kulitnya," katanya.
Pengarah JMZ Exotic Pets Supplies itu memberitahu, dia mempunyai 35 ekor koleksi iguana tetapi tidak semuanya dijual. Empat ekor digunakan untuk membiak, empat ekor lagi untuk tujuan pameran, manakala bakinya untuk dijual.
"Ramai pelanggan yang belum pernah memelihara haiwan eksotik memilih iguana sebagai haiwan peliharaan pertama mereka. Ia mudah dijaga kerana iguana hanya makan buah-buahan dan sayur-sayuran kecuali bayam yang boleh menyebabkan kanser kepada iguana.
"Buah yang paling digemari iguana adalah pisang. Sekiranya Big dilepaskan dari sangkar ia akan mengejar orang yang memegang buah pisang," katanya.
Untuk mengendalikan seekor iguana bukanlah sukar. Azlan memberitahu, iguana tidak akan mencederakan manusia sekiranya ia dijaga dengan baik dan tidak dikasari.
|
|
Tidak kenal tuan
"Apabila kita sering membelainya terutama mengusap kepalanya, ia akan rasa selamat dan tidak terancam. Cara sebegini juga dapat menghilangkan fobia mereka yang tidak berpengalaman membela iguana.
"Bagaimanapun, seperti iguana, mana-mana haiwan reptilia tidak mengenal tuannya. Ia hanya rasa selesa dalam persekitaran manusia tetapi masih akan bersikap lebih agresif ketika musim mengawan," jelasnya.
Selain iguana, koleksi spesies cicak yang dimilikinya ialah bearded dragon, savana monitor lizard, blue tounge skink, tegu, tokay gecko dan buaya.
"Iguana mempunyai jangka hayat lebih panjang iaitu lebih 20 tahun manakala spesies lain seperti tokay gecko dan bearded dragon mempunyai jangka hayat lebih pendek iaitu kurang 20 tahun.
"Dua ekor buaya yang saya miliki baru berusia sekitar tiga tahun dan ia boleh membesar sehingga empat ke lima meter apabila dewasa," katanya yang tidak gentar memegang haiwan pemangsa itu untuk dirakam jurugambar.
Biarpun mempunyai hobi yang dianggap pelik bagi sesetengah orang, Azlan memberitahu, minatnya itu tidak dikongsi dengan anak-anaknya, Aqeel Arfan, 8, dan Nursyafiqah, 6. Bahkan mereka tidak selesa untuk memangku iguana sepertinya.
"Saya pernah membawa anak-anak saya ke sini tetapi mereka hanya menyentuh sedikit sahaja dan tidak menunjukkan minat untuk memelihara mana-mana haiwan eksotik di sini," katanya.
Dalam pada itu, turut berkongsi minat sama, bekas pengacara program Quickie 8TV, Rina Omar, 28, mengaku berasa takut dengan kumpulan haiwan reptilia sehinggalah berpeluang membelai seekor ular buat kali pertama enam tahun lalu.
"Saya tidak ingat di mana tetapi ketika itu saya dan kru penggambaran berada di sebuah kawasan ladang kelapa sawit dan ketika itu ada seekor ular sawa terperangkap di dalam jaring.
"Saya lihat ular itu meronta-ronta membuatkan saya lebih takut dengan haiwan reptilia. Tetapi, apabila ia sudah dilepaskan dan berada dalam keadaan tenang, saya memberanikan diri membelai kulitnya dan pengalaman itu melahirkan satu perasaan yang mengasyikkan," katanya.
Rina memberitahu, sejak peristiwa itu dia tidak lagi berasa takut dengan haiwan reptilia itu malah sejak tahun lalu, dia menyertai True Discovery Sdn. Bhd. sebagai pengurus operasi.
True Discovery ialah satu kumpulan kecil yang mengumpulkan koleksi haiwan eksotik yang mengediakan perkhidmatan menyewa haiwan berkenaan dan menjalankan bengkel pendidikan dan pameran haiwan eksotik.
"Saya memang cintakan haiwan sejak kecil tetapi bukan reptilia. Bagaimanapun semuanya berubah dan saya kini menumpukan usaha memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai haiwan eksotik seperti ular, cicak, kura-kura, katak, tarantula dan kala jengking.
"Di True Discovery Sdn. Bhd., kami mempunyai koleksi kira-kira 185 ekor reptilia yang terdiri daripada kira-kira 70 spesies dari dalam dan luar negara," katanya.
Katanya, secara keseluruhan koleksi haiwan daripada kumpulan reptilia, amfibia dan arthropoda yang dikumpul ialah kira-kira 240 spesimen yang terdiri daripada 90 spesies.
Sementara itu, Rina memberitahu, antara spesies cicak yang dikendalikannya di True Discovery Sdn. Bhd. ialah iguana, bearded dragon, tokay, tokay gecko, tropical girdled lizard dan sebagainya.
"Iguana yang paling tua di sini berusia 15 tahun," katanya.
Menurut Rina, dia mempunyai pengalaman buruk ketika mula-mula mengenali iguana. Bentuk fizikal dan lengannya yang kecil menyebabkan iguana yang berpaut pada tangannya berasa tidak selamat dan telah melibas badannya.
"Libasan ekor iguana memang menyakitkan tetapi ia mengajar saya mengenali karakter haiwan tersebut dan lebih berhati-hati ketika mengendalikannya," ujar Rina.
Santuari haiwan eksotik
Haiwan itu juga boleh mengenali bunyi dan mempunyai pandangan mata yang tajam.
"Saya sentiasa membuat kajian mengenai haiwan-haiwan di sini dan berkongsi maklumat dengan pakar-pakar haiwan eksotik melalui Internet atau melalui Jabatan Perhilitan dan Jabatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Pengetahuan ini penting kerana saya memikul tanggungjawab penting bagi mendidik masyarakat terutama kanak-kanak mengenai haiwan eksotik," katanya.
Mempunyai pelan jangka panjang, Rina memberitahu True Discovery Sdn. Bhd. akan membuka sebuah santuari haiwan eksotik di Bangi di atas tanah seluas 1.6 hektar.
"Kami mempunyai impian untuk melihat lebih banyak ilmu pengetahuan mengenai haiwan-haiwan eksotik ini dikongsi oleh kumpulan masyarakat yang lebih besar.
"Kerajaan telah menunjukkan minat untuk memberi bantuan tetapi mereka mahu melihat usaha kami ini menjadi kenyataan. Justeru, kami berharap ramai pelabur akan menyertai kami," katanya.
Santuari berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pameran, tetapi lebih kepada pusat pendidikan dan kajian yang mengumpulkan pakar-pakar dan saintis yang dapat bekerjasama menghasilkan kajian-kajian baru seperti antibisa ular.
"Sehingga kini, antibisa ular yang kita miliki adalah diimport dari luar. Saya melihat potensi UPM dalam menjalankan kajian-kajian ini," katanya.
Dalam pada itu katanya, True Discovery Sdn. Bhd. akan berpindah ke I-City Shah Alam bermula Februari depan.
"Kami menggunakan sebanyak enam lot kedai untuk dijadikan rumah sementara haiwan-haiwan koleksi kami sebelum santuari itu siap sepenuhnya tahun depan," katanya.
Untuk maklumat lanjut layari laman web www.truediscovery.com.my.
No comments:
Post a Comment