Monday, October 31, 2011

BAGAIMANA MANUSIA HIDUP DIDUNIA YANG TAK KENAL PENCIPTA@ALLAH...HUKUM HAKAM LANGGAR SEMACAM...TAK REDA TAKDIR ...HUKUM ALLAH DLL...

Teknik gimnastik dominasi pasukan sorak wanita



AFP
ANGGOTA-ANGGOTA pasukan sorak Miami Dolphins membuat persembahan dalam pertandingan bola sepak Amerika melibatkan pasukan Denver Broncos di Stadium Sun Life, Amerika Syarikat pada 23 Oktober lalu.



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Bukan setakat bergoyang dan melambai pom-pom, pasukan sorak masa kini perlu melakukan pelbagai gerakan sukar seperti melakukan lompatan balik kuang dan berdiri terbalik untuk menarik perhatian penonton.
Pakar-pakar kecergasan berkata, gadis yang mahu menceburi pasukan sorak itu perlu cergas seperti seorang atlet.
Mengulas mengenai perubahan yang berlaku dalam aktiviti pasukan sorak, seorang jurulatih kecergasan di sini Stacey DelPreore berkata, tidak seperti dahulu, aktiviti tersebut kini lebih banyak menampilkan gerakan gimnastik.
"Dahulu, sukan ini lebih berteraskan tarian yang diiringi sorakan untuk menaikkan semangat pemain-pemain pasukan bola sepak Amerika," kata DelPreore.
"Namun, pasukan sorak masa kini lebih banyak menampilkan aksi gimnastik.
Aktiviti ini juga kini lebih mencabar dan atletik," tambahnya. - Reuters

Penduduk ketujuh bilion dirai


Reuters
MARINA NIKOLAEVA mendukung anaknya,
Pytor yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di sebuah pusat perubatan di Kaliningrad, Rusia semalam.



MANILA -Empat bayi yang dilahirkan di India, Filipina dan Rusia semalam dipilih sebagai simbolik penduduk dunia yang ketujuh bilion.
Pemilihan itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan jumlah penduduk dunia akan menjadi tujuh bilion semalam.
Di negeri Uttar Pradesh, seorang bayi, Nargis dipilih secara simbolik oleh Lembaga Perancangan India sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.
Pemilihan itu dibuat bagi mengetengahkan masalah pengguguran bayi perempuan di India.

AP
SETIAUSAHA Lembaga Perancangan India, Arti Kirloskar menyampaikan sijil kelahiran kepada ibu bayi Nargis yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di Mall, India semalam.


Sebanyak tujuh juta janin perempuan dianggarkan telah digugurkan kerana dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding janin lelaki.
Di Filipina, bayi seberat 2.5 kilogram yang dinamakan Danica May Camacho dililih secara simbolik sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.
Bayi itu dilahirkan dua minit selepas tengah malam kelmarin.
Kelahirannya di bilik bersalin Hospital Memorial Jose Fabella di sini mendapat liputan meluas pihak media.
"Bayi ini kelihatan sangat comel," kata ibunya, Camille Dalura sambil meriba bayi perempuannya.
"Saya tidak percaya bahawa dia ialah bayi ketujuh bilion di dunia," katanya.
Bayi berkenaan merupakan anak kedua Dalura bersama pasangannya, Florante Camacho.

AP
BAYI DANICA CAMACHO didukung oleh ibunya, Camille semasa bapa bayi itu, Florante Galura membawa kek selepas anaknya dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion dunia di Hospital Fabella, Manila semalam.


Pasangan itu bersama bayi berkenaan turut diraikan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pasangan itu turut menerima hadiah daripada penderma tempatan termasuk biasiswa pendidikan bagi bayi tersebut dan satu pakej bagi membolehkan pasangan itu memulakan perniagaan runcit.
Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bayi keenam bilion di dunia pada 1999.
Seorang bayi bernama Pyotr yang dilahirkan pada pukul 0002 semalam di pelabuhan Kaliningrad, Rusia turut dipilih secara simbolik sebagai penduduk yang ketujuh bilion.
Pemilihan itu turut disahkan oleh perwakilan PBB dalam satu majlis memberikan sijil kepada bayi berkenaan yang dilahirkan oleh ibunya, Marina Nikolaeva.
Namun, di bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, seorang bayi lelaki bernama Aleksandr didakwa sebagai penduduk ketujuh bilion kerana dia dilahirkan pada pukul 0019 pagi semalam, menurut agensi berita Interfax.
Semua majlis itu hanyalah simbolik sahaja kerana tiada kaedah statistik untuk mengesahkan bayi yang manakah di dunia yang sebenarnya penduduk ketujuh bilion dunia. - Agensi


Honduras jadi pusat seludup kokain di Amerika Selatan

TEGUCIGALPA, Honduras - Honduras kini menjadi pusat penyeludupan sekali gus laluan transit kokain paling utama di rantau Amerika Selatan.
"Honduras ialah tempat menyimpan kokain nombor satu kepada penyeludup-penyeludup sebelum dadah tersebut dibawa ke Amerika Syarikat (AS) melalui Mexico," kata seorang penguat kuasa AS.
Menurutnya, pada setiap bulan, dianggarkan 20 hingga 25 tan kokain dilambak di kawasan pedalaman Honduras yang dipenuhi hutan rimba.
Kebanyakan kokain itu katanya, tiba di Honduras melalui pengangkutan laut seperti bot laju, bot nelayan malah, ada yang diseludup dengan menggunakan kapal selam separa buatan sendiri.
Kegiatan tersebut juga sukar dibendung kerana mendapat sokongan rakyat tempatan ekoran kekurangan peluang pekerjaan di negara itu. - AP


Penduduk Bangkok marah kerana isu banjir



AFP - DUA wanita berjalan meredah banjir di Bangkok, Thailand semalam.



BANGKOK - Situasi tegang tercetus antara penduduk dengan pihak berkuasa di beberapa kawasan di sini semalam apabila beratus-ratus orang memprotes bahawa kediaman mereka dikorbankan dalam usaha kerajaan untuk mengelakkan pusat bandar raya ini daripada ditenggelami banjir.
Polis berkata, di antara 200 hingga 300 orang berhimpun kerana mahu pintu air dibuka lebih luas di daerah Khlong Sam Wa, tenggara bandar raya ini tetapi mereka dihalang oleh pihak berkuasa.
Anggota-anggota polis turut membentuk rantai manusia untuk menghalang kemaraan penunjuk perasaan.
"Pusat Operasi Bantuan Banjir (FROC) telah meminta pihak tentera menghantar askar-askar ke kawasan yang dilanda konflik.
"Pihak tentera mengerahkan 200 anggota polis tentera untuk membantu pasukan polis," kata Menteri Pertahanan, Yuthasak Sasiprapha.
Sementara itu, harapan pusat bandar raya ini terselamat daripada ditenggelami air semakin cerah selepas tembok penghadang banjir yang dibina di sepanjang Sungai Chao Phraya berjaya mengekang limpahan air bah pada minggu lalu.
Namun, pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di sini menyatakan, situasi masih kritikal di beberapa daerah yang dilanda banjir di barat dan utara bandar raya ini dengan beberapa kawasan terbabit ditenggelami air sedalam lebih satu meter. - AFP

Tiga maut serangan berani mati di Kandahar



Reuters - BEBERAPA anggota polis Afghanistan memeriksa senjata milik para penyerang selepas serangan bom berani mati dekat pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian di Kandahar semalam.



KABUL - Tiga orang awam terbunuh dalam satu serangan berani mati di bandar Kandahar, kata pihak berkuasa di Kandahar semalam.
Letupan itu berlaku berdekatan pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di sini.
"Kami menyedari letupan itu yang berlaku di rumah tetamu UNHCR pada awal pagi," kata jurucakap badan dunia, Dan McNorton.
Dalam insiden itu, tiga orang awam terkorban manakala seorang warga Nepal cedera dalam serangan itu.
Serangan itu merupakan yang terbaharu dalam rentetan serangan maut ke atas warga asing di Afghanistan.
Pada Sabtu lalu, pengebom berani mati yang menggunakan kereta telah mengorbankan 13 orang anggota tentera dan kakitangan awam yang bertugas dengan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Kabul termasuk rakyat Amerika, Britain, dan Kanada dalam satu serangan yang dahsyat ke atas pakatan tersebut sejak 10 tahun lalu di Afghanistan. - Reuters

Oh wow, ungkapan terakhir Steve Jobs


STEVE JOBS


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Kata-kata terakhir yang yang diucapkan oleh Steve Jobs sebelum pengasas bersama Apple Corp. itu menghembuskan nafas terakhir ialah "Oh wow, Oh wow, Oh wow.
Ia diucapkan oleh Jobs kepada isterinya, Laurene dan dua anak mereka yang menemaninya semasa dia terlantar di katil sebuah hospital di AS akibat komplikasi penyakit kanser pankreas.
Jobs meninggal dunia pada awal bulan lalu pada usia 56 tahun setelah sekian lama menghidap kanser.
Kata-kata terakhir pengasas bersama Apple Corp itu dipetik oleh adik perempuannya, Mona Simpson, 54, yang merupakan seorang penulis novel ketika dia menyampaikan ucapan memperingati mendiang dalam satu majlis memorial pada 16 Oktober lalu.
Kata-kata itu kemudian disiarkan dalam akhbar tempatan, New York Times kelmarin.
Menurut Simpson, Jobs ialah seorang yang berjiwa lembut dan penyayang.
"Jobs yang saya kenali amat mementingkan kasih sayang dan daripada satu sudut, dia seperti wanita kerana banyak bercakap mengenai soal cinta," katanya. - AFP

Dapat RM3.06 juta menang siri tunggang lembu jantan



SILVANO ALVES menunggang seekor lembu jantan dalam siri pertandingan akhir penunggang profesional di Las Vegas kelmarin.



LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Pemuda berusia 23 tahun dari Brazil, Silvano Alves memperoleh hadiah wang tunai AS$1 juta (RM3.06 juta) selepas menjadi juara menunggang lembu jantan dunia di Las Vegas kelmarin.
Dia merupakan peserta keempat dari Brazil memenangi gelaran dunia itu dalam tempoh enam tahun berdasarkan kutipan mata dan persembahan dalam musim penunggang lembu jantan profesional.
"Saya sebenarnya tak dapat berkata-kata. Saya amat gembira dengan keputusan. Ini adalah satu mimpi bagi setiap penunggang lembu jantan," katanya.
Alves memenangi gelaran dunia itu walaupun dia hanya menduduki tempat ketiga dalam siri terakhir pertandingan penunggang lembu jantan profesional yang diadakan di sini kelmarin.
Dalam pertandingan itu, Robson Palermo juga dari Brazil menduduki tempat pertama dan membolot hadiah wang tunai AS$250,000 (RM767,374). - Agensi

5,000 biri-biri berarak di Madrid



AFP - SEJUMLAH orang melihat sejumlah biri-biri berarak di bandar raya Madrid kelmarin.



MADRID - Kira-kira 5,000 ekor biri-biri dan 60 lembu berarak di bandar raya ini di Sepanyol kelmarin yang dikendalikan oleh sekumpulan penggembala.
Menurut Presiden satu majlis penggembala, Jesis Garzon, perarakkan itu bertujuan bagi melaksanakan hak untuk menggunakan laluan semasa penghijrahan haiwan tersebut dari kawasan tempat tinggi ke kawasan padang rumput.
Perarakan itu juga dilakukan dengan mengikut tradisi lama apabila seorang ketua penggembala membayar sejumlah duit siling yang digunakan pada abad ke-11 untuk menggunakan laluan di bandar raya ini. - AP


Menari untuk tubuh langsing

CELEBRITY Fitness membawa satu lagi pendekatan untuk mereka yang mengidamkan tubuh yang memikat.


CELEBRITY FITNESS yang mempunyai lebih 100,000 ahli di 30 cawangan di Indonesia, India termasuk Malaysia memperkenalkan cara baharu mendapatkan bentuk tubuh yang menggiurkan.
Program yang dikenali sebagai Dance N' Attitude (DNA) kata Pengarah Urusan Celebrity Fitness, Choi Kwang Ho adalah konsep senaman tarian yang membawa satu pengalaman yang menyeronokkan kepada mereka yang menyertainya.
"Inspirasi DNA datang daripada pemerhatian kehidupan seharian dan gaya senaman ini juga mengikut trend semasa," katanya pada majlis pelancaran DNA di Pusat Gimnasium Celebrity Fitness di kompleks beli-belah 1 Utama baru-baru ini.

KWANG HO (berkot) bersama empat jurulatih yang profesional dan bertauliah.


Konsep DNA menawarkan empat jenis tarian yang berbeza yang dinamakan insanity, seduce, flavor dan raw.
Keempat-empatnya meliputi gerakan tarian seperti salsa, tango, flamenco, jazz, hip hop dan banyak lagi.
Usah gusar sekiranya anda bukan seorang penari kerana jurulatih bertauliah dan mesra seperti Baby -G, Sunny dan Stefan akan melatih anda.
Kepada yang berminat, sila layari www.celebrityfitness.com atau di www.facebook.com/CelebrityFitnessMalaysia untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci. - MAZLINA ABDUL MAJID

No comments:

Post a Comment