Wednesday, November 2, 2011

BURU JANGAN TAK BURU....AKHIRAT NANTI KITA LIHAT SAPE YANG LARI.....DAN KENA BURU....

Lembu Aidiladha ada penyakit


SEBAHAGIAN daripada lembu yang dikuarantin di Padang Besar, Perlis untuk mengelak penyakit kuku dan mulut.



PADANG BESAR - Sebanyak 64 ekor lembu dari Thailand tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini setelah pihak berkuasa mengesan tanda-tanda haiwan itu menghidap penyakit kuku dan mulut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad berkata, semua lembu yang dianggarkan bernilai RM200,000 itu dibawa masuk melalui pintu sempadan di sini dua minggu lalu untuk kegunaan sempena Aidiladha.
Bercakap kepada pemberita selepas meninjau pusat kurantin kerajaan dan swasta di sini semalam, beliau berkata, kesemua ternakan itu diarah dibawa pulang ke Thailand setelah pemeriksaan oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Kurantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di pintu sempadan mendapati ia mempunyai tanda-tanda berpenyakit.
"Setiap ternakan yang diimport ke negara ini melalui pintu sempadan itu diperiksa rapi bagi memastikan hanya ternakan yang sihat dibenarkan masuk," katanya.
Beliau berkata, kesemua lembu tersebut dibawa masuk dengan empat buah lori kira-kira dua minggu lalu.
"Tindakan menghalang ini menyebabkan pengimportnya kerugian kira-kira RM200,000 tetapi ia terpaksa diambil sebagai langkah pencegahan menghindari penyakit kuku dan mulut merebak di sini," ujarnya.
Sepanjang tahun ini, jelasnya, sebanyak 13,309 ekor lembu dari negara jiran dibawa masuk melalui pintu sempadan di sini yang dianggarkan bernilai RM26.6 juta.
Seekor lembu berharga kira-kira RM2,000.
Tambahnya, lembu import wajib melalui kuarantin selama 10 hari sama ada di pusat kuarantin swasta atau di Maqis. - Bernama

Pemaju roboh rumah pusaka



INILAH rumah pusaka Ghazali Ibrahim di Kampung Sungai Nibong Kechil, George Town sebelum dirobohkan.



GEORGE TOWN – Gara-gara gagal mendapat persetujuan, enam beradik terpaksa berputih mata apabila rumah pusaka milik keluarga yang berusia 80 tahun di Kampung Sungai Nibong Kechil dekat Jalan Tun Dr. Awang di sini diroboh pemaju semalam.
Operasi meroboh dijalankan berikutan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau ke atas penghuni rumah tersebut ketika ini, Ghazali Ibrahim, 63, pada 14 Oktober lalu.
Rumah tersebut terpaksa dirobohkan kerana tanah tersebut kini diambil alih oleh Koperasi Tunas Muda Berhad untuk memajukan projek perumahan.
Rumah Ghazali paling akhir dirobohkan kerana rumah penghuni lain yang dibina di atas tanah yang sama sudah dirobohkan beberapa bulan lalu.
Peguam Koperasi Tunas Muda Berhad, Syamsul Jamil (gambar) berkata, tindakan mengusir penghuni dan meroboh rumah tersebut sepatutnya berkuat kuasa Ogos lalu tetapi ditangguhkan atas budi bicara pihak mahkamah dan pemaju.
Menurut beliau, pemilik rumah tersebut pernah ditawarkan pampasan sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah tetapi ditolak.


RUMAH pusaka Ghazali dirobohkan dengan jentolak dalam masa yang singkat.



Kosmo! difahamkan pemaju menawarkan pampasan berjumlah RM42,000 kepada Ghazali.
“Operasi hari ini (semalam) adalah mengikut perintah mahkamah dan tindakan meroboh terpaksa diteruskan,” kata Syamsul kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, adik Ghazali, Abd. Laziz, 61, berkata, dia kecewa kerana semua adik-beradik gagal mempertahankan rumah tersebut.
“Sekiranya abang saya (Ghazali) berbincang secara baik dengan pemaju, sudah tentu kami mendapat hak masing-masing (pampasan) yang setimpal.
“Sikap dia yang enggan berbincang dengan kami adik-beradik menjadikan masalah ini bertambah rumit sedangkan pemaju ada menawarkan sejumlah pampasan kepada pemilik rumah yang tanah mereka diambil,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin memberitahu, pihaknya berharap pemilik tanah dan pemaju masih dapat mempertimbangkan pampasan yang setimpal kepada keluarga tersebut.


Imam dipenjara 4 tahun, 3 sebatan

KULAIJAYA – Seorang bapa kepada dua anak yang pernah menjadi imam sebuah masjid di sini terpaksa menerima hakikat pahit menjadi penghuni tirai besi selepas Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkannya menjalani hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan kerana menggelapkan wang kutipan zakat sebanyak RM19,510 pada Ogos tahun lalu.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Redzuan Mohd. Said, 28, selepas mendengar pengakuan bersalah tertuduh di atas dakwaan tersebut.
Bapa kepada dua anak berusia dua dan empat tahun itu dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebagai amil fitrah bagi mengutip zakat fitrah dan derma anak yatim bagi kawasan bandar Kulai.
Redzuan didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang hasil kutipan sebanyak RM19,510 dengan menggunakannya untuk kegunaan peribadi di sebuah pasar raya di sini antara 16 Ogos 2010 hingga 4 September 2011.
Dia didakwa melakukan pecah amanah selepas gagal menyerahkan wang tersebut kepada Pejabat Agama Islam daerah dan MAINJ sebaik membuat kutipan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.
“Mahkamah mengambil beberapa ketetapan seperti kapasiti tertuduh sebagai amil fitrah dan pengakuan bersalahnya yang mana ia telah menjimatkan masa mahkamah. Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan,” kata Zaiton dalam penghakimannya.

Pelakon tak mengaku ambil ganja




PETALING JAYA – Pelakon komedi, Saiful Apek yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis kerana disyaki mengambil ganja di sebuah apartmen tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan tersebut.
Saiful Apek (gambar) atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengambil dadah berbahaya iaitu ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.
Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 itu dituduh mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis, jika sabit kesalahan.
Turut didakwa atas tuduhan sama ialah tiga rakan Saiful Apek, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, termasuk seorang wanita, Noremy Mohamad, 28.
Kesemua mereka turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mahkamah kemudian membenarkan empat tertuduh tersebut diikat jamin masing-masing RM2,500 dengan seorang penjamin.
Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Disember depan.
Ketiga-tiga tertuduh itu membayar wang jaminan itu.
Dalam prosiding sama, seorang lagi rakan artis itu, Mohamad Shafarul Abdul Rahim, 25, mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan berkaitan dengan dadah.
Mengikut pertuduhan pertama, Shafarul didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 0.09 gram di rumah bernombor 306, Blok C, Sunway Court Apartmen, Jalan PJS 7/13, Bandar Sunway di sini pada pukul 10 malam 12 Jun tahun lalu

JAIS buru Bob Lokman




SHAH ALAM - Bekas pengacara, penulis lirik dan pelakon, Bob Lokman (gambar) akan ditahan sekiranya dia berada di Selangor, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Hussin.
Menurut Marzuki, waran tangkap untuk menahan Bob Lokman atau nama sebenarnya, Muhammad Hakim Lokman, 47, sudah dikeluarkan Jumaat lalu selepas dia gagal hadir memberi keterangan di pejabat JAIS baru-baru ini.
Katanya, JAIS ketika ini sedang berusaha untuk mengesan lokasi sebenar Bob Lokman dan hanya menunggu masa untuk menahannya.
"Kita masih mengesan lokasi sebenar beliau dan sekiranya beliau berada di Selangor, kita akan menahannya serta-merta kerana gagal hadir membantu siasatan berhubung tindakannya menyampaikan ceramah tanpa tauliah," katanya ketika ditemui pada Seminar Hukuman Alternatif: Pelaksanaan dan Keberkesanan di sini semalam.


Wanita tuntut janji penjualan rumah


CHON BEE (kiri) menceritakan masalah yang dihadapinya berhubung penjualan sebuah rumah sambil ditemani Liew di Kuala Lumpur semalam.


AMPANG – Seorang wanita merayu kepada anak pemilik rumah yang hendak dibelinya supaya urusan penjualan sebuah rumah di Taman Miharja dekat sini diteruskan seperti mana yang dijanjikan dua tahun lalu.
Low Chon Bee, 58, mendakwa, dia telah membayar wang pendahuluan sebanyak 10 peratus berjumlah RM8,800 pada akhir tahun 2008 untuk membeli rumah berkenaan tetapi ia masih gagal dijual kepadanya atas alasan dokumen tidak lengkap.
“Saya telah bersedia untuk membayar baki harga rumah tersebut tetapi pemiliknya enggan menyerahkan rumah yang berharga RM88,000 kepada saya dengan alasan saya gagal membekalkan dokumen yang diperlukan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Gerakan Rakyat Malaysia di sini semalam.

Gitaris Hujan panik diacu pistol


MOHD. HEZRY


KUALA LUMPUR – Gitaris kumpulan Hujan, Mohd. Hezry Mohd. Hafiz atau AG, 27, mengalami saat-saat mencemaskan apabila menjadi salah seorang mangsa yang diacu pistol secara rambang oleh perompak ketika dia sedang berurusan di sebuah bank di Taman Connaught, Cheras semalam.
Mohd. Hafiz mendakwa, ketika kejadian pada pukul 2.45 petang itu, dia hendak menunaikan sekeping cek di kaunter.
“Tiba-tiba datang seorang lelaki mengacukan pistol secara rambang kepada pelanggan dan juruwang.
“Lelaki itu memaksa seorang juruwang menyerahkan sejumlah wang kepadanya,” katanya.
Selepas itu, katanya, perompak terbabit mengheret seorang tebusan dipercayai pelanggan bank keluar dari bank sebelum melarikan diri.
Gitaris itu bagaimanapun tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap tebusan tersebut kerana takut.
“Saya panik dan kejadian berlaku begitu pantas tetapi saya bersyukur kerana saya dan orang lain di bank tidak diapa-apakan,” katanya.
Katanya, ia merupakan pengalaman pertama menyaksikan kejadian rompakan di hadapan mata.
Jelasnya, dia tidak dapat melihat wajah perompak itu kerana dia memakai topi keledar penutup muka.
Selain Mohd. Hafiz, Hujan turut dianggotai Izat Huzaini, Am, Noh (vokalis) dan Dimas.
Hujan yang ditubuhkan pada tahun 2006 terkenal dengan lagu-lagu seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada sementara lagu terbaharu berjudul Muda kini disiarkan di stesen-stesen radio tempatan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian itu, suspek berjaya melarikan wang sebanyak RM25,000 tanpa mencederakan pelanggan mahupun pegawai bank tersebut.
“Suspek masuk ke dalam bank seorang diri dan bersenjatakan pistol. Dia telah mengacukan pistol ke arah pegawai bank dan meminta menyerahkan wang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Chin Wah, suspek memakai topi keledar penutup muka dan berjaya melarikan wang berkenaan dalam masa kurang lima minit.
Sementara itu, satu sumber memberitahu, siasatan awal polis percaya, suspek sama terlibat dalam kejadian samun di sebuah bank di Jalan Sungai Besi pada pukul 10.40 pagi hari yang sama.
Dalam kejadian itu, suspek yang bersenjatakan pistol berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM44,600.

No comments:

Post a Comment