Tiga sekeluarga maut kemalangan
KUALA LIPIS – Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga Aeroback dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 81, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Kubang Rusa di sini kelmarin.
Mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Nik Abdullah Nik Isa, 52, Nor Aizan Muhamad, 49, dan Siti Long, 78, yang juga ibu Nik Abdullah.
Adik Nik Abdullah, Nik Norizan, 38, pula cedera parah dan dirawat di Hospital Gua Musang, Kelantan.
Seorang lagi mangsa iaitu pemandu kenderaan pacuan empat roda mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian pada pukul 2 petang itu, kereta Proton Saga Aeroback yang dipandu Nik Abdullah dari arah Kuala Lipis ke Merapoh dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa yang sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua lelaki datang dari arah Merapoh menuju bandar Kuala Lipis menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya di sini semalam.
Pelacur menyorok atas rak barang
KUALA LUMPUR – Lima pelacur warga asing sanggup berhimpit-himpit selama sejam di atas rak menyimpan barang bagi mengelak dikesan ketika serbuan polis di pusat hiburan di Taman Puchong Mesra di sini kelmarin.
Bagaimanapun, niat untuk menyembunyikan diri itu gagal apabila mereka berjaya dikesan oleh pihak polis yang mengarahkan mereka turun dan menyerah diri.
Serbuan kira-kira pukul 11 malam itu dilakukan anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Supritendan Azman Mat Isa berkata, serbuan dibuat ke atas dua buah pusat hiburan yang terletak bersebelahan di antara satu sama lain.
Ujarnya, polis telah menahan seramai 40 wanita warga China dan 15 wanita Vietnam yang berusia antara 22 hingga 35 tahun kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pelajar untuk bekerja sebagai pelacur di pusat hiburan itu.
Tembak tak mati
KOTA BHARU – Seorang lelaki layak digelar kebal apabila masih lagi hidup walaupun terkena empat das tembakan di dada, paha, betis dan bawah pusat dalam kejadian di Kilometer 3.2 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini kelmarin.
Bagaimanapun, Mohd. Nasarul Fadli Mat Nasir, 23, yang memiliki rekod jenayah berkaitan senjata api mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api di Temerloh, Pahang pada 2009, cedera parah apabila ditembak oleh seorang lelaki pada pukul 10.40 malam.
Mangsa didatangi lelaki misteri tersebut ketika dia sedang menikmati makan malam di sebuah restoran di situ.
Menurut polis, siasatan awal mendapati perselisihan faham mengenai urus niaga dadah serta senjata api menjadi motif utama kejadian namun pihak berkuasa itu masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, Mohd. Nasarul, dari Taman SBJ Putra, Tumpat dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) oleh orang ramai selepas dia ditembak di dada, betis dan paha kiri serta bawah pusat.
Katanya, pihaknya hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas seorang anggota polis yang bertugas di HRPZ II menerima laporan tersebut.
“Kita kemudian terus menghantar sepasukan polis ke tempat kejadian untuk menyiasat. Siasatan awal mendapati mangsa diserang ketika sedang makan di sebuah restoran.
“Suspek yang tidak dikenali oleh mangsa itu kemudian terus melarikan diri sebaik melepaskan tembakan. Mangsa kini telah sedarkan diri dan kita akan mendapatkan keterangannya untuk membantu siasatan,” katanya di sini semalam.
Balasan anak derhaka
KANGAR – Seorang pemuda dipenjara lima bulan selepas tidak mampu membayar denda sebanyak RM2,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengugut ibu kandungnya sendiri.
Mohd. Hafzal Mohd. Din, 29, berasal dari Kampung Batu Bertangkup, Padang Besar didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas ibunya pada 28 Oktober lalu mengikut kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Mohd. Hafzal dikatakan cuba memukul ibunya yang sedang bersiap untuk berniaga dengan gitar kerana enggan memberikan pemuda itu wang RM250 seperti yang dimintanya.
Bagaimanapun, tindakan itu sempat dihalang oleh bapanya yang kebetulan berada di rumah ketika kejadian.
Ekoran itu, ibunya bertindak melarikan diri ke rumah jiran dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis kerana ketakutan. Mohd. Hafzal diberkas dua jam selepas insiden berkenaan.
Misteri orang minyak Bentong
BENTONG – Lebih 10,000 penduduk di 20 kampung dan taman perumahan di kawasan Ketari di sini mendakwa hidup mereka kini diganggu satu lembaga hitam seakan-akan orang minyak.
Lembaga itu dikatakan mengganggu gadis bawah umur sejak dua minggu lalu selain membuat kacau di kampung itu.
Imejnya menyerupai lelaki bertubuh kecil yang dipercayai mengamalkan ajaran ilmu hitam itu turut didakwa memecah masuk beberapa lagi rumah sekitar Ketari.
Ekoran kejadian itu, para penduduk taman perumahan dan kampung menggerakkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi mengawasi dan memburu suspek.
Salah seorang anggota SRS dari Kampung Bukit Piatu, Muhamad Zulfadzli Zulkifli, 22, mendakwa dia bersama rakan pernah terserempak dengan lembaga hitam itu beberapa hari lalu ketika melakukan rondaan.
“Kami ternampak satu lembaga hitam berada di atas bumbung salah sebuah rumah dan kami mengejar sehingga ke tepi sungai tetapi gagal apabila dia berjaya menyeberangi sungai tersebut.
“Kemudian, lembaga itu mempersendakan kami sebelum menghilang diri dalam semak apabila menyedari beberapa rakan kami cuba menyeberangi sungai untuk menangkapnya,” ceritanya di sini semalam.
Bebola kristal masih dijual
|
KUANTAN – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang berjaya menghidu taktik terbaharu sesetengah syarikat yang cuba menghabiskan stok bebola kristal atau hidrogel dengan memasukkannya bersama ke dalam produk makanan ringan kanak-kanak.
Pengarahnya, Mohd. A. Aruwan berkata, bebola kristal itu dimasukkan bersama ke dalam salah satu produk makanan yang disukai kanak-kanak sebagai barang permainan.
“Ia dimasukkan sebagai satu mekanisme jualan dan ia menunjukkan ada syarikat yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Menurut beliau, ia merupakan salah satu taktik licik dalam usaha menghabiskan stok bebola kristal yang dilarang penjualannya.
Mohd. A. Aruwan memberitahu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas kedai yang disyaki menjual produk makanan ringan terbabit untuk siasatan lanjut.
“Kita telah memeriksa tiga pemborong di sekitar Kuantan dan mengambil salah satu stok yang dibuat di Perak yang dipercayai mengandungi bebola kristal itu,” ujarnya.
Beliau menyatakan pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut ke atas produk tersebut dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Tidak Selamat) 2011 jika didapati bersalah.
“Syarikat yang bersalah boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.
“Manakala bagi individu denda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Sementara kesalahan kali kedua, individu boleh didenda RM250,000 atau enam tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Spesimen manusia di lokasi bunuh
SHAH ALAM – Sejumlah serpihan tulang yang dijumpai anggota forensik di beberapa kawasan antaranya Sungai Panchau dan Ladang Gadong antara 12 dan 14 September 2010 berkemungkinan besar adalah tulang dan gigi manusia.Perkara itu disahkan Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain pada 30 Ogos 2010 di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Nurliza semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin berkata, daripada 2,040 spesimen yang diberikan olehnya untuk dibuat ujian, hasil analisis mendapati 2,030 spesimen yang dianalisis adalah berkemungkinan besar tulang dan gigi manusia.
Menurut saksi ke-63 itu, dia telah menanda barang tersebut kepada dua bahagian iaitu S bagi spesimen yang dijumpai di sungai dan T bagi spesimen yang dijumpai di tapak.
“Saya melakukan pemeriksaan terhadap kesemua spesimen tersebut selama dua hari iaitu pada 13 September dan 16 September 2010,” katanya.
Merujuk soalan pendakwa mengapa tidak dapat disahkan seratus peratus sebagai tulang manusia, Nurliza berkata, dia hanya membuat keputusan secara subjektif berdasarkan anatomi (struktur fizikal manusia) dan morfologi (kajian) tulang berkenaan.
Bagaimanapun, pakar itu mendakwa tidak dapat menentukan jantina, umur dan ketinggian individu pada tulang-tulang tersebut.
Ditanya mengapa, Nurliza menjelaskan: “Ini kerana, spesimen yang berkemungkinan besar adalah manusia itu sangat berserpihan dan berpecahan sehingga sukar untuk dicantumkan kembali.”
Selain itu, Nurliza berkata, dia turut merujuk kepada beberapa pakar lain bagi menentukan kesahihan tulang berkenaan.
No comments:
Post a Comment