Terbayang maut
|
KOTA BHARU - "Pada mulanya saya masih boleh bertahan tetapi selepas beberapa minit, mula timbul rasa takut sampai teringat mati". Demikian cerita Wan Mohamad Syaqir Iqwan Wan Mohd. Shuhaimi, 19, yang terperangkap di dalam sebuah perigi sedalam kira-kira 12 meter selepas terjatuh ketika cuba mengait buah rambutan gading di belakang rumahnya di Kampung Kota, di sini pukul 1.50 petang semalam.
Sebelum kejadian. pelajar Kejuruteraan Marin di Akademi Laut Malaysia (Alam) di Terengganu itu memanjat perigi tersebut dan berdiri di atas penutup konkrit untuk memetik buah rambutan.
"Ayah yang minta petik buah rambutan, saya pun panjat perigi yang ditutup dengan konkrit, tetapi tiba-tiba penutupnya pecah lalu saya terjatuh ke dalam.
"Sebaik sahaja jatuh, saya tenggelam dan cuba apungkan diri dengan menahan kaki serta badan pada dinding perigi bagi mengelak lemas," katanya ketika ditemui semalam.
Bapanya, Wan Mohd. Shuhaimi Wan Mustapa, 49, yang turut berada di tempat kejadian menghulurkan getah paip untuk diikat pada badan selain menurunkan tangga sebagai satu lagi cara untuk mengelakkan anak kedua daripada tiga beradik itu tenggelam.
Isterinya, Suhaila Abdullah, 44, pula bergegas mendapatkan bantuan jiran-jiran sambil menelefon Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba lima minit kemudian.
"Saya takut dia tidak dapat bertahan lama, tangga yang dihulurkan juga tenggelam kerana perigi itu terlalu dalam," ujarnya dengan menambah, peristiwa itu sudah menjadi alasan yang cukup kuat untuk mereka menimbus perigi itu selepas ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Darulnaim, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Radi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.52 petang sebelum tiba dengan empat anggota.
"Anggota kami, Mohd. Hazam Abdul Rahman yang lengkap dengan peralatan termasuk tali penyelamat turun ke dalam perigi tersebut dan berjaya memangku mangsa untuk membawanya naik dalam tempoh lima minit.
"Operasi menyelamat tidak mengalami kesukaran berikutan mangsa mampu mengawal perasaan takut dan menjadikan kerja-kerja lebih mudah," ujarnya.
Katanya, mangsa cukup bernasib baik kerana kejadian tersebut disedari oleh ahli keluarga yang lain selain dia juga mempunyai kemahiran ketika berada di air.
"Mungkin ramai yang menganggap terjatuh dan terperangkap di dalam perigi adalah suatu yang tidak serius tetapi hakikatnya ia bahaya kerana gas yang dikeluarkan daripada tanah di dalam perigi itu mungkin beracun," jelasnya.
Bagi Mohd. Hazam, 48, ini bukan kali pertama beliau melakukan kerja-kerja menyelamat seumpama itu sepanjang tempoh khidmatnya bersama pasukan bomba sejak 25 tahun lalu.
"Sebelum ini telah melakukan kerja-kerja sebegitu cuma, kali ini ia tidak begitu sukar berikutan mangsa kelihatan tenang dan masih ada tenaga untuk bertahan" katanya.
Amil direman empat hari bantu siasatan polis
|
|
JOHOR BAHRU - Polis mendapat perintah reman selama empat hari bermula semalam terhadap bekas imam masjid di Kulaijaya di sini, Redzuan Mohd. Said bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang zakat fitrah sebanyak RM18,000 tahun lepas.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail berkata, polis akan meneruskan siasatan terhadap lelaki berusia 28 tahun itu.
Katanya, polis percaya keterangannya dapat membantu melengkapkan siasatan dalam tempoh reman dan menyerahkannya kepada pihak pendakwaraya.
"Polis akan meneruskan siasatan termasuk membuat kawad cam melibatkan beberapa orang saksi," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan bekas imam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam negeri Johor (MAIJ) itu didakwa gagal menyerahkan kutipan wang zakat sebanyak RM18,000.
Dia yang sudah berumahtangga bagaimanapun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya pagi kelmarin untuk membantu siasatan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Mangsa tembak akhirnya meninggal dunia
RANTAU PANJANG - Selepas lebih dua minggu bertarung nyawa, mangsa tembak Mohd. Anuar Mohd. Noor, 31, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) awal pagi semalam.Mangsa yang bekerja sendiri dimasukkan ke HRPZ II selepas cedera parah di pinggang kiri dan dada kanan akibat terkena tembakan rakannya dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam 12 Oktober lalu di tepi jalan berhampiran Simpang Empat Salam di sini.
Isteri mangsa, Mismaki Mat Rashid, 29, berkata, suaminya itu meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi semalam selepas 18 hari di rawat.
Menurutnya, kesihatan suaminya itu merosot sejak empat hari lalu selepas menjalani pembedahan kedua merawat ususnya yang cedera.
"Ketika dimasukkan ke hospital selepas kejadian tersebut, dia (Mohd. Anuar) sedar namun, tidak dapat bercakap kerana menggunakan alat bantuan pernafasan.
"Selepas pembedahan kedua pada 25 Oktober lalu, kesihatannya makin merosot dan dia tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia pagi tadi (semalam)," katanya ketika ditemui semalam.
Mohd. Anuar meninggalkan dua cahaya mata, Mohd. Ikram Ar-Rashid, 1, dan Mohd. Ifni Hamka, 6,
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang selepas solat Asar, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dalam satu sidang media 13 Oktober lalu memberitahu, punca kejadian tersebut adalah berkaitan masalah hutang.
Katanya, mangsa yang berasal dari Taman Wahyu dekat sini dikatakan telah bertengkar dengan seorang rakannya berusia 30 tahun lokasi kejadian sebelum ditembak.
Kawal segera penjualan asid
KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak mengambil tindakan lebih proaktif mengenai isu penjualan asid bagi membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang semakin terdorong menjadikannya senjata untuk mencederakan lebih ramai mangsa.Asid sama ada dalam bentuk serbuk atau cecair seperti cuka getah boleh dibeli oleh orang ramai di premis-premis menjual perkakasan atau kedai runcit dengan mudah serta murah.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh bimbang dengan kebebasan membeli barangan berbahaya itu walaupun selepas 10 kes mangsa simbah asid telah dilaporkan tahun ini.
"Selagi kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk mengawal, mendaftar dan menyelia transaksi penjualan bahan itu, selagi itulah kes mangsa simbah asid akan bertambah.
"Bayangkan dengan hanya RM2.50, sebotol cuka getah yang mengandungi 125ml amat mudah didapati di kedai-kedai tanpa ada sebarang pertanyaan daripada si penjual. Dengan modal itu jugalah masa depan seseorang itu boleh musnah begitu sahaja," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Sidang akhbar itu turut dihadiri dua beradik yang menjadi mangsa kes simbah asid, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10.
Mereka telah disimbah dengan cuka getah oleh jiran sendiri, Mohammad Hafiz Ismail, 31, ketika dalam perjalanan ke rumah kawan di Felda Ketumbar, Jengka, Pahang pada 19 Julai lalu.
Pada 26 Julai, tertuduh yang juga seorang buruh ladang dihukum penjara lapan tahun dan empat kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh setelah mengaku bersalah atas kejadian tersebut.
Pada sidang akhbar tersebut juga, Mohd. Khairun berkata, pihaknya telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM3,000 bagi tabung amanah kedua-dua beradik itu.
"Untuk rekod sebelum ini, tujuan perubatan dan rawatan bagi kes-kes sebegini menelan belanja sehingga RM100,000.
"Kita harap dana ini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka,'' ujarnya.
Wasiat pejuang akhirnya tertunai
IPOH - Hasrat seorang bekas Konstabel Khas (SC) yang mahu jenazahnya ditutup dengan Jalur Gemilang sebelum dikebumikan akhirnya tertunai semalam.
Allahyarham Hassan Nordin Jaafar, 87, yang meninggal dunia akibat barah pada pagi semalam pernah menyuarakan hasratnya itu dalam wasiat kepada ahli keluarganya beberapa tahun lalu.
Isterinya, Asmah Omaruddin, 65, berkata, selain wasiat, arwah juga pernah menyuarakan keinginan yang sama kepada rakan seangkatan dengannya dalam SC, Hassan Nordin.
"Arwah sebenarnya sangat berbangga kerana pernah berkhidmat sebagai SC ketika berjuang menentang komunis.
"Harapan arwah ialah Jalur Gemilang yang sentiasa disanjungnya itu akan mengiringinya sebelum disemadikan," kata Asmah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Tapah di sini semalam.
Menurutnya, arwah suaminya pernah bertugas sebagai SC sewaktu zaman pendudukan Jepun dan penjajahan British sebelum bertugas di Jabatan Kaji Bumi pada tahun 1950-an.
"Walaupun kebiasaannya Jalur Gemilang diletakkan pada keranda dilakukan kepada wira-wira negara dan orang kenamaan yang dikenali, saya harap apa yang dilakukan ini tidak lebih menyempurnakan hasrat arwah," katanya.
Jenazah Hassan Nordin yang disembahyangkan di Masjid Kampung Sungai Tapah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang di sini selepas Zuhur semalam.
Ular sawa telan rusa dibunuh
TAMAN NEGARA EVERGLADES, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pekerja di Taman Negara Everglades, negeri Florida, menangkap dan membunuh seekor ular sawa Burma sepanjang 4.87 meter.
Reptilia itu ditangkap semasa ia kekenyangan selepas menelan seekor rusa seberat 34.5 kilogram.
Penyelaras spesies eksotik Suruhanjaya Perikanan dan Hidupan Liar Florida, Scott Hardin berkata, pekerja-pekerja berkenaan menemui ular sawa betina itu pada Khamis lalu.
Menurutnya, ular itu ialah antara reptilia terbesar pernah ditemui di Florida Selatan. - Agensi
No comments:
Post a Comment