Bebola kristal disangka gula-gula
KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan terpaksa dibedah kelmarin selepas menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya di sini pada 26 Oktober lalu.
Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia setahun tujuh bulan tidak menyangka gula-gula itu sebenarnya bebola gel atau hidrogel, sejenis baja tanaman hiasan yang boleh membesar sehingga beratus kali saiz asalnya jika direndam di dalam air.
Ibunya, Siti Aisyah Yusof, 27, berkata, anak sulungnya itu dipercayai mendapat bebola tersebut daripada rakannya.
"Semasa dia masuk ke dalam rumah, saya lihat dia memasukkan beberapa butir manik sebesar kacang hijau ke dalam mulutnya," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.
Bagaimanapun, Siti Aisyah yang merupakan seorang guru memberitahu, empat hari selepas itu anaknya tiba-tiba muntah lalu terkeluar sebutir gel sebesar guli.
Bimbang keselamatan anaknya, dia mengejarkan anaknya itu ke HTAA pada pagi Ahad lalu.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Khairuddin Harun, 29, pula berkata, pada peringkat awal, doktor tidak dapat mengesan sebarang objek selepas melakukan ujian sinaran X (X-ray).
"Anak saya berterusan muntah, suhu badan pula naik mendadak sehingga 45 darjah Celsius dan pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya mengesan ada objek di dalam usus kecilnya," katanya.
Hukum pengamal ilmu hitam
GOMBAK – Kerajaan disaran menggubal undang-undang khas bagi membolehkan pengamal ilmu hitam yang terbabit atau bersubahat dalam kejadian jenayah didakwa di mahkamah.Pengarah Sekolah Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Muhyidin Ismail berkata, peruntukan yang sama juga meliputi kes-kes melibatkan kecederaan dan kematian.
“Tindakan undang-undang perlu kerana sudah banyak kes syariah atau sivil di negara ini tidak dapat pembelaan sewajarnya gara-gara wujud unsur ilmu hitam atau sihir,’’ katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah ke-12 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.
Seminar itu dirasmikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Md. Yusop Che Teh.
Menurut Muhyiddin, pada masa ini, peruntukan yang longgar di bawah undang-undang syariah atau sivil banyak menjejaskan proses pendakwaan membabitkan pengamal ilmu hitam dan sihir.
“Dahulu ada kes seseorang pancung kepala orang lain kerana disuruh oleh bomoh bagi mendapatkan nombor ekor, tapi hanya pembunuh itu didakwa tetapi bomoh itu terlepas begitu sahaja,’’ katanya yang merupakan penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung.
Beliau menegaskan, disebabkan tiada undang-undang khusus berkenaan sihir, penghakiman di mahkamah akan melihat bukti yang zahir seperti simptom secara fizikal dan mental dan pandangan pakar perubatan bertauliah.
Majikan enggan tanggung kursus amah
PUTRAJAYA - Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) menyambut baik cadangan kerajaan mewajibkan semua pembantu rumah asing kecuali dari Indonesia mengikuti kursus bahasa Malaysia selama enam bulan bagi mempertingkatkan kemahiran komunikasi antara mereka dan majikan.Presiden Papa, Jeffrey Foo berkata, selain pendedahan komunikasi dan bahasa Malaysia, pembantu rumah asing perlu didedahkan dengan tugas dan tanggungjawab yang bakal dipikul serta kekuatan mental ketika bekerja di negara ini.
Namun, katanya, kos latihan selama enam bulan itu tidak seharusnya ditanggung majikan yang sememangnya berbelanja besar untuk mendapatkan pembantu rumah asing.
Justeru Jeffrey meminta kerajaan supaya melihat cadangan itu dari semua sudut bagi memastikan tidak ada pihak yang menanggung bebanan dan tekanan.
"Kalau latihan enam bulan bermakna mereka perlu ditempatkan di satu tempat khas, perlu disediakan makanan dan minuman serta tenaga pengajar dari Malaysia.
"Siapa yang akan menanggung semua kos itu? Jadi perkara ini perlu dilihat secara komprehensif," katanya kepada Bernama semalam.
Sementara itu, Jeffrey yang menyambut baik hasrat kerajaan Kemboja menarik balik pembekuan pembantu rumah ke negara ini berkata, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah awal bagi melindungi keselamatan dan kebajikan pembantu rumah.
"Kerajaan kena kaji apa masalah sebenarnya dan mengambil tindakan terhadap majikan atau agensi sekiranya perlu.
"Bukan bila ada masalah baharu cuba nak selesaikan masalah itu. Kerajaan perlu mengambil pendekatan mencegah daripada mengubati," katanya.
Jual seekor ikan kerapu dapat untung RM16,000
IKAN GERGASI. Seorang nelayan tidak menyangka memperoleh wang sebanyak RM16,000 selepas kejayaan menangkap seekor kerapu gergasi semalam.
Ikan seberat 200 kilogram (kg) itu dipercayai ditangkap menggunakan pukat kira-kira tujuh batu nautika dari pantai Miri, Sarawak.
Kejayaan menangkap ikan itu menarik perhatian ramai termasuk seorang pemilik restoran yang membelinya pada harga RM16,000.
Spesies kerapu gergasi yang turut dipanggil sebagai kertang itu mampu membesar sehingga dua meter panjang dengan berat 400 kilogram dan mempunyai nilai pasaran mencecah RM70 sekilogram.
Penyeludup dadah tukar taktik
KUALA LUMPUR – Polis semalam mendedahkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kini menukar modus operandi dengan membawa bahan khayal itu dalam jumlah yang sedikit untuk mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, taktik yang digunakan sejak beberapa bulan lalu itu dikesan selepas pihaknya menahan pengedar dadah yang menjadikan negara ini sebagai transit sebelum berlepas ke destinasi tertentu.
Katanya, pertukaran taktik itu dipercayai berkait rapat dengan ketegasan polis memerangi kegiatan haram itu.
“Ahli sindiket hanya menyeludup purata 500 gram hingga dua kilogram dadah berbanding lebih lima kilogram sebelum ini.
“Kebanyakan mereka merupakan warga Nigeria dan Iran,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Anggota JSJN Bukit Aman di sini semalam.
Saya tidak akan beri kerjasama - Bob Lokman
KUALA LUMPUR – Bekas pengacara, penulis lirik dan pelakon, Bob Lokman menegaskan dia tidak akan memberi kerjasama kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung waran tangkap terhadapnya kerana gagal memberi keterangan kepada jabatan tersebut. Dia yang dihubungi Kosmo! semalam mendakwa, tindakan penahanannya sebelum ini melibatkan pihak UMNO sehingga waran tangkap dikeluarkan.“Saya tidak akan bekerjasama dengan JAIS yang berlindung di sebalik UMNO manakala saya pula adalah Pas. Ini adalah prinsip saya,” katanya. Kosmo! semalam melaporkan JAIS mengeluarkan waran tangkap ke atas Bob Lokman pada Jumaat lalu berikutan kegagalan beliau memberi keterangan di pejabat jabatan tersebut baru-baru ini. Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 2003 kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu.
Dia bagaimanapun dibebas dengan jaminan polis. Ditanya apa yang berlaku pada hari kejadian, Bob Lokman mendakwa, dia telah dicemuh oleh seorang anggota penguat kuasa dengan kata-kata yang tidak berasas sehingga menyinggung perasaannya. “Dia kata hampir 85 peratus ahli Pas tidak boleh membaca al-Quran,” jelasnya. Ditanya jika tindakannya itu akan menyebabkan dia ditangkap sekali lagi, katanya, dia tidak mempunyai masalah jika ditangkap. “Itu hak mereka sebab ada enakmen yang membenarkan penangkapan saya tetapi saya jauh sekali untuk memberi kerjasama,” katanya.
Jangan Keliru : Hukum Politik, Dakwah,
Muamalat & Ibadah
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Fiqh muamalat bukanlah terhad kepada hukum-hakam di dalam urusan kewangan semata-mata tetapi ia tercabang kepada seluruh urusan di antara manusia sesama mereka.
Justeru, urusan politik (siyasah), pentadbiran, nikah kahwin (munakahat), hukum jenayah, cara dakwah serta akhlak juga terkandung di dalam bab fiqh muamalat. Muamalat ini juga boleh diklasifikasikan dalam bab ‘Al-Adat’. Sheikh al-Islam Ibn Taymiah berkata :
تصرفات العباد من الأقوال والأفعال نوعان : عبادات يصلح بها دينهم وعادات يحتاجون إليها في دنياهم
Ertinya : Urusan hamba (manusia) seluruhnya sama ada perkataan dan perbuatan itu boleh diklasifikasikan kepada dua jenis : Ibadah yang baik untuk agama mereka dan hal adat yang diperlukan oleh manusia untuk urusan dunia mereka (Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah Al-Nuraniyyah, hlm 111)
APAKAH KESAN TERHADAP PEMBAHAGIAN DAN KEFAHAMAN INI?
Sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama silam dan kontemporari, urusan hukum dalam bab fiqh Ibadah adalah agak terhad dan terikat dengan dalil yang specifik (khusus) dan sebahagian dalil umum. Apapun ia mesti mempunyai dalil yang jelas. Sebagaimana kaedah yang dipersetujui oleh para ulama menyebut:-
الأصل في العبادة التوقف
Ertinya : Hukum panduan (asal) bagi urusan ibadah adalah tawaqquf (berhenti dari mencipta, mesti datang dari dalil) (Rujuk kaedah ini dalam, Ibn Hajar, Fath Al-Bari, 3/54 ; Ibn Mufleh, Al-Adab Al-Syar’iyyah, 2/265 ; Al_Zarqani, Syarah Al-Muwatta’, 1/434 ; Al-Syawkani, Naylul Awtar, 2/20)Syeikhuna Al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradawi pula mengulas lanjut berkenaan displin hukum dalam bab ibadah dengan menjelaskan ciri sesebuah ibadah khusus itu dengan dua kaedah :
ألا يعبد إلا الله
Ertinya : Tiada yang layak diabdikan diri kepadanya kecuali Allah ( ertinya niat mestilah kerana Allah)ألا يعبد إلا بما شرع
Ertinya : Tiada ibadah kecuali yang disyari’atkan ( mestilah bersumber secara specific atau umum dari nas dalil al-Quran dan hadith).Hasilnya tidak dibenarkan untuk sesiapa di kalangan manusia, mencipta apa jua bentuk ibadah baru yang tidak didasari oleh dalil. Bukan itu sahaja, malah semua ibadah itu mestilah disandarkan kepada dalil dengan cara istidlal dan istinbad yang sohih.
HUKUM MUAMALAT BERBEZA
Ibn Abidin menjelaskan beberapa aspek muamalat katanya:”muamalat boleh dibahagi kepada lima iaitu pertukaran pemilikan dalam jual beli (mu’wadah maliah), nikah kahwin, perbicaraan di mahkamah (mukhosamah), kontrak amanah (termasuk politik dan kepimpinan), dan pembahagian pusaka” ( Hashiah Ibn ‘Abidin, 1/79)
Bagi semua hukum hakam dan cara serta bentuk dalam fiqh muamalat pula, Allah s.w.t hanya meletakkan beberapa INTI sebagai asas utama yang tidak berubah (ia dinamakan thawabit), namun kebanyakan cara dan bentuk pelaksanaannya boleh berubah dengan perubahan zaman serta tempat. Namun begitu, sebarang perubahan hukum mestilah diawasi oleh para ulama berkelayakan melalui kaedah-keadah tertentu yang sukar untuk diterangkan di sini.
Displin ini penting agar kebebasan itu tidak disalahgunakan oleh sebahagian manusia yang berkepentingan. Hasil dari prinsip muamalat yang tetap dan pelaksanaan yang flexible, Islam dapat menyelesaikan pelbagai masalah kemanusian yang sentiasa berkembang dan pelbagai di setiap pelusuk dunia.
Keadahnya disebut :
الأصل في المعاملات والعادات الإلتفات إلى المعاني
Ertinya : Hukum ghalib dan asal bagi hal ehwal mu’amalat dan adat adalah kembali kepada penelitian objektifnya. ( Al-Muwafaqat, Al-Shatibi, 2/300) [1]
Keadaan itu juga menyebabkan sebahagian besar PELAKSANAAN hukum-hakam dalam bab muamalat berubah-ubah disebabkan oleh suasana dan kebiasaan setempat yang dinamakan ‘uruf. Namun mestilah ‘uruf terbabit tidak secara jelas bercanggah dengan nas dan dalil yang jelas, jika itu berlaku ia dinamakan ‘uruf fasid atau kebiasaan yang tertolak dan rosak, hukumnya haram dilakukan dan mesti dihentikan.
Justeru, perlulah kita fahami :-
1. Urusan kewangan adalah bab Fiqh al-muamalat antara manusia dengan manusia. Justeru, mewujudkan suatu kontrak jual beli yang tidak pernah wujud di zaman Nabi adalah HARUS selagi prinsip keadilan dalam jual beli dipelihara, iaitu tiada riba, tiada gharar, tiada judi, terdapatnya keredhaan kedua belah pihak dan pelbagai lagi.
Mengapa ia diharuskan walau tiada yang sedemikian di zaman baginda Nabi s.a.w? Jawabnya, kerana ia adalah satu dari isu dalam hukum Muamalat yang flexible (anjal). Kerana itu jugalah sistem bank hari ini diiktiraf oleh para ulama walau tiada wujud sepertinya di zaman Nabi, namun ia memerlukan modifikasi dari semasa ke semasa agar boleh mencapai objektif kebaikan buat masyarakat.
2. Medium pembelian iaitu matawang adalah dari bab mu’amalat. Justeru, mewujudkan matawang yang baru yang tidak pernah diguna pakai oleh Nabi juga adalah HARUS selagi syarat-syarat keadilan dipenuhi.
Jika ternyata penciptaan itu terdapat kezaliman, mestilah kezaliman itu dibanteras, dirawat dan dikurangkan semampu mungkin. Jika belum punyai kemampuan mudarat hendaklah dikurangkan sedaya mampu. Justeru keharusan penggunaan mesti dihadkan kepada situasi tertentu sahaja, seperti di ketika ekonomi umat Islam terlalu lemah seperti hari ini. Mengapa ia harus walau di zaman Nabi tiada sebegitu?, Kerana ia adalah satu isu dalam Fiqh Muamalat yang flexible(anjal).
3. Urusan pentadbiran dan urusan politik adalah satu dari bab muamalat. Justeru, menyertai protes aman (tanpa bersenjata menurut ghalib dzan yang menyertai) menuntut pemimpin yang ternyata zalim untuk turun dari jawatan adalah HARUS walau ia tidak pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w, iaitu selagi ia tidak membawa mudarat yang lebih besar pada penilaian ulama di sesuatu zaman tersebut. Ia juga bukanlah salah satu dari ciri Khawarij kerana ia bukan melawan secara bersenjata dan rusuhan yang terancang.
Lihat sahaja bagaimana Khalifah Umar al-Khattab mengendalikan urusan muamalat dalam bab politik dan pentadbiran.
Antara contoh paling kontroversi di zaman umar adalah fatwa beliau berkenaan pembahagian kawasan tanah Iraq yang dibuka oleh tentera Islam di waktu itu. Menurut parktis biasa di zaman Nabi dan selaras dengan ayat Al-Quran :
وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا غَنِمْتُم مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ لِلّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ
Ertinya : Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnusabil.. ( alAnfaal : 41)
Difahami dari ayat itu, 4/5 bakinya dibahagikan kepada tentera yang berjuang. Namun Umar al-Khattab dan sebahagian ulama di kalangan sahabat seperti Sayyiduna Ali, Muadz Ibn Jabal dan beberapa yang lain berpendapat tidak perlu dibahagikan dan membiarkannya kekal di tangan pemiliknya yang asal. Dengan syarat pemiliknya yang asal itu membayar kharaj (cukai tanah) yang boleh dimanfaatkan oleh semua umat Islam.
Ijtihad Umar selaku pemerintah ini tidak dipersetujui oleh beberapa sahabat terkemuka seperti Bilal Ibn Rabah dan lain-lainnya. Umar diriwayatkan berkata :-
لو لا آخر الناس ( أي الأجيال المستقبلة ) لقسّمتُ الأرض كما قسّم النبي صلى الله عليه وسلم خيبر
Ertinya : Jika tidak disebabkan kebaikan generasi terkemudian Islam, nescaya akan ku bahagikan tanah-tanah ini sebagaimana Nabi membahagikan tanah Khaybar (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 2/598) [2]
Ibn Qudamah kemudiannya menghuraikan, Umar r.a telah mewaqafkan tanah terbabit walau beliau tahu keputusan Nabi s.a.w. Inilah satu contoh jelas menunjukkan kaedah dalam keputusan muamalat Islam boleh berubah dengan berubahnya suasana dan keperluan. Syeikhuna Yusuf Al-Qaradawi
أن مجرد فعل النبي صلى الله عليه وسلم لشيء إنما يدلّ على المشروعية فقط ولا يدلّ بنفسه على الوجوب ولهذا وسّع عمر ومن معه مخالفته
Ertinya : Sesungguhnya semata-mata Nabi melakukan sesuatu (Dalam hal ehwal mamalat termasuk politik) ia hanyalah menunjukkan keharusan dan pensyariatannya sahaja, dan TIDAK MENUNJUKKAN kewajiban, oleh kerana itulah Umar al-Khattab dan yang bersamanya meluaskan (bentuk pelaksanaannya)” ( Madkhal Lidarasati al-Shari’ah Al-Islamiyyah, hlm 220)
Dari contoh di atas, zahir fatwanya kelihatan berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh Nabi s.a.w tetapi ia jelas menunjukkan kesamaan dari sudut target dan objektif (maqasid) iaitu untuk mencapai keadilan yang yang terbaik untuk Negara Islam, walau terpaksa sedikit mengenepikan hak individu. Bukankah sudah diketahui bahawa maslahat umum diutamakan dari maslahat individu.
Inilah tanda keputusan bersifat politik dan pentadbiran adalah satu dari isu muamalat yang Ia tidak terhad kepada sesuatu ‘bentuk’ specifik yang dilakukan oleh Nabi tetapi hanya terhad kepada inti dan objektif sahaja.
Juga seperti tindakan Nabi yang menolak permintaan sahabat untuk melaksankan limitasi harga jualan (Tas’ir) agar para peniaga tidak boleh menaikkan harga.
Kata Nabi semasa menolak permintaan itu :
بل الله يخفض ويرفع وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال
Ertinya : Bahkan, Allah yang menurun dan menaikkannya dan sesungguhnya aku berharap untuk bertemu Allah dan tiada sesiapa yang menuntut dariku kerana dizalimi dari sudut harta dan jua jiwa” ( Riwayat Abu Daud ; Sohih : Albani)
Namun kemudiannya, Imam Sa’id Musayyab, Yahya Sa’id Ansari, Imam Malik dan raai lagi ulama tabien sezaman dan yang selepasnya bersetuju ia dilaksanakan dalam suasana peniaga sengaja menyekat barangan bertujuan untuk memaksa harga naik disebabkan permintaan meningkat mendadak. Sebagai jalan menghalang kezaliman dari berlaku.
Sheikuha Prof. Dr Fathi Al-Durayni menjelaskan tas’ir diterima kemudian oleh para ulama mujtahidin tabien bagi mencapai maqasid atau objektif yang disasarkan oleh Nabi s.a.w sendiri semasa baginda menolak tas’ir. Iaitu Baginda menolak kerana tidak mahu berlaku kezaliman kepada pengguna dan peniaga. (Manahij Al-Ijtihad, Dr Fathi Ad-Durayni, hlm 159)
Ulama tabien pula membenarkan tas’ir kerana berubahnya suasana dan keperluan di ketika zaman mereka, lalu mereka menerima tasi’r. Jelas dari isu ini, objektif adalah sama cuma bentuknya berbeza.
4. Dakwah dan caranya merupakan satu cabang dari muamalat : Inti dakwah adalah tetap (thabit) iaitu membawa manusia kepada kebaikan yang digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Hadis, dan melarang manusia dari apa jua perbuatan dan keyakinan yang bertentangan dengannya.
Pun begitu, cara, teknik dan bentuk dakwah itu terbuka kepada pelbagai jenis, tidak hanya terhad kepada kaedah dan bentuk yang digunapakai oleh Nabi iaitu ceramah face to face dengan para sahabat. Justeru, bentuk dakwah dan ajak kepada kebaikan melalui tv, radio, internet, blog, kaset, cd, vcd, mp3 yang dikira tidak secara face to face juga diharuskan.
Demikian juga dakwah melalui gambar video yang tidak pernah diguna oleh Nabi, adalah dibenarkan selagi syaratnya asas dapat diikuti.
Dakwah melalui platform dan jemaah-jemaah tertentu yang mampu melakukan kerja secara berkumpulan seperti NGO juga diharuskan, walau ia tidak pernah wujud di zaman nabi juga boleh, parti politik juga boleh, melalui system demokrasi yang telah tersedia wujud dan sebagainya.
Inilah yang perlu difahami dan tidak tersilap faham bahawa kita WAJIB mengikut bentuk yang nabi gunakan di zaman baginda, sehingga perlu memasuki gua terlebih dahulu atau menolak seratus peratus sistem demokrasi yang ada sebagai jalan untuk mencapai inti dakwah, Ini adalah kurang tepat jika dilihat dari keperluan dan perubahan situasi zaman dan tempat.
Jangan pula nanti ada yang berfatwa hanya boleh menaiki unta dan kuda semasa dakwah keran aitulah yang dilakukan oleh baginda nabi dan sahabat. Fatwa sebegini tidak disebut oleh mana-mana ulama muktabar.
Hasilnya, hendaklah kita fahami mana inti yang perlu diikuti (thawabit), dan mana pula bentuk yang bersifat mutaghayyirat dan flexible. Terlalu banyak dalil dalam bab ini yang tidak sesuai untuk dimuatkan dalam tulisan ringkas ini.
KESIMPULAN
1. Hukum ghalib dalam kes-kes muamalat dan penentuan hukum dalam isu-isu baru dalam bab muamalat dan adat adalah merujuk kepada objektif. Caranya? Selagimana tidak bertembung secara qat’ie dan ijma’ dengan mana-mana hukum Shari’ah, ia adalah diharuskan. Seperti berdakwah menggunakan muzik, kartun lukisan dan sebagainya. Ia adalah bab muamalat.
2. Muamalat tidak hanya terhad kepada urusan kewangan tetapi juga seluruh urusan yang melibatkan hubungan manusia dengan manusia lain.
3. Cara dakwah, politik, teknik teguran kepada rakyat yang melakukan kesalahan atau pemerintah yang melakukan kezaliman BOLEH berubah menurut keperluan zaman dan setempat. Ia merupakan isu muamalat yang hanya terikat untuk mencapai intinya selagi teknik adalah neutral. Ia bukan Fiqh ibadah yang sangat terikat kepada dalil specifik dan nas.
Namun perlu diingati, sesuatu teknik mungkin disangkal oleh sebilangan ulama di sesuatu zaman dan disokong pula oleh sebahagian ulama yang lain, kedua-duanya berdasarkan proses timbang tara maslahat dan mudarat. Ia adalah hasil ijtihad dan tidak wajarlah kita mengutuk, melabel dan memperlekehkan mana-mana ijtihad yang dikeluarkan oleh ilmuan yang berkelayakan.
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
No comments:
Post a Comment