Harga ikan, sayur naik mendadak
|
ALOR SETAR - Harga barang keperluan harian, terutamanya barang basah, di negeri ini seperti ikan dan sayuran naik mendadak didakwa berpunca daripada banjir besar yang melanda Thailand sejak Oktober lalu.
Kebanyakan peniaga memberi alasan pemborong terpaksa menaikkan harga kerana Thailand merupakan pengeksport utama barangan berkenaan ke negara ini.
Seorang peniaga, Mohd. Zakuan Nasir, 25, berkata, dia terpaksa menaikkan harga barangan walaupun menerima rungutan daripada pembeli.
"Kerana banjir di Thailand, harga cili merah naik mendadak. Kalau dulu sekilogram cili merah kami jual antara RM8 hingga RM10 tapi bila berlaku banjir, harga itu meningkat kepada RM15 sekilogram," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam.
Harga sayur sawi di pasar berkenaan bagi setiap sekilogram adalah RM3.50 berbanding sebelum ini RM2.50, tomato RM5 (RM4), limau nipis RM5 (RM3), kacang bendi RM3 (RM1.50) dan timun RM3.50 (RM2).
Seorang lagi peniaga, Abdul Salim Sheikh Mohamand, 52, pula berkata, peniaga juga terpaksa menaikkan harga ikan kerana bekalan ikan semakin berkurangan disebabkan ketiadaan bekalan ikan dari Thailand.
"Keadaan sekarang ini sedikit gawat kerana bekalan ikan kurang, sebab itu harga naik. Kalau ikan banyak, harga akan murah," kata Abdul Salim.
Bagi harga ikan pula, bawal dijual RM6 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini, bawal hitam RM25 (RM22), jenahak RM30 (RM25), siakap RM25 (RM22) dan selayang RM8 (RM6).
Sementara itu, di Kuala Terengganu, bekalan minyak sawit di daerah ini didapati berkurangan sejak beberapa hari lalu apabila rak-rak minyak masak di beberapa buah pasar raya didapati kosong atau kalau ada pun jumlahnya terhad.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati orang ramai merungut kerana mereka terpaksa pergi ke beberapa buah kedai sebelum dapat membeli minyak masak kerana bekalannya dikatakan berkurangan sejak seminggu lalu.
Seorang kakitangan kerajaan, Fauzi Muhammad, 26, memberitahu, sejak beberapa hari lalu minyak masak di kedai runcit di kampungnya telah kehabisan menyebabkan dia terpaksa mencari bekalan itu di pasar raya.
"Tetapi saya agak hampa apabila kebanyakan pasar raya juga kehabisan stok dan beberapa buah lagi pasar raya didapati bekalannya pula terhad," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang pekerja sebuah pasar raya yang hanya dikenali sebagai Ain memberitahu, bekalan minyak peket satu kilogram sudah terputus bekalan sejak lebih seminggu lalu.
"Minyak botol lima kilogram pula sudah kehabisan semalam (kelmarin) tetapi pada hari ini (semalam) stok baharu sampai tetapi hanya sedikit," katanya.
Gajah liar ancam kampung
ROMPIN – Penduduk Orang Asli Kampung Keladan berhampiran Kampung Aur di sini kerugian besar apabila dua ekor gajah liar memusnahkan tanaman mereka kelmarin. Gajah yang dipercayai datang dari Hutan Simpan Bukit Ibam itu telah memusnahkan tanaman sara hidup seperti pisang, anak pokok kelapa sawit, getah, buluh, kelapa dan pokok pinang.
Kejadian itu menyebabkan penduduk mula bimbang dengan keselamatan nyawa mereka kerana serangan itu berlaku pada sebelah malam. Seorang penduduk, Awang Mansur, 49, berkata, dia melihat kelibat dua ekor gajah itu pada waktu malam apabila haiwan itu masuk ke kebunnya dan memusnahkan pokok getah, pinang dan pisang. Katanya, dua ekor gajah dipercayai ibu dan anak itu mengeluarkan suara yang kuat hingga mengejutkannya daripada tidur lalu mengundang rasa cemas mereka sekeluarga yang berada di rumah yang terletak 10 meter sahaja dari kebun.
“Saya sempat membakar mercun untuk menghalau gajah tersebut tetapi tidak berkesan sebaliknya haiwan itu terus mengganas dengan memusnahkan tanaman selain memakan umbut kelapa sawit dan getah,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin. Lachai Chukin, 76, pula berkata, dia tidak mengetahui punca anjing peliharaannya menyalak sejak dua malam berturut-turut sehinggalah diberitahu jirannya tentang kejadian serangan gajah itu.
“Saya ingat rumah saya dimasuki pencuri tetapi rupa-rupanya kebun saya diceroboh gajah menyebabkan pagar yang menempatkan tanaman pisang rosak,” katanya. Katanya, dia terkejut apabila melihat kesan tapak kaki dan najis gajah berselerak di dalam kebunnya pagi kelmarin hingga mengundang rasa takut kepada keluarganya setiap kali menjelang malam. “Saya mungkin akan menjadi mangsa keganasan haiwan ini jika ia tidak dipindahkan semula ke habitat asal,” katanya.
Jala Heng, 64, berkata, kampung itu pernah dimasuki kumpulan gajah pada awal tahun lalu namun tanaman mereka tidak musnah teruk seperti yang berlaku kelmarin. Katanya, penduduk percaya kumpulan gajah itu masih berada di kawasan belakang kampung berkenaan kerana sering terdengar suara gajah dan ia dipercayai keluar pada waktu malam untuk mencari makanan. “Siang mungkin gajah berkenaan akan ke hutan tetapi bila malam, ia keluar merayau-rayau ke kebun-kebun berhampiran rumah penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Aur, Nura Hamidi Mat berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) digesa supaya mengambil tindakan segera dengan memindahkan gajah-gajah liar itu ke habitat yang lebih sesuai kerana nyawa penduduk di situ terancam. Nura Hamidi berkata, penerokaan hutan di kawasan hutan simpan Bukit Ibam dipercayai menjadi punca utama gajah itu keluar dari habitat asalnnya.
Pertahankan kesatuan ummah
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam perlu terus mempertahankan kesatuan ummah yang merupakan tunjang kepada kekuatan Islam.
Perdana Menteri berkata, banyak perkara dapat dilakukan apabila kesatuan dapat diwujudkan dalam kehidupan umat Islam selain kekuatan yang ada boleh dipertahankan jika kesatuan ummah berdiri kukuh sama ada di dalam mahupun di luar negara.
"Walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, umat Islam adalah umat yang satu di mana sahaja mereka berada," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini. Perutusan itu disiarkan dalam blognya, www.1Malaysia.com.my.
Menyifatkan kesatuan ummah merupakan pengajaran terpenting yang terkandung dalam sambutan Aidiladha, Najib berkata, perintah Allah S.W.T yang mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat dengan niat yang satu dan mengucapkan ucapan talbiah, tahmid dan zikir yang sama, jelas menunjukkan umat Islam adalah umat yang bersatu.
"Ia adalah umat yang bersatu dengan menghadap satu kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu iaitu Allah S.W.T, maka sudah sewajarnya kita melahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana mengurniakan kepada kita perayaan Aidiladha dengan syariatnya yang jelas membawa mesej kesatuan umat adalah tunjang kepada kekuatan Islam," katanya.
Perdana Menteri bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sedang mengerjakan haji di tanah suci juga menyarankan agar sambutan Aidiladha dapat diraikan melalui semangat 1Malaysia yang turut memperlihatkan kepentingan nilai-nilai pengorbanan untuk agama, bangsa dan negara.
Sementara itu, di Mekah, operasi membawa jemaah haji Malaysia ke Arafah kira-kira 21 kilometer dari bandar itu tamat pada kira-kira pukul 5 pagi semalam (10 pagi waktu Malaysia) dan semua 28,000 jemaah haji Malaysia sudah berada di Arafah untuk berwukuf.
Bagi ibadah wukuf, jemaah perlu berada di Arafah paling lewat tengah hari (waktu Zuhur, pukul 12.05 waktu Mekah) dan kemudian berangkat ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib untuk mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrat di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. - Bernama
Rumah hangus menjelang Aidiladha
ALOR SETAR - Kegembiraan seorang ibu tunggal untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama adiknya di Rawang, Selangor, kira-kira 400 kilometer dari sini, berakhir apabila rumahnya di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini hangus dijilat api petang kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Maslina Wong Abdullah, 55, sibuk menyiapkan ketupat dan lemang untuk juadah Hari Raya Aidiladha di rumah adiknya di Rawang.
Menurut Maslina, dia hampir pengsan apabila diberitahu oleh salah seorang anaknya tentang kejadian itu dan terpaksa bergegas pulang ke rumah sewanya itu walaupun baru sahaja tiba di Rawang.
"Saya sedih melihat semua barang di dalam rumah hangus termasuk wang simpanan sebanyak RM1,000 dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan dalam rumah itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Ketika kejadian anaknya, Mohd. Mahadi Abdul Mutalib, 25, keluar membeli makanan di restoran berhampiran.
"Saya tidak tahu apa puncanya kerana sebelum saya bertolak ke Rawang pada malam Khanis lalu, saya telah tutup semua suis elektrik termasuk di peti ais selain tidak benarkan anak saya memasak," ujarnya lagi.
Menurut Maslina, dia kini tinggal sehelai sepinggang dan mungkin terpaksa menumpang sementara di rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari rumah sewanya itu.
"Selain rumah saya, dua buah rumah yang terletak bersebelahan rumah saya turut terbakar. Bagaimanapun ia tidak teruk kerana api sempat dikawal oleh anggota bomba," jelasnya.
Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja di sini memberitahu, pihaknya masih menyiasat kerugian dan punca kejadian kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah itu.
KPDNKK rampas bebola kristal
IPOH - Tindakan seorang pengedar cuba menyembunyikan stok bebola kristal daripada pengetahuan pihak berkuasa gagal apabila gudangnya diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di Chemor di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, pasukan penguat kuasa KPNKK negeri yang diketuai Ketua Unit Operasinya, Akram Karim Mohamad Arip berjaya merampas 2,000 papan bebola kristal yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.
Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Rosli Ahmad berkata, pemilik syarikat pengedar berkenaan yang berusia 62 tahun dan 10 orang pekerjanya berada dalam gudang itu ketika diserbu.
"Biarpun pada mulanya lelaki itu tidak mengaku kewujudan stok bebola kristal dalam gudangnya namun hasil pemeriksaan menjumpai barangan terlarang itu di celah-celah timbunan stok permainan kanak-kanak dan makanan ringan," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Rosli memberitahu, pemilik syarikat pengedar itu akhirnya mengaku mengambil stok bebola kristal itu dari China untuk diedarkan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, stok bebola kristal yang sudah dipek itu disorok sementara sebelum dipasarkan semula kepada pemborong dan peniaga pokok hiasan apabila isu pengharamannya reda.
"Setiap papan yang mempunyai 24 peket bebola kristal itu dijual RM4.80 secara borong," ujarnya.
Tambahnya, pengedar produk itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Tidak Selamat) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.
Kosmo! Khamis lalu melaporkan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri mengarahkan operasi membanteras kegiatan menjual bebola kristal yang sudah diharamkan sejak Ogos lalu.
Ia berikutan insiden seorang kanak-kanak, Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia satu tahun tujuh bulan dari Kuantan terpaksa dibedah pada 1 November lalu selepas bebola kristal yang ditelannya membesar sehingga sebesar bola ping pong dalam usus.
Ifti Ilya Farhana dipercayai menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya, Kuantan pada 26 Oktober lalu.
Liputan musim haji di YouTube
|
WASHINGTON - Laman YouTube serta Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi bekerjasama untuk menyediakan liputan musim haji secara siaran langsung di Mekah.
"Berjuta-juta orang dari seluruh dunia boleh memberikan komen mengenai musim itu menerusi video," kata laman yang dimiliki Google itu.
Siaran langsung dari Mekah itu boleh dilihat diyoutube.com/hajjlive.
Lebih 2.5 juta jemaah haji Islam mula meninggalkan Mekah untuk berhimpun di Padang Arafah kelmarin yang merupakan lokasi Nabi Muhammad menyampaikan khutbah haji terakhir. - AFP
Bieber muncul di TV nafi dakwaan sudah jadi bapa
LOS ANGELES - Penyanyi terkenal dari Kanada yang berusia 17 tahun, Justin Bieber menegaskan dalam satu temu ramah kelmarin bahawa dia bukannya bapa kepada anak seorang gadis berusia 20 tahun.Dia yang menghabiskan masa pada minggu lalu untuk mempromosikan album baharu sempena sambutan Krismas menyatakan dakwaan tersebut adalah 100 peratus tidak benar.
"Ia adalah yang pertama kali sesuatu seperti ini berlaku.
"Justeru, ia seperti amat gila. Saya pasti ia (dakwaan itu) bukannya yang terakhir," katanya kepada laman hiburan TMZ.com menerusi satu temu ramah telefon.
Bieber memberikan komen itu terhadap satu tuntutan undang-undang yang difailkan pada Isnin lalu oleh seorang gadis berusia 20 tahun dari San Diego, Mariah Laci Yeater yang mendakwa penyanyi remaja tersebut merupakan bapa kepada seorang bayi lelaki yang dilahirkannya pada Julai lalu.
Bayi itu adalah hasil hubungan seks antara gadis itu dengan Bieber selepas penyanyi itu membuat persembahan di Los Angeles pada Oktober 2010.
Gadis itu mahu Bieber menjalani ujian paterniti dan membiayai nafkah anak tersebut.
Penyanyi itu diarahkan untuk tampil di mahkamah pada 15 Disember depan.
Bieber juga membuat penafian yang sama dengan muncul dalam program televisyen Today.
"Saya hanya mahu menyatakan bahawa tiada satu pun daripada dakwaan itu adalah benar.
"Saya mengetahui saya akan menjadi sasaran tetapi saya tidak akan menjadi mangsa," katanya.
Pada awal minggu ini, Bieber menyatakan dalam akaun Twitter bahawa dia akan mengabaikan khabar angin itu. - Reuters
No comments:
Post a Comment