Akauntan tuntut rugi amah lari
KUALA LUMPUR – Seorang akauntan meminta agensi pembantu rumah mengembalikan wang sebanyak RM10,965 kepadanya selepas amah Kemboja yang dibekalkan kepadanya melarikan diri pada 24 Oktober lalu. Menurut Liew Mong Yee, 29, agensi tersebut didakwa tidak berupaya membekalkan amah baharu dengan segera dan jika diganti dengan amah lain, dia akan dikenakan bayaran tambahan.“Ini bukan silap saya dan kenapa saya yang harus membayar sedangkan ia adalah tanggungjawab agensi,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini kelmarin. Turut hadir Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Micheal Chong. Jelasnya, agensi tersebut memberi tempoh jaminan selama tiga bulan iaitu sekiranya amah melarikan diri, mereka akan memberi amah baharu kepadanya.
“Amah tersebut hanya berkhidmat selama sebulan lebih dengan saya. “Sekarang, mereka (agensi) tidak mengotakan janji malah meminta saya membayar lagi untuk mendapatkan amah baharu,” katanya. Mengulas lanjut, kata Mong Yee, amah tersebut yang berusia 28 tahun dipercayai melarikan diri selepas menyedari kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumahnya pada 23 Oktober lalu. “Ketika dia lari, anak saya berumur dua tahun ditinggalkan berseorangan di rumah.
“Saya dapati dia berkelakuan pelik selepas dua minggu bekerja antaranya dengan menukar pakaian di balkoni rumah. Saya kemudian memasang CCTV bagi menjamin keselamatan anak saya ketika saya dan suami keluar bekerja. “Apabila dia dapat tahu saya memasang CCTV, dia terus menghilangkan diri keesokan harinya,” katanya. Tambahnya, kejadian itu menyebabkan dia tawar hati dan tidak mahu lagi pembantu rumah baharu sebaliknya mahu wangnya dikembalikan. Sementara itu, Chong berkata, beliau akan membawa perkara tersebut ke Tribunal Pengguna untuk menuntut wang milik Mong Yee.
Pemanggil misteri pada malam pembunuhan
SHAH ALAM - Perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa seorang pemanggil tidak dikenali menghubungi bekas rakan sekerja salah seorang mangsa iaitu Noorhisham Mohamad, menggunakan nombor telefon bimbit milik pegawai bank itu pada malam kejadian.Bekas perunding kewangan peribadi Bank CIMB cawangan Kampung Bharu, Lyly Zanariyah Manaf, 32, berkata, dia dihubungi pada pukul 9.50 malam pada 30 Ogos tahun lalu ketika dia berada di sebuah restoran di Ampang, Selangor.
"Sebelum itu, pemanggil itu ada sebut nama dia tetapi bukan nama Hisham dan saya tanya mana Hisham. Dia terkejut dan saya dengar dia cakap "ha?" sebelum mematikan talian," kata saksi ke-62 pendakwaan itu pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.
Lyly memberi keterangan pada hari ke-44 perbicaraan kes bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyagan, R. Matan serta R. Kathavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47; Noorhisham, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lalu.
Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Karpet berat bongkar rahsia
NILAI – Taktik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sengaja melepaskan seorang lelaki India untuk diekori dapat menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila menahan tiga suspek bersama syabu bernilai RM3.9 juta yang disorok di dalam 15 keping karpet alas kaki kelmarin.
Sebelum ditahan, lelaki India berusia 37 tahun terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah beg yang mengandungi karpet seberat 15.6 kilogram sebaik tiba pada pukul 10.30 malam Ahad lalu di Terminal Penerbangan Tambang Murah dari Bangalore, India.
Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, pihaknya kemudian sengaja melepaskan lelaki itu sebelum pasukannya mengekori suspek hingga ke sebuah hotel murah di ibu negara.
Katanya, intipan kemudian mendapati dua lelaki tempatan berusia 20 dan 55 tahun menemui suspek di dalam sebuah bilik di hotel tersebut.
“Kita kemudian menyerbu bilik itu lalu menahan ketiga-tiga suspek sebelum mereka mengedar dadah yang disembunyikan di dalam karpet alas kaki tersebut.
“Siasatan pada dua buah kereta yang dinaiki dua lelaki tempatan itu pula menemui tujuh gram syabu dan wang RM10,000,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, lelaki India itu didapati telah memasuki negara ini sebanyak tiga kali sebulan sejak Mei lalu.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Wira Bukit Yong meninggal dunia
PASIR PUTEH - Seorang anggota polis yang terselamat dalam serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Yong kira-kira 58 tahun lalu ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kemunting Dalam di sini kelmarin.
Jenazah bekas konstabel Ismail Abdul Rahman (gambar), 89, dijumpai oleh seorang rakannya kira-kira pukul 7 pagi selepas arwah tidak datang menunaikan solat Subuh berjemaah di madrasah berhampiran rumahnya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Siam dekat sini kira-kira pukul 9 malam kelmarin.
Kosmo! pada 1 Oktober lalu menyiarkan rencana mengenai tragedi Balai Polis Bukit Yong di sini yang diserang pengganas komunis pada 23 Mac 1953 sehingga mengorbankan seorang anggota polis.
Ismail yang ketika itu sedang bertugas turut cedera parah pada kedua-dua belah tangannya.
Anak bebas tuduhan bunuh ibu
SEREMBAN – Seorang penganggur dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh ibunya sendiri pada Februari lalu selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati dia tidak waras ketika itu.
Mohd. Hirman Sah Sohaimi, 28, terlepas hukuman gantung dan diperintahkan ditahan di Hospital Permai, Johor sehingga mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zulkifli Bakar membuat keputusan itu selepas laporan perubatan mendapati tertuduh menghidap paranoid schizophrenia iaitu halusinasi, ilusi, paranoid dan kepercayaan palsu.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Hirman Sah didakwa membunuh Jemelah Muhamad, 54, di rumah No. 334 Blok 3B, Felda Kepis di sini pada pukul 8 malam, 18 Februari lalu.
Penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Zulkifli berkata, beliau mendapati tertuduh bertanggungjawab membunuh mangsa.
“Bagaimanapun, berdasarkan keterangan pakar psikiatri, tertuduh didapati tidak berniat untuk membunuh kerana ketika itu dia tidak siuman dan tidak sedar perbuatannya itu menyalahi undang-undang. Oleh itu, mahkamah membebaskan tertuduh,” katanya.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam bela Roseli Abdul Gani.
Kosmo! pada 21 Februari lalu melaporkan Jemelah mati selepas dirawat selama 17 jam di Hospital Tunku Ja’afar akibat ditikam anaknya.
Tukang urut kena denda
KUALA TERENGGANU – Seorang tukang urut warga China dikenakan hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan melacurkan diri.
Xin Wei, 27, mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan itu di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.
Mengikut pertuduhan, Xin Wei didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di dalam sebuah bilik bernombor 1106 di sebuah hotel di sini kira-kira pukul 11.15 malam pada 3 Oktober lalu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Selain denda RM10,000 tersebut, Xin Wei dan rakannya, Liu Min, 24, turut dikenakan denda RM1,000 setiap seorang atas kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1962.
Dalam prosiding semalam, Xin Wei memberitahu Zainal Abidin bahawa dia datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai tukang urut kerana kehidupan yang susah di wilayah Yunnan, China.
Liu Min pula memberitahu, dia mahu mencari rezeki bagi membantu keluarganya di wilayah Hennan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam,
Mohd. Hayyatuddin Mohamad.
Padah jual sambal tercemar
MELAKA – Seorang pemilik restoran didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah menjual sambal udang yang dicemari bakteria.
Majistret Muzila Mohamed Arsad menjatuhkan hukuman itu terhadap Suryani Abd. Rasap, 33, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Suryani didakwa menjual sambal udang mengandungi tahap kimia coliform yang tidak mematuhi standard iaitu sebanyak 2,300 CFU/G (Unit Pembentukan Koloni) kepada Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Kesihatan negeri, Muhammad Ikbar Sharul Hassan.
Kandungan bakteria itu dikesan selepas ia diuji oleh juruanalisis dari Jabatan Kimia Malaysia Melaka.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah restoran yang terletak di Jalan KPAA 1 Kompleks Perniagaan Al-Azim di sini pada 3 Januari lalu pukul 3.30 petang.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 13B(1) dibaca bersama 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 (Pindaan 2001) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sijil halal cuka buatan Jepun
KUALA LUMPUR - Melaka sedia menjadi pihak tengah untuk membantu Jepun mendapatkan sijil halal bagi membolehkan cuka buatan yang dikeluarkan di negara itu memasuki pasaran Asia Barat dan negara-negara Islam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cuka itu yang dikenali sebagai kurozu popular di Jepun sebagai minuman kesihatan untuk penjagaan kulit dan awet muda, boleh turut dimanfaatkan umat Islam jika diproses mengikut syariat Islam.
"Oleh itu, sijil halal khasnya daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) diperlukan bagi produk daripada beras dan ragi yang diperam ini untuk menarik minat pengguna Islam di merata dunia," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama dari Jepun semalam.
Proses pembuatan cuka itu, yang diperam dalam tempayan untuk tempoh tertentu, sama seperti proses pembuatan kicap yang menggunakan bahan asas kacang soya.
Mohd. Ali yang sedang dalam lawatan kerja empat hari ke Jepun, melontarkan idea itu pada jamuan malam bersama Persatuan Persahabatan Malaysia-Kagoshima (KMFA) yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia Osaka di sini malam tadi.
No comments:
Post a Comment