Monday, December 3, 2012

JANGAN BIARKAN REMAJA MEMANDU KERETA TAK DE LESEN...DE PEREMPUAN SEBELAH PULAK...TAKUT MEREKA BERGURAU SENDA...SEDANG MEMANDU TAK CEKAP LAGI

Parah ditembak 4 das

WEK SHU yang parah menerima rawatan di Hospital Pakar Johor semalam.


JOHOR BAHRU - Berpantang maut sebelum ajal.
Itu yang berlaku kepada seorang juruwang di sebuah kafe siber, Lew Wek Shu, 37, yang terselamat walaupun terkena empat das tembakan ketika cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan lelaki di Jalan Johar 4, Taman Desa Cemerlang di sini kelmarin.
Menceritakan semula kejadian pukul 10.15 malam itu, Wek Shu berkata, ketika itu dia yang sedang bekerja telah mendengar satu pertengkaran di tepi jalan berdekatan dengan premis tempatnya bekerja.
Tidak tahan mendengar pertengkaran tersebut yang berlarutan hampir setengah jam, dia memberanikan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.
Bagaimanapun, niat baik lelaki tersebut tidak disenangi apabila dia dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata yang tidak sedap didengar.
"Disebabkan tak mahu panjangkan cerita, saya terus beredar dan tanpa saya sangka salah seorang ahli kumpulan itu melepaskan tembakan dan terkena di bahagian belakang badan saya.
"Seingat saya, selepas itu beberapa das tembakan dilepaskan lagi dan entah dari mana kekuatan saya dapat, saya berlari dan sempat duduk di kerusi.
"Ketika itu, saya lihat badan saya mula berlumuran darah dan anggota badan saya mula rasa sangat sakit sebelum saya jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Johor (HPJ) di sini semalam.
Empat tembakan terkena bahu kanan dan kiri, dada selain di bahagian belakang badan Wek Shu sementara lengannya mengalami sedikit kecederaan.

Ditinggal berlumuran darah

Chow Siew ditinggal ah long dalam keadaan berlumuran darah di Jalan Tekun, Taman Maju, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan yang keluar bersarapan berdepan dengan detik-detik cemas apabila dia dilarikan oleh sekumpulan tiga ah long dengan sebuah kereta sebelum dibelasah dan ditikam di sebuah lorong di Jalan Tekun, Taman Maju Jaya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Too Chow Siew, 50, juga ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.
Bagaimanapun, Chow Siew dapat diselamatkan setelah orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu terdengar jeritannya dan terus membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Dr. Hashim Haron, kejadian yang hampir meragut nyawa mangsa itu berpunca apabila ah long tersebut berang dengan mangsa yang tidak melangsaikan pinjaman yang dibuat.
“Mangsa telah dilarikan oleh tiga orang lelaki dengan sebuah kenderaan di hadapan rumahnya kira-kira pukul 9.30 pagi dan kemudian dia ditinggalkan selepas dipukul oleh ah long berkenaan pada pukul 12 tengah hari di sebuah lorong di Taman Maju Jaya.
“Ah long berkenaan dipercayai memburu mangsa selepas dia dipercayai menimbulkan kemarahan kumpulan itu kerana tidak membayar hutang yang dipinjam,” katanya kepada Kosmo!.

Adik belasah abang sampai mati


SEBUAH rumah kelamin di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas inilah lokasi seorang remaja maut dibelasah oleh adiknya sendiri kelmarin.


GEORGE TOWN – Perkelahian dua beradik lelaki yang bermula dengan gurauan berakhir dengan tragedi apabila si abang maut akibat terkena tumbukan bertubi-tubi di belakang kepala oleh adiknya.
Kejadian pukul 8 malam kelmarin berlaku di ruang tamu kediaman kelamin warga tentera di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di sini menyebabkan mangsa, Muhamad Asyraf Muhamad Shukri, 17, cedera di kepala.
Asyraf yang dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh jiran disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam.
Mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik kepada seorang anggota tentera itu baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin lalu dan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Raja Tun Uda, Jalan Tengah di sini.
Suspek anak kedua yang berusia 16 tahun pula dikatakan hanya bersekolah hingga tingkatan tiga dan kini bekerja sambilan membantu seorang rakan berniaga di sebuah gerai burger di Sungai Ara.
Pertengkaran tersebut tercetus pada pukul 7 malam apabila suspek yang sedang bermain komputer riba tiba-tiba mengusik adik perempuannya yang berusia empat tahun yang ketika itu baru masuk ke rumah selepas bermain.
Si abang yang ketika itu sedang baring di atas sofa sambil menonton televisyen tiba-tiba bangun lalu marah suspek sebelum menendang adiknya itu di badan.
Si adik yang berang dengan tindakan abangnya terus menerkam dan menumbuk mangsa di bahagian kepala berkali-kali hingga mangsa rebah ke lantai lalu pengsan.

3 maut pada hari jadi kawan


SALAH satu jenazah seorang pelajar UniKL yang terkorban dalam kemalangan dituntut ahli keluarga di Rumah Mayat Hospital Serdang semalam.


SEPANG – Kegembiraan 11 pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk bergambar kenangan di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan sempena hari jadi seorang rakan bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Salak berhampiran Pekan Sungai Pelek dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5 pagi, tiga mangsa yang terbunuh ialah Muhammad Hilman Syafiq Kamaruzaman, 19, Ahmad Fikri Mohd. Salihudin, 21, dan Muhammad Izuanuddin Mohd. Ashari, 21.
Hilman dan Ahmad Fikri mati di tempat kejadian manakala Izuanuddin pula mati di Klinik Kesihatan Sungai Pelek akibat cedera di dada.
Ketiga-tiga mangsa yang terbunuh merupakan pelajar tahun dua jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan (Pembinaan Mesin dan Penyelenggaraan) di UniKL kampus cawangan Tras Jernang, Bandar Baru Bangi.
Bagaimanapun, pemandu kereta itu, Mohammad Faizullah Malik cedera parah tetapi berada dalam keadaan stabil dirawat di Hospital Serdang.
Sebelum kemalangan, 11 pelajar UniKL itu berkonvoi dengan tiga buah kereta dari Putrajaya menuju ke Port Dickson bagi meraikan hari jadi salah seorang daripada mereka.

Nenek, cucu kempunan roti canai


ORANG ramai melihat kereta Proton Wira Aeroback yang tersadai di bahu jalan selepas terbabas di Kampung Kobah, Pendang semalam.


PENDANG – Hajat dua beradik kembar untuk menikmati roti canai bersama nenek tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Batu 13 3/4, Kampung Kobah di sini semalam.
Kemalangan pukul 8 pagi itu berlaku ketika tiga sekeluarga itu berjalan berpimpin tangan ke warung roti canai yang terletak 300 meter dari rumah mereka.
Sejurus tiga sekeluarga itu tiba berhampiran warung tersebut, mereka tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun.
Turut dirempuh kereta yang dipercayai dipandu laju itu ialah 10 buah motosikal di depan warung tersebut. Kereta itu turut dinaiki seorang gadis berusia 17 tahun. Bagaimanapun, pasangan itu tidak cedera.
Dua mangsa yang terbunuh ialah Munah Ismail, 64, dan cucunya, Syahrul Fitri Shahrul Anuar, 5. Kakak kembar Syahrul, Nurul Fitrah cedera parah di kepala manakala seorang lelaki yang berada di atas motosikal, Mhd. Jailani Abd. Rahman, 43, patah kaki kiri. Difahamkan Syahrul yang berjalan di sebelah kanan neneknya terperosok ke bawah kereta manakala Munah yang berjalan di tengah tercampak sejauh 10 meter.
Nurul Fitrah pula terpelanting dan terjatuh ke dalam lopak berair di tepi jalan di situ.

Kempunan roti canai

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

PENDANG: “Biasanya saya akan keluar membeli sarapan, tetapi pagi tadi (semalam) arwah nak pergi beli roti canai bersama dua cucu kembarnya.
“Dia juga tidak bagi saya pergi kerana saya tidak berapa sihat akibat penyakit kencing manis dan tekanan darah rendah,” kata Ghazali Awang, 63, suami kepada Munah Ismail, 64, yang maut bersama seorang daripada cucunya itu apabila dirempuh sebuah kereta ketika berjalan kaki untuk ke sebuah gerai makanan di Batu Tiga, Kampung Kobah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, Munah dan cucunya, Shahrul Fitri Shahrul Anuar, 5, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cucu kembarnya, Nurul Fitrah, 5, cedera di belakang kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Turut cedera parah dalam kejadian itu ialah seorang pelanggan yang juga peniaga ubatan tradisional, Mhd Jailani Abd Rahman, 43, yang patah kaki kirinya ketika duduk di atas motosikalnya sementara menunggu makanan yang ditempahnya.

Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dipercayai hilang kawalan lalu merempuh mangsa dan motosikal di situ.

Remaja pandu kereta serah diri



PENDANG: Pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang merempuh empat mangsa di Jalan Kota Sarang Semut-Pendang, dekat Batu Tiga, Kampung Kobah, di sini, sehingga menyebabkan dua maut, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi, berkata pemandu lelaki berusia 17 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, pemandu itu sudah membuat laporan berhubung kemalangan itu sejurus kejadian berlaku. Kita sedang menyiasat punca kejadian sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui di IPD Pendang, di sini, semalam.

Pubadi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu apabila kereta yang dipandu remaja terbabit bersama teman wanitanya yang juga berusia 17 tahun, dikatakan cuba mengelak objek di atas jalan berkenaan lalu terbabas sebelum merempuh mangsa yang berjalan kaki menuju ke gerai makanan di situ.

“Pemandu yang berasal dari Taman Bersatu, Kota Sarang Semut dikatakan menghala ke arah Pendang dipercayai memandu laju menyebabkan dia hilang kawalan lalu merempuh keempat-empat mangsa termasuk seorang pelanggan lelaki di hadapan gerai berkenaan,” katanya.
“Akibat kejadian itu, seorang wanita, Munah Ismail, 64, dan cucunya, Shahrul Fitri Shahrul Anuar, 5, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala kembar Fitri, Nurul Fitrah, 5, cedera di belakang kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

“Seorang lelaki iaitu pelanggan yang sedang duduk di atas motosikal, Mhd Jailani Abd Rahman, 43, dari Kampung Alor Besar, Bukit Raya, di sini, patah kaki kiri dan dirawat di sebuah hospital swasta, di Alor Setar,” katanya.
Beliau berkata, pemandu itu juga turut merempuh 11 motosikal yang diletakkan di hadapan gerai makanan itu dan menyeret dua daripada motosikal itu ke seberang jalan berkenaan.

“Setakat ini, pihak kami menerima lima laporan daripada pemilik motosikal berhubung kemalangan itu dan sekiranya terdapat penunggang yang belum membuat laporan, mereka diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Nurashraf Abd Hamid, 22, berkata, dia sedang menikmati sarapan di gerai berkenaan selepas pulang menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Kami sempat singgah minum sebelum pulang ke rumah. Semasa minum saya nampak Mak Lang Munah sedang berjalan dengan dua cucunya menuju ke gerai ini.

“Saya sempat tegur dan pelawa Mak Lang Munah minum sekali di gerai itu. Mak Lang sempat kata tunggu sat sebelum dia dan cucunya dirempuh kereta Proton Wira.

“Saya nampak sebuah kereta yang dipandu laju merempuh mangsa menyebabkan Mak Lang Munah melambung kira-kira 10 meter, manakala Fitri berada di bawah kereta dan Fitrah tercampak di tepi jalan ini,” katanya.

Peniaga roti canai, Sofiyuddin Said, 42, berkata, dia terkejut kerana kejadian itu berlaku tidak jauh dari gerainya.

Keluarga dakwa doktor cuai punca ibu koma


SUBRAMANIAM (kanan) bersama Maheswari menunjukkan salinan laporan polis berhubung kejadian yang menimpa Amardavalay di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Hasrat seorang suri rumah untuk bercuti bersama keluarga sempena cuti sekolah tidak kesampaian apabila wanita itu kini koma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) didakwa gara-gara kecuaian doktor.
P. Amardavalay, 52, dari Jalan Merdeka CAB Kuarters RG4, Bestari Jaya, Selangor disahkan koma oleh doktor dan peluang untuk hidup tipis.
Anaknya, S. Maheswari, 22, mendakwa, ibunya berkeadaan normal ketika dibawa ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan pada 27 November lalu kerana gastrik sebelum pegawai perubatan mengesahkan dia menghidap penyakit paru-paru berair, selesema teruk dan perlu diberi rawatan.
Maheswari mendakwa, doktor dan jururawat yang merawat ibunya cuai apabila memberi suntikan antibiotik yang menyebabkan alahan dan tidak sedarkan diri.
"Kami melawat ibu keesokan harinya dan terkejut apabila diberitahu ibu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi kerana koma akibat kerosakan otak dan hati," dakwanya lagi.


DIMANA PUSAT ZAKAT

Tiga beranak tinggal dalam bengkel motosikal


ZULKIFLI (kiri) mengurut kaki Rohimah sementara Mohd. Rizuwan memicit kepalanya di rumah mereka berupa sebuah bengkel motosikal di Kampung Malaysia Tambahan, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib seorang bekas pengawal keselamatan Zulkifli Ibrahim, 55, dan isterinya, Rohimah Kamasah, 48, yang menderita penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu.
Akibatnya, pasangan suami isteri itu terpaksa membelanjakan kesemua wang simpanan dan berhutang dengan ramai pihak bagi menampung kos rawatan lebih RM10,000 di sebuah pusat perubatan di sini.
Hidup mereka bertambah teruk apabila Zulkifli terpaksa berhenti kerja sejak beberapa bulan lalu untuk menjaga Rohimah.
Rumah mereka di Pangsapuri Permai di sini juga sudah dilelong pihak bank kerana tidak membayar ansuran.
Kesudahannya, pasangan suami isteri itu kini menginap bersama anak tunggal mereka, Mohd. Rizuwan, 21, di sebuah bengkel motosikal di Kampung Malaysia Tambahan di sini sejak sebulan lalu untuk meneruskan kehidupan.

Habuk jalan punca sesak, batuk


AZIZULAH (kanan) menyembur air di jalan berhampiran gerai makannya akibat habuk di Jalan Kuari, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Jalan berlubang dan berhabuk bukan sahaja menyebabkan kerosakan kepada kenderaan malah turut menjejaskan kesihatan orang ramai di Jalan Kuari di sini sejak sebulan lalu.
Selain menyebabkan kenderaan pengguna rosak ia juga menjadi lokasi kemalangan sehingga menyebabkan sering berlaku kesesakan jalan raya.
Pemilik restoran berdekatan, Azizulah Idris, 37, berkata, kereta miliknya sendiri rosak dan berlubang setelah dua kali dilanggar di kawasan yang sama.
“Bila cuaca panas, semakin banyak habuk menyebabkan ramai pelanggan restoran saya tidak selesa untuk makan. Tukang masak turut menghadapi masalah kesihatan seperti batuk-batuk.
“Pekerja saya pula terpaksa menyiram air di jalan setiap satu jam bagi menghilangkan habuk,” dakwanya ketika ditemui di sini semalam.

Terowong di lebuh raya Jepun runtuh

KEPULAN asap menyelubungi kawasan di sekitar terowong itu.


TOKYO - Beberapa anggota penyelamat menemui lima mayat yang rentung selepas bumbung sebuah Terowong Sasago di lebuh raya Chuo, tengah Jepun runtuh semalam.
Mayat-mayat itu ditemui di dalam sebuah kereta.
Dua buah kereta remuk di dalam terowong tersebut.
Menurut laporan agensi berita Kyodo, beberapa pekerja penyelamat kini melakukan siasatan bagi memastikan jika terdapat mangsa lain yang terperangkap.
Terowong itu sepanjang 4.7 kilometer dan terletak di Otsuki, 80 kilometer ke barat Tokyo.
Kira-kira 150 kepingan siling yang setiap satu berukuran lima meter lebar, 1.2 meter panjang dan setebal lapan sentimeter serta berat 1.2 tan runtuh di dalam terowong tersebut.
Lebuh raya itu telah dibuka sejak 35 tahun lalu.
Rangkaian televisyen menunjukkan kepulan asap keluar dari terowong itu.
Tujuh orang dipercayai hilang manakala dua lagi cedera dan sekurang-kurangnya dua buah kereta juga terperangkap, kata seorang anggota bomba.
Seorang mangsa, Tomohiro Suzuki, 37, yang melalui kawasan berhampiran menceritakan detik-detik tragis itu.
Menurutnya, dia keluar dari kereta dan berlari ke arah sebuah kenderaan lain yang remuk akibat dihempap konkrit dengan tujuan untuk menyelamatkan penumpang kereta tersebut.
Suzuki berkata, dia kemudian menghubungi polis selepas mendapati amat mustahil untuknya melakukan kerja-kerja menyelamat.
Seorang lagi lelaki memberitahu agensi berita Jiji Press bahawa dia menyaksikan konkrit bumbung terowong itu menghempap sebuah kenderaan di depan matanya.

ASAP akibat kereta terbakar keluar dari terowong itu.


Menurutnya, dia mendengar bunyi suara orang meminta pertolongan dari celah-celah timbunan runtuhan sebelum seorang wanita keluar tanpa memakai kasut dengan pakaiannya koyak.
Wanita berkenaan meminta supaya semua rakan dan kekasihnya diselamatkan selepas kereta yang dinaikinya dihempap runtuhan itu.
Bagaimanapun, lelaki tersebut menyatakan, kereta yang dinaiki wanita yang terselamat itu terbakar.
Seorang wartawan, Yoshio Goto yang terperangkap dalam kemalangan itu berkata, dia sempat memecut kenderaannya dan berjaya keluar dari terowong itu.
Bagaimanapun, terdapat serpihan runtuhan yang menghempap kenderaannya.
"Saya kemudian melihat ke arah kenderaan saya dan mendapati separuh bumbungnya remuk," katanya.
Terowong Sasago yang melalui sebuah kawasan bukit tidak jauh dari Gunung Fuji merupakan salah sebuah terowong yang paling panjang di Jepun.
Ia merupakan kemalangan terburuk yang pernah berlaku di Jepun sejak tahun 1996, setelah sebuah terowong runtuh dan mengakibatkan 20 orang terbunuh.
Syarikat yang mengendalikan lebuh raya itu, Central Nippon Expressway menyatakan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian.
Menurut syarikat itu, pihaknya tidak menemui sebarang kecacatan semasa melakukan pemeriksaan pada Septembar lalu.
Presiden syarikat itu, Takekazu Kaneko meminta maaf berhubung kejadian itu pada sidang akhbar di Nagoya.
"Saya meminta maaf kerana menyebabkan kemalangan serius. Saya kini meletakkan keutamaan berhubung kerja-kerja menyelamat," katanya. - Agensi

Tunjuk perasaan bantah Kardashian


SEKUMPULAN penunjuk perasaan membantah kehadiran Kardashian dekat sebuah pusat beli-belah di Riffa kelmarin.


MANAMA - Kehadiran selebriti televisyen Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian di Bahrain telah mencetuskan tunjuk perasaan sehingga mengakibatkan polis pencegah rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan lebih 50 orang penunjuk perasaan kelmarin.
Tunjuk perasaan itu berlaku sebelum Kardashian merasmikan cawangan kedai makanannya, Millions of Milkshakes di sini.
Seorang wartawan agensi berita Associated Press menyaksikan para penunjuk perasaan menjerit: "Tuhan Maha Besar".
Tunjuk perasaan itu berlaku dekat kedai tersebut di bangunan beli-belah Riffa, 20 kilometer ke selatan Manama.
Bagaimanapun, para penunjuk perasaan itu berjaya disuraikan polis sebelum ketibaan Kardashian.
Sebelum kejadian tersebut berlaku, selebriti itu menghantar kenyataan di laman Twitter dengan menyatakan bahawa Bahrain merupakan tempat yang paling cantik di bumi.
Beribu-ribu peminat yang telah membayar sehingga AS$1,360 (RM4,132) untuk sekeping tiket bertindak menjerit sejurus selebriti berusia 32 tahun itu merasmikan kedai tersebut.
Beberapa anggota parlimen negara itu mengemukakan usul untuk melabelkan Kardashian sebagai artis yang mempunyai reputasi buruk.
Namun, ramai peminat aktres itu menghantar kenyataan di Twitter untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan tindakan kumpulan ahli parlimen tersebut.
"Ahli-ahli parlimen sepatutnya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan isu-isu penting seperti ekonomi, politik dan sosial," lapor akhbar Daily News.
Kardashian, 32, pernah berbogel untuk majalah lucah Playboy dan terkenal menerusi program realitinya di AS. - Agensi

Puntianak dipercayai berkeliaran di kampung Serbia


KINCIR air yang musnah dan dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak di Kampung Zarozje, Serbia.


BELGRADE - Penduduk di Kampung Zarozje, dekat bandar Bajina Basta, Serbia percaya terdapat puntianak yang menghisap darah sedang berkeliaran dan mereka kini hidup dalam ketakutan.
Seorang anggota majlis tempatan memberi amaran kepada penduduk kampung itu supaya membawa bawang putih di dalam saku dan lambang salib di bilik rumah mereka bagi mengelak kehadiran puntianak.
Mereka kini dilanda ketakutan tentang kehadiran puntianak legenda yang bernama Sava Savanovic.
"Kisah Savanovic merupakan satu legenda tetapi beberapa perkara ganjil telah berlaku sejak kebelakangan ini," kata seorang suri rumah, Milka Prokic yang memegang bawang putih di tangannya.
"Kami mewarisi legenda itu daripada nenek moyang dan kami menghidupkannya untuk generasi muda," tambahnya yang berusia 55 tahun.
Kewujudan puntianak itu berkeliaran di kampung tersebut tersebar selepas sebuah kincir air di Sungai Rogacica di kampung tersebut runtuh beberapa bulan lalu.
Kincir itu dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak tersebut.
Justeru, puntianak itu kini berkeliaran selepas kincir air yang menjadi tempat tinggalnya musnah.
Puntianak itu kini marah kerana terpaksa mencari tempat untuk menggantung pakaiannya.
Beberapa penduduk mendakwa mereka mendengar bunyi daun-daun kering di hutan dipijak dan suara ganjil datang dari puncak sebuah kawasan pergunungan.
Kawasan pergunungan itu dipercayai menjadi tempat puntianak itu dibunuh dengan pancang tajam yang menembusi jantungnya.
Namun, puntianak tersebut masih hidup dalam bentuk roh seperti menjadi rama-rama.
Beberapa penduduk menyatakan mudah bagi orang di luar kampung itu untuk mentertawakan mereka ekoran kisah tersebut.
"Baru-baru ini, lima orang telah mati selepas seorang demi seorang di dalam komuniti kita" kata seorang anggota majlis perbandaran, Miodrag Vujetic. - Agensi

Bina hotel ais di Sweden


BEBERAPA orang menyiapkan sebuah bangunan hotel ais di Jukkasjarvi pada 16 November lalu.


KIRUNA, Sweden - Sebuah hotel baharu ais di Jukkasjarvi yang terletak 12 kilometer dari Lapangan Terbang Kiruna di sini dibina sejak 16 November lalu.
Hotel tersebut dibina pada setiap tahun dengan menampilkan reka bentuk bangunan gaya baharu.
Ia mempunyai beberapa buah bilik yang ditawarkan kepada para pelancong. - Agensi

Semangat luar biasa pelajar SDH

KEAKRABAN Norashikin (kiri) sebagai guru dan Adam dapat dilihat pada sesi pembelajaran yang dijalankan di wad pediatrik Hospital Serdang ini.


MENJADI Tan Hong Sheng, 10, tidak mudah. Saat kanak-kanak lain berseronok bersama rakan-rakan di sekolah, dia hanya bertemankan topeng oksigen yang perlu dipakai 24 jam dan berbumbungkan hospital.
Sejak disahkan menghidap jangkitan paru-paru selepas beberapa bulan dilahirkan, Hong Sheng kerap keluar masuk hospital. Namun, sejak bulan Jun tahun lalu, Hospital Serdang, Selangor menjadi kediaman tetapnya sehingga kini.
Siapa sahaja pasti tersentuh melihat keadaan anak kecil yang berasal dari Selayang, Selangor itu. Tambah meruntun perasaan, dia tidak gemar dipanggil Hong Sheng malah mahu orang sekeliling menggelarnya Adam. Di kepala katilnya tertera nama 'Melayu'nya, Adam Mohd. Hashim.
"Saya lagi suka duduk hospital sebab cikgu selalu datang mengajar saya di wad. Papa juga selalu datang dengan kakak dan nenek. Hujung minggu pula saya suka melayari internet dan menonton televisyen," kepetahan Adam berbual membuatkan individu di sekelilingnya kagum dengan semangat berjuang melawan sakit yang dialaminya.
Selama menjadi penghuni hospital tersebut untuk tempoh setahun setengah, Adam tidak pernah tercicir dalam pelajaran. Pada awalnya, guru yang sering mengajarnya, Siti Norashikin Mohamed Said, 47, mengakui kanak-kanak itu mengalami kesukaran untuk memahami apa yang diajar.
"Peringkat awal, asas matematik seperti darab dan bahagi pun Adam tidak boleh buat. Kini, prestasinya selari dengan pelajar darjah empat di sekolah biasa. Mengajar Adam tidak sukar kerana dia sentiasa bersemangat.
"Kadang-kadang kalau kita bercuti atau ada urusan, dia akan telefon bertanya kenapa tidak datang. Waktu mengajar pula dia akan fokus untuk setengah jam sahaja, lepas itu bagi dia waktu sekejap untuk bermain atau berehat. Kemudian, saya sambung semula hingga cukup dua jam," jelas Norashikin yang datang ke wad Adam hampir setiap hari yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab guru Sekolah Dalam Hospital (SDH).
Bagi Wan Nur Anis Aina, 12, pelajaran yang dikutip selama berada di SDH Hospital Kuala Lumpur (HKL) amat berharga. Meskipun disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Anis mengejar cita-citanya bergelar doktor pakar.
Selepas menjalani pembedahan pada bulan Januari lalu, Anis berulang-alik bersama ibu bapanya dari Segamat, Johor ke HKL setiap tiga minggu bagi menjalani rawatan kemoterapi. Sebanyak 14 sesi kemoterapi perlu dijalani Anis dan diikuti rawatan susulan.
Ulang kaji pelajaran
"Tahun lepas saya tidak bersekolah selama setahun dan banyak mendapat bimbingan guru-guru SDH di HKL dan mengulangkaji pelajaran di rumah. Memang rindu untuk ke sekolah dan belajar bersama kawan-kawan tetapi saya mudah terkena jangkitan kalau keluar rumah.

ANIS (kiri) dibantu Aswaniza menyiapkan latihan yang diberikan guru di Hospital Kuala Lumpur.


"Namun, saya berkeras untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah pada bulan September lepas kerana ingin merasai suasana seperti pelajar biasa walaupun diasingkan daripada kawan-kawan," kongsi Anis yang pernah mengimpikan untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut ekoran sakit yang dihidapi.
Ibu Anis, Siti Noor Mohd. Zaid, 44, memberitahu dia dan suami, Wan Abdullah Wan Mohd. Noor, 40, tidak berfikir panjang untuk meletakkan anak mereka di bawah penyeliaan SDH. Kata Siti: "Sekurang-kurangnya waktu Anis terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan tidak ketinggalan pelajaran.
"Pada awalnya memang dia agak perlahan untuk menerima sesi pembelajaran yang dijalankan di wad tetapi lama-kelamaan, dia dapat menyesuaikan diri dan mampu menyiapkan latihan-latihan yang diberikan guru dengan cekap."
Sementara itu, bergelar pendidik SDH, seseorang itu perlu memiliki pengalaman sebagai guru sekurang-kurangnya empat tahun. Mereka yang memohon kemudiannya dipanggil bagi menjalani sesi orientasi di wad bagi melihat sendiri suasana yang bakal ditempuhi.
Tiada paksaan
Cabaran utama sudah tentu terletak pada cara guru SDH mendekati pesakit. Aswaniza Shamsudin, yang mula berkhidmat di SDH HKL sejak ia dibuka menyatakan, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah penguasaan sesi hati ke hati antara guru dan pelajar.
"Tiada paksaan belajar di SDH kerana semuanya memerlukan kebenaran ibu bapa dan kesediaan pesakit untuk belajar. Apabila mereka disahkan doktor cukup kuat untuk menerima pelajaran, guru-guru perlu bijak membentuk minat mereka dan mengawal emosi agar suasana pembelajaran dapat dijalankan secara tenang.
"Saya masih ingat waktu mula-mula mengajar di SDH HKL, saya diarahkan mengajar dua beradik yang menjadi mangsa simbahan asid. Disebabkan itu, saya perlu ke unit kebakaran dan memakai pakaian khas yang disediakan bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

GURU-GURU di SDH perlu menguasai emosi, mengenal pasti penyakit setiap pesakit dan cara-cara mendekati mereka agar proses pembelajaran berjalan lancar.


"Bayangkan, selalunya di sekolah saya tengok pelajar yang lengkap fizikalnya, tetapi mereka dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Kali pertama berdepan dengan mereka, saya terpaksa keluar bilik tersebut dan menangis kerana tidak sanggup melihat kesakitan yang mereka alami.
"Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk menguasai emosi supaya dapat menjalankan tanggungjawab seperti biasa. Begitu juga dengan situasi apabila ada dalam kalangan pelajar kami yang meninggal dunia.
"Kes kematian seorang pelajar perempuan akibat kanser masih berbekas dalam ingatan saya. Semua guru SDH tidak dapat melupakan wajahnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman sehingga kami semua tidak tahu bagaimana dia menanggung kesakitan tersebut," terpapar kesedihan pada wajah Aswaniza saat menceritakan pengalaman tersebut.
Sharifah Haslina Syed Abd. Hamid, 33, pula menjelaskan, pendekatan menerusi alat bantuan mengajar seperti komputer, televisyen dan buku cerita menjadikan sesi pengajaran lebih seronok dan mencabar kreativiti guru.
"Memujuk pelajar di hospital untuk belajar memerlukan kesabaran tinggi. Namun, secara jujurnya, saya akui semangat pelajar-pelajar SDH lebih tinggi berbanding pelajar di sekolah biasa.
"Cabaran yang dilalui guru SDH memang perit tetapi selepas seminggu berkhidmat, saya mula menghargai kehidupan dan melihat segala perkara di sekeliling sebagai satu kitaran perjalanan yang indah," luah Haslina yang mengajar bahasa Inggeris di SDH HKL.

No comments:

Post a Comment