Friday, December 7, 2012

SEBAB IA DUDA MAKNANYA DAH KAHWIN....HUKUM ALLAH IA PATUT DIREJAM SAMPAI MATI

Jimmy salahkan bapa mertua


Jimmy dan Nursuhaila ketika keluar dari Makhamah Tinggi Syariah di Shah Alam, Selangor semalam.



SHAH ALAM – Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam bahawa dia diharamkan oleh bekas bapa mertua, Datuk Suhaimy Othman untuk menjejakkan kakinya ke rumah mereka di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini sejak Januari 2011.
Disebabkan masalah tersebut, Jimmy mengaku dia tidak pernah berjumpa dengan anak tunggalnya, Zahra Rania Shanley, kini berusia setahun tujuh bulan yang tinggal di rumah tersebut sehingga kini.
“Kali terakhir saya bertemu anak saya ialah pada April lalu, itu pun apabila bekas ibu mertua (usahawan kosmetik, Datin Muniroh Kassim) membawa anak saya ke rumah saya sendiri,” kata Jimmy yang diwakili peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus.
Jimmy menetap di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Bos agensi pekerja asing direman



suspek kes pemerdagangan orang direman di Klang, Selangor semalam.



KLANG - Jabatan Imigresen Selangor menahan reman seorang pengurus besar sebuah agensi pekerja asing selama dua hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang yang dibongkar pihak berkuasa itu di Bandar Baru Klang di sini Sabtu lalu.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 49 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Suhaimah Mohd. Nor di Mahkamah Majistret di sini pukul 2 petang.
Lelaki terbabit merupakan suspek ke-13 ditahan berhubung kes pemerdagangan 105 wanita warga asing melibatkan 95 rakyat Indonesia, enam warga Filipina dan empat warga Kemboja.

Pembunuh ustaz terima balasan


NANDA KUMAR (kiri) dan Yugaraja keluar daripada Mahkamah Tinggi Ipoh semalam selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh.



IPOH - Kekejaman dua lelaki yang menetak kepala seorang pekerja sambilan sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini sehingga mati pada 11 November 2008 berbalas apabila mereka dihukum gantung mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Dalam penghakiman ringkas yang dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman tersebut ke atas K. Nanda Kumar, 26, dan N. Yugaraja, 34, dari Kampung Baru, Jelapang di sini.
"Pihak pembelaan gagal membuktikan sebarang keraguan munasabah terhadap kes ini dan kedua-dua kamu disabitkan kesalahan. Kamu berdua diperintahkan menjalani hukuman gantung sampai mati," katanya.
Kedua-dua mereka disabitkan membunuh Mohd. Khairuddin Mohamed Isa, 42, yang juga seorang Penolong Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Perak dalam kejadian samun di Stesen Minyak Petronas Gunung Lang di sini pukul 6.58 pagi.

Maut ditembak ala mafia



BEBERAPA lelaki menunjukkan tempat rakan mereka, Siva ditembak seorang lelaki bertopeng ketika sedang minum di sebuah warung di Batu Caves semalam.



GOMBAK - Seorang peniaga besi buruk maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki dalam serangan ala mafia di sebuah warung di hadapan kilang simen YTL Batu Caves di sini semalam.
Kejadian pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika M. Siva, 22, sedang minum di gerai tersebut bersama seorang rakan sebelum didatangi suspek yang bertubuh tegap dari arah belakang premis.
Difahamkan, mangsa mempunyai rekod jenayah berhubung kes samun.
Suspek yang memakai topeng ski kemudian melepaskan tembakan lalu mengenai dada, perut dan kedua-dua lengan mangsa. Rakan mangsa bagaimanapun tidak cedera.
Mangsa disahkan mati 20 minit kemudian ketika dirawat di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan percaya ia dilakukan oleh seorang suspek.
Katanya, penyerang yang dipercayai berketurunan India memakai seluar jean biru dan batu T belang putih biru ketika kejadian.
"Kita tidak menemui sebarang kelongsong peluru di tempat kejadian walaupun rakan mangsa mengatakan dia terdengar tiga das tembakan," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali memberitahu, selepas kejadian, seorang pemuda yang memakai baju putih berlari ke arahnya memaklumkan rakannya telah ditembak.
"Saya kemudian menghubungi talian 999 sebelum pergi ke lokasi kejadian dan melihat seorang lelaki terbaring di atas papan di hadapan warung yang ditutup.

Tiga sahabat ke tali gantung



SOON LEE (kiri), Hun Wah (tengah) dan Chin Hee berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.



GEORGE TOWN - Kegiatan haram tiga sahabat yang mengedar dadah jenis heroin dan morfin berbalas apabila kesemuanya dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah atas tuduhan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Amir Firdaus Abdullah memerintahkan pemilik kedai kopi, Khor Soon Lee, 38; penganggur, Tiow Chin Hee, 49, dan pekerja kedai komputer, Tan Hun Wah, 64, menjalani hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Dalam penghakimannya, Mohd. Amir Firdaus berkata, pembelaan ketiga-tiga tertuduh lebih bersifat penafian semata-mata dan gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah.
Katanya, adalah tidak logik ketiga-tiga tertuduh secara tidak sengaja berjumpa di sebuah pasar raya dengan salah seorang daripada mereka memberikan kasut kepada seorang tertuduh lain.
"Malah, individu yang bernama Atan yang disebut salah seorang tertuduh juga didapati tidak wujud dan tiada sebab untuk pihak polis melakukan penipuan dalam kes ini," katanya.

Duda Bachok tak serik-serik

GAMBAR fail menunjukkan Amran dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas tuduhan merogol seorang wanita pada 16 Julai 2011.


KOTA BHARU - Jenayah berat yang dilakukan berkali-kali oleh seorang perogol bersiri nampaknya seperti tiada kesudahan.
Terbaharu, duda berusia 30 tahun yang sedang menjalani hukuman penjara selama 28 tahun dan 13 sebatan atas pelbagai jenayah berat sekali lagi dihadapkan di dua buah mahkamah di sini semalam atas tuduhan merogol seorang pelajar kolej dan memecah masuk rumah milik seorang jururawat.
Bagaimanapun, Amran Che Jaafar, 30, yang dikaitkan dengan 20 kes rogol dan cabul di negeri ini mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan terbaharu itu ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini.
Di Mahkamah Sesyen, Amran didakwa merogol gadis berusia 20 tahun di Pengkalan Chepa, di sini pada pukul 8.45 pagi, 23 Februari tahun lalu.
Lelaki dari Bachok itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Hakim Azman Mustapa menetapkan 3 Januari depan untuk sebutan kes dengan pendakwaan semalam dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Api misteri punca rumah terbakar


BEBERAPA anggota bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan rumah milik sebuah keluarga di Jalan Bunga Ros, Kuching semalam.


KUCHING – Sebuah keluarga mendakwa kemunculan api misteri sejak Isnin lalu menjadi punca rumah mereka hangus dalam kebakaran di Jalan Bunga Ros, Kampung Gita di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, tujuh ahli keluarga terbabit tiada di rumah ketika api memusnahkan kediaman yang mereka diami sejak 50 tahun lalu.
Mangsa, Haslina Drahman, 40, mendakwa, sejak Isnin lalu keluarganya berdepan pengalaman pelik apabila diserang api misteri sebanyak tiga kali dengan kejadian pertama menyebabkan langsir tiba-tiba terbakar pada pukul 6.30 pagi.
Katanya, selang sehari kemudian sebuah rak pakaian pula disambar api disusuli kejadian ketiga pukul 7.15 pagi kelmarin apabila api marak dari dalam almari pakaian.
“Kami telah membuat laporan polis semalam (kelmarin) kerana khuatir kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat,” katanya di sini semalam.
Haslina yang bekerja sebagai pegawai keselamatan berkata, dia bercadang menggunakan khidmat pengamal perubatan alternatif bagi mengatasi misteri itu namun tidak sempat berbuat demikian kerana rumahnya dijilat api semalam.
Katanya, dia tidak menolak kemungkinan api misteri menjadi punca rumah tersebut terbakar.
Selain Haslina rumah itu didiami ibunya, Mordiah Mohd. Taha, 62; adik perempuannya, Norasmara, 27; dan suami, Mohamad Firdoze Maliki, 32; serta dua anak perempuan mereka berusia 8 dan 9 tahun. Seorang lagi ialah anak angkat keluarga tersebut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Petra Jaya, Mohd. Raffy Saibi berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan kerugian mangsa.

Setiap hari gadai nyawa melintas kerangka besi


BAHAYA... Beberapa kanak-kanak bermain di kerangka besi di kawasan bekas jambatan pejalan kaki dan motosikal di Gombak semalam.


GOMBAK - Ribuan penduduk di sekitar Kampung Nakhoda dan Kampung Wira Damai di sini terpaksa menanggung risiko menyeberangi Sungai Gombak menggunakan kerangka besi setiap hari untuk menjalankan urusan seharian.
Kerangka besi itu pada asalnya jambatan kecil untuk laluan motosikal dan pejalan kaki tetapi hanya tinggal rangkanya sahaja selepas dihanyutkan oleh air sungai semasa banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat pada minggu lepas.
Bagaimanapun, ia masih digunakan oleh penduduk untuk menyeberang kerana ia menjadi laluan utama penduduk kedua-dua kampung selain jalan pintas penduduk ke perhentian bas ke berhampiran.
Wakil peniaga Gerai Majlis Perbandaran Selayang di Wira Damai, Tuan Jawawi Tuan Sulaiman, 48, berkata, ribuan penduduk menggunakan laluan tersebut setiap hari untuk pelbagai tujuan tetapi kini berdepan dengan bahaya.
"Orang ramai masih mengambil risiko guna bekas jambatan ini kerana ia jalan alternatif terletak lebih satu kilometer dan ia menyukarkan orang ramai terutama pejalan kaki," katanya di sini semalam.

Stesen minyak konsep baharu


STESEN Petronas Solaris Putra dan Petronas Solaris Serdang merupakan stesen minyak berkembar yang menerapkan ciri-ciri mesra alam pertama PDB di Malaysia.


KUALA LUMPUR - Petronas Dagangan Berhad (PDB) merancang untuk membuka beberapa buah lagi stesen minyak berkembar yang menerapkan ciri-ciri mesra alam pada tahun hadapan dengan dengan kos RM20 juta sebuah.
Ia merupakan susulan pelancaran sulung stesen berkonsep baru berkenaan iaitu Petronas Solaris Putra dan Petronas Solaris Serdang kelmarin.
Kedua-dua stesen berkenaan masing-masing terletak di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Besraya di sini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Aminul Rashid Mohd. Zamzam berkata, projek itu menawarkan pengalaman holistik untuk pelanggan menerusi konsep pusat sehenti iaitu mengisi minyak, membeli-belah barangan keperluan dan menikmati hidangan.
"Matlamat kami ialah menukar stesen sebagai tempat untuk dikunjungi dan titik pertemuan orang ramai bersama rakan dan keluarga mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran stesen berkonsep baharu itu di sini.

Istana Presiden Mesir dikawal

KAWAT berduri diletakkan dekat istana presiden di Kaherah, Mesir semalam.


KAHERAH - Pasukan Pengawal Republikan Mesir mengarahkan penunjuk perasaan yang menyokong dan menentang Presiden Mohammed Morsi meninggalkan kawasan di sekitar istana presiden disini yang menjadi medan beberapa pertempuran ganas.
Pasukan tersebut yang merupakan unit elit tentera Mesir memberi masa sehingga pukul 3 petang waktu tempatan kepada penunjuk perasaan kedua-dua belah pihak untuk beredar dari kawasan itu.
Kata dua semalam itu diumumkan dalam satu kenyataan rasmi yang turut mengharamkan sebarang bantahan di luar mana-mana istana presiden di negara itu.
Beberapa buah kereta kebal dan kawat berduri juga diletakkan di sekitar kawasan istana presiden di sini.
Setakat ini, seramai tujuh orang terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan penyokong dan penentang Morsi.
Beberapa pegawai berkata, seramai 350 lagi cedera dalam pertempuran antara para penyokong dan penentang Morsi setakat ini.
Penentang presiden itu meminta beliau mengugurkan dekri yang memberikannya kuasa hampir mutlak dan membatalkan satu draf perlembagaan kontroversi yang akan diundi menerusi pungutan suara pada 15 Disember ini.
Draf perlembagaan tersebut menyatakan semua undang-undang dan dekri yang dikeluarkan oleh Morsi adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Morsi dipilih pengundi sebagai presiden pada pilihan raya yang diadakan pada Jun lalu. - Agensi

477 maut akibat taufan Bopha


SEORANG penduduk menggunakan tali untuk menyeberangi sebatang sungai di pekan Ne Bataan semalam selepas taufan Bopha melanda selatan Filipina pada Selasa lalu.


BATAAN BAHARU - Sejumlah 250,000 orang hilang tempat tinggal manakala 477 mangsa disahkan terkorban dalam bencana taufan terburuk di selatan Filipina pada tahun ini, kata beberapa pegawai semalam ketika pemerintah merayu bantuan daripada masyarakat antarabangsa.
Taufan Bopha melanda Pulau Mindanao pada Selasa lalu dengan meranapkan beberapa buah bandar dalam laluannya dan membawa angin kencang selain hujan lebat yang mencetuskan banjir serta tanah runtuh.
Seorang mangsa bencana tersebut, Erinea Cantilla dan keluarganya berjalan kaki selama dua hari untuk mencari makanan dan tempat perlindungan dalam keadaan berselut di bandar ini selepas bencana itu memusnahkan rumah dan kebun pisang serta koko milik mereka.
"Semua milik kami telah tiada. Apa yang tinggal kini ialah mangsa yang sudah mati," kata Cantilla kepada agensi berita AFP selepas dia dan suaminya bersama tiga anak dan seorang cucu mereka tiba di pinggir bandar ini yang turut terjejas akibat taufan itu.
Pasukan penyelamat menyatakan, mereka masih mencari 380 mangsa yang masih hilang ketika lebih 250,000 orang lagi berlindung di sejumlah sekolah, gimnasium dan bangunan lain selepas mereka tinggal sehelai sepinggang. - AFP

Kate keluar hospital


WILLIAM dan Kate meninggalkan Hospital King Edward VII di London semalam.


LONDON - Isteri Putera William yang kini mengandung, Catherine meninggalkan Hospital King Edward VII di sini semalam, empat hari selepas beliau dirawat kerana mengalami loya yang teruk.
Catherine yang lebih mesra dengan panggilan Kate tersenyum ke arah kumpulan wartawan dan jurugambar yang menanti di lokasi tersebut ketika dia keluar dari hospital itu bersama suaminya.
Mereka meninggalkan hospital berkenaan dengan menaiki sebuah kereta.
Ditanya sama ada beliau kini berasa sihat, Kate, 30, menganggukkan kepalanya.
Pihak Istana St. James dalam satu kenyataan memberitahu, Kate dibenarkan keluar dari Hospital King Edward VII dan kini menuju ke Istana Kensington untuk berehat.
"Pasangan diraja ini mengucapkan terima kasih kepada para kakitangan hospital berkenaan kerana rawatan dan penjagaan yang diberikan (kepada Kate)," tambahnya.
William dan Kate yang dianugerahkan gelaran Duke dan Duchess of Cambridge selepas mereka berkahwin pada April 2011, memiliki sebuah apartmen di Istana Palace yang pernah menjadi kediaman bonda William, Puteri Diana.
Kate dimasukkan ke hospital tersebut pada tengah hari Isnin lalu selepas beliau mengalami rasa loya yang teruk.
Sindrom itu menyerang purata seorang dalam setiap 200 ibu yang mengandung dan kadangkala dikaitkan dengan kehamilan bayi kembar.
Kandungan Kate dipercayai belum mencapai usia 12 minggu.
William merupakan pewaris kedua takhta Britain selepas ayandanya, Putera Charles.
Nenda William ialah Ratu Elizabeth II yang kini memerintah Britain. - AFP

Kubur unik dikelilingi projek kediaman


DUA buruh bekerja di lokasi pembinaan bangunan kediaman di tepi bukit yang mengandungi sebuah kubur (dalam bulatan) di Taiyuan semalam.


TAIYUAN, China - Sebuah kubur yang terletak di atas bukit yang dikelilingi projek sebuah bangunan kediaman di sini, utara China masih tidak dipindahkan.
Kubur itu dipercayai wujud sejak tahun 2004 lagi.
Pihak pemaju meneruskan kerja-kerja pembinaan di sekeliling bukit setinggi 10 meter itu selepas keluarga si mati enggan memindahkan kubur tersebut.
Keluarga si mati enggan menerima pampasan sebanyak AS$160,454 (RM488,903) yang ditawarkan oleh pihak pemaju supaya memindahkan lokasi kubur itu.
Pihak keluarga si mati itu menunggu tarikh yang dianggap bertuah untuk memindahkan kubur tersebut.
Kerja-kerja pembinaan itu dijangka siap pada April tahun depan.
Pada Ahad lalu, media melaporkan pihak berkuasa China telah merobohkan rumah lima tingkat yang terletak di tengah-tengah sebuah lebuh raya baharu dan menjadi kontroversi baru-baru ini.
Ketua kampung Xiayangzhang, Chen Xuecai memberitahu AFP bahawa rumah itu diroboh selepas pemiliknya yang juga seorang penternak itik, Luo Baogen setuju untuk menerima pampasan sebanyak AS$41,000 (RM124,615) daripada pihak pemerintah.- Agensi

Gambar Bumi pada waktu malam


PENTADBIRAN Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin menyiarkan imej waktu malam di benua Asia dan Australia.


SAN FRANCISCO - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pernah menyiarkan gambar Bumi pada tahun 1968.
Gambar tersebut dirakamkan dari kapal angkasa Apollo 8 milik Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kelmarin, NASA mendedahkan Bumi pada waktu malam.
Gambar tanpa awan yang amat jelas itu dirakamkan lensa infra merah dan beresolusi tinggi menerusi satelit Pentadbiran Oseanik dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) milik NASA.
Sensor kamera pengimejan itu dapat merakamkan tiga imej cahaya kelam secara serentak sekali gus memberi peluang kepada para penyelidik untuk mengkaji atmosfera, daratan dan lautan di Bumi pada waktu malam.
"Data yang diperoleh amat tinggi kualitinya," kata seorang saintis NOAA, Christopher Elvidge kepada wartawan pada Persidangan Kesatuan Geofizik Amerika di sini baru-baru ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment