Tuesday, December 4, 2012

JANGAN KITA TAK FIKIR DOSA DAN PAHALA...DOSA TETAP DOSA...ULAMAK ADA YANG JADI SYAITAN BISU AJE

Amah diminta jauhi Malaysia


Jabatan Imigresen menyelamatkan 105 warga asing yang dikurung di sebuah premis di Klang, Selangor kelmarin.



KUALA LUMPUR – Pembantu rumah Indonesia perlu mengelak daripada bekerja di Malaysia, kata Kedutaan Indonesia di sini semalam sebagaimana dipetik daripada laporan agensi berita asing AFP.
Ia berikutan skandal terbaharu yang menyaksikan 105 wanita asing dikurung dan dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji di Klang, Selangor baru-baru ini.
Kes terbaharu pada Sabtu lepas itu susulan serbuan oleh pihak berkuasa menunjukkan amah Indonesia masih berdepan risiko terutamanya mereka yang memasuki Malaysia secara haram berbanding saluran sah.
“Pihak berkuasa Malaysia perlu mengambil tindakan keras. Adalah lebih baik untuk pembantu rumah Indonesia tidak bekerja di Malaysia.
“Mereka (Malaysia) meminta pembantu rumah Indonesia tetapi mereka tidak dapat melindungi golongan tersebut dengan baik, kata jurucakap berkenaan, Suryana Sastradiredja.

Baling sabit elak kena rogol



NADIA menunjukkan parang yang ditinggalkan perompak ketika memecah masuk rumah neneknya di Teluk Intan Sabtu lalu.



TELUK INTAN – Tindakan berani seorang gadis melawan seorang perompak dengan membaling sabit ke arah suspek bukan sahaja dapat menyelamatkan maruahnya daripada dinodai malah berjaya membuatkan lelaki itu bertempiaran lari.
Kejadian pukul 7.30 malam di di sini pada Sabtu lalu berlaku ketika gadis yang dikenali sebagai Nadia, 14, didatangi perompak bersenjatakan parang panjang ketika berada di dalam rumah bersama neneknya.
Mengimbau semula kejadian itu, Nadia memberitahu, sebelum kejadian, neneknya sedang membaca surah Yasin selepas mengerjakan solat Maghrib di ruang tamu manakala dia berada di dalam bilik.
Ahli keluarganya yang lain keluar ke bandar Teluk Intan untuk membeli barangan keperluan.
Siti Nadia bersekolah di Selangor dan datang ke sini kerana cuti sekolah.
“Tiba-tiba saya terdengar nenek menjerit meminta tolong. Sebaik keluar, saya ternampak seorang lelaki sedang mengacu parang ke arah nenek.
“Penjenayah kemudiannya meminta saya menanggalkan pakaian dan kata mahu rogol saya jika nenek enggan menyerahkan gelang dan cincin emas yang dipakai,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Lagi angkara khianat



ENAM buah motosikal dan sebuah kereta musnah angkara perbuatan khianat di Taman Seri Kuching, Sentul semalam.



KUALA LUMPUR – Tindakan khianat pihak tertentu bukan sahaja mengakibatkan sebuah kereta dan enam motosikal musnah dibakar malah menyebabkan tujuh penghuni termasuk dua kanak-kanak sesak nafas selepas terhidu asap tebal semalam.
Kejadian pukul 5.05 pagi di Blok R Flat Sri Kuching dekat Taman Seri Kuching di sini itu berlaku ketika rata-rata penghuni masih nyenyak tidur.
Mengimbau semula kejadian itu, pemilik kereta jenis Proton Saga, Meoh Bee Leong, 52, berkata, dia terus ke tempat letak kereta selepas dikejutkan isterinya yang terdengar bunyi kecoh meminta supaya penghuni mengalihkan kenderaan masing-masing.
“Sebaik tiba, saya lihat api sedang marak membakar motosikal dan enjin kereta saya. Saya cuba mengalihkan kereta namun gagal kerana api merebak dengan pantas,” ceritanya ketika ditemui di sini.

Inspektor disiasat cabul isteri orang

SEREMBAN - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor disiasat kerana didakwa mencabul seorang kerani wanita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada minggu lalu.
Pegawai berusia 40-an itu didakwa mencabul mangsa yang berusia 34 tahun di dalam lif di bangunan IPK Negeri Sembilan pada pukul 12 tengah hari, 29 November lalu.
Sumber berkata, ketika kejadian pegawai polis berkenaan bersama mangsa berada di dalam lif sebelum lelaki terbabit secara tiba-tiba mencabul wanita berkenaan.
Kata sumber itu, mangsa yang bertugas sebagai kerani pentadbiran di IPK kemudian memberitahu kejadian tersebut kepada suaminya sebelum pasangan itu membuat laporan polis.
Difahamkan, mangsa terbabit juga mendakwa pegawai polis berkenaan yang sudah berkahwin sudah beberapa kali membuat gangguan seksual ke atasnya sebelum ini.
Wanita itu turut mendakwa pegawai polis yang bertugas di bahagian narkotik pernah beberapa kali menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah selain pernah meraba punggung mangsa.
Kejadian terbaharu itu menyebabkan wanita terbabit hilang sabar menyebabkan mangsa mengadu kepada suaminya sebelum membuat laporan polis.
Sumber itu memberitahu, pegawai polis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

11 beranak miskin alas perut dengan air paip



WAN NORAZMAN (kiri) dan Aminah (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Razimah (dua dari kanan) dan Mohd. Anuar (kanan) di PPRT Taman Manggis, George Town semalam.



GEORGE TOWN – Seorang ibu terpaksa menahan air mata saban hari apabila melihat anak-anaknya meminum air paip untuk menghilangkan dahaga dan lapar sejak seminggu lalu ekoran kemiskinan hidup.
Itulah yang dialami Razimah Rahman, 39, bersama sembilan anaknya setelah suami, Mohd. Anuar Ahmad, 43, tidak lagi dapat bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas menjalani pembedahan usus Januari lalu.
Menurut Razimah, tujuh daripada sembilan anak berusia antara lapan bulan hingga 22 tahun masih belajar di sekolah rendah dan dia pula tidak dapat keluar bekerja kerana tiada sesiapa yang menjaga anak-anaknya.
Jelasnya, dia hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan bagi menampung hidup mereka 11 beranak.
“Sejak suami sakit, kami hidup susah. Sedih melihat anak-anak minum air paip sebab tiada wang untuk beli makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis di sini semalam.

Nyda sedia pamer aksi ‘goyang gerudi’

HARNIDA SHAZILA


KUCHING – Peserta Soulstar 2012, Harnida Shazila Haron, 17, mengakui tidak sabar untuk menunjukkan aksi ‘goyang gerudi’ Inul Daratista apabila mendendangkan lagu Kopi Dangdut pada konsert mingguan kelima Sabtu ini.
Dia yang lebih mesra disapa Nyda berkata, penampilan seksi penyanyi dangdut terkenal Indonesia itu bakal mencabar kebolehannya untuk menyanyi sambil menari.
Nyda bagaimanapun meletakkan faktor menjaga kesusilaan atas pentas sebagai keutamaan meskipun yakin dengan kemampuan yang ada pada dirinya.
“Bagi saya, irama dangdut ada keistimewaannya meskipun ramai berpendapat irama ini boleh mengundang berahi ketika melakukan persembahan.
“Gelekan saya mungkin tidak sekencang Inul, namun saya sangat teruja apabila dipilih untuk mendendangkan lagu ini,” katanya di sini semalam.

Nad Zainal tidak berahsia


FIGURA cantik ini memberitahu dia teringin untuk berlakon dalam drama atau telefilem epik dan perang.


MENYERLAH sepanjang tahun 2012, Nad Zainal, 22, merupakan salah seorang bintang baharu yang paling mencuri perhatian ramai menerusi kualiti lakonannya.
Bermula dengan slot sitkom bersiri khas TV3, Memberku Hawa yang menggandingkannya dengan pelakon Faezah Elai, Nad semakin dikenali menerusi drama Bukan Bidadari. Terkini, dia muncul dalam telefilem sedang hangat ditayangkan di TV3, Putera Rayyan.
Seiring dengan kerjayanya yang meningkat naik, Nad tidak terlepas diburu dengan kisah peribadi. Sementelah dia sendiri sudah beberapa kali dilihat membawa kekasihnya yang hanya dikenali dengan nama Azwan ke majlis-majlis yang dihadirinya.
Kosmo! yang berkesempatan bersua muka dengan pasangan itu pada majlis resepsi Diana Danielle dan Farid Kamil di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 1 Disember lalu mendapatkan kenyataannya berhubung status mereka.
Kosmo!: Nad nampak tidak kekok membawa teman lelaki ke beberapa acara sejak kebelakangan ini. Tidakkah anda takut ditohmah oleh orang sekeliling mahupun peminat?
NAD: Saya dan Azwan (teman lelaki) berkenalan sudah hampir dua tahun dan diakui saya bukan jenis orang yang suka berahsia. Bagi saya, tidak ada yang perlu disorok. Lagipun kami hadir ke majlis terbuka. Kalau kami dilihat bersama selalu ke kelab malam atau menghadiri parti sosial, barulah boleh dikatakan kontroversi. Emak saya percayakan dia dan saya rasa selamat bersama dia.
Ada perancangan untuk ke langkah seterusnya? Mungkin mengikat tali pertunangan terlebih dulu?
Buat masa sekarang belum ada sebarang perancangan lagi. Perjalanan kami masih jauh dan mahu fokuskan kerjaya terlebih dulu. Dia banyak membuat kerja-kerja di belakang tabir dan secara tidak langsung kami pun lebih kerap berjumpa.

NAD bersama kekasihnya, Azman. Mereka telah bercinta selama dua tahun tetapi belum mempunyai perancangan untuk berkahwin.


Bagaimanakah anda melihat perkembangan kerjaya pada tahun ini? Adakah anda sudah berpuas hati?
Saya tidak pernah berpuas hati dan mahukan lebih daripada apa yang sedang saya lakukan sekarang. Saya sudah berada dalam industri ini sejak tahun 2007 dan ketika itu tiada siapa perasan saya pun. Bagaimanapun, situasinya mula berbeza kini. Alhamdulillah, apabila rajin berusaha insya-Allah pintu rezeki kita akan dipermudahkan.
Apakah watak idaman anda yang masih belum tercapai sehingga sekarang?
Kebanyakannya saya sudah dapat peranan yang diimpikan. Cuma saya teringin berlakon drama atau filem epik dan perang yang memerlukan saya memakai kostum lama.
Bagaimanakah pula dengan watak air mata? Adakah anda selesa sekiranya suatu hari nanti sentiasa ditawarkan watak berat?
Jujurnya, saya lebih senang sebenarnya menjadi diri sendiri. Saya seorang yang periang dan untuk menggalas watak-watak berat, sebenarnya agak susah sedikit buat saya. Bagaimanapun saya tidak kisah sekiranya ditawarkan watak air mata, cuma nanti perlu ada fasa keseimbangan untuk menerima watak-watak ringan sekali sekala.
Selain drama bersiri Putera Rayyan yang sedang ditayangkan di TV3 sekarang, apakah perkembangan terkini anda?
Saya baru habis penggambaran filem Kami Histeria bersama Fazura dan Diana Danielle. Kini saya baru memulakan penggambaran telefilem Cinta bersama Zahiril Adzim. Selain itu, sitkom Memberku Hawa musim kedua juga akan muncul.

Kuala Pilah dilanda banjir kilat



YUK YIN (kanan) bersama keluarganya sibuk membersihkan kedainya yang kotor dilanda banjir kilat di pekan Dangi, Kuala Pilah semalam.



KUALA PILAH – Seramai 25 penduduk di sekitar kawasan Senaling dan Johol dekat sini dipindahkan buat sementara selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat petang kelmarin.
Hujan lebat selama dua jam bermula pukul 5 petang itu menyebabkan beberapa rumah ditenggelami air hampir satu meter.
Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Dangi, Kampung Geduhum, Kampung Air Taling, Kampung Yu dan Kampung Dioh.
Banjir kilat itu menyebabkan 25 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Dangi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau telah meminta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar beberapa keperluan kepada mangsa banjir.

Rugi sawah ditenggelami air



AHMAD ZAKI (kiri) bersama dua pesawah lain menunjukkan anak padi yang rosak akibat ditenggelami air di Pendang semalam.



PENDANG – Seramai 20 pesawah di Kampung Perupok, Kubur Panjang di sini kerugian lebih RM20,000 akibat sawah mereka yang luas keseluruhannya 28.35 hektar ditenggelami air sebanyak empat kali mulai awal September lepas.
Ketua Unit Padang Kampung Perupok, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubor Panjang, Ahmad Tarmizi berkata, kejadian terbaharu berlaku empat hari lalu.
Beliau berkata, punca utama sawah ditenggelami air ialah kerana tali air yang sepatutnya menyalurkan air ke Sungai Lampam tersumbat menyebabkan air bertakung hampir seminggu.
“Tali air itu dikatakan tidak diselenggara sejak 20 tahun lepas. Kalau tidak banjir, padi sudah boleh dituai pada hujung bulan depan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kate Middleton hamil


GAMBAR fail menunjukkan Putera William dan Kate berpegangan tangan selepas majlis
perkahwinan mereka di Westminster Abbey, tengah London pada 29 April lalu. - Reuters



LONDON - Isteri kepada Putera William, Kate Middleton atau Duchess of Cambridge, Catherine, terpaksa bermalam di hospital untuk dirawat akibat alahan mengandung yang teruk selepas pengumuman bahawa pasangan diraja berkenaan dijangka menyambut anak pertama mereka.
Keluarga diraja Britain itu mendedahkan berita gembira tersebut pada Isnin, sekali gus menamatkan spekulasi hangat mengenai bayi yang bakal menjadi raja Britain sama ada ia lelaki atau perempuan.
Ratu Elizabeth II dan seluruh keluarga diraja nyata gembira dengan berita kehamilan Kate. William dan bapanya, Putera Charles telah melawat Kate di Hospital King Edward VII di tengah London, jelas sumber istana.
Bayi itu bakal menjadi pewaris takhta diraja Britain selepas Charles dan William tanpa mengira jantinanya berikutan kerajaan Britain mahu menggubal undang-undang lama yang sebelum ini memberi keutamaan kepada pewaris lelaki.
Menurut sumber istana, pasangan tersebut baru sahaja menyedari kehamilan Kate. Agensi berita The Press Association melaporkan kehamilan itu masih belum memasuki minggu ke-12, tetapi pengumuman itu didorong oleh kondisi perubatan Kate.
Kate dimasukkan ke hospital pada Isnin kerana mengalami hypermesis gravidarum, iaitu alahan teruk yang memerlukan hidrasi dan nutrien tambahan.
"Memandangkan kehamilan masih di peringkat awal, beliau dijangka berada di hospital untuk beberapa hari lagi. Kate juga memerlukan masa untuk berehat," jelas kenyataan dari istana.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan isteri, Michelle yang ada bertemu dengan keluarga diraja itu ketika lawatan mereka ke Britain tahun lalu menyampaikan ucapan tahniah mereka. - AFP

Bekas ketua polis trafik ditangkap kerana rasuah



DJOKO SUSILO (tengah) bersama peguamnya ketika tiba di ibu pejabat KPK di Jakarta, Indonesia.



JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia telah menahan seorang ketua polis trafik kerana terlibat dalam kes rasuah bernilai jutaan ringgit, sekali gus menjadi skandal rasuah terbaharu melibatkan pasukan polis republik tersebut.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) mengesahkan penahanan bekas ketua polis bahagian trafik, Djoko Susilo atas tuduhan salah guna kuasa dalam kes melibatkan tender berjumlah AS$21 juta (RM64 juta) untuk pembelian simulator pemanduan.
"Kami akan menyoal siasat suspek dalam tempoh 20 hari. Sekira wujud bukti yang kukuh, kami akan membawa kes ini ke mahkamah," kata jurucakap KPK, Johan Budi.
KPK mendakwa Susilo menerima lebih AS$200,000 (RM608,599) sebagai suapan daripada seorang pembida tender.
Pemenang tender, syarikat keluli, Citra Mandiri Metalindo Abadi yang terkenal dengan pengeluaran penutup botol dikatakan tidak mempunyai pengalaman atau kapasiti untuk membekalkan simulator terbabit.
Tahun lalu, Indonesia mendapat markah 3.0 dalam Indeks Persepsi Rasuah dan Ketelusan Antarabangsa. Markah sepuluh bermaksud bersih daripada rasuah, manakala markah kosong bermakna sangat korup.
KPK diberi kuasa besar untuk menahan suspek, meneliti akaun bank dan menyiasat semua pegawai polis berpangkat tinggi. - AFP

Kastam rampas wang kertas lebih 1.8 juta Euro



WANG kertas lebih 1.8 juta Euro disembunyikan di ruang rahsia tempat duduk belakang kereta Audi A6.



PARIS - Dua lelaki Cina ditangkap di sebuah pos pemeriksaan Perancis dekat bandar Strasbourg pada bulan lalu bersama wang tunai lebih 1.8 juta Euro (RM7.1 juta) yang disembunyikan di tempat duduk kereta mereka, kata Kastam Perancis.
Wang tunai itu ditemui semasa pihak kastam melakukan pemeriksaan di plaza tol lebuh raya A4 di Schwindratzheim.
Sebanyak 38,000 keping wang kertas dengan nilai 20, 50, 100, 200 dan 500 Euro dirampas dari ruang rahsia tempat duduk belakang kereta Audi A6 yang dinaiki oleh mereka.
Tangkapan tersebut dibuat pada 11 November lalu tetapi kastam Perancis mengumumkannya semalam ekoran kes tersebut masih disiasat.
Kedua-dua lelaki berkenaan mendakwa mereka sedang dalam perjalanan ke Vienna untuk bercuti.
Suspek yang berketurunan Cina tetapi menetap di Portugal kini ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan wang tersebut. - Agensi

Bopha membadai Filipina



PENDUDUK mengumpulkan barang-barang selepas rumah mereka musnah ditiup Taufan Bopha di bandar Cagayan de Oro, Mindanao semalam.- AFP



MANILA - Taufan Bopha meragut 43 nyawa di sebuah bandar di Filipina semalam, lapor stesen televisyen tempatan, ABS-CBN dari lokasi kejadian.
"Saya mengira sebanyak 43 mayat di atas lantai," kata wartawan, Vina Araneta kepada stesen televisyen berkenaan menerusi panggilan telefon dari sebuah bangunan pentadbiran di bandar Bataan Baharu di selatan Pulau Mindanao.
Terdahulu beberapa pegawai melaporkan, seramai lapan orang terbunuh dalam bencana tersebut di beberapa tempat lain di Mindanao.
Wartawan berkenaan menyatakan datuk bandar itu, Lorenzo Balbin memberitahunya bahawa kebanyakan mangsa yang maut berasal dari perkampungan berdekatan di mana banjir kilat telah menenggelamkan sebuah pangkalan tentera Filipina.
Bopha yang merupakan taufan terkuat melanda Filipina pada tahun ini membadai Mindanao semalam dengan menyebabkan banyak rumah musnah dan bekalan elektrik terputus.
Ribut yang berkelajuan 195 kilometer sejam itu turut menumbangkan pokok-pokok dan bumbung-bumbung rumah.
Pegawai bencana, Liza Mazo berkata, lebih banyak kemalangan jiwa dijangka berlaku selepas pasukan penyelamat dikerah ke tempat-tempat yang terjejas teruk dalam bencana tersebut.
Media Filipina melaporkan berpuluh-puluh orang cedera akibat terkena serpihan yang diterbangkan angin, dihempap pokok tumbang dan dihanyutkan banjir kilat.
Namun, pihak berkuasa dapat mengelakkan angka kemalangan jiwa lebih besar dalam taufan kali ini ekoran perpindahan awal yang dilakukan. Setakat semalam lebih 155,000 orang berlindung di sejumlah pusat penempatan sementara di pulau berkenaan.
Sekitar 20 taufan melanda Filipina pada setiap tahun termasuk taufan Thelma (1991), Ketsana (2009) dan Megi (2010) dan dengan mendatangkan banyak kemusnahan dan kematian.
Seramai 1,500 orang terbunuh apabila Taufan Washi melanda Mindanao pada tahun lalu.
"Sudah cukup kami terseksa," kata seorang wanita, Felicitas Cabusao sambik memeluk anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, berpuluh-puluh penerbangan dan perkhidmatan feri di tengah dan selatan Filipina digantung semalam manakala sekolah dan sebahagian premis perniagaan turut ditutup.
Bopha yang membawa ribut meliputi kawasan seluas 500 kilometer kini bergerak ke arah barat-barat daya dan dijangka tiba di Laut China Selatan esok.
Bopha yang bermaksud bunga atau gadis dalam bahasa Kemboja merupakan ribut ke-16 yang melanda Filipina pada tahun ini. - Agensi

Penentang Bashar Al-Assad tembak jatuh jet MiG



BEBERAPA pejuang Tentera Pembebasan Syria memeriksa bangunan yang musnah selepas dibedil jet pejuang tentera Presiden Bashar Al-Assad di pinggir Damsyik pada Sabtu lalu. - REUTERS



DAMSYIK - Pejuang-pejuang penentang di Syria menembak jatuh sebuah jet perang MiG yang mengebom beberapa kubu kuat pihak penentang dalam wilayah Damsyik, kata beberapa aktivis semalam.
"Pasukan Tentera Pembebasan Syria (FSA) menembak jatuh sebuah jet pejuang di antara bandar Dumeir dan Rahiybeh kelmarin. Jet itu dikenal pasti telah mengebom beberapa bandar dan pekan di Ghuta Timur," kata seorang jurucakap FSA.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, pihaknya menerima laporan sebuah jet tentera Syria ditembak jatuh dekat Dumeir, sekitar 40 kilometer ke barat daya bandar raya ini.
Sejak akhir Julai lalu, rejim Presiden Bashar Al-Assad bergantung kepada jet-jet pejuang untuk mengekang penentangan yang semakin meningkat di negara itu.
"Jika tentera Syria mula kehilangan beberapa pesawat setiap hari ia menjadi titik perubahan kerana rejim tersebut akan hilang kelebihannya dan tidak lagi dapat melakukan serangan berat dengan berkesan," kata seorang penganalisis tentera, Riad Kahwaji.
Dalam pada itu, Perancis menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara semalam dalam memberi amaran kepada Damsyik supaya tidak menggunakan senjata kimia terhadap FSA.
"Sebarang penggunaan senjata kimia oleh Bashar tidak dapat diterima," kata jurucakap Kementerian Luar, Vincent Floreani.
"Kepimpinan di Damsyik perlu tahu bahawa masyarakat antarabangsa sedang memerhati mereka dan akan bertindak jika senjata tersebut digunakan," tambahnya.
Kelmarin AS memberi amaran kepada Bashar bahawapihaknya akan menimbang tindakan ketenteraan sekiranya beliau menggunakan senjata kimia terhadap rakyatnya sendiri.
Amaran tersebut dikeluarkan ketika konflik berdarah di Syria telah meragut lebih 41,000 nyawa setakat ini.
Rakyat Syria bangkit menentang pemerintahan Bashar pada Mac tahun lalu untuk menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi. - Agensi

No comments:

Post a Comment