Sebahagian Sunnah yang Dilupakan
1. Meninggalkan janji melakukan sesuatu perkara kerana maslahah dan diikuti dengan membayar kafarah.
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda:
Sesiapa yang berjanji atas sesuatu, setelah itu dia melihat perkara lain lebih baik dari yang telah dijanjikannya, maka hendaklah dia membayar kafarah atas janji yang telah dilakukannya itu seterusnya dia melakukan perkara yang dilihatnya lebih baik itu.” – (HR Muslim dan al-Tirmizi)2. Melakukan Sujud syukur ketika mendapat sesuatu yang disenangi atau terhindar dari sesuatu yang tidak disukai.
al-Baghawi menyebut dalam syarah sunnah 3/316:
Mafhumnya: “Sujud syukur adalah sunat ketika memperolehi sesuatu nikmat (kebaikan) yang telah lama dinantikannya, atau terhindar dari musibah yang dinantikan tersingkap.” Ibn al-Qayyim berkata di dalam Zad al-Ma’ad 1/360:
Adalah termasuk dari petunjuk baginda SAW dan para sahabat RA, melakukan sujud syukur ketika memperolehi nikmat yang menggembirakan atau terhindar dari musibah.
3. Mengucapkan tahniah kepada orang yang mendapat kebaikan agama atau duniawi.
Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan tentang kisah taubat Ka`ab ibnu Malik RA katanya:
Mafhumnya: “Talhah bin ‘Ubaidillah berdiri lalu datang dengan tergesa-gesa kepadaku lalu bersalaman dan mengucapkan tahniah kepadaku.”
Ibn al-Qayyim menyebut dalam Zad al-Ma`ad: “Dan di dalamnya dalil menunjukkan keharusan mengucapkan tahniah kepada sesiapa yang mendapat kebaikan agama, berdiri apabila berjumpa dan bersalaman dengannya. Ini adalah sunnah yang digalakkan.”
4. Menunaikan solat dua rakaat ketika bertaubat daripada dosa besar.
Daripada Asma binti al-Hakam al-Fizari daripada Ali RA, daripada Abu Bakar As-Siddiq RA bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tiadalah seseorang lelaki yang melakukan dosa, kemudian dia bangun berwuduk kemudian menunaikan solat – di dalam satu riwayat mengatakan solat dua rakaat – kemudian dia memohon keampunan daripada Allah melainkan Allah akan memberi keampunan kepadanya.”5. Bersedekah ketika bertaubat
Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan kisah Ka`ab RA yang berkata:
Mafhumnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya termasuk dari taubatku, aku akan memberi sedekah dari hartaku ke jalan Allah dan rasulNya. Rasulullah bersabda: Simpanlah sebahagian dari hartamu itu, maka ia adalah lebih baik bagimu.”
Ibn al-Qayyim berkata di dalam Zad al-Ma’ad 3/585-586: Perkataan Ka`ab, Wahai Rasulullah sesungguhnya termasuk dari taubatku, bahawa aku akan memberi sedekah dengan hartaku, merupakan dalil sunatnya bersedekah ketika bertaubat dengan apa yang mampu dari harta.”
6. Bertakbir dan Bertasbih Ketika Kehairanan dan Keingkaran
Daripada Abu Hurairah RA katanya:
“Beliau pernah berjumpa dengan Nabi SAW di jalan-jalan di Madinah, sedangkan beliau berada dalam keadaan berjunub, lalu beliau berpaling dan pergi untuk mandi janabah, kemudian beliau mendapatkan Nabi SAW, ketika beliau sampai, baginda bertanya: Kemana engkau wahai Abu Hurairah? Beliau menjawab: Wahai Rasulullah, Engkau bertemu dengan ku, sedangkan aku dalam keadaan berjunub, lalu aku tidak suka untuk bersama denganmu dalam keadaan demikian sehingga aku mandi (janabah) terlebih dahulu. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Maha Suci Allah, sesungguhnya seorang muslim itu tudak najis.” - (HR al-Bukhari dan Muslim)Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Dan sesungguhnya aku, benar-benar mengharapkan kamu semua (umat baginda SAW) menjadi satu perempat dari ahli syurga” lalu kami bertakbir, kemudian baginda bersabda: “satu pertiga dari Ahli Syurga.” Lalu kami bertakbir, kemudian baginda bersabda: “Satu perdua ahli syurga.” Lalu kami bertakbir.” – (HR al-Bukhari dan Muslim)7. Sunat menulis wasiat.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda
“Tidak patut bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan – di dalam riwayat yang lain – baginya ada sesuatu yang hendak diwasiatkan, untuk dia bermalam selama dua malam – dalam riwayat yang lain – selama tiga malam, melainkan wasiatnya tertulis di sisinya.”8. Peminjam memulangkan lebih dari kuantiti dan kualiti apa yang dipinjamnya tanpa ada sebarang syarat yang terdahulu.
Daripada Abu Hurairah RA katanya:
“Dahulunya ada seorang lelaki yang meminjamkan Nabi SAW seekor unta dengan usia yang tertentu, suatu hari dia datang meminta dipulangkan semula unta yang dipinjam tersebut. Baginda bersabda: Berikan kepadanya, maka para sahabat mencari unta dengan usia tersebut, akan tetapi mereka tidak mendapatinya melainkan unta yang lebih besar usianya. Lalu baginda (SAW) bersabda: Berikan kepadanya. Kata lelaki itu: kamu telah memenuhi (membayar hutangmu) kepadaku, semoga Allah memenuhi (janjiNya) kepadamu.” Lalu Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang lebih baik di kalangan kamu adalah orang yang lebih baik dalam menunaikan hutang.” – (HR al-Bukhari)Termasuk dari petunjuk Nabi S.A.W, baginda tidak menarik tangan ketika bersalaman sehingga orang lain yang terlebih dahulu menariknya.
Daripada Anas bin Malik RA katanya:
“Adalah baginda (SAW) apabila bersalaman dengan seseorang lelaki, baginda tidak akan menarik tangan, sehinggalah lelaki itu yang terlebih dahulu menarik tangannya.” – (HR Imam Muslim, Ibnu Majah, al-Baghawi dalam syarah sunnah dan Ibnu Hibban serta selain mereka. Hadith ini telah disahihkan oleh al-Albani di dalam kitab al-Silsilah as-Sahihah)9. Mendahulukan kaki kanan ketika memakai kasut dan mendahulukan kaki kiri ketika menanggalkannya.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang dari kamu memakai kasut, maka mulakan dengan sebelah kanan, apabila hendak mencabutnya mulakan dengan sebelah kiri. Jadikan kaki kanan itu permulaan ketika memakai kasut dan yang akhir ketika menanggalkannya.” – (HR al-Bukhari dan Muslim)Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam syarah Sahih Muslim 2/163: “Ini merupakan kaedah yang berterusan dalam syara`, setiap perkara yang termasuk di dalam bab menghormati dan memuliakan seperti memakai baju, seluar dan juga khuf, memasuki masjid, bersiwak, memakai celak, memotong kuku, memendekkan misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut, memberi salam dari solat, membasuh anggota ketika bersuci, keluar dari tandas, makan dan minum, bersalaman dan melakukan Istilam kepada Hajar al-Aswad, dan selainnya yang termasuk dalam maknanya (menghormati dan memuliakan), disunatkan memulakan dengan kanan. Adapun apa yang berlawanan denganya seperti memasuki tandas, keluar dari masjid, mengeluarkan lender (dari hidung), istinja’, membuka baju, seluar dan khuf, dan seumpamanya, disunatkan memulakan dengan kiri. Semua ini kerana disebabkan kemuliaan kanan dan Allahlah yang lebih mengetahui.”
10. Kadang-kadang berjalan tanpa memakai kasut
“Daripada Abdullah bin Buraidah, bahawasanya seorang lelaki dari kalangan sahabat Nabi SAW, pergi menemui Fadholah bin `Ubaid di Mesir. Ketika bertemu dengannya, lelaki itu berkata: Saya bukan datang untuk menziarahimu, akan tetapi saya mendengar bahawa saya dan anda pernah mendengar satu hadith dari Rasulullah SAW, saya berharap anda memiliki maklumat tentangnya. Fadholah berkata: apakah perkara itu? Lelaki itu berkata: demikian dan demikian, lalu dia berkata lagi: mengapa saya melihat keadaan kamu tidak terurus, sedangkan kamu adalah pemimpin di tanah ini? Fadholah menjawab: sesungguhnya Rasulullah SAW melarang kami daripada banyak berhias. Lelaki itu bertanya lagi: aku melihat kamu tidak memakai kasut. Fadholah menjawab: Nabi SAW pernah menyuruh kami agar tidak memakai kasut sekali-sekala.”
11. Menghalang kanak-kanak keluar rumah ketika maghrib dan menutup bekas makanan dan minuman pada waktu malam.
Daripada Jabir bin Abdullah RA katanya:
Rasulullah SAW bersabda:
Sekiranya hampir waktu malam, maka halanglah anak-anak kamu (dari keluar rumah), kerana sesungguhnya syaitan bertebaran pada ketika itu.”12. Membiarkan tubuh badan terkena air hujan ketika hujan turun
Daripada Thabit al-Banani, daripada Anas RA yang berkata:
“Kami pernah dituruni hujan ketika bersama dengan Rasulullah SAW, beliau (Anas) berkata: Maka Rasulullah SAW membuka sebahagian dari bajunya agar terkena air hujan. Lalu kami bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, kenapa Rasulullah berbuat demikian? Baginda menjawab: Kerana ia baru diciptakan oleh Allah taala.” – (HR Muslim)Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya 3/464: “Pada hadith ini adanya petunjuk terhadap pandangan sahabat kami yang mengatakan sunat ketika hujan baru turun untuk membuka anggota yang bukan aurat supaya disentuh air hujan tersebut, dan mereka berdalilkan dengan hadith ini, padanya juga menunjukkan seseorang yang mafdhul (yang dilebihkan), jika melihat dari seseorang al-Fadhil (yang mememiliki kelebihan) sesuatu yang tidak diketahuinya, hendaklah dia bertanya tentang perkara tersebut, agar orang itu mengajarkan kepadanya, sehingga dia boleh mengamalkannya dan mengajarkan pula kepada orang lain.
13. Menziarahi masjid Quba dan menunaikan solat di dalamnya setiap minggu
Daripada Nafi`, daripada Ibnu Umar RA:
“Bahawa Rasullullah SAW menziarahi Masjid Quba dengan menaiki tunggangan atau dan berjalan kaki.” Di dalam riwayat yang lain: Adalah Rasullullah SAW menziarahi masjid Quba dengan menaiki tunggangan dan berjalan kaki, dan baginda akan menunaikan solat dua rakaat didalamnya.”Dalam riwayat daripada Abdullah bin Dinar, bahawa Ibnu Umar sentiasa pergi ke Masjid Quba’ pada setiap hari sabtu dan beliau berkata:
“Saya melihat Nabi SAW pergi ke Masjid Quba pada setiap hari Sabtu.”Wallahu a’lam.
Sumber: http://www.al-qayyim.net/
Apabila Segalanya Di Pertontonkan Di Facebook
“Ko perasan tak, yang Facebook dah banyak berubah?”. Ehsan memulakan perbualan. Char koey teow special telah habis dijamahnya.
“Aah, aku perasan juga. Dah ada ticker sekarang ni, yang mana segala perbuatan kita di Facebook, akan diketahui umum. Malah, kalau upload gambar pun, punyalah besar apabila ada dekat wall tu. Dahsyat Facebook sekarang ni.” Rungut Azmi. Dia meneguk teh ais, sambil mengetap bibir kerana kesejukan.
“Aku pula cuma kurang suka sekiranya kawan-kawan perempuan aku, begitu seronok upload gambar kat Facebook. Bukannya apa, tidak ada salahnya untuk upload, tetapi tidak perlulah sehingga mendedahkan aurat, malah membuat gaya yang menggoda. Mata-mata yang liar begitu banyak memerhatikan mereka. Saham dosa semakin bertambah tanpa sedar. Tidak terkecuali bagi kawan-kawan lelaki juga yang suka mendedahkan aurat. Seolah-olah di akhirat, segalanya dipertontonkan di Facebook. Segala dosa-dosa akan dituntut di akhirat kelak.” Azmi menambah.
“Hmm, maka disebabkan itulah, kita kena pandai ambil peluang.” Ehsan menimbulkan tanda tanya dalam diri Azmi.
“Maksud ko?” Azmi menggelengkan kepala, tanda tidak mengerti.
“Orang selalu fikir bahawa laman web sosial ni, hanyalah tempat untuk kita bersosial sahaja, yang mana ikhtilat lelaki dan perempuan sudah tidak ada batasan. Bukanlah bermaksud tidak boleh berkawan langsung dengan berlainan jantina di Facebook, namun, perlu menjaga batas pergaulan, sungguhpun hanya di alam maya. Janganlah sehingga menimbulkan fitnah dan syak wasangka, atas segala perbuatan kita yang dipertontonkan di Facebook tu.” Hujah Ehsan.
“Gunakan medium ini untuk berdakwah. Nak jadi da`ie mesti kreatif. Takkan nak tunggu kita belajar kat Mesir, amek jurusan Syariah, nak kena jadi ustaz, baru boleh berdakwah, kan? Dengan hanya menggunakan medium seperti Facebook sahaja, kita dapat menyebarkan Islam, memberi manfaat kepada orang lain. Contohnya, boleh sahaja kita post link-link agama yang bermanfaat, contohnya dari ILuvIslam. Kongsikan tafsir Al-quran dan juga Hadis. Kemudian boleh sahaja kita post link-link dari Youtube, video yang memberi pengajaran. Maka apabila dipertontonkan di Facebook, di khalayak ramai, sekurang-kurangnya kita melakukan perkara yang bermanfaat. Mungkin sahaja menjadi saham pahala bagi kita, bukannya menjadikan Facebook sebagai medium menambah dosa dan tempat meluahkan perasaan, kan?” Tambah Ehsan, panjang lebar.
“Hmm, aku setuju dengan pendapat ko. Tapi, bagaimana kalau sesetengah daripada kawan-kawan kita kurang bersetuju? Mungkin sahaja akan ada umpatan-umpatan liar mengatakan bahawa kita pun perangai tak seberapa, nak berdakwah kat orang lain pula.” Azmi cuba menguji Ehsan.
“Iya, tidak dinafikan memang ada sahaja yang tidak bersetuju dengan kita. Namun sedarlah, redha Allah lebih penting dari redha manusia, kan? Perlu menjadi sempurna dulu ke, untuk membuatkan kita berhak menasihati dan berdakwah kepada orang lain? Tanpa sedar, sebenarnya kita dapat memperbaiki diri kita, sedikit demi sedikit.” Hujah Ehsan, padat.
“Betul juga apa yang ko cakap tu. Hmm, haa ko perasan sesuatu tak?”
“Tak pun. Perasan apa?”
“Aku rasa, tokeh kedai ni asyik pandang kita ja, rasanya dia macam dah nak tutup kedai.”
“Haha, agak arh, dah lewat ni kan, ok la, jumpa lagi nanti. Semoga segala apa yang kita bincangkan, memberi manfaat. Semoga Allah mempertemukan kita lagi. Assalamualaikum.”
“Haa, waalaikumussalam.” Mereka berpisah, mengikut haluan masing-masing.
Sumber: http://resolusiaddin.blogspot.com/
Suami Jambatan Ke Syurga
Ayam sudah mula berkokok, mengerakkan hening pagi yang lama membisu. Si suami bangun lalu mengerakkan isterinya.
Si suami berjalan meninggalkan isterinya yg masih terpingga-pinga, masih dibuai mimpi nan indah. Berjalan si suami menuju ke bilik para malaikatnya.
Tombol dipusingkan. Melihat malaikat dan bidadarinya sedang enak tidur, hatinya berat untuk menganggu tidur anaknya itu, tapi mengingatkan pada perintah Tuhannya, dia berjalan pergi pada anak-anaknya. Di usap kepala mereka yg kecil itu. Lalu hatinya berdesis, “nak…besar nanti jadi anak soleh ya… abi dan umi sayang kamu.”
Perlahan-lahan tangan yang kasar itu mengerakkan anak-anak kecil itu. “dah subuh nak….bangun nak…pergi ambil wuduk, kita solat sama-sama. abi tunggu kat luar.”
Bangun anak-anak yang kecil itu meninggalkan selimut mereka. Berjalan separuh sedar menuju ke tandas dan membasuh muka. Mengambil wuduk. persiapkan diri untuk mengikut perbuatan abinya nanti. solat.
Suara yang garau itu dilaungkan ‘Allahuakhbar..’ tangan diangkat, dibawa keduanya ke atas perutnya. Seperti orang yang telah mati diletakkan tangannya.
‘Assalamualaikum wbt….Assalamualaikum wbt….’ tapak tangan mengusapi muka hamba yang berdosa.
Anak kecil lantas terus mengikutinya tanpa sebarang soal. Akalnya masih belum benar mengerti apa yang dilakukan oleh abinya. Cuma diberitahu kita sedang solat. menyembah Tuhan kita, Allah taala.
Tangan diangkat dan dirapatkan, anak kecil cuma mengikut gerakgeri abinya. Si isteri tersenyum manja melihat kedua anak kecilnya itu.
” Ya Tuhan, engkau berikanlah kepada diriku kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anakku, untuk sampai ke syurgaMu.Si isteri merasa sayu..hatinya sayu mendengar luahan doa dari seorang hamba yang cintakan Tuhannya, yang merintih kepada-Nya. Hatinya seperti disirami kasturi dari syurga. Setiap patah yang dilafazkan menusuk ke jiwa sanubarinya. Air matanya tertahan untuk tidak gugur lagi.
Ya Tuhan, jangan Engkau biarkan aku terus menzalimi diriku dan keluarga. Kau jadikanlah aku seorang suami dan ayah yang baik pada isteri dan anakku.
Kau jadikanlah juga isteriku sebagai seorang isteri yg solehah..yang mampu menjadi penyejuk hatiku, yang akan mendamaikan jiwaku. Kau berikanlah dia kekuatan untuk terus dan menerus menjaga anak-anakku. untuk mendidik mereka menjadi anak yg soleh. Kau berikanlah dia ketabahan dan kecekalan dalam mengharungi perjalanan rumahtangga bersamaku. “
“Aku syukur Ya Tuhan, Engkau kurniakan aku seorang isteri yg solehah buat diriku ini.. Aku syukur Ya Tuhan, Engkau berikan seorang ibu yang baik buat anak-anakku ini…
Aku syukur Ya Tuhan, dialah yang akan bersamaku, susah dan senang, untuk kami terus berjalan ke syurgaMu.
Kau eratkanlah kasih sayang antara kami, suami dan isteri, ibubapa dan anak-anak. kurniakanlah kami cinta untuk kami saling berkasihsayang keranaMu.
Ya Tuhan, suatu hari nanti aku pasti akan pergi. pergi meninggalkan dunia yang fana ini. meninggalkan isteri dan anak-anakku. Engkau peliharalah mereka Ya Tuhan! Engkau lindungilah mereka dari menjadi bahan bakar api nerakaMu. Sesungguhnya aku takut untuk itu Ya Tuhan… Ampunkanlah kelalaian diriku selama ini.”
Air mata dari seorg hamba jatuh berderai membasahi bumi. Titisan-titisan taubat dan kecintaan mula luruh. Isterinya sudah tidak tertanggung…pipinya sudah disirami dengan air mata keinsafan. Munajat seorang hamba.
Doa diaminkan…
Suami memandang ke belakang. Entah apa yang dicari. Dia bangun mengorek langkah mendapatkan isterinya, merangkul anak-anak kecilnya.
Tangan isteri dipgg erat. “Sayang…bantu abg untuk bawa keluarga kita ke syurga.”
Tiada kata diucapkan lagi dari bibir si isteri. Air matanya masih belum mahu behenti mengalir. Cuma anggukkan kecil dibuat. Sambil melihat wajah seorang suami dan ayah pada anak-anak mereka.
~tamat…~
p/s: akan bersambung jika sy rajin mencoretkannya lagi. jika ‘mood’ ini datang lagi.
Aurat Antara Wanita Islam Dengan Wanita Bukan Islam
Soalan
Saya pelajar sebuah IPT yang menetap di asrama yang bercampur dengan wanita bukan Islam. Menjadi satu bebanan bagi saya dan kawan2 saya untuk memelihara aurat dalam keadaan orang kafir tinggal sebilik dangan kami.
Jawapan
Saya sering ditanyakan masalah ini,terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Kerana ini sedikit sebanyak akan mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.
Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau …………” .hingga akhir ayat.Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz “an-nisaa” bermaksud wanita-wanita. Tetapi Ia menyebut “nisaaihinna” bermaksud wanita-wanita mereka. Lafaz “nisaaihinna” bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat di antara para ulama’.
Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat hanya kepada wanita Muslimah sahaja. Pendapat ini menurut mazhab Syafie yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azhim katanya :
“Firman Allah SWT ‘nisaa`ihinna’, maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari pada semua wanita, akan tetapi ianya lebih ditekankan lagi kepada wanita ahlu zimmah. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]
Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka. Ini kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.
Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam.
Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dengan kata-kata Ibn Abbas yg mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian kerana takut perempuan kafir akan menceritakan atau mendedahkan kepada lelaki lain atau suami mereka tentang apa yang mereka lihat. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yang bermaksud:
Dan Umar RA menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: “Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama.
Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan Ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqh, Ianya dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah. Iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan illah. Apabila illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.
Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita Muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita Muslimah menampakkan aurat kepada mereka.
Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan wanita Muslimah membuka aurat dihadapan wanita bukan Islam diatas keperluan dan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya ialah dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahlu zimmah) tersebut dapat dipercayai ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu samada ianya boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.
Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki didalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jld 3, hal. 326, yang mengatakan boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan mufassir kontemporari dari Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.
Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka disini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi juz. 3, hal. 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.
Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di hadapan mereka kerana bergaul dengan mereka mendedahkan kepada bahaya dan mudarat sebagaimana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.
Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.
Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yg boleh dibuka spt lengan,kaki, rambut,leher dsb. Tetapi tidak boleh membuka yang sulit-sulit kpd mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita muslimah.
Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan dan memelihara maruah wanita.
WALLAHU ‘A’LAM
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad.
Sumber: http://johor.ikram.org.my/
Nabi Sedih Umat Cuai Solat
http://www.flickr.com/anickue Ketahuilah bahawa bencana dahsyat, perbuatan yang paling buruk, dan aib adalah berpunca daripada kurangnya perhatian masyarakat terhadap mengerjakan ibadah solat lima waktu, solat Jumaat, solat jemaah dan solat sunat yang lainnya.
Pada hal semua itu adalah ibadah yang dengannya Allah SWT meninggikan darjat dan menghapuskan dosa maksiat seseorang. Ibadah solat adalah cara ibadah seluruh penghuni langit dan bumi.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Langit merintih dan memang ia patut merintih, kerana pada setiap tempat untuk berpijak terdapat malaikat yang bersujud atau berdiri (solat) kepada Allah Azzawajalla.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Selepas Isyak aku bersama Umar bin Khattab ra pergi ke rumah Abu Bakar as-Siddiq untuk suatu keperluan. Sewaktu melalui pintu rumah Rasulullah SAW, kami mendengar suara rintihan. Kami pun berhenti sejenak. Kami dengar beliau menangis dan meratap: “Ah…andaikan saja aku dapat hidup terus untuk melihat apa yang diperbuat oleh umatku terhadap solat. Ah…aku sungguh menyesali umatku.”
Orang yang meninggalkan ibadah solat kerana cuai oleh urusan dunia akan malang nasibnya, berat seksaannya, rugi perdagangannya, besar musibahnya, dan panjang penyesalannya. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya bagi orang yang beriman.”(An-Nisa : 103)
Rasulullah menangis
“Wahai Abu Hurairah, mari kita ketuk pintu ini,” kata Umar dan kemudian mengetuk pintu. “Siapa?” tanya Aisyah. “Aku bersama Abu Hurairah.” Kami meminta izin untuk masuk dan beliau mengizinkannya. Setelah masuk, kami lihat Rasulullah SAW sedang bersujud dan menangis sedih, beliau berkata dalam sujudnya: “Wahai Tuhanku, Engkau adalah pengawalku bagi umatku, maka perlakukanlah mereka sesuai dengan sifat-sifat-Mu dan jangan perlakukan mereka sesuai perbuatan mereka.”
“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Apa gerangan yang terjadi, mengapa engkau begitu sedih?”
“Wahai Umar, dalam perjalananku ke rumah Aisyah selepas mengerjakan solat di masjid, Jibril mendatangiku dan berkata: “Wahai Muhammad, Allah Yang Maha Benar mengucapkan salam kepadamu, kemudian ia berkata, bacalah.” “Apa yang harus kubaca?” “Bacalah firman Allah yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan menurutkan hawa nafsunya, mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam : 59).
“Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan mencuaikan solat?”
“Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang sekelompok manusia daripada umatmu yang mencuaikan solat, mengakhirkan solat (hingga keluar dari waktunya), dan menurutkan hawa nafsu. Bagi mereka satu dinar lebih berharga daripada solat.” (Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Umar).
Abu Darda’ berkata: “Hamba Allah yang terbaik adalah yang memperhatikan matahari, bulan dan awan untuk berzikir kepada Allah, yakni untuk mengerjakan solat.” Diriwatkan pula bahawa amal yang pertama kali diperhatikan oleh Allah ialah solat. Jika solat seseorang cacat, maka semua amalnya akan ditolak.
Perintah ahli keluarga bersolat
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Abu Hurairah, perintahkanlah keluargamu untuk solat, kerana Allah akan memberimu rezeki dari arah yang tidak pernah kamu duga.”
“Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ia telah kafir.” (Riwayat al-Bazzar dari Abu Darda’). Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: “Barang siapa bertemu Allah sedang ia mencuaikan solat, maka Allah sama sekali tidak akan mempedulikannya.” (Riwayat Tabarani).
Sumber: http://epondok.wordpress.com/
Hukum Isteri Meminta Cerai
Soalan:
Saya sedang membaca berkenaan hukum seorang isteri meminta cerai daripada suami. Saya dapati terdapat hadis-hadis yang melarang daripada meminta cerai. Pada waktu yang sama terdapat sebuah hadis di mana seorang isteri dengan mudah telah meminta cerai daripada suaminya di hadapan Rasulullah, dan baginda mengizinkannya. Jadi bagaimanakah cara yang betul untuk memahami hadis-hadis ini?
Jawapan:
Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2226]
Maksud alasan yang munasabah ialah umpama suami yang kaki judi, merampas wang isteri, minum arak, kaki pukul isteri atau apa-apa pelanggaran syari’at yang lain. Termasuk pelanggaran syari’at ialah apabila suami secara sengaja tidak melaksanakan peranannya sebagai qawwamun ke atas isterinya.
Ada pun hadis berkenaan seorang isteri yang dengan mudah meminta cerai di hadapan Rasulullah, saya percaya hadis yang dimaksudkan ialah seperti berikut: Sesungguhnya isteri Tsabit bin Qais datang kepada Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Tsabit bin Qais tidak aku cela dalam akhlak dan agamanya, akan tetapi aku tidak menyukai kekufuran di dalam Islam.”
Rasulullah bertanya: “Apakah engkau (sudi) mengembalikan kebunnya kepada (Tsabit, yang sebelum itu diberikan sebagai mas kahwin)?” Isteri Tsabit menjawab: “Ya.”
Rasulullah bersabda (kepada Tsabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5273]
Zahir hadis menunjukkan Rasulullah membenarkan seorang isteri meminta cerai meskipun suaminya tidak memiliki masalah dari aspek akhlak dan agama. Akan tetapi hakikat sebenar tidaklah sedemikian. Isteri Tsabit adalah seorang yang mulia, beliau tidak mahu mendedahkan aib Tsabit kepada Rasulullah atau orang lain. Namun apa yang sebenarnya berlaku antara beliau dan Tsabit dapat diketahui melalui sebuah riwayat lain:
Daripada al-Rubayi’ binti Mu‘awwidz, bahawa Tsabit bin Qais memukul isterinya hingga tangannya patah. Isterinya (bernama) Jamilah binti Abdullah bin Ubay.
Kemudian datanglah saudara lelaki (Jamilah) kepada Rasulullah mengadu berkenaan sikap suami tersebut (Tsabit). Maka Rasulullah mengutus seseorang kepada Tsabit…… [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3497]
Berdasarkan riwayat di atas, kesalahan Tsabit bin Qais memang diakui syarak lagi munasabah untuk Jamilah (isterinya) meminta cerai daripadanya. Meskipun Jamilah ingin menutupi aib suaminya di depan Rasulullah, baginda sudah pun mengetahui tentang kesalahan Tsabit setelah dikhabarkan oleh saudara lelaki Jamilah. Oleh itu Jamilah tidak meminta cerai daripada Tsabit tanpa apa-apa sebab yang syar’e atau munasabah.
Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah. Namun hendaklah ingat bahawa ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi yang awal. Semua perkahwinan akan menghadapi konflik dan cabaran, tidak ada yang terlepas daripadanya. Apa yang membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain ialah usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pasangan untuk saling memperbaiki suasana dan belajar dari kesilapan masing-masing.
Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/
Inilah 1st Lady kita!
hanabira | Dec 06, 2012 | Comments 0
0
0
Semalam tak dapat ngadap FB. Ada kursus
di Ipoh. Balik dah malam,penat terus tidur. Pagi ni ke pasar dulu
kemudian baru boleh on lappy sekejap. Terus mata aku menangkap sosok
tubuh ni di wall FB yang ditag oleh sorang kawan. Betul la! Gambar Raja
Permaisuri Agong kita tuuuu….
Hati kecik ni dah lama sangat berharap.
Dah lama sangat berdoa. Moga-moga Baginda Tuanku akan mengikut jejak
mantan Permaisuri kita sebelum ni, Tuanku Nur Zahirah. Alhamdulillah!
Alhamdulillah! Alhamdulillah!
Ni baru cantik. Baru menepati
sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Raja payung negara.Raja
ketua agama. Islam agama rasmi persekutuan. Jadi tersangatlah moleknya
bila mana seorang Permaisuri Agong @ 1st lady dalam negara kita ni
berimej muslimah macam tu. Aku rasa mesti ramai yang sangat suka
melihatnya. Sangat bersyukur dengan perubahan yang telah diambilnya
sempena Maal Hijrah 1434.
Kita tahu,perintah bertudung yakni
“menutup aurat” telah lama disebut,diseru-seru dalam Al Quran. Kalau ada
yang berkata, “Nantilah…belum sampai seru lagi…esok-esok aku pakai
laa,” itu tak betul.Mana betulnya kan? Dah lebih 1,400 tahun Al Quran
diutus kepada Baginda Rasul. Di dalamnya termaktub segala undang-undang
dan tata cara bagaimana mahu mengendali dunia mengikut kehendak Tuhan
bukan mengikut kehendak hawa nafsu manusia!
Meh kita hayati perintah Allah dalam ayatnya Surah Al Ahzab ayat 33 yang bermaksud :
“Dan hendaklah kamu tetap diam
di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang
dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah
sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada Allah dan
Rasulnya. Sesungguhnya Allah (perintah kamu dengan semuanya itu)
hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan
dari kamu wahai “Ahlu Bait”, dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah WAJIB sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang,berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.
Dengan menutup aurat, wanita Islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.
Perempuan yang menutup aurat akan mudah
dikenali.Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya,
maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk
mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang,dengan itu juga
akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri
mereka.
Seterusnya dalam surah yang sama ayat 59 bermaksud :
“Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya
(semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka
dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak
diganggu.Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.”
Mana-mana perempuan yang masih belum mau
menutup aurat, ayuhlah segera melakukannya. Permaisuri kita dah pun
berhijrah kepada satu jalan kebaikan yang sangat dituntut dalam agama.
Perbetulkan nawaitu dulu. Menutup aurat bukan kerana mengikut-ngikut,
bukan kerana trend zaman ni orang bertudung,kita pun nak bertudung tapi
semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah.
Ada bezanya bertudung dan menutup aurat.
Kalau setakat nak tutup kepala, dengan baldi pun boleh! Itu kata UAI
aka Ustaz Azhar Idrus. Jika tidak memahami maksud sebenar , tu yang
kita nampak betapa ramainya perempuan yang bertudung tapi telanjang!
Kepala ditutup tapi lengan, dada, punggung malah kadang-kadang betis pun
boleh dipertontonkan kepada laki-laki ajnabi.
Ada banyak ceramah @ kuliah UAI yang menyentuh bab aurat. Meh layan yang ini.Dan sebelum terlupa,sama-samalah kita doakan jugak supaya 2nd Lady kita, Hajah Rosmah Mansor pun akan mengikut jejak langkah Permaisuri Agong yang kita kasihi ini. Sayang rasanya kan, penat-penat pergi ke Mekah,balik ke tanah air macam tu jugak. Penat-penat pegi melontar Jumrah tapi balik tetap melawan perintah Allah! Wallahua’lam!
***Sumber Berita Dari: http://mediaperak.net/2012/12/06/kami-sayang-permaisuri-agong/
No comments:
Post a Comment