Keluarga punca lari dari rumah
|
KUANTAN - Siti Nur Fatihah Mahadi (gambar kecil), 15, yang sebelum ini didakwa menjadi mangsa culik sebelum ditemui semula di rumah keluarga kekasihnya di Pekan, Pahang memberitahu dia sengaja melarikan diri kerana tertekan dengan keluarga.
Bagaimanapun, polis setakat ini belum mendapat maklumat lanjut mengenai bentuk tekanan yang dihadapi oleh gadis itu sehingga memaksa dia mengambil jalan singkat untuk lari dari rumahnya di Taman Tas di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner, T. Narenasagaran berkata, perkara tersebut diakui sendiri oleh Fatihah yang memberitahu dia tidak diculik sebaliknya sengaja lari untuk tinggal di rumah kekasihnya yang berusia 26 tahun.
"Laporan yang dibuat kepada polis mendakwa gadis tersebut telah diculik adalah tidak benar. Gadis itu sendiri mengaku dia tidak diculik tetapi keluar rumah dengan rela hati kerana tekanan perasaan," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan Fatihah yang dikatakan hilang pada Ahad lalu semasa keluar membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini diculik oleh dua lelaki dan seorang wanita
Penjara tiga tahun, penalti RM6.39 juta
KUALA LUMPUR - Individu pertama yang didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001, Dr. Hamimah Idruss dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan diarah membayar penalti sebanyak RM6.39 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas lapan tuduhan di bawah akta tersebut selain 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya untuk memalsukan dokumen, sembilan tahun lalu.
Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian terhadap bekas pengarah syarikat farmaseutikal Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd. itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.
Beliau bagaimanapun membenarkan rayuan tertuduh supaya hukuman penjara dan penalti ditangguhkan sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi dengan syarat jaminan dinaikkan sehingga RM1 juta berserta dua orang penjamin.
Tertuduh bagaimanapun membayarwang jaminan tersebut.
Hamimah, 64, menghadapi lapan tuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.3 juta di antara 3 hingga 10 Jun 2003.
Dakwaan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001, jika sabit kesalahan boleh didenda RM5 juta atau penjara lima tahun.
Indonesia tarik balik satu amah, satu tugas
KUALA LUMPUR – Semua amah dari Indonesia yang bakal dihantar bekerja di negara ini tidak lagi terikat dengan tuntutan hanya melakukan satu tugas khusus dalam empat bidang iaitu mengemas rumah, memasak, mengasuh bayi dan menjaga orang tua seperti yang dituntut oleh republik tersebut sebelum ini.Perkara itu disahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam dengan menyatakan, kerajaan Indonesia telah membatalkan tuntutan syarat pembantu rumah dari negara itu hanya melakukan satu tugas khusus serta tuntutan upah tambahan jika bekerja pada hari cuti mingguan.
“Pembantu rumah Indonesia akan menjalankan tugas seperti biasa seperti mengurus rumah, memasak, mengasuh bayi atau menjaga orang tua dan bukan terikat dengan satu tugas khusus seperti yang diusulkan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia sebelum ini.
“Mengenai gaji pula, memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui antara kedua-dua negara berhubung pengambilan amah dari Indonesia pada Mei 2011 tidak menetapkan gaji minimum sebaliknya terpulang kepada budi bicara majikan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Menurut Subramaniam, penarikan balik tuntutan bahawa amah dari Indonesia tidak lagi terikat hanya pada satu tugas itu diberitahu oleh rakan sejawatnya dari Indonesia iaitu Dr. Reyna Usman melalui telefon kelmarin yang menyatakan tuntutan itu sebenarnya dibuat oleh kementerian lain.
Lelaki bakal bertunang maut kemalangan
ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 20 tahun yang difahamkan bakal mengikat tali pertunangan maut dalam kemalangan di Kilometer 66.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran hentian sebelah Kobah di Pendang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, mangsa, Muhammad Aizat Jamal yang memandu kereta jenis Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Muhammad Aizat terpelanting keluar dari kereta dan terhumban ke dalam parit berhampiran tempat kejadian.
Sementara dua penumpang, Mohd. Hazwan Hamzah, 19, dan Nor Shuhada Mohd. Daud, 22, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan.
27 GRO termasuk tiga remaja ditahan
SABAK BERNAM – Polis menahan 27 wanita warga asing termasuk dua remaja berusia 16 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun yang bekerja sebagai pegawai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Bunga Orkid, Sungai Besar di sini semalam.Mereka terdiri daripada 26 wanita Vietnam termasuk tiga remaja terbabit dan seorang rakyat Thailand berusia 20-an.
Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun disyaki ejen wanita berkenaan turut ditangkap bersama enam penjaga premis berusia 20-an hingga 40-an.
Semua tangkapan tersebut adalah hasil serbuan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman membabitkan 16 anggota pada pukul 1.30 pagi.
Superintendan Amir Rasid Derani yang mengetuai operasi yang dikenali Ops Noda itu berkata, serbuan dijalankan setelah pihaknya melakukan risikan dan pemantauan selama empat hari selepas mendapati premis itu menggaji remaja bawah umur.
Menurutnya, ketika serbuan, ketiga-tiga remaja bawah umur itu sedang melayan pelanggan di sebuah daripada 16 bilik yang terdapat di premis dua tingkat tersebut.
Tujuh sekawan culik peniaga dijel seumur hidup
JOHOR BAHRU - Tujuh sekawan dihukum penjara seumur hidup dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah menculik seorang ahli perniagaan tiga tahun lepas.Hakim Kamardin Hashim memutuskan hukuman tersebut terhadap V. G. Vishal, 26, Soon Yong Hwa, 21, S. Sharvin Raj, 21, V. G. Harvinther, 26, S. Richard Roy, 27, T. Kaviaraasu, 23, dan S. Jayakanthan, 29, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes tersebut.
Kamardin bagaimanapun, memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap pada 12 September 2009.
Kesemua tertuduh dan ahli keluarga masing-masing menangis sejurus selepas mendengar keputusan dibacakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melarikan dan mengurung Foo Kwai Sang, 54, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta di Jalan Pulai 7, Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai di sini.
Kesalahan tersebut dilakukan pada pukul 3.45 petang 9 September 2009.
Berhenti sekolah demi keluarga
BUKIT MERTAJAM - Akibat kesempitan hidup dan simpati dengan kesusahan ibu yang terpaksa bekerja menyara keluarga menggantikan ayah yang terlantar sakit, Nor Ain Ahmad Nasir, 17, mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.
Namun, dia tetap berharap dapat menyambung semula persekolahan kerana bercita-cita menjadi doktor.
"Kalau boleh mahu sambung sekolah tapi saya kasihan pada emak dan hidup kami sekeluarga susah, jadi saya buat keputusan berhenti sekolah," katanya ketika ditemui di Taman Seri Pauh di sini kelmarin.
Dalam nada sebak, Nor Ain yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, kadangkala dia bekerja di gerai makan tempat ibunya, Azrina Jali, 36, bekerja bagi membantu menampung perbelanjaan harian keluarga.
"Saya kerja angkat pinggan atau ambil pesanan di gerai. Bayarannya tak menentu, kadang-kadang dibayar RM10 atau RM15," katanya.
Selain bekerja di gerai makan, Nor Ain, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pauh di sini juga menjaga adiknya, Nur Syuhadah, 8, yang menghidap sindrom down serta mengambil adik bongsunya, Puteri Zhullaikha, 6, pulang dari tadika.
Dua lagi adiknya, Natasha Nabiha, 13, dan Nur Fatin Adilah, 12, masih belajar di SMK Seri Pauh dan Sekolah Kebangsaan Seri Pauh.
Bapa mereka, Ahmad Nasir Abdul Rahim, 43, disahkan menghidap sakit jantung yang kronik sejak enam tahun lepas.
No comments:
Post a Comment