Monday, March 19, 2012

NAK MENGEKALKAN KUASA SANGGUP MENGORBANKAN RAKYAT...PEMIMPIN AKAN ALLAH TANYA TENTANG KEPIMPINANNYA DIAKHIRAT KELAK....

Padah langgar pagar rumah mertua

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai emas yang dalam proses perceraian dengan isterinya dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 apabila dia melanggar pintu pagar rumah mertuanya sehingga tercabut.
Hukuman dijatuhkan Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Afzainiezam Hassan, 28, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 7.30 pagi pada 25 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumah bernombor 17866, Taman Semarak, Kuala Terengganu.
Dalam kejadian itu, Afzainiezam dikatakan bertindak melanggar pintu pagar rumah mertuanya dengan menggunakan sebuah kereta.
Akibat perbuatan tertuduh, pintu pagar rumah berkenaan tercabut manakala pasu bunga yang terdapat di pagar berkenaan pecah.

Mati terjatuh dalam lubang najis


SEORANG pengawal keselamatan menunjukkan basikal milik Nur Ammar yang ditemui dekat lubang najis tempat dia terjatuh dan lemas dalam kejadian di Besut, Terengganu kelmarin.


BESUT - Seorang kanak-kanak lelaki yang sedang bermain basikal bersendirian ditemui mati lemas selepas dia terjatuh ke dalam sebuah lubang najis di belakang blok kuarters Pejabat Kesihatan Jabi dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.50 petang itu mengakibatkan Nur Ammar Adlyn Mohd. Husni, 3, maut di tempat dia terjatuh.
Difahamkan, di kawasan itu terdapat lima lubang najis dan salah satunya tidak ditutup dengan sempurna. Kawasan itu baru sahaja disiapkan oleh kontraktor yang dilantik kira-kira dua bulan lalu.
Penutup lubang najis tersebut yang diperbuat daripada logam dikatakan tidak mengikut saiz yang sepatutnya menyebabkannya tidak selari dengan lubang. Penutup itu sepatutnya berukuran 1 1/2 x 2 kaki.
Ibu mangsa, Zurani Zakaria, 35, memberitahu, sebelum kejadian mangsa bermain basikal dengan abangnya di hadapan blok kuarters yang berdekatan dengan kediaman mereka sebelum mangsa pergi ke kawasan belakang blok bersendirian.
Menurut jururawat itu, ketika itu dia sedang bertugas di klinik di kawasan itu manakala suaminya, Husni Mat Husin, 35, sedang bersembang dengan pengawal keselamatan.
"Tidak lama kemudian kami dikejutkan dengan jeritan seorang jiran yang memberitahu anak bongsu daripada tiga beradik tersebut terjatuh ke dalam lubang najis sedalam lebih kurang satu meter setengah.
"Suami saya bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui basikal dan sepasang selipar anak saya berada di tepi lubang najis tersebut," ceritanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Limbungan dekat sini, semalam.

Polis culik peniaga diberkas


AHMAD menunjukkan gari dan sebahagian wang yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR – Kecekapan polis Kedah menyiasat satu kes culik di Bedong, Sungai Petani dekat sini dapat menahan tiga lelaki termasuk seorang anggota polis yang bersekongkol dengan perbuatan jahat tersebut di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur Sabtu lalu.
Kesemua suspek berusia antara 28 dan 50 tahun tersebut ditahan pada pukul 2 pagi.
Anggota polis tersebut bertugas di Negeri Sembilan tetapi dia kini digantung kerja sejak beberapa bulan lalu ekoran kes dadah manakala dua lagi rakannya mempunyai rekod jenayah berkaitan kes curi kenderaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, 23, yang bekerja sendiri telah diculik di hadapan sebuah hotel di Bedong pada pukul 11 pagi Khamis lalu.
Katanya, ketika itu, sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki suspek telah menghalang kereta jenis Proton Gen 2 mangsa sebelum salah seorang suspek memperkenalkan diri sebagai polis Bukit Aman.
“Suspek kemudian menolak mangsa ke dalam keretanya dan penjenayah telah memandu kenderaan tersebut hingga ke Kuala Lumpur.
“Suspek kemudian meminta ahli keluarga peniaga pakaian itu membayar RM60,000 tetapi ia dikurangkan kepada RM40,000,” katanya.

Tiga sekawan dihukum mati

ALOR SETAR - Tiga sekawan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki di Simpang Kuala di sini empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman itu terhadap Choh Yen Leng, 24, Ooi Chee Weei, 25, dan Lim Shu Kiat, 23, selepas mendapati keterangan pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.
Mereka dituduh sebagai ahli satu pertubuhan haram, telah membunuh Tang Wei Yune, 39, di belakang Restoran Yeong Hua, Simpang Kuala di sini kira-kira pukul 11.30 malam pada 27 November 2008.
Difahamkan, pembunuhan tersebut bermotifkan perselisihan faham berkaitan masalah dalaman sebuah pertubuhan haram. Wei Yune juga dikatakan ahli pertubuhan tersebut.
Mereka didakwa menurut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 kanun sama.

Jadi mangsa langgar lari


BEGINILAH keadaan basikal milik Rafizi yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di MRR2 berhampiran susur keluar ke Taman Melawati, Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Seorang ahli Kelab Basikal LeTua terbunuh selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari dalam kemalangan di Kilometer 20.2, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Taman Melawati di sini semalam.
Kejadian pukul 7.50 pagi itu mengakibatkan Rafizi Hamdan, 37, mati di tempat kejadian selepas basikal berharga RM30,000 yang sedang dikayuhnya dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga.
Sebelum kejadian, pegawai bank CIMB di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sedang mengayuh basikal bersendirian dari rumah mertuanya di Kampung Pasir di sini ke Genting Sempah.
Di tengah perjalanan, dia kemudian telah dirempuh hingga terjatuh manakala pemandu kereta tersebut dipercayai melarikan diri sebelum membuat laporan polis.
Biras mangsa, Akmal Abu Hanif, 36, berkata, Rafizi yang menetap di Seremban datang ke rumah keluarga mertuanya pada setiap hujung minggu dan kerap menghabiskan masa lapang dengan mengayuh basikal.
"Dia ada mengajak saya mengayuh basikal tetapi tadi (semalam) saya terpaksa keluar awal (pukul 6 pagi).
"Saya hanya tahu kejadian ini selepas salah seorang daripada kumpulan basikal kami menghubungi saya memaklumkan Rafizi kemalangan," ceritanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.
Tambahnya, Rafizi yang baru sahaja menimang cahaya mata kedua 40 hari lalu itu memang meminati aktiviti mengayuh basikal sejak 10 tahun lalu tetapi belum pernah menyertai sebarang pertandingan.

Kedai disimbah cat merah


RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki sedang menyimbah cat merah ke kedai milik Wen Chieh di Jalan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Gara-gara tabiat bapa yang gemar berjudi dan gagal membayar hutang daripada ah long, seorang peniaga terpaksa menanggung padah apabila kedai miliknya disimbah cat merah sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan.
Peniaga kedai makan berkenaan, Chong Wen Chieh, 33, berkata, dia tidak mengetahui bapanya berhutang dengan ah long sehingga diminta menjelaskan hutang bapanya kira-kira RM30,000 pada bulan lalu.
"Ah long mengancam akan 'melakukan sesuatu' jika saya tidak menjelaskan hutang bapa saya dalam tempoh yang ditetapkan.
"Disebabkan tidak mampu membayar jumlah wang berkenaan, kedai saya disimbah cat merah sebanyak tiga kali sejak pertengahan Februari lalu dan beberapa hari lalu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Jelasnya, kejadian tersebut menyebabkan imej kedainya teruk terjejas kerana cat yang disimbah jelas kelihatan di sekitar kedainya termasuk lantai, dinding, pintu masuk, tangga dan papan tanda kedai.
"Saya seorang peniaga, bagaimana saya hendak meneruskan perniagaan jika imej saya terjejas ekoran kejadian ini sedangkan bukan saya yang meminjam wang daripada ah long," ujarnya yang telah berniaga selama empat tahun di Jalan Kepong di sini.
Wen Chieh berkata, bapanya yang selama ini tinggal bersamanya kini gagal dihubungi serta gagal dikesan sejak kehilangannya selepas Tahun Baru Cina lalu.
Disebabkan ketakutan, dia yang berasal dari Rawang telah membuat laporan polis sebanyak dua kali pada 17 Februari dan 13 Mac lalu di Balai Polis Kepong.

Ikan paus terdampar di timur China


BEBERAPA orang melihat seekor ikan paus yang ditemui mati di daerah Binhai, timur China kelmarin.


YANCHENG - Beberapa orang menyaksikan seekor ikan paus yang mati di tepi sebuah pantai di daerah Binhai, timur China pada Jumaat lalu.
Sebanyak empat ekor ikan paus ditemui terdampar di pantai tersebut oleh sekumpulan nelayan.
Bagaimanapun, semua ikan paus tersebut kemudian ditemui mati pada Sabtu lalu. - Agensi

10 maut van dirempuh kereta api


BEBERAPA penduduk kampung mengalihkan bangkai sebuah van yang dirempuh kereta api di Tasikmalaya, Indonesia semalam.


JAKARTA - Seramai 10 orang daripada sebuah keluarga maut semalam selepas sebuah van yang mereka naiki dirempuh kereta api di bandar Tasikmalaya.
Van itu membawa 14 orang yang melalui lintasan kereta api di bandar tersebut di wilayah Jawa Barat.
Menurut polis, pemandu van itu tidak sedar ketibaan kereta api berkenaan semasa melalui lintasan tersebut.
"Van itu diheret antara lima hingga enam meter sebelum terbalik ke sawah padi," kata seorang pegawai polis, Suherman.
Beliau berkata, tujuh orang mati di tempat kejadian, tiga di hospital manakala empat penumpang lagi berada dalam keadaan kritikal.
"Mereka cedera di seluruh badan dan peluang untuk hidup amat tipis," katanya. - AFP

Letupan di bandar Syria

GAMBAR menunjukkan sebuah bangunan yang rosak teruk akibat bom kereta di Aleppo, Syria semalam.


DAMSYIK - Satu letupan berlaku di sebuah kawasan penduduk di bandar Aleppo, Syria semalam, lapor agensi berita SANA.
Menurut laporan itu, letupan itu dilakukan oleh pengganas tanpa memberikan maklumat kematian dan kecederaan.
Ia merupakan serangan kedua dalam tempoh dua hari di bandar tersebut.
Di bandar tersebut, rejim Presiden Bashar Al-Assad mendapat sokongan kuat daripada penduduk.
Seorang penduduk, Mohammed Saeed berkata, sebuah bom kereta meletup dekat pejabat Jabatan Keselamatan Politik di kawasan penduduk Suleimaniyeh.
Menurutnya, kawasan itu mempunyai ramai penduduk beragama Kristian.
Beliau berkata, letupan tersebut berlaku pada pukul 1 petang waktu tempatan.
Mohameed memberitahu, pasukan keselamatan kemudian melepaskan tembakan ke udara dan mengawal lokasi letupan bom.
Menurutnya, pada hari biasa, kawasan berkenaan menjadi tumpuan orang ramai terutamanya semalam kerana ia merupakan hari pertama bekerja selepas cuti mingguan.
"Ia merupakan letupan yang kuat. Sebahagian bandar bergegar ekoran letupan itu," katanya.
Pasukan Pemantau Hak Asasi Manusia Untuk Syria yang beribu pejabat di Britain turut mengesahkan ia merupakan bom kereta.
Syria berdepan dengan pergolakan sejak awal tahun lalu antara tentera Bashar dengan penduduk yang menentang kepimpinannya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 8,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat berlaku di negara ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment