4 pelajar didakwa bunuh Zara, bapa
|
PETALING JAYA – Kekasih kepada seorang pensyarah kolej swasta yang ditemui mati dibunuh bersama bapanya di Puchong dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bersama tiga lagi rakannya atas dua tuduhan membunuh.
Tertuduh Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, dan tiga lagi rakan, Mohamad Sharafee Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, kelihatan tenang dan hanya menjawab mereka faham, semasa ditanya berhubung tuduhan tersebut.
Namun tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh yang merupakan pelajar di kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Cheras, Kuala Lumpur tempat mangsa mengajar.
Mereka didakwa membunuh Zara Eleena Omar Peter, 23, juga orang kelainan upaya (OKU) di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara Puchong antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac lalu.
Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa membunuh bapa Zara, Omar Peter Abdullah, 57, di antara pukul 11.30 malam, 8 Mac lalu hingga pukul 1.30 pagi, 9 Mac lalu di rumah sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula kes itu bagi menunggu laporan bedah siasat serta untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.
Tiada jaminan ditawarkan dan kesemua tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu kes dibicarakan.
Ahli keluarga mangsa dan juga kesemua tertuduh tidak kelihatan di mahkamah semalam.
Tiga suspek bunuh Dirang dilanjut reman seminggu lagi
|
|
JOHOR BAHRU - Perintah tahanan reman ke atas tiga suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang dilanjutkan seminggu lagi.
Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Hidayah Manaf membenarkan ketiga-tiga tertuduh berusia 30-an itu direman sehingga 30 Mac ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketiga-tiga suspek tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan menaiki van polis dengan masing-masing tangan bergari pada pukul 9.15 pagi sebelum dibawa keluar dari kamar mahkamah sejam kemudian.
Polis sebelum ini menahan empat orang termasuk bapa kandung Dirang, Henry Yondot bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada 1 Mac.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati bapa Dirang tidak terlibat dengan pembunuhan kejam anaknya itu dan hanya tiga suspek berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Hanya tinggal tulang, rangka
PONTIAN – Mayat dua beradik ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tinggal cebisan tulang dan rangka selepas kedua-dua mereka rentung dalam kebakaran melibatkan deretan sepuluh buah rumah kedai separuh papan dua tingkat di Pekan Ayer Baloi di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan Khusnul Khotimah Selamat, 13, dan adiknya, Rohman, 12, maut selepas mereka dikatakan terperangkap ketika sedang nyenyak tidur di tingkat dua premis tersebut.
Khusnul Khotimah merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Baloi manakala Rohman murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi.
Ibu bapa dua beradik itu, Selamat Kosnan, 51, dan Hasniah Abd. Hussin, 50, serta empat adik-beradik mereka, Nor Fitri Yana, 18, Mohd. Iskandar, 17, Mohd. Hanafi, 16, dan Mohd. Sohiban, 15, terselamat dalam kejadian itu.
Turut maut ialah pemilik bengkel motosikal, Ng Kim Leong, 50-an yang dipercayai terkena serangan jantung selepas terkejut melihat premisnya terbakar. Mendiang juga menghidap asma.
Mayat dua beradik itu ditemui dua jam kemudian selepas bomba berjaya memadamkan kebakaran.
Ketika kejadian, hanya rumah keluarga berkenaan yang mempunyai penghuni manakala sembilan lain hanya dibuka pada waktu siang seperti kedai runcit, restoran, kedai telefon, pusat siber, bengkel motosikal dan stor.
'Cair' diperangkap ayat manis
KUALA LUMPUR - Ramai gadis dipercayai lari dari rumah selepas hilang pertimbangan akibat terpengaruh dengan pujuk rayu serta ayat-ayat manis teman lelaki mereka.Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya. Datin Dr. Sapora Sipon berkata, sikap mendahulukan kekasih itu didorong oleh keinginan gadis yang mahu hidup bebas daripada kongkongan keluarga.
"Keinginan untuk hidup bebas inilah mendorong mereka mengambil tindakan tanpa berfikir panjang selepas termakan pujuk rayu kekasih.
"Trend mereka melarikan diri ini lebih kepada mahu berseronok, keinginan yang tidak dapat dipenuhi serta tindakan yang dirasakan wajar pada ketika itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Sapora, tindakan sedemikian juga dibantu dengan adanya kemudahan teknologi seperti telefon bimbit dan laman sesawang bagi memudahkan mereka untuk berinteraksi dengan kekasih atau teman lelaki.
Wanita cedera nekad kejar dua peragut
|
|
JEMPOL - Seorang wanita yang cedera akibat terjatuh dari motosikalnya bertindak nekad mengejar dua peragut yang melarikan beg tangannya berisi wang tunai RM1,200, dokumen dan telefon bimbit di Felda Palong Empat di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Inche Aminah Ismail, 47, patah gigi serta cedera di kaki dan tangan selepas motosikalnya dihimpit dua pemuda yang memakai topi keledar.
"Sebelum kejadian itu, saya mengeluarkan wang sebanyak RM800 di pejabat pos. Salah seorang daripada pemuda itu kemudian merampas beg tangan di dalam raga motosikal saya," katanya di sini semalam.
Ujarnya, walaupun cedera, dia bangun lantas berlari mengejar kedua-dua suspek sejauh beberapa meter sebelum meminta bantuan orang ramai.
"Saya dihantar ke klinik untuk rawatan dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Rompin," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang getah di sini.
Ujarnya, polis memberitahu beg tangannya telah ditemui di kawasan kebun getah di sini tetapi wang RM1,200 dan telefon lesap.
Pencuri kereta, dua rakan direman
MELAKA – Seorang pencuri kereta Proton Gen2 yang secara tidak sengaja turut membawa lari seorang kanak-kanak yang sedang tidur dalam kereta tersebut di Jalan Syed Abdul Aziz di sini kelmarin direman empat hari bermula semalam.Turut direman, dua rakan suspek itu iaitu seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun dan seorang wanita Thailand berumur 20-an. Rakan suspek itu turut direman empat hari selepas mereka ditahan di sebuah hotel di sini kelmarin.
Majistret Syajaratudur Abd. Rahman membenarkan kesemua mereka direman sehingga 26 Mac ini.
Siasatan terhadap tiga suspek yang direman itu dilakukan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang di bawah penjagaan yang sah.
Lelaki takut diperkosa wanita
|
MASHAVA, Zimbabwe - Susan Dhliwayo tergamam ketika dia memberhentikan keretanya kerana ikhlas mahu menumpangkan sekumpulan pengembara lelaki baru-baru ini tetapi mereka menolak pelawaannya.
Puncanya adalah kerana lelaki itu bimbang akan dirogol.
Zimbabwe kini digemparkan dengan laporan sensasi bahawa terdapat geng wanita cantik merogol beberapa pengembara lelaki dan meletakkan sperma mereka di dalam kondom bagi tujuan ilmu hitam.
"Sekarang ini, lelaki takut kepada wanita," kata Dhliwayo yang berusia 19 tahun.
Menurutnya, para pengembara tidak akan menaiki kereta yang dipandu wanita kerana mereka tidak mempercayai lagi kaum Hawa itu.
Media Zimbabwe sebelum ini melaporkan beberapa lelaki yang ditemui di lebuh raya telah diberi ubat tidur, diugut dengan menggunakan pistol atau pisau dan diberikan ubat perangsang seks sebelum mereka dirogol berulang kali dan ditinggalkan di tepi jalan.
Berita tentang kumpulan perogol itu yang digelar 'pemburu sperma', pertama kali disiarkan di dada akhbar tempatan pada tahun 2009.
Namun, sehingga kini, polis hanya berjaya menangkap tiga wanita yang ditahan bersama satu beg plastik berisi 31 kondom terpakai. Mereka didakwa kerana memperkosa 17 lelaki.
Tiga orang yang ditangkap itu terdiri daripada Sophie Nhokwara, 26 dan adiknya, Netsai, 24, serta Rosemary Chakwizira, 28.
"Kami tidak tahu jumlah sebenar kes rogol seperti ini," kata jurucakap polis, Wayne Bvudzijena.
"Kebanyakan kes ini berlaku apabila mangsa menumpang kenderaan persendirian. Kami menggalakkan orang ramai agar menggunakan kenderaan awam."
Menurutnya, tujuan sperma itu diambil si mangsa masih tidak jelas tetapi ia dipercayai digunakan dalam amalan sihir yang dikenali sebagai 'juju' atau upacara membawa tuah termasuk bagi tujuaan mendatangkan kekayaan, melariskan perniagaan dan mengelak penjenayah daripada dikesan.
"Isu ini sukar untuk difahami," kata pakar sosiologi Universiti Zimbabwe, Watch Ruparanganda.
"Apa yang jelas sperma ini digunakan dalam upacara ilmu hitam," tambahnya.
Ruparanganda berkata, beliau hairan apabila mendapati sperma menjadi barangan komoditi ketika dia sedang melakukan kajian sosial di Harare tujuh tahun lalu.
Dia diberitahu oleh remaja jalanan bahawa ahli-ahli perniagaan akan membawa mereka ke hotel bagi tujuan seks.
Seorang pemuda berusia 24 tahun, Tende Marahu turut mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, beberapa lelaki dan wanita datang untuk mengambil lelaki di kawasan kejiranannya bagi mendapatkan sperma yang dikumpulkan dalam kondom selepas mereka melakukan hubungan seks.
"Perkara ini telah lama berlaku," katanya.
Amalan songsang tersebut turut dikecam Persatuan Pengamal Perubatan Tradisonal Zimbabwe.
"Kami percaya amalan ini adalah sihir dan kami mengecamnya," kata jurucakap persatuan berkenaan, George Kandiyero.
Menurutnya, pemburu sperma tidak akan mengambil sperma kekasih atau suami mereka untuk upacara juju kerana ia boleh memudaratkan lelaki itu. - AFP
Lelaki dipenjara 30 tahun kerana simbah asid
BRUSSELS – Seorang lelaki Belgium yang menyerang bekas kekasihnya dengan asid sulfurik dihukum penjara 30 tahun selepas didapati bersalah melakukan percubaan membunuh.
Juri sebuah mahkamah di sini mendapati lelaki tersebut, Richard Remes, 57, bersalah kelmarin dalam kejadian yang berlaku pada tahun 2009.
Remes menyimbah muka dan badan bekas kekasihnya, Patricia Lefranc dengan asid sehingga mangsa terpaksa menjalani 86 pembedahan.
Lefranc berada dalam koma selama tiga bulan ekoran kejadian tersebut.
Serangan asid itu berlaku setelah dia menamatkan hubungan dengan Remes.
Semasa perbicaraan, pihak juri melihat gambar bogel Lefranc yang mempunyai kesan akibat disimbah asid.
Ketika kejadian, beberapa jirannya membantu menghantar dia ke hospital selepas mendengar jeritannya setelah disimbah dengan asid. – Agensi
No comments:
Post a Comment