Sunday, March 18, 2012

BILA AMAH TIADA SPM DAPAT GAJI LUMAYAN...SATU KERJA...SIAP TANGGUNG TENPAT TINGGAL SERTA MAKAN.....TIADA KUAR WANG PENGANGKUTAN SERTA KOS MAKAN MINUM

Dua tahun tidak boleh kena panas

ZALEHA menyapu ubat pada luka di tangan Mohd. Fazil di rumah mereka
di Kampung Baru Merchang, Marang semalam.


MARANG - Mangsa simbahan asid, Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, kini terpaksa menempuh hidup baharu yang jauh berbeza daripada orang lain apabila dia terpaksa mengelak sinaran cahaya matahari selama dua tahun jika mahu cepat pulih.
Akibat kejadian pada 19 Februari lalu, Mohd. Fazil yang kini menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada Rabu ini mengalami luka dan parut di sebahagian besar muka, kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki serta badan.
Dalam tempoh dua tahun akan datang ini, dia terpaksa memakai pakaian tebal dan menutupi kepalanya untuk melindungi kulit daripada bahang matahari.
Mohd. Fazil berkata, doktor yang merawatnya menetapkan pantang larang itu memandangkan kulitnya yang telah rosak kini amat sensitif dan memerlukan penjagaan yang teliti.
"Saya tidak tahu bagaimana harus saya lalui tempoh dua tahun ini dan saya sangat berharap luka dan kesan parut ini dapat segera sembuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Merchang dekat sini, semalam.
Dalam kejadian 19 Februari lalu, dia bersama rakannya yang juga nelayan, Shahurzaman Salim, 38, melecur disimbah cecair, dipercayai asid dalam satu insiden awal pagi di Kampung Padang Merchang.
Kejadian kira-kira 5.10 pagi itu berlaku ketika kedua-dua sahabat itu nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen.
Akibat simbahan itu, Mohd. Fazil melecur di sebahagian besar tubuh manakala Shahurzaman cedera di muka serta mata.
Polis menahan tiga suspek untuk membantu siasatan iaitu dua lelaki berumur 32 dan 39 tahun pada hari kejadian manakala suspek ketiga yang berusia 26 tahun ditangkap sehari kemudian.
Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek dibebaskan selepas tamat tempoh tahanan reman.
Selain terpaksa mengelak cahaya matahari, Mohd. Fazil juga mungkin perlu memakai sarung tangan tekanan dan mungkin juga topeng tekanan bagi memastikan kesan parutnya tidak timbul.
Mengenangkan penderitaan yang terpaksa dihadapi, mangsa mempunyai sebab untuk tidak memaafkan suspek kejadian itu.
"Saya tidak tahu apa motif orang itu tetapi saya tidak akan memaafkan dia atas apa yang dilakukan pada saya," katanya lagi.
Jelasnya, akibat kejadian itu, dia terpaksa dirawat kira-kira tiga minggu di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan perlu mendapatkan rawatan secara berkala bagi memastikan kesan lukanya pulih.
Sementara itu, ibunya, Zaleha Ishak, 48, berkata, walaupun pihak hospital membenarkan anaknya itu pulang awal, dia masih perlu menjalani rawatan susulan dua kali seminggu.

Ujian tidur sebelum pandu bas, lori

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan bercadang mewajibkan semua pemandu kenderaan komersial menjalani ujian tidur bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, ujian tersebut akan membantu untuk melihat sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah penyakit tidur yang boleh menimbulkan bahaya kepada diri mereka, para penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan memastikan pemandu sentiasa segar sepanjang pemanduan terutamanya bagi mereka yang memulakan perjalanan di waktu malam.
Beliau menambah, pihaknya masih berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi mencari alternatif terbaik pelaksanaan ujian itu secepat mungkin.
"Ujian ini amat penting kerana pemandu kenderaan tersebut juga membawa penumpang yang ramai dan jika mereka tidak cukup tidur, ia boleh mengancam nyawa.
"Selain itu, terdapat beberapa pemandu mengambil dadah bagi meningkatkan tenaga serta kesegaran sepanjang pemanduan walaupun mereka sedar ia sesuatu yang amat berbahaya dan menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tidur Sedunia 2012 di sini semalam.
Tiong Lai turut memaklumkan bahawa kementeriannya juga bercadang membuka lebih banyak Makmal Tidur di hospital-hospital kerajaan sebagai pusat rawatan untuk mereka yang menghadapi masalah tidur.
"Kini ada 20 buah makmal tersebut di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara dan jumlah ini akan ditambah mengikut keperluan," katanya.

Ferrari lebih RM1 juta hangus di Lebuhraya Lekas


KEADAAN sebuah kereta Ferrari yang terbakar di Kilometer 28.2, Lebuhraya Lekas, Mantin semalam.


NILAI - Seorang lelaki hanya mampu melihat kereta Ferrari F430 bernilai lebih RM1 juta yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Kilometer 28.2, Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) dekat Mantin di sini semalam.
Difahamkan, ketika kejadian lelaki tersebut memandu jentera mewahnya itu dalam satu konvoi kenderaan menghala ke Seremban.
Bagaimanapun, enjin kereta itu tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum pemandunya yang berusia 50-an bertindak memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum ia terbakar.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Jayagaren Jaganatha Thevar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kes itu kira-kira pukul 10.21 pagi.
"Apabila sampai di lokasi kejadian kereta itu sudah hangus sama sekali.
"Pemandu itu terselamat apabila sempat keluar dari kenderaannya sebelum kereta itu dijilat api," katanya di sini semalam.
Menurutnya, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

Tuntutan amah tidak munasabah

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut dengan sikap pihak berkuasa Indonesia yang tidak menghormati keputusan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pengambilan amah republik itu yang dipersetujui sebelum ini.
Malah beliau menganggap tuntutan agar pembantu rumah Indonesia hanya melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan sebagai tidak munasabah langsung.
Menurutnya, semua syarat dan isu berbangkit telah dibincangkan secara mendalam dalam pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Nusa Dua, Bali, Indonesia pada November lalu dan ia sepatutnya dihormati.
"Kedua-dua menteri (Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia) telah berpuas hati dengan persefahaman yang telah dicapai pada masa itu.
"Tiada apa-apa yang dibangkitkan pada waktu itu, jadi saya pun rasa hairan setelah MoU ditandatangani, macam-macam perkara pula dibangkitkan," katanya selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Wan Hwa 2, Menglembu di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman yang mengatakan pembantu rumah Indonesia hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.
Ia diikuti kenyataan bahawa majikan juga perlu membayar upah lebih masa RM27 sehari bekerja jika memerlukan khidmat pembantu rumah Indonesia pada hari cuti rehat mingguan mereka.
Jika mereka bekerja penuh sebulan tanpa cuti mingguan, bererti majikan perlu membayar upah lebih masa berjumlah RM108, sebagai tambahan kepada gaji bulanan.
Najib bagaimanapun memberi jaminan kerajaan akan cuba menyelesaikan isu tersebut dan pada masa sama berharap pihak Indonesia kembali kepada semangat perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

Wajah baharu amah untuk Malaysia

KUALA LUMPUR - Jika selama ini amah dari Indonesia begitu sinonim dengan pengurusan rumah tangga masyarakat Malaysia, tidak lama lagi mereka mungkin digantikan dengan wanita dari negara seperti Pakistan, Bangladesh, Thailand dan Vietnam.
Perubahan itu sudah dijangka berlaku ekoran pengambilan pembantu rumah dari Indonesia kerap mencetuskan kontroversi.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, perubahan itu satu alternatif bagi memberi pilihan kepada majikan Malaysia selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
"Memang selama ini kita akan membawa masuk pembantu rumah dari Bangladesh, Pakistan, Thailand, Vietnam, Myanmar, Nepal, India dan Sri Lanka tetapi bilangan mereka cuma bawah 1,000 orang.
"Kita sedang berusaha mempertingkatkan bilangan pembantu rumah dari negara-negara ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) rela menarik balik pengambilan pembantu rumah dari Indonesia jika pemerintah republik itu bertegas mengenakan syarat baharu yang membebankan.
Ia ekoran kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman yang menyatakan, seorang amah hanya menjalankan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.
Menurut Maznah, pihaknya juga sedang membuat kajian bagi menghidupkan kembali sektor pembantu rumah tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada warga asing.

PSC teliti kilang Lynas


NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian bangunan baharu SJK(C) Wan Hwa 2, Menglembu di Ipoh semalam.


IPOH - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi meneliti berhubung isu berkaitan kilang nadir bumi, Lynas di Gebeng, Pahang merupakan proses penglibatan bersama dengan orang ramai bagi memastikan mereka memahami perkara itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu tidak akan membuat keputusan mengenai nasib projek berkenaan.
"Ia perlu dilakukan melalui proses penglibatan dengan orang ramai dan bagi mereka (PSC) meneliti semua aspek projek itu terutama faktor keselamatan dan sebarang ancaman yang mungkin timbul kepada kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu empat tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Wan Hwa 2, Menglembu di sini semalam.
Laporan menyebut bahawa Kabinet yang bermesyuarat kelmarin memberi lampu hijau kepada penubuhan jawatankuasa itu di tengah-tengah kebimbangan berhubung sebarang kemungkinan risiko ke atas keselamatan dan kesihatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Abdul Aziz dipetik sebagai berkata, jawatankuasa sembilan anggota itu yang terdiri daripada empat wakil dari Barisan Nasional, tiga daripada pembangkang dan seorang anggota bebas akan diketuai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin. - Bernama

Damsyik digegarkan letupan berkembar

IMEJ televisyen Syria semalam menunjukkan bangkai sebuah kenderaan bersama mayat rentung susulan letupan berkembar di Damsyik semalam.


BEIRUT, Lebanon - Dua letupan berkembar menggegarkan ibu kota Syria, Damsyik semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan yang didakwa pemerintah, dilakukan oleh pengganas.
Stesen televisyen Syria melaporkan beberapa buah kereta yang sarat dengan bahan letupan meletup di hadapan sebuah pusat perisikan dan ibu pejabat polis di Damsyik pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan.
Letupan kuat itu menyebabkan bahagian hadapan sebuah bangunan ranap dengan serpihan konkrit dan kaca bertaburan di beberapa jalan raya sekitarnya.
Rakaman di lokasi kejadian pula menunjukkan beberapa mayat masih dalam keadaan berasap di dalam dua buah kenderaan, sebuah van berlumuran darah dan beberapa guni yang dipenuhi bahagian tubuh manusia .
Sebuah stesen televisyen tempatan yang memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Wael Al-Halki, melaporkan 97 orang turut cedera dalam serangan itu.
"Kami terdengar bunyi letupan kuat. Ketika itu, pintu-pintu rumah kami tercabut walaupun kediaman kami terletak jauh dari tempat kejadian," kata seorang warga emas kepada sebuah saluran televisyen awam Syria.

AFP
SEJUMLAH kenderaan rosak teruk akibat letupan bom di luar bangunan perisikan aviasi di Damsyik semalam. bersama mayat rentung susulan letupan berkembar di Damsyik.


Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggung jawab melancarkan serangan berkembar itu.
Damsyik dan bandar raya kedua terbesar di Syria, Aleppo menjadi sasaran beberapa serangan bom sejak Disember tahun lalu.
Letupan terbaharu itu berlaku dua hari selepas ulang tahun pertama kebangkitan rakyat menentang rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad yang telah meragut nyawa 8,000 orang setakat ini dan menyebabkan 230,000 lagi menjadi pelarian.
Terdahulu, utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - Liga Arab ke Syria, Kofi Annan memberi amaran bahawa krisis di Syria boleh merebak ke negara-negara jiran.
"Kita perlu amat berhati-hati dalam menangani situasi di Syria," kata Annan kepada pemberita di Geneva kelmarin.
"Sebarang kesilapan boleh menyebabkan kekacauan merebak dan memberi impak ke seluruh rantau Asia Barat sekali gus sukar untuk ditangani," tambahnya.
Syria yang memiliki 23 juta penduduk, berjiran dengan Turki, Jordan, Israel, Iraq dan Lebanon. - Reuters

No comments:

Post a Comment