Balasan cucu durjana
|
KUALA TERENGGANU – Seorang bekas anggota tentera dihukum penjara 19 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian neneknya tiga tahun lepas.
Hakim, Datuk Mohd. Yazid Mustafa memerintahkan hukuman terhadap Mohd. Nassir Abdul Manan, 45, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Oktober 2009.
Mohd. Nassir yang bekerja sebagai buruh binaan rumah selepas berkhidmat 13 tahun dalam tentera didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Muda Mat Zin, 80, di sebuah rumah di Jalan Baru, Bukit Pak Sabah, Dungun di antara 9 pagi dan 7.30 malam 12 Oktober 2009.
Mohd. Yazid dalam penghakimannya berkata, hukuman itu setimpal dengan perbuatan tertuduh dan diharap menjadi pengajaran kepada sesiapa agar tidak terlibat dengan gejala dadah yang mampu menyebabkan seseorang hilang pedoman dan pertimbangan ketika melakukan jenayah walaupun dengan mereka yang mempunyai pertalian keluarga.
Laporan forensik mendapati tertuduh yang ketika kejadian di bawah pengaruh dadah telah menyebabkan kematian mangsa dengan melakukan sembilan luka hiris dan takikan di kepala serta 12 torehan di badan mangsa iaitu tujuh sebelum mati dan lima selepas mati bagi memastikan mangsa tidak lagi bernyawa.
Nazatul gadis pengutip derma
SHAH ALAM - Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan (gambar), 15, remaja yang dilaporkan hilang pada Januari lalu dan ditemui di Bangkok, Thailand baru-baru ini merupakan seorang pengutip derma di beberapa lokasi di sini.
Seorang jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 47, mendakwa, dia pernah ternampak Nazatul mengutip derma di beberapa buah stesen minyak di Seksyen 9 di sini pada tahun lalu.
Dakwa Ahmad, remaja terbabit melakukan kerja itu antara pukul 5 petang hingga 10 malam dengan menunjukkan kad yang mempunyai logo Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sumbangan itu kononnya untuk disalurkan kepada Madrasah Ta'allimun Islam dan Sekolah Hafiz al-Quran Tanjumas di Thailand.
"Saya mengetahui kegiatan Nazatul ketika mengisi minyak di Seksyen 9 pada hujung tahun lalu. Saya ambil kad yang mempunyai logo MAIWP daripada Nazatul," kata Ahmad ketika ditemui di kawasan rumah Nazatul di sini semalam.
Dakwa Ahmad, Nazatul dihantar ke stesen-stesen minyak itu untuk meminta derma oleh seorang wanita dipercayai ibunya.
Selain di stesen-stesen minyak, Nazatul juga pernah dilihat mengutip derma di beberapa buah bank di Seksyen 9 di sini.
Jelas lelaki itu, sejak kad MAIWP itu dirampas, kelibat remaja itu tidak lagi kelihatan di Seksyen 9.
Menurut Ahmad, Nazatul mendakwa dia disuruh mengutip derma oleh seorang ketua yang tinggal di Ampang, Selangor.
"Saya juga pernah membuat panggilan telefon kepada lelaki yang didakwa Nazatul sebagai bos dan lelaki itu mengaku mengenali Nazatul tetapi enggan bercakap banyak," kata Ahmad.
Ahmad kemudian menyerahkan kad tersebut kepada MAIWP dan ternyata kad kutipan derma tersebut tidak sah.
Kaitan mangsa culik dengan lima remaja Myanmar disiasat
|
|
SHAH ALAM - Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes culik seorang remaja perempuan yang berjaya dibebaskan oleh polis Thailand kelmarin termasuk mengenal pasti kaitan mangsa dengan lima remaja Myanmar yang turut diculik bersamanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob (gambar) berkata, mangsa yang selamat tiba di tanah air kelmarin masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Polis akan menyiasat secara lengkap termasuk bila mangsa dibawa ke Thailand dan kaitan dengan lima remaja Myanmar yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini yang turut dijumpai bersama mangsa," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, pihaknya akan meminta kerjasama polis Thailand supaya menghantar ke Malaysia kesemua remaja Myanmar yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan terbabit memandangkan keluarga mereka menetap di
Jaga Mohd. Hafis baik-baik - Hendry
|
|
JOHOR BAHRU - "Saya harap dia (Roselyn) jaga Mohd. Hafis baik-baik, hanya dia zuriat yang saya masih ada.
Demikian kata Hendry Yongot, 35, bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang yang mati dengan tragis apabila mayatnya ditemui rentung dalam lubang di sebuah kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai baru-baru ini.
Hendry yang berasal dari selatan Filipina ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan sebelum dibebaskan selepas didapati tidak terbabit dalam kejadian itu.
Namun, dia diperintahkan dihantar pulang ke negara asal kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Meskipun masih bersedih dengan kehilangan Dirang yang disifatkan sebagai anak yang manja, dia lega kerana suspek kes itu berjaya ditahan polis.
"Perasaan saya ketika ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
"Sebaik diberitahu ibu mertua Dirang hilang, saya terus ke sini dari Rawang bagi membantu mencarinya sebelum ditahan polis," katanya ketika ditemui di Jabatan Imigresen Johor di sini semalam.
negara ini dan juga pemegang status UNHCR.
Tauke arowana hadapi 21 kes penipuan tanah
|
|
TAIPING - Seorang pengusaha ternakan ikan arowana dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 21 tuduhan memalsukan dokumen tukar milik tanah seluas 29.16 hektar di Semanggol dekat sini pada 2005.
Ahmad Don, 58, yang merupakan Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. yang beroperasi di Bukit Merah, Bagan Serai dituduh menggunakan Surat Kuasa Wakil palsu bagi menjual 36 lot tanah terbabit yang dianggarkan bernilai RM396,000 kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan pemilik sebenar.
Berdasarkan fakta kes, 36 lot tanah itu adalah milik 21 penduduk Kampung Selamat, Semanggol yang dikatakan hendak diusahakan sebagai ladang kelapa sawit menerusi projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).
Ahmad yang bertindak sebagai broker tanah telah menjual semua tanah terbabit kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan penduduk.
Tertuduh dari Simpang Empat, Semanggol didakwa menggunakan Surat Wakil Kuasa palsu bagi membolehkan Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, Parit Buntar memberi kelulusan permohonan pindah milik tanah berkenaan.
Dia yang mempunyai 12 anak daripada empat isteri dituduh melakukan kesalahan itu dari 28 April 2005 hingga 4 Jun tahun sama.
Bekas setiausaha politik mengaku tidak bersalah
|
|
SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap 28 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dengan mendepositkan wang berjumlah RM935,000 ke dalam akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya empat tahun lalu.
Hasbie Satar (gambar), 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa buah bank dan pejabat Tabung Haji di tiga lokasi iaitu Salak Tinggi, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya di antara 4 Disember 2008 dan 18 Jun 2009.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama.
Minyak masak 18 tan disita
KAMPAR - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak merampas sebuah lori tangki yang membawa muatan 18 tan minyak masak bersubsidi secara haram di sebuah kilang memproses makanan ayam di Mambang Di Awan dekat sini semalam.
Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, lori tangki yang diekori dari sebuah kilang di Kamunting, Taiping itu ditahan sebaik sahaja memasuki pekarangan kilang memproses makanan ayam terbabit pada pukul 3 pagi.
"Lori tangki yang penuh dengan muatan minyak masak disyaki bersubsidi tersebut disita selepas pemilik kilang terbabit gagal mengemukakan surat kuasa membawa minyak berkenaan.
"Nilai rampasan dianggarkan RM85,500 dan pemandu lori tangki yang berusia dalam lingkungan 50-an ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Kawasan Perindustrian Mambang Di Awam III dekat sini semalam.
Mohd. Hilmi berkata, kejayaan serbuan tersebut berikutan risikan selama sebulan yang mendapati sebuah kilang penapis minyak masak di Kamunting sering membekalkan minyak masak kepada kilang memproses makanan ayam berkenaan secara tidak sah.
Sostis jadi penghuni tunggal di Pulau Palaia Kameni
PALAIA KAMENI, Greece - Seorang bekas pelaut berusia 60 tahun menjadi penghuni tunggal di pulau ini yang terletak di Laut Aegean, perairan Greece.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Sostis tinggal di pulau gunung berapi itu bersama anjing peliharaannya.
Dia akan menggunakan sebuah bot untuk menangkap ikan selain mengunjungi sebuah gereja di pulau itu. - REUTERS
Generator tanpa lepaskan karbon
|
KEJADIAN yang berlaku pada Februari 2010 tatkala membawa rombongan peserta persidangan teknologi dari Korea Selatan ke bandar raya Shah Alam benar-benar berbekas di hati Azhar Ngah, 40.
Cuaca panas pada pukul 12 tengah hari itu mencetuskan idea dalam fikiran lelaki tersebut. Dia mahu mengajak mereka menikmati cendol yang terkenal di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.
Tujuannya hanya satu, sebagai tuan rumah yang menunjukkan semangat hospitaliti Malaysia, dia mahu memperkenalkan hidangan istimewa itu kepada mereka sekali gus membasahkan tekak yang dahaga.
Setibanya di lokasi, mesin pengisar ais dan keenakan cendol di gerai tersebut bukan satu-satunya yang mencuri perhatian. Bunyi daripada mesin generator rupa-rupanya telah menjadi tumpuan, seolah-olah mesin berkenaan terlalu asing bagi ahli rombongan Korea Selatan itu.
“Di negara kami, generator tersebut sudah lama tidak digunakan,” ujar Azhar, mengajuk cara bercakap orang Korea itu.
Tambah lelaki yang ditemui di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2012 itu, kata-kata mereka sangat berasas kerana generator berenjin diesel mengeluarkan bunyi yang bising dan asap yang tebal.
Ciri-ciri tersebut mampu menyumbang pada penambahan kadar pencemaran alam sekitar dan penggunaannya sudah lama diharamkan di Korea Selatan.
Terkesan di hatinya, Azhar selaku pengarah urusan dan rakan-rakan melalui syarikat H2E Power Sdn. Bhd. (anak syarikat H2E Technologies Sdn. Bhd.) mula menjana idea untuk menghasilkan sebuah generator yang mesra alam.
|
|
Tempat pertama yang menjadi kajian tinjauan mereka adalah di kawasan pasar malam. Banyak perkara yang dipertimbang terutama bunyi bingit yang keluar dan cara para peniaga mengendali generator mereka.
Menurut Azhar, sebab utama peniaga masih lagi menggunakan generator sebagai perkakas utama membekal elektrik adalah mereka tidak mempunyai pilihan lain.
Tahan lasak
Rata-rata para peniaga pula agak kasar dalam menggunakan generator termasuk menjadikan alat tersebut sebagai tempat meletakkan barang-barang.
“Jadi, kami perlu menghasilkan rekaan yang bentuknya sangat ringkas, kukuh dan tahan lasak,” kata Azhar merujuk kepada sebuah alat seperti kotak yang dipanggil ALAM.
Berbeza dengan generator biasa, ALAM atau Advance Lighting Application Module adalah pembekal elektrik mudah alih yang berfungsi seperti sebuah bateri caj semula.
Berkuasa 300 watt, pengguna hanya perlu mengecaj ALAM dalam tempoh lima hingga enam jam di mana-mana pada plug tiga pin.
Tempoh masa yang dapat digunakan untuk sekali caj adalah antara tiga hingga 12 jam bergantung pada bilangan penggunaan mentol.
Ia senyap, tidak mengeluarkan asap malah, penggunanya tidak lagi perlu membeli minyak petrol setiap hari seperti penggunaan generator model lama.
ALAM yang berada di pasaran sekarang adalah generasi kedua. ALAM generasi pertama atau ALAM 1 tidak dipasarkan kerana ia kurang praktikal.
Model awal itu menggunakan bateri asid plumbum yang seakan-akan bateri kereta yang memerlukan penyelenggaraan secara berkala iaitu dengan mengisi air bateri.
Begitupun, ketika Azhar menghadiri Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM) pada tahun 2010, dia menemui sebuah produk yang dikenali sebagai Inverter Charger (pengecas pembalik).
Dengan menerapkan fungsi alat tersebut ke dalam rekaan generator terbaharu itu, ALAM bersifat mudah digunakan dan penyelenggaraannya pula lebih ringkas. Ia mula diperkenal pada pasaran di Sungai Petani, Kedah dalam tempoh lima bulan selepas itu iaitu pada Februari 2011.
Inverter Charger adalah alat dalam pengurusan tenaga yang menukar arus terus (DC) pada arus ulang-alik (AC). Ia boleh digunakan pada pelbagai voltan dan frekuensi serta banyak digunakan pada panel solar atau bateri.
Kini, pihak H2E Power dengan kerjasama bahagian penyelidikan dan Inovatif, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak sedang membangunkan ALAM 3 untuk pasaran yang lebih luas.
Perubahan ALAM 3
Menurut ketua pengurus H2E Power, Mohd. Shahir Azali, 37, ALAM 3 akan lebih ringan dengan perubahan bahan mentah selain penambahan aksesori pada badannya seperti port USB.
“Prototaip sudah dibuat dan perlu kemasan pada reka bentuk manakala paten untuk produk ALAM sedang dalam proses,” terang Shahir lagi.
ALAM 3 sama seperti ALAM yang bersifat mesra alam dan murah, cuma sasaran pasarannya lebih menyeluruh. Ia merangkumi keperluan orang ramai untuk pelbagai kegunaan dan boleh dibawa dengan mudah.
Selorohnya, selepas ini, kaki-kaki pancing yang membawa ALAM 3 ke lubuk-lubuk pancing tidak lagi perlu menyalakan unggun api atau memancing dalam gelap.
Selain mendapat bantuan teknikal dan nasihat dari UTP dalam mereka bentuk ALAM, H2E Power dengan UTP kini sedang mencipta Inverter Charger buatan tempatan supaya ALAM 3 dapat direka lebih murah dan ringan.
Kerjasama dengan pihak UTP itu dilihat sangat baik terutama apabila Timbalan Naib Canselor bahagian penyelidikan dan Inovatif, Prof. Madya Dr. Abd. Rashid Abd. Aziz menyokong usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.
Hasrat itu sebagai menyahut iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berikrar untuk mengurangkan pencemaran karbon sebanyak 40 peratus di Malaysia.
Ikrar itu disampaikan ketika beliau berucap sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada Disember 2009.
Tambah Abd. Rashid, usaha-usaha sebegitu adalah baik dan sokongan daripada badan-badan pendidikan amat diperlukan dan umum mengetahui bahawa generator adalah antara penyebab utama berlaku pencemaran.
Mungkin selepas ini, lebih ramai peniaga pasar malam, penjaja gerai pinggir jalan, kontraktor dan pasukan keselamatan akan beralih kepada inovasi terbaharu ini demi kesejahteraan orang ramai dan juga alam sekitar.
No comments:
Post a Comment