Friday, March 23, 2012

TUTUP AJE...MEMANG BAHAYA...KALAU TAK...TAK KAN DARI JAUH DIBAWA...BAIK BUAT DEKAT NEGERI SENDIRI...LAGI JIMAT...DINEGERI MEREKA PUN DIBANTAH...

Muamba mati selama 78 minit

MUAMBA diberi rawatan oleh pasukan perubatan selepas pemain itu rebah dan tidak sedarkan diri ketika perlawanan peringkat suku akhir Piala FA antara Bolton dan Tottenham di London Sabtu lalu.


LONDON – Jantung pemain kelab bola sepak Bolton, Fabrice Muamba berhenti berdegup selama 78 minit dan dia sepatutnya telah meninggal dunia, kata pasukan doktor kelab itu kelmarin.
Bagaimanapun, jantungnya berfungsi semula selepas alat defibrilator digunakan pada dadanya sebanyak 15 kali semasa dia dirawat di Hospital Dada London di sini.
Kejadian itu berlaku selepas dia rebah di atas padang ketika perlawanan suku akhir Piala FA antara Bolton dengan Tottenham pada Sabtu lalu kerana diserang sakit jantung.
Perlawanan di White Hart Lane itu kemudiannya terpaksa dihentikan akibat kejadian tersebut.
Menurut doktor kelab tersebut, Jonathan Tobin, anggota-anggota perubatan cuba untuk memulihkan Muamba selama 48 minit sebelum dia tiba di hospital.
Masa selama 30 minit lagi diperlukan untuk menghidupkan semula jantungnya di hospital berkenaan.
Selepas 15 kali kejutan listrik dengan alat defibrilator dilakukan, jantung pemain tersebut berdenyut semula.
Sebanyak 12 daripada 15 kejutan listrik itu dibuat di dalam ambulans.
“Mereka berusaha tanpa jantungnya berdegup. Selama 78 minit jantungnya tidak berdegup dan dia tidak bernafas.
“Dia telah mati ketika itu,” tambah Tobin.

Gadis hilang ikut suami orang


DI lokasi berhampiran kedai serbaneka 7-Eleven di Taman Tas, Kuantan inilah Nornabila ditemui malam kelmarin.


KUANTAN – Seorang gadis berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Koperasi, Jerantut pada Isnin lalu ditemui berhampiran sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Taman Tas di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Azid Ismail berkata, Nornabila Mat Yaacob yang dipercayai hilang kerana mengikut kekasihnya yang sudah beristeri sehingga ke Kuantan ditemui oleh keluarganya pada pukul 10 malam.

“Ibu pelajar terbabit sebelum itu menghubungi teman lelaki anaknya itu dan dimaklumkan Nornabila berada di Kuantan.
“Keluarga Nornabila dari Jerantut pergi ke Kuantan dan menemui remaja itu berhampiran kedai 7-Eleven di Taman Tas selepas dihantar ke situ oleh teman lelakinya,” kata beliau di sini semalam.
Jarak antara rumah remaja itu dengan lokasi dia ditemui ialah kira-kira 163 kilometer.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, pelajar terbabit pernah hilang dari rumah sebelum ini bersama lelaki sama yang berusia 20-an.
Akhbar semalam melaporkan Nornabila atau lebih mesra dipanggil Kakak didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar bersama rakannya, Nor Syazwani Mazlan, 15, pada pukul 8.30 malam Isnin lalu.

Tutup Lynas jika mudarat –Najib


NAJIB menjawab soalan daripada DJ stesen radio 988 FM pada program 988 Street VIP di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Kerajaan pasti tidak akan membenarkan projek Lynas beroperasi jika bukti saintifik menunjukkan ia memudaratkan kesihatan dan mencemar alam sekitar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur berhubung isu berkenaan kerana kerajaan amat mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
“Bagi mereka yang menentang Lynas, kita perlu berdialog. Kita ingin tahu apakah alasan saintifik dan teknikal bagi membantah operasi Lynas.
“Perlu ada bukti kukuh bahawa kesihatan dan keselamatan penduduk sekitar khususnya akan terjejas dan jika ada bukti serius, kita pasti tidak akan benarkan Lynas beroperasi,” katanya pada temu bual dengan stesen radio 988 FM di sini semalam.
Beliau ditemu bual oleh DJ Sam Mak dan Tan Yi Hui pada program 988 Street VIP selama satu jam.
Najib berkata, dialog seperti itu tidak boleh berdasarkan emosi atau hujah politik kerana ada kemungkinan isu Lynas itu digunakan untuk tujuan politik.

‘Mahu jumpa Khairul sebelum ajal’


HALIJAH tidak dapat menahan kesedihan apabila teringatkan nasib anaknya, Khairul Azuan di Batu Gajah, Perak semalam.


BATU GAJAH – Seorang ibu merayu campur tangan Wisma Putra bagi membolehkan dia melawat anak lelakinya yang kini meringkuk di penjara Taiwan setelah menjadi mangsa keldai dadah sejak enam tahun lalu.
Halijah Abdul Rashid, 54, berkata, anak keduanya, Khairul Azuan Abu Hasan, 32, (gambar kecil) kini ditahan di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan setelah didapati bersalah memiliki 1.536 kilogram dadah jenis heroin pada 2008.
Katanya, mereka sekeluarga hanya mengetahui Khairul Azuan dipenjara di Taiwan setelah dihubungi anaknya itu pada Aidilfitri 2007, kira-kira setahun selepas menghilang diri tanpa sebarang berita.
“Sejak itu dia tidak putus mengirim surat setiap tiga bulan selain dibenarkan menghubungi keluarga dua kali setahun iaitu pada sambutan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
“Begitupun, selepas enam tahun berlalu, hati saya sebagai ibu begitu meronta mahu bertemunya untuk melepaskan rindu walaupun tidak dibenarkan pihak berkuasa Taiwan,” rayunya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Sindu, Kampung Kepayang dekat sini semalam.

Dadah: Posmen dihukum gantung


ABD. RAHIM dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas dijatuhi hukuman gantung semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang posmen dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar 500 gram ganja tiga tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, M. Gunalan memutuskan hukuman tersebut terhadap Abd. Rahim M. Ali, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
“Pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata dan penjelasan tertuduh ketika ditangkap juga tidak munasabah,” kata Gunalan.
Sebaik hukuman dibacakan, suasana bertukar pilu apabila seorang wanita dipercayai isteri tertuduh pengsan manakala tertuduh yang bekerja sebagai posmen di Pejabat Pos Larkin di sini memeluk dan mencium anak-anaknya.

Pencuri ‘terculik’ cucu mangsa

MELAKA – Seorang warga emas melalui detik yang mencemaskan selama kira-kira tujuh minit apabila cucu kesayangannya dilarikan secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang mencuri keretanya di Jalan Syed Abdul Aziz di sini semalam.
Abu Semah Othman, 62, berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang selepas dia memberhentikan kereta jenis Proton Gen2 miliknya di tepi jalan berkenaan tanpa mengunci pintu untuk menjelaskan insurans nyawa di sebuah syarikat insurans yang terletak di Jalan Melaka Raya 8 di sini.
Pada waktu yang sama, cucunya Nor Abdullah Afiq Abdullah, 8, yang sedang tidur ditinggalkan dalam kereta berkenaan seorang diri.
Jarak antara kereta Abu Semah dan syarikat insurans itu adalah kira-kira 20 meter.
“Saya tidak membawa Afiq bersama kerana dia sedang nyenyak tidur, malah saya memasang pendingin hawa tanpa menghidupkan enjin bagi keselesaannya.
“Bagaimanapun, saya tidak mengunci pintu kerana beranggapan urusan saya di syarikat insurans tersebut hanya sekejap,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini.

Kembali semula dalam 4 jam

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

DEGIL...sebahagian pelacur warga China yang ditahan dalam dua serbuan.
DEGIL...sebahagian pelacur warga China yang ditahan dalam dua serbuan.
KUALA LUMPUR: Tidak sampai empat jam diserbu, sekumpulan pelacur warga China yang sebelum itu melarikan diri, kembali menawarkan khidmat seks di kawasan sama, namun kedegilan mereka mengundang padah apabila dicekup polis dalam serbuan susulan.
Dalam serbuan jam 4 pagi semalam, sembilan pelacur yang menjadikan kawasan tempat letak kereta di Jalan Gelang off Jalan Sungai Besi, di sini, sebagai sarang pelacuran dan lokasi mereka mencari pelanggan ditahan polis.

Terdahulu dalam serbuan jam 12.30 pagi di lokasi sama, Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan 15 pelacur berusia 20 dan 30-an manakala beberapa pelacur lagi sempat lari menyembunyikan diri.
Namun, satu lagi serbuan dijalankan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan menahan sembilan pelacur yang sebelum itu menyembunyikan diri, tetapi keluar semula untuk menyambung ‘perniagaan’ sebaik polis meninggalkan kawasan berkenaan.

Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa berkata, walaupun diserbu D7 Bukit Aman empat jam sebelum itu, ternyata kumpulan pelacur warga China terbabit berdegil dan seolah-olah mencabar pihak berkuasa dengan meneruskan aktiviti maksiat di kawasan berkenaan.

“Nampaknya mereka masih berdegil dan berani menjalankan kegiatan pelacuran di kawasan ini sekalipun baru saja diserbu.

“Jadi, kami mengadakan serbuan susulan dan akan memantaunya dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tidak terus dijadikan sarang pelacuran terutamanya membabitkan wanita China.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan wanita berkenaan menggunakan pas lawatan sosial dan sudah beberapa kali memasuki negara ini semata-mata untuk menjadi pelacur,” katanya.
Dalam kedua-dua serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki yang sedang mendapatkan khidmat pelacur serta merampas peralatan seks, krim pelincir dan ratusan kondom.

‘Diculik 10 minit’

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

MELAKA: “Bila terjaga daripada tidur, saya terkejut dan hanya mendiamkan diri kerana takut selepas melihat seorang lelaki tak dikenali memandu kereta datuk,” kata Nor Abdullah Afiq Abdullah, 8, yang ‘diculik’ kira-kira 10 minit oleh penjenayah yang melarikan kereta milik datuknya ketika dia tidur di dalam kenderaan itu.
Kejadian berlaku jam 2.15 petang di Jalan Melaka Raya 8, di sini, selepas Abu Samah Othman, 62, meninggalkan cucunya itu yang tidur di tempat duduk belakang Proton Gen.2 miliknya untuk membuat urusan pembayaran insurans.

Bagaimanapun, kegembiraan penjenayah yang tidak menyedari Nor Abdullah tidur di tempat duduk belakang kereta itu tidak lama kerana dia ditahan polis di Jalan Parameswara, tidak sampai dua kilometer (km) dari lokasi kereta itu dilarikan.
Menurut Nor Abdullah, dia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri menangis selepas kereta dipandu penjenayah itu ditahan anggota polis.

“Saya takut dan hanya diam, bila dia tanya tinggal di mana? Saya jawab di Tampin dan saya juga jawab tidak tahu apabila dia bertanya sama ada saya tahu jalan pulang ke rumah.

“Lelaki itu bermuka jahat dan saya menangis sebaik saja kereta datuk ditahan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.

Sementara itu, Abu Samah berkata, sebelum kejadian dia yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah ke Johor Bahru, Johor, singgah di bandar raya ini untuk membayar ansuran bulanan insurans nyawa di sebuah syarikat insurans di lokasi kejadian.

Katanya, dia meninggalkan keretanya di tepi jalan bertentangan dengan pejabat syarikat berkenaan dalam keadaan tidak berkunci.
“Ketika itu saya mematikan enjin kereta, tetapi radio dan penghawa dingin dihidupkan dalam keadaan kunci berada di dalam kerana Nor Abdullah sedang tidur.

“Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan dan keluar dari pejabat itu, saya lihat kereta sudah tiada. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu kerana bimbang keselamatan cucu,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan tidak tentu arah, dia memaklumkan kejadian kepada kerani wanita di syarikat itu yang kemudian menghantarnya ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.

Katanya, ketika dalam perjalanan mereka terserempak seorang anggota trafik dan memaklumkan mengenai kejadian.

“Sebaik mendapatkan nombor pendaftaran dan jenis kenderaan, anggota itu mengarahkan saya membuat laporan polis.

“Kira-kira enam minit menunggu di balai selepas membuat laporan, saya dimaklumkan kereta dan cucu saya ditemui. Syukur dia selamat dan tidak dicederakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, hasil tindakan pantas anggota trafik berkenaan melakukan hebahan dan rondaan berjaya mengesan kereta mangsa di Jalan Parameswara.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 30-an dan cucu mangsa berada dalam kenderaan berkenaan.

“Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel, di sini.

Ibu panik dukung bayi lari ke hutan



SEREMBAN: Akibat terlalu panik, seorang ibu nekad mendukung bayi lelakinya berusia tiga bulan dan cuba melarikan diri ke dalam hutan sejurus menyedari rumah kongsi didiaminya di sebuah tapak pembinaan di Sikamat di sini, diserbu pihak berkuasa, tengah malam semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, wanita warga Indonesia berusia 30-an itu bertindak demikian berikutan tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain bayinya turut tidak didaftarkan.

Wanita dipercayai bertarung nyawa melahirkan bayi lelaki di rumah kongsi itu bagaimanapun tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditahan pihak berkuasa.
Dia dikatakan mencari rezeki di negara ini dengan bekerja sebagai buruh binaan untuk menyara anaknya berikutan suaminya yang juga warga Indonesia berada di Johor dipercayai bekerja di situ.

Perkara itu dihidu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan diketuai Pengarahnya, Faizal Fazri Othman, yang melancarkan Ops 6P di tujuh lokasi berasingan di sekitar daerah ini dan Nilai, bermula jam 9.30 malam kelmarin.

Dalam operasi sembilan jam itu, 31 warga asing termasuk lapan wanita dan bayi berkenaan ditahan mengikut Akta Imigresen. Menurut Faizal, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai warga asing di semua lokasi berkenaan.

“Bertindak atas maklumat itu, kita menjalankan pemeriksaan secara berperingkat dan menahan 22 lelaki, lapan wanita dan seorang kanak-kanak lelaki (bayi) atas kesalahan tidak memiliki dokumen serta tinggal lebih masa di negara ini.

“Serbuan dijalankan antaranya merangkumi rumah kongsi, pasar, pusat hiburan dan rumah di sekitar Sikamat, Rahang, Senawang dan Nilai.
“Hasil pemeriksaan mendapati warga Indonesia terdiri 15 lelaki, enam wanita dan seorang kanak-kanak. Ia diikuti dua lelaki Pakistan, dua wanita dan seorang lelaki Nepal manakala masing-masing satu warga China, Vietnam, Bangladesh dan Myanmar,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, semua ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.

Kata Faizal, pihaknya akan sentiasa menjalankan operasi dan pemantauan berterusan bagi memastikan warga asing di negeri ini mematuhi peraturan ditetapkan.

No comments:

Post a Comment