Sunday, March 18, 2012

BILA KEADAAN SERING TIDAK SELAMAT...FIKIRKAN...MUNGKIN KECUAIN...DAH MUNGKIN HUKUM TAK MENAKUTKAN PERSALAH2...

Dua suspek kes bunuh ditahan
Wartawan Sinar Harian
18 Mac 2012
Dua suspek kes bunuh ditahan
KUALA KUBU BHARU – Dua suspek ditahan berhubung kes pembunuhan seorang pekerja kolam ternakan ikan, lembu dan kambing yang ditemui mati dengan kesan kecederaan dan ditenggelamkan dengan batu besar di sebuah kolam berdekatan Kampung Orang Asli Kolam Air di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, permohonan reman kedua-dua suspek telah dipohon pagi semalam.
“Suspek pertama berusia 40 tahun beralamat Teluk Intan, Perak yang merupakan pekerja kawasan ternakan tersebut manakala suspek ke dua berusia 56 tahun adalah pengusaha kolam ternakan ikan dan lembu terbabit dan beralamat Kuala Kubu Bharu.
Menurutnya, telefon bimbit suspek juga dirampas untuk membantu siasatan.
Semalam, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang pekerja kolam ternakan ikan, lembu dan kambing yang ditemui terapung di dalam sebuah kolam ikan dekat sini.
Menurut saksi, pada awalnya mangsa disangka lemas namun setelah anggota bomba sukarela cuba membawa mayat naik ke darat didapati mayat tersebut terikat dengan tali dan terdapat kesan kecederaan di beberapa bahagian tangan serta kepala mangsa.
Mayat tersebut terikat tali di bahagian leher dan pinggang serta batu besar digunakan untuk menenggelamkan mangsa.
Kesan kecederaan terdapat pada tangan kiri dan kanan mangsa serta di bahagian belakang kepala dipercayai ditetak dengan senjata tajam dan kejadian itu dikaitkan dengan kes pembunuhan.
Sementara itu, Norel berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dilaksanakan jam 3 petang semalam di Hospital Sungai Buloh.
Tambah Norel Azmi, pihaknya masih meneruskan siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suami bimbang isteri diperalat
Wartawan Sinar Harian
18 Mac 2012
Suami bimbang isteri diperalat
SUNGAI HAJI DORANI – Seorang suami melahirkan kebimbangan berikutan isteri dan anaknya dipercayai dilarikan seorang lelaki ke Melaka sejak Rabu lalu.
Mohd Nooh Mohd Kassim, 31, berkata, beliau risau sekiranya isterinya, Nor Hafizah Mohd Nazir, 19, terpedaya dengan lelaki berkenaan kerana sikapnya yang lurus.
Menurutnya, dia juga khuatir sekiranya lelaki itu memperalatkan isterinya selain bimbangkan keselamatan bayi mereka, Muhammad Aby Khusairy, yang baru berusia 8 bulan.
“Sepanjang tiga tahun perkahwinan kami, Nor Hafizah seorang isteri yang baik, tidak pernah berkelakuan mencurigakan dan tidak wujud sebarang masalah antara kami.
“Saya benar-benar bimbang keselamatan mereka berdua, kerana pelbagai perkara boleh terjadi dan saya merayu supaya mereka dipulangkan,” katanya.
Mohd Nooh berkata, dia ada menghubungi telefon bimbit isterinya sejak beberapa hari lalu tetapi gagal bercakap sehinggalah kelmarin Nor Hafizah menelefon memaklumkan dia bersama seorang lelaki.
“Sebelum ini, saya ada hubungi isteri beberapa kali, tetapi gagal kerana adakala telefon bimbitnya ditutup dan adakala tidak diangkat. Alhamdulillah, dia ada hubungi saya (kelmarin) dan memaklumkan dia hendak pulang ke rumah, tetapi lelaki itu tidak mahu menghantarkannya pulang.
“Saya juga difahamkan, lelaki itu bersama anak buahnya mengambil Nor Hafizah selepas menghantar isterinya yang mengalami masalah mental ke rumah mertuanya, di Sungai Panjang dan kini Nor Hafizah bersama bayi kami tinggal di rumah lelaki itu bersama dua anaknya,” katanya.
Terdahulu, Mohd Nooh menghantar isterinya pulang ke kampung, di Parit 13, Sungai Nibong Ahad lalu.
Namun, dua hari kemudian, dia menerima panggilan telefon daripada adiknya berhubung kehilangan Noor Hafizah bersama bayi mereka dipercayai mengikut dua lelaki berusia 20-an dan 40-an menaiki kancil berwarna ungu.
Pada mulanya, Mohd Nooh beranggapan isterinya menghilangkan diri bersama anak mereka, namun setelah menerima panggilan daripada Nor Hafizah kelmarin, hatinya mula reda.
“Saya berharap dia (lelaki tersebut) tidak mengapa-apakan isteri dan anak saya.
Mohd Nooh mendakwa, ada kemungkinan isteri terkena buatan orang kerana tidak sedar hingga boleh mengikuti lelaki itu sehelai sepinggang selain tidak membawa bersama dokumen pengenalan diri dan kini berkeinginan ingin pulang.
Koperal ditahan terima wang sogokan
Wartawan Sinar Harian
17 Mac 2012
Koperal ditahan terima wang sogokan
KEPONG - Gara-gara mahu keuntungan dengan cara mudah, seorang anggota polis berpangkat koperal ditahan semalam kerana menerima RM4,000 sebagai imbuhan untuk melepaskan seorang suspek kes samun.
Sumber polis memberitahu anggota tersebut yang ditugaskan menjaga lokap tahanan di Jinjang itu ditahan berikutan laporan daripada isteri suspek yang tidak berpuas hati apabila suaminya masih dihadapkan ke mahkamah meskipun wang sudah diberikan kepada anggota terbabit.
“Lelaki ditahan ketika sedang bertugas jam 12.30 malam semalam dan siasatan mendapati wang RM4,000 dimasukkan ke dalam akaun milik orang lain dan anggota itu kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.
Difahamkan, anggota terbabit baru ditugaskan di lokap itu sejak tiga bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan kes kini sedang disiasat.
Remaja cedera ketika hujan lebat, pokok tumbang di Hulu Langat

17 Mac 2012
banjir kilat
KUALA LUMPUR - Hujan lebat di Lembah Klang petang ini menyebabkan beberapa kawasan di Hulu Langat ditenggelami air serta kejadian pokok tumbang, yang mengakibatkan seorang remaja berusia 13 tahun cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang berkata dalam kejadian itu, dua rumah teres di Taman Sri Nanding dihempap pokok tumbang dan mencederakan remaja berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati selain Taman Sri Nanding, kawasan yang terlibat ialah Kampung Sungai Serai dan Jalan Batu 11 1/2.

Seorang penduduk Mohd Zaidy Zainuddin, 32, berkata hujan sejak 2.45 petang itu menyebabkan air Sungai Betung melimpah ke kawasan rumahnya di Jalan Batu 11 1/2.

"Saya dan keluarga sedang membersihkan kawasan rumah akibat kejadian banjir baru-baru ini apabila hujan lebat disertai angin kencang... hujan tak henti-henti selama dua jam menyebabkan air naik dengan pantas.

"Tambahan pula rumah saya terletak berhampiran Sungai Betung, yang melimpah dan menyebabkan air naik ke paras lutut," katanya kepada Bernama.

Mohd Zaidy berkata kawasan itu kerap dilanda banjir, namun kejadian 7 Mac lepas merupakan yang terburuk sejak beliau menetap di situ pada 2004.   

Sementara itu, angin kencang turut menyebabkan pokok tumbang di halaman rumah Aminah Abdul Halim, 55, yang masih trauma dengan insiden banjir baru-baru ini.

"Nasib baik pokok tumbang tak hempap rumah mak cik, kalau tidak, habis kami satu keluarga," kata penduduk Kampung Sungai Serai itu.
Sedia ambil alih industri air
Wartawan Sinar Harian
17 Mac 2012
Sedia ambil alih industri air
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kelmarin mengadakan perjumpaan dengan dua operator air antarabangsa, Suez Environment, di Perancis dan Wessex Water daripada United Kingdom sebagai persediaan Kerajaan Negeri mengambil alih industri air daripada syarikat konsesi.
Beliau berkata, pertemuan itu adalah untuk mendapatkan pandangan pengurusan air yang cekap seperti yang ditetapkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
“Pertikaian rundingan untuk Kerajaan Negeri mengambil alih industri perkhid­matan air daripada syarikat konsesi tidak sepatutnya meng­halang Kerajaan Negeri daripada membuat persediaan.
“Kami amat gembira apabila golongan pakar sanggup berkongsi pengetahuan teknologi mereka dan kedua-dua syarikat ini sedia berkongsi kepakaran dalam pengurusan air bagi memastikan model Kerajaan Negeri bukan saja cekap dan berkesan, malah pada tarif yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sekretariat akhbar, semalam.
Abdul Khalid berkata, sebarang kerjasama dua pihak perlu melalui proses yang telus bagi memastikan ia berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.
Pada sesi perbincangan de­ngan kumpulan Suez En­vironment, yang diketuai Na­ib Presiden Eksekutif Kanan bagi Penyelidikan Penyelaras Air dan Pembangunan, Bernard Guirkinger, di Marseile, Perancis, Abdul Khalid menyatakan kesukaran dihadapi Kerajaan Negeri untuk mengambil alih industri perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.
“Model penswastaan hari ini tidak membawa kebaikan kepada industri air yang kini sarat pelbagai masalah, termasuk sistem pengurusan dan perancangan air yang tidak holistik, struktur peraturan dan pengoperasian tidak berkesan serta kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.
“Ini berlaku apabila syarikat konsesi yang dipilih tidak mahir, tiada pengalaman dan wang untuk melaksanakan kerja ini. Kes di Selangor bukan soal apa yang anda boleh lakukan tetapi siapa yang anda kenal,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khal­id ketika bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Wessex, Colin Skellet dan Dave Elliot yang juga Pengarah Peran­cangan dan Pengurusan Aset, di London, membincangkan pengurusan air secara menyeluruh.
“Model pembahagian yang dipraktikkan di Selangor membuktikan, industri perkhidmatan air kita tidak boleh dipisahkan dengan memberi bahagian yang lebih untung kepada syarikat swasta sedangkan pihak kerajaan terpaksa menanggung beban kerugian,” katanya.
Dalam sesi pertemuan itu, Abdul Khalid dibawa melawat ke ibu pejabat Wessex di Bath dan syarikat sekutunya, GenEco, yang merawat sisa kumbahan menggunakan teknologi terkini dan loji biogas di Bristol, serta loji kitar semula bahan buangan menjadi tenaga diperbaharui.
Rabu lalu, Abdul Khalid membentangkan kertas kerja sempena Forum Air Sedunia menyatakan, penswastaan air di Malaysia gagal kerana dipergunakan golongan rentier.
Beliau mengutarakan isu sama pada sesi pertemuan dan dialog dengan pelajar Malaysia di London, malam semalam.
Kebanyakan penduduk didapati dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Hassan Mat Soh, 44, pula berkata beliau terpaksa menutup kedai runcitnya di Taman Sri Nanding selepas melihat air mula naik.

"Saya tengok hujan lebat saya dah bersedia untuk tutup kedai. (Ketika) banjir lepas habis barang-barang saya, rugi... sebab saya lambat tutup kedai," katanya.- Bernama
Pengantin lelaki parah ditetak, rumah disamun awal pagi
NURULATIQ AHMAD BANDI
18 Mac 2012
PORT DICKSON – Tinggal beberapa jam sebelum majlis perkahwinan berlangsung, seorang lelaki terpaksa menunda hasratnya melayari bahtera rumah tangga selepas dia cedera parah ditetak oleh satu kumpulan, dipercayai penyamun, awal pagi semalam.
 
Dua lagi anggota keluarganya juga cedera.
 
Kejadian yang berlaku di Kampung Kuala Lukut di sini pada jam 6 pagi semalam menyebabkan mangsa, M. Ruben, 29, parah di bahagian tangan, perut dan kaki selepas diserang dan ditetak dengan senjata tajam.
 
Ruben yang sepatutnya naik pelamin pada sebelah petang dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan, sebelum dirujuk kepada Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.
 
Menurut seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, ketika kejadian, kakak mangsa sedang menyidai pakaian di anjung rumah sebelum dua lelaki bertopeng muka dan berbadan besar menyerbu masuk rumah mereka dengan bersenjatakan parang.
 
“Semasa kejadian, terdapat 15 orang dalam rumah berusia antara enam bulan dan 80 tahun. Salah seorang dari lelaki berkenaan menerpa ke arah Ruben yang sedang tidur di ruang tamu dan merampas rantai emas dipakainya. 
 
"Penjenayah turut beri amaran supaya kami tidak membuat bising atau melawan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Port Dickson.
 
Turut cedera, abang mangsa, M. Mahendran, 31, dan telah dikejarkan ke hospital sama manakala adik mangsa, M. Thelaga, 24, yang turut tercedera kini dirawat di Hospital Port Dickson.
 
Tambahnya, penjenayah terbabit turut meragut rantai emas yang dipakai ibu mangsa sebelum beberapa ahli keluarga cuba untuk melawan.
 
"Lelaki itu terus mengayunkan parang sehingga mengenai Ruben, Mahendran dan Thelaga sebelum mereka berjaya melarikan diri.
 
“Kami segera membawa ketiga-tiga mereka ke hospital untuk rawatan. Kejadian begitu pantas,” katanya.
 
Akibat kejadian itu, keluarga berkenaan mengalami kerugian lebih RM40,000.
 
Pengantin perempuan dan keluarganya yang berasal dari Bahau, Jempol sudah dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut.
Suspek samun ditahan
HAMIZAH BASIR
17 Mac 2012
Suspek samun ditahan
SEREMBAN – Polis berjaya menahan tiga suspek, dipercayai terlibat dalam kes samun di sebuah premis pengurup wang milik sebuah bank di Taman Semarak, Nilai, di sini, dalam tempoh 48 jam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, semua lelaki berusia 22 hingga 23 tahun itu ditahan di sekitar negeri ini.
“Hasil penahanan semua suspek membawa kepada penemuan wang dipercayai wang samun bernilai RM194,940. Dua daripada suspek bekerja sebagai jurutol, sementara seorang lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya turut merampas sebilah pisau dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan samun ter­sebut.
“Semua mereka ditahan reman sehingga Isnin depan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata secara berkumpulan,” katanya.
Osman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, premis pengurup wang milik sebuah bank terbabit, rugi RM250,000 apabila disamun seorang lelaki, Ahad lalu.
“Lelaki yang menunggang motosikal itu memasuki premis tersebut dan mengacukan pisau kepada penjaga kaunter supaya tidak me­lawan. Suspek mengambil wang di dalam peti keselamatan dan terus melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan premis,” katanya.
Tujuh ditangkap bantu siasatan
Wartawan Sinar Harian
17 Mac 2012
SEREMBAN – Polis menahan lima lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan kes samun membabitkan sepasang warga emas di Ladang Kelapa Sawit Sungai Salak, Lukut, Port Dickson, minggu lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, semua suspek berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun itu ditahan di sekitar negeri ini, beberapa hari lalu.
“Mereka warga tempatan dan dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan bunuh warga emas terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan motif awal kejadian adalah samun.
Katanya, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian 5 Mac lalu itu, Eei Kiao Yoke, 61, maut ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, manakala suaminya, Koh Pei Long, 62, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama, turut disahkan meninggal dunia.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan anak lelaki mangsa, Koh Seng Leong, 23, yang mahu melawat ibu bapanya terkejut menemui mereka berlumuran darah.
Terjatuh dalam longkang
Wartawan Sinar Harian
17 Mac 2012
Terjatuh dalam longkang
PORT DICKSON – Seorang pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bahagian Unit Kawalan maut apabila motosikal ditunggangnya hi­lang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air di kilometer 20.5 Linggi-Port Dickson sekitar jam 7.45 pagi, semalam.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa, Rosli Alias, 39, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja syif malam.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian maut di tempat kejadian.
“Mayat mangsa ditemui pengguna yang melalui jalan itu sebelum melaporkannya kepada kami. Jenazah mangsa dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, emak mangsa, Rokiah Manap, 50, berkata, dia sangat terkejut menerima berita kematian anaknya.
Menurutnya, anaknya baru tiga bulan bekerja di Sains dan sebelum ini, dia menyewa rumah berhampiran tempat kerjanya, namun sejak sebulan lalu dia berulang-alik dari rumah di Taman Desa Permai berikutan terdapat masalah berkaitan rumah sewa.
“Saya ada menyuruhnya untuk terus sahaja duduk di rumah sewa itu tetapi dia memilih untuk berulang-alik dan tinggal dengan saya dan adik-beradiknya yang lain. Walau bagaimanapun, saya redha dengan pe­mergiannya,” katanya.
Manakala adik mangsa, Abd Rashid, 35, berkata, pemergian abangnya amat dirasai oleh seluruh keluarga lebih-lebih lagi emaknya.
“Arwah sangat akrab dengan emak, begitu juga dengan kami semua dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar,” katanya.
Abd Rashid yang juga petugas Sains berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh salah seorang pegawai atasannya.
“Saya seperti tidak percaya apa yang berlaku kerana malam tadi (semalam) abang seperti biasa menonton televisyen. Abang adalah seorang yang agak pendiam, walau bagaimanapun dia seorang yang mudah mesra dan kuat semangat,” katanya.
Jenazah dituntut ahli keluarga tengah hari, semalam di Bilik Mayat Hospital Port Dickson untuk dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Kerapu Taman Desa Permai dan dikebumikan di Tanah Per­kuburan Islam Port Dickson selepas solat Jumaat.

 

No comments:

Post a Comment