Jangan ambil amah Indonesia
|
KUALA LUMPUR - Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) rela menarik balik pengambilan amah dari Indonesia jika pemerintah republik itu bertegas mengenakan syarat baharu yang membebankan majikan-majikan di Malaysia.
Pemangku Presidennya, Jeffrey Foo berkata, tindakan Indonesia yang menetapkan amah dari negara itu hanya menjalankan satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700 dianggap tidak masuk akal.
"Jika keputusan itu benar-benar hendak diambil, kami tidak bersetuju kerana terang-terang ia tidak relevan... takkan majikan perlu menggajikan hingga empat orang amah bagi empat tugasan yang berlainan," katanya di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman yang menyatakan seorang amah hanya menjalankan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.
Kalau diambil untuk menjadi tukang masak, pembantu rumah tidak dibenarkan menjadi pengasuh bayi.
Bapa Dirang diusir ke Filipina
|
|
JOHOR BAHRU - Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan polis supaya membebaskan bapa mangsa pembunuhan kejam, Nurul Nadirah Abdullah untuk diusir ke negara asalnya, Filipina, atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Sehubungan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya akan merujuk lelaki yang ditahan di Bandar Seri Alam pada 8 Mac lalu itu kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.
"Dia diusir kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Gadis parah terjun balkoni
AMPANG JAYA - Tiga beradik perempuan yang bimbang akan diapa-apakan penjenayah bertindak nekad terjun dari balkoni tingkat dua rumah yang mereka diami hingga mengakibatkan dua parah dalam kejadian di Taman Nirwana di sini semalam.Kejadian pukul 5 pagi itu menyebabkan Nurul Aishah Nik Othman, 18, cedera parah di kepala; Nurul Athirah, 19, patah kaki dan Nurul Adawiyah, 21, cedera ringan selepas mereka bertindak terjun sebaik menyedari rumah dipecah masuk penjenayah.
Tinggi balkoni itu kira-kira lima meter.
Rumah tersebut merupakan milik bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Johar Che Din dan mangsa merupakan ahli keluarga menantu perempuan Johar. Johar tidak tinggal di situ dan sekarang menetap di Taman Tun Razak (TAR), di sini bersama isterinya, Datin Hapsah Mohd. Yunus, 60.
Mengimbau semula kejadian itu, Hapsah memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak lelakinya, Rustam Izuddin, 25, pada pukul 5.15 pagi.
Masalah peribadi punca bunuh
SHAH ALAM - Polis semalam mendedahkan pertengkaran mengenai masalah peribadi merupakan motif utama seorang pensyarah, Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah dibunuh di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong Ahad lalu.Penjenayah yang melakukan perbuatan itu pula kemudian melarikan kereta jenis Perodua Kenari milik wanita tersebut bersama sejumlah barang kemas yang dianggarkan bernilai RM100,000.
Barang kemas itu kemudian dijual di sebuah kedai emas di Ampang, dekat sini manakala kereta tersebut ditemui di Changlun, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kesemua maklumat tersebut diperoleh selepas pihaknya menyoal siasat enam suspek termasuk teman lelaki mangsa berusia antara 19 dan 23 tahun. Mereka ditahan di kawasan Cheras dan Ampang sejak Isnin lalu hingga kelmarin.
Pelajar maut dipanah petir
|
|
MELAKA - Hajat seorang pelajar tahun dua Kolej Universiti Islam Melaka, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah menyertai rakan-rakannya untuk bermain bola sepak di stadium kolej berkenaan musnah apabila dia maut selepas dipanah petir kelmarin.
Kejadian pukul 6.30 petang itu bukan sahaja mengakibatkan pelajar semester empat Diploma Kejururawatan, Mohd. Ridwan Jamal, 20, maut, malah sembilan lagi rakannya yang berada berdekatan turut tercampak kira-kira satu meter. Bagaimanapun, mereka tidak cedera.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika pelajar dari Taboh Naning, Alor Gajah itu baru sahaja melangkah masuk ke dalam padang untuk menyertai rakan-rakannya bermain bola sepak ketika hujan renyai-renyai.
Wanchak dapat semula anak
|
|
PASIR GUDANG - "Saya serik serahkan anak untuk dijaga orang, saya akan jaga dan besarkannya sendiri.
Demikian luahan wanita warga Singapura, Wanchak Ibrahim, 43, apabila impian untuk bertemu semula anaknya, Muhammad Ashraf Abdul, 2, yang terpisah sejak setahun lalu tercapai Rabu lalu.
Ujar Wanchak, saat-saat memeluk anaknya merupakan satu nikmat yang tidak mampu diungkapkan selepas setahun merinduinya.
"Pelbagai usaha saya lakukan untuk mendapatkan Ashraf, syukurlah akhirnya berjaya juga.
"Pertemuan dengan keluarga yang menjaga anak saya diaturkan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Seri Alam sebelum mereka bersetuju memulangkan anak saya," katanya pada sidang akhbar di pejabat Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas di Taman Mawar di sini semalam.
13 tahun sedut habuk
|
|
KLANG - Kehidupan kira-kira 800 keluarga di dua buah taman perumahan di sini terjejas berikutan habuk dan bunyi bising ekoran kegiatan puluhan lori mengangkut simen berdekatan kediaman mereka sejak 13 tahun lalu.
Penduduk di Taman Daya Maju dan Taman Daya Meru Fasa 1 dan 2 terpaksa menutup tingkap setiap kali lori keluar dari kilang simen yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah penduduk melalui Jalan Dahlia.
Kilang simen yang beroperasi 24 jam itu turut mengganggu ketenteraman penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Daya Maju, Mohamad Haswar Ehwan berkata, masalah itu dialami sejak mereka menduduki kawasan itu pada 2006 dan ia telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Shah Alam dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Klang.
"Kita diberitahu bahawa pihak berkuasa telah mengarahkan kilang terbabit berpindah, namun sehingga kini pengurusan kilang enggan berbuat demikian.
"Malah, JAS Shah Alam pernah meminta ia memberhentikan operasi kerana bunyi bising tetapi kilang itu tetap dibuka seperti biasa," katanya.
Portugal, Sepanyol alami kemarau
LISBON - Sepanyol dan Portugal kini berdepan musim sejuk paling kering dalam tempoh lebih 70 tahun yang menyebabkan hasil pertanian negara berkenaan teruk terjejas manakala nasib ribuan pekerja turut terancam.
Pemandangan di utara Sepanyol kini umpama tanah yang tiada tumbuh-tumbuhan kerana hujan tidak turun.
Di Galicia, kawasan di timur laut Sepanyol yang pada kebiasaan hujan kini tiada lagi rumput ekoran kemarau.
Menurut seorang jurucakap persatuan petani, Gregorio Juarez, para petani di kawasan itu dan di wilayah lain terpaksa mengimport barang makanan yang melibatkan kos sebanyak AS$2.6 juta (RM7.95 juta) sehari.
Jurucakap Gabungan Ladang Nasional di Portugal, Joao Dinis berkata, kemarau kali ini meningkatkan kesengsaraan rakyat akibat krisis hutang yang menyebabkan negara itu memohon pelan penyelamatan ekonomi berjumlah 78 bilion euro (RM311.8 bilion) tahun lalu.
"Petani negara ini berdepan masa yang amat sukar dengan tanaman bijirin terjejas teruk manakala tanah ragut pula semakin berkurangan," kata Dinis.
"Ini ialah kemarau terburuk sepanjang hidup saya," tambahnya.
Beliau memberitahu, petani di Portugal kini memerlukan dana kecemasan sebanyak 25 juta euro (RM99.9 juta) bagi membantu meringankan bebanan mereka.
Setakat ini, Kementerian Perladangan Portugal masih mengira jumlah kerosakan akibat bencana tersebut.
Pihak pemerintah Portugal juga sedang berunding dengan Kesatuan Eropah bagi mendapatkan peruntukan kewangan untuk disalurkan kepada para petani yang terjejas. - AGENSI
Ratu cantik botakkan kepala
|
|
ANCHORAGE, Amerika Syarikat (AS) – Ratu Cantik Chugiak-Eagle, Debbe Ebben telah membotakkan kepalanya bagi memperoleh sumbangan untuk digunakan dalam penyelidikan penyakit kanser.
Dia setakat ini berjaya memperoleh sumbangan lebih AS$4,000 (RM12,235) selepas membotakkan kepalanya pada minggu lalu.
Ebben yang berusia 23 tahun melakukan perbuatan itu bagi membantu penyelidikan penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Menurutnya, dia berasa gembira kerana membotakkan kepala itu untuk tujuan kebajikan.
Ebben berkata, peluangnya untuk memenangi pertandingan Ratu Cantik Alaska pada Jun depan tidak terjejas walaupun dia tidak mempunyai rambut.
Para peserta pertandingan itu dikehendaki melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat menyebabkan dia memilih untuk membotakkan kepala untuk tujuan amal. – AGENSI
iPad 3 jadi rebutan
|
LONDON - Peminat kembali membanjiri kedai-kedai komputer Apple di Asia dan Eropah semalam bagi mendapatkan versi terbaharu komputer tablet syarikat berkenaan, iPad 3.
Peminat gajet berbaris panjang bagi mendapatkan komputer tablet terbaharu itu di Britain, Perancis, Jepun, Hong Kong dan Singapura,.
Di Tokyo, sekitar 450 orang beratur di luar sebuah kedai Apple.
Sebahagian mereka sanggup bermalam di luar premis berkenaan kerana mahu menjadi antara kumpulan pertama yang memiliki iPad 3.
"Saya mahu menunjukkan komputer ini kepada rakan-rakan," kata seorang perunding komputer berusia 33 tahun, Norio Nakayama di luar kedai tersebut.
"Saya akan memberikan iPad lama saya kepada isteri saya," tambahnya.
Di Hong Kong pula, hari pertama jualan iPad 3 menyaksikan komputer itu bertukar tangan apabila ia dijual beberapa ratus dolar Amerika Syarikat (AS) lebih tinggi berbanding harga jualan.
Akhbar South China Morning Post melaporkan, seorang peniaga membeli dua iPad 3 versi 32 gigabit pada harga bersamaan AS$1,700 (RM5,201) daripada seorang pelanggan yang membayar AS$1,200 (RM3,670) untuk dua gajet berkenaan.
Versi ketiga iPad itu turut dijual di Australia, Jerman dan Switzerland semalam serta boleh dibeli di AS dan Kanada bermula pukul 8 pagi waktu tempatan manakala 25 negara lain akan mula menerima komputer tersebut seminggu kemudian.
Model iPad 3 dilengkapi pemprosesan lebih pantas dan skrin lebih jelas.
Ia juga didatangkan dengan kamera lebih bermutu seperti yang terdapat pada iPhone terbaharu.
Walaupun gajet itu berdepan saingan sengit daripada komputer tablet murah seperti Kindle Fire, iPad kekal sebagai komputer tablet paling popular.
Apple menjual lebih 55 juta komputer iPad sejak ia mula memasuki pasaran pada 2010 termasuk 40 juta unit pada tahun lalu. - Agensi
No comments:
Post a Comment