Wednesday, March 21, 2012

KENAPA TIADA REJAM DAN SERATUS SEBATAN JIKA SABIT...TIADA HUKUM ALLAH..TIADA HUKUM SETIMPAL DAN MENDIDIK KEPADA ORANG LAIN...

Dibelasah lalu dicerai

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Seorang jururawat bernasib malang apabila dia yang ‘menangkap’ suaminya berkhalwat dengan wanita lain di rumah mereka, di sini, bukan saja dibelasah teruk malah turut diceraikan dengan talak satu, kelmarin.
Menurut sumber, mangsa berusia 32 tahun cedera di kepala, mata, telinga dan tangan akibat ditumbuk serta diterajang suaminya yang berang selepas perbuatannya membawa kekasih gelap masuk ke rumah ketika ketiadaan mangsa terbongkar.

Katanya, perbuatan keji suami mangsa berusia 30 tahun itu terbongkar apabila mangsa yang pulang ke rumah dari tempat kerja tidak dapat membuka pintu kerana dikunci dari dalam, kira-kira jam 11.30 pagi.

“Mangsa kemudian menghubungi suaminya yang berada dalam rumah memintanya membuka pintu, tetapi lelaki terbabit mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian.


“Sebaik pintu dibuka, mangsa bertanya suaminya mengapa lambat membuka pintu sebelum menuju ke bilik air kerana mengesyaki sesuatu kerana curiga dengan kelakuan lelaki terbabit,” katanya.

Angkara RM1 lutut naik muka

Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my

ADU...Wong menunjukkan laporan polis dan aduan kepada JPJ mengenai serangan pemeriksa tiket bas henti-henti.
ADU...Wong menunjukkan laporan polis dan aduan kepada JPJ mengenai serangan pemeriksa tiket bas henti-henti.
KUALA LUMPUR: Hanya kerana sekeping tiket bas bernilai RM1, seorang warga emas mendakwa dicederakan di bahagian mukanya oleh pemeriksa tiket di Rawang dekat sini gara-gara enggan membeli tiket baru selepas dituduh menggunakan tiket tidak sah.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada 6 Mac lalu, mangsa, Wong Soo Tian, 83, menaiki bas henti-henti di Jalan Ipoh untuk pulang ke rumahnya di Rawang selepas mendapatkan ubat dan rawatan susulan di sebuah klinik di situ.

Katanya, sebaik bas melalui kawasan Batu Caves, seorang lelaki dipercayai pemeriksa tiket naik bas terbabit sebelum memeriksa tiket setiap penumpang termasuk dirinya.
“Saya terus berikan tiket seperti diminta, namun mereka mengatakan tiket saya tidak sah sebelum menyuruh saya membeli tiket baru. Saya enggan kerana tiket itu dikeluarkan sendiri konduktor bas terbabit.

“Saya cuba mempertahankan diri dengan menyuruh lelaki berkenaan bertanya sendiri kepada konduktor yang ketika itu berada di bahagian hadapan bas berhampiran pemandu, namun secara tiba-tiba lelaki itu mengangkat lututnya hingga mengenai muka saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Wong berkata, tidak cukup dengan itu, mukanya turut ditonyoh seorang lagi pemeriksa tiket yang menaiki bas berkenaan tidak lama kemudian selepas lelaki berkenaan menghubunginya.

Menurutnya, dia percaya orang ramai mahu membantu, namun akibat takut, mereka menghentikan niat masing-masing, tetapi seorang daripada penumpang menyarankan supaya dia membuat laporan polis.

“Lebih 20 tahun saya menaiki bas untuk ke pelbagai destinasi, inilah kali pertama saya dilayan sebegini teruk. Selepas ini, saya serik untuk menaiki bas lebih-lebih milik syarikat terbabit.
“Diharap syarikat bas itu akan melihat kes saya secara serius kerana saya tidak mahu warga emas lain menjadi mangsa. Saya yakin kejadian ini berkait rapat dengan penyelewengan sama ada konduktor bas terbabit atau pemeriksa tiket itu sendiri,” katanya.

Wong yang kesal dengan kejadian itu membuat laporan di Balai Polis Rawang serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Maut dirempuh ketika cat jalan

SENAWANG: “Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan terkejut melihat mangsa sudah tidak bernyawa,” kata Mohd Amin Ali, 51, saksi kejadian kemalangan membabitkan seorang lelaki yang terbunuh akibat dirempuh sebuah lori ketika mengecat garisan putih jalan di Kilometer 248, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Muhammad Azlizan Adam, 23, maut dalam keadaan menyayat hati apabila tangan dan kaki kirinya putus dirempuh sebuah lori lima tan.

Menurut Mohd Amin, ketika kejadian dia sedang menurunkan barang daripada lorinya untuk kerja mengecat jalan sementara seorang lagi pekerja memegang bendera keselamatan.
“Kami sudah meletakkan kon keselamatan hampir dua kilometer supaya pemandu di lebuh raya menyedari terdapat kerja penyelenggaraan di hadapan.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu mana silapnya, tiba-tiba sebuah lori masuk ke laluan kon dan merempuh mangsa yang sedang tekun mengecat garisan putih itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Mohd Amin berkata, dia yang sudah menganggap mangsa seperti anak kandung sendiri, tidak menyangka arwah meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.

“Saya tidak dapat melupakan saat melihat arwah terpelanting jauh dan maut serta-merta di tempat kejadian.

“Arwah rapat dan tinggal bersama keluarga saya di Bukit Katil, Melaka, saya reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 40-an hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh mangsa yang mengecat jalan. “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memulakan kerja mengecat garisan putih dan datang sebuah lori dari arah Seremban menghala ke selatan hilang kawalan dan melanggar mangsa yang berada di tepi laluan hingga tercampak beberapa meter ke bahu jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. “Pemandu lori ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Maut tersepit bawah lori

SEREMBAN: Seorang lelaki terbunuh dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya melekat di bahagian belakang sebuah lori selepas motosikal ditunggangnya gagal mengelak kenderaan berat itu di Kilometer 262, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Mohamad Aizad Osman, 26, menunggang motosikal Yamaha LC gagal mengelak sebelum merempuh belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan motosikal ditunggangi mangsa terperosok di bawah lori manakala tubuh mangsa melekat di tempat duduk motosikalnya.
Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku ketika lori berkenaan dari arah Kuala Lumpur yang mengalami masalah enjin berhenti di laluan kecemasan.

“Bagaimanapun, motosikal dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba merempuh sisi belakang lori terbabit menyebabkan mangsa dan motosikalnya tersepit di bawah lori.

“Keadaan mangsa cukup mengerikan apabila kaki dan paha mangsa masih tersepit di tempat duduk menyebabkan tubuh mangsa terjuntai ke bawah,” katanya. Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku ketika lori dari arah Kuala Lumpur itu berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan enjin.

Susulan kejadian itu, petugas penyelenggara lebuh raya segera menghubungi polis trafik serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Dilari angkara cemburu

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Ibu Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, yang diculik kelmarin, mengesyaki dengki serta cemburu menjadi punca anak sulungnya itu dilarikan dua lelaki dan seorang perempuan ketika dalam perjalanan pulang bersama dua adiknya dari kedai telekomunikasi, 100 meter dari rumahnya di Taman Tas, di sini, petang Ahad lalu.
Nor Mala Mohd Lazin, 33, berkata, pada jam 2 pagi semalam, dia dihubungi lelaki dikenali memaklumkan Nur Fatihah yang lebih mesra dipanggil ‘kakak’, selamat.

Katanya, lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu memberitahu dia dihubungi remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga dikenali keluarganya, memaklumkan Nur Fatihah kini di rumah ibu angkat seorang daripada individu yang melarikannya.

“Namun dia enggan memberitahu di mana rumah itu dan ibu angkat siapa yang menimbulkan tanda tanya kami,” katanya.


Menurutnya, dalam perbualan selama dua jam itu, dia juga dimaklumkan remaja perempuan berkenaan memberitahu lelaki itu dia sakit hati dengan Nur Fatihah yang baru tiga bulan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, di sini.

Tunang dajal

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

KAJANG: Hanya kerana tidak puas hati ikatan pertunangan bakal terputus di tengah jalan dan impian untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian, seorang lelaki sanggup merogol tunangnya sendiri dalam kereta, malam kelmarin.
Wanita berusia 24 tahun terbabit diperdaya tunangnya itu untuk berbincang mengenai hubungan mereka sebelum bersetuju mengikut tunangnya menaiki kereta.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Utara Semenanjung itu menjemput mangsa di pejabatnya di Taman Keramat, di sini, jam 6 petang.
Sebaik wanita terbabit menaiki Proton Perdana dipandu tunangnya, lelaki terbabit dikatakan memecut ke arah Kajang.

Mangsa yang menyedari sikap pelik tunangnya itu dan bimbang diapa-apakan cuba bertindak nekad melawan dan terjun daripada kenderaan berkenaan.

Malangnya, tindakan itu gagal apabila tunangnya itu menghalangnya dengan menarik baju dipakai mangsa hingga terkoyak hingga menampakkan sebahagian badannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke Hentian Rawat dan Rehat Bukit Dukong, di sini sebelum memberhentikan keretanya di satu kawasan sunyi.

“Mangsa cuba melarikan diri selain melawan dan mempertahankan diri. Bagaimanapun, mangsa dipukul dan ditumbuk suspek sebelum dirogol di dalam keretanya.
“Selepas insiden itu, mangsa dihantar pulang ke rumahnya di Kajang. Namun, kelibat mencurigakan suspek dan mangsa disedari abang mangsa. Lelaki itu kemudian bertindak mengejar suspek tetapi gagal,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Berikutan itu, mangsa menceritakan kejadian dia dirogol tunangnya itu sebelum ditemani abangnya ke balai polis berhampiran membuat laporan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun turut diperkosa seorang lelaki dipercayai abang angkat mangsa di kawasan tangga sebuah pusat beli-belah di Kajang, di sini.

Ab Rashid berkata, gadis lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu membuat laporan berkenaan kelmarin dan dipercayai kejadian itu berlaku bulan lalu dan mendakwa dirogol abang angkatnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah sama.

Menurutnya, mangsa yang juga pekerja di pusat beli-belah berkenaan hanya berborak kosong dengan suspek di kawasan tangga itu namun dia dipeluk sebelum dirogol.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kurung kekasih jadikan hamba seks

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup mengurung kekasihnya di hotel bajet di Jalan Haji Taib 3, Chow Kit, di sini selama seminggu sejak 9 Mac lalu untuk dijadikan hamba seks.
Bagaimanapun, dengan pertolongan seorang pekerja hotel, mangsa berjaya melarikan diri pada 16 Mac lalu sebelum membuat laporan polis mendakwa dirogol teman lelakinya.

Pada masa sama, terdapat satu laporan dibuat bapa mangsa yang menyatakan anaknya itu berusia 32 tahun melarikan diri dari rumah pada 10 Mac selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
Berdasarkan semakan laporan itu, mangsa ditahan sebelum penahanannya dimaklumkan kepada bapanya.

Selepas bapa mangsa datang menemui anaknya di balai polis, mangsa dibenarkan pulang bersama keluarganya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sumber polis berkata, mangsa yang berasal dari Hulu Klang mengikut teman lelakinya itu dikenali sebulan lalu, jam 5 petang, 9 Mac selepas lelaki terbabit mengajak mangsa bersiar-siar di ibu kota.

“Sebelum keluar bersama lelaki itu, mangsa diminta meminjam RM1,000 daripada ibunya dan dengan menunggang motosikal, mangsa dibawa ke Chow Kit sebelum menyewa hotel bajet di Jalan Haji Taib 3,” katanya.

Padah 3 dalam 1

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Pada siang hari didakwa merogol seorang pelajar tingkatan tiga manakala pada malam hari pula dituduh menyamar anggota polis serta memiliki senjata berbahaya.
Begitulah padah yang dihadapi seorang lelaki selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, semalam terhadap tiga tuduhan.

Bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen di sini, penganggur, M Retnam, 32, dari Taman Mewah Jaya, Klang, Selangor didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di kawasan hutan berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau antara jam 2.30 hingga 3.30 petang, 1 Mac lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapat laporan perubatan mangsa dan keputusan ujian DNA.

Sitarun Nisa juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Di Mahkamah Majistret pula, Retnam mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyamar anggota polis apabila menunjukkan kad kuasa palsu dan meminta pasport milik seorang warga Indonesia ketika berada dalam lif Pangsapuri Mutiara, Jalan Sungai Emas, Batu Feringgi antara jam 10.30 dan 10.40 malam, 1 Mac lalu.
Tuduhan itu dibacakan dalam bahasa Tamil di depan Majistret Nor Aini Yusof manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Retnam turut didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu pisau berukuran 27 sentimeter tanpa kebenaran sah di tempat dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1), Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan.

Nor Aini menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen manakala tertuduh dikenakan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tuduhan itu.

No comments:

Post a Comment