Erni teruskan usaha terakhir ibu
KUALA LUMPUR 27 Sept. – Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi akan meneruskan beberapa usaha terakhir ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya termasuk membuat tuntutan terhadap bekas suaminya, Nash atau Jamaludin Elias.
Beliau berkata, meskipun perhubungan adik beradiknya dengan bekas penyanyi kumpulan Lefthanded itu masih akrab namun tuntutan tersebut terpaksa diteruskan bagi menyempurnakan usaha terakhir ibunya.
“Kalau dilihat pada usaha ibu (Sosilawati) yang begitu bersungguh-sungguh membuat tuntutan itu, saya rasa perlu untuk kami meneruskannya.
“Tetapi perkara ini masih dalam perbincangan antara saya dan adik-adik. Semalam kami telah berbincang mengenainya tapi masih belum membuat keputusan.
“Saya hanya dapat memberi keputusan ini selepas berbincang serta mendapat pendapat seluruh ahli keluarga,” katanya ketika menjadi tetamu Kerusi Panas kepada Radio 24 di sini petang ini, yang dikendalikan penyampai, Azman Idris.
Pada 26 Ogos lalu iaitu empat hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang, beliau telah memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, bahawa wang RM1.38 juta yang digunakan untuk membayar hutang rumah serta dilaburkan dalam tiga akaun atas nama Nash adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain bagaimanapun menyambung perbicaraan tersebut pada 2 dan 3 Februari tahun depan.
Selain itu, Erni Dekritawati Yuliana memberitahu, beliau juga akan berusaha untuk menyenaraikan syarikat kosmetik ibunya, Nouvelle Visages di bursa saham.
Kepada satu soalan, beliau berkata, penyenaraian nama syarikat kosmetik berkenaan di bursa saham adalah matlamat ibunya dalam perniagaan.
Sambil tidak menafikan Sosilawati turut memiliki syarikat hartanah dan penjualan kereta, katanya, beliau akan berusaha untuk meneruskan hasrat ibunya itu dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, setakat ini perniagaan yang ditinggalkan ibu masih berada dalam keadaan baik.
“Walaupun perniagaan kosmetik itu kehilangan ibu, tetapi penjualan produknya masih berada dalam keadaan baik.
“Apa yang saya dapat beritahu juga setakat ini tidak ada kerugian dan tidak terdapat keuntungan berganda, semuanya seperti biasa,” ujarnya.
Malah jelasnya, kejadian yang menimpa ibunya telah melonjakkan nama Nouvelle Visages menjadi terkenal ketika ini.
Dalam pada itu, ditanya siapa yang menjadi mentor untuknya meneruskan empayar perniagaan tersebut, katanya, bapa kandungnya Bukhairi Mohamed akan memimpin beliau dan adik-adiknya.
Sosilawati, 47, serta pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Setelah lebih seminggu hilang akhirnya misteri itu terjawab apabila polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.
Keempat-empat mereka dibunuh secara kejam oleh suspek dengan mayatnya dibakar manakala abu pula dibuang ke dalam sungai dekat Ladang Gadong, Banting.
Isteri sedia kebumi tulang jika milik Shafik
SUNGAI PETANI 27 Sept. - Isteri ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, bersedia membawa tulang dijumpai di Ladang Gadong, Kuala Langat, Selangor, semalam, untuk dikebumikan di sini, jika disahkan milik suaminya.Samson Nahar berkata, dia berhajat menyempurnakan tulang tersebut mengikut ajaran Islam dan disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Rahman, Kampung Penghulu Him, di sini.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya masih menunggu pengesahan lanjut daripada polis berhubung penemuan bahan bukti terbaru itu.
"Jika betul ia milik suami, saya akan bawa balik tulang dan tanam di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, polis menemui petunjuk baru dalam kes kehilangan Mohd. Shafik yang dikatakan hilang sejak April lalu apabila menemui sejumlah tulang manusia di ladang milik suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu, di Ladang Gadong, semalam.
Petunjuk baru itu diperoleh di dua lokasi mayat didakwa ditanam selepas kerja-kerja menggali menggunakan sebuah jentolak dijalankan selama lapan jam dengan dibantu jentera Bomba dan Penyelamat.
Menurut Samson Nahar, dia reda dengan kejadian tersebut walaupun merasa sedih dan marah kerana terdapat manusia yang sanggup melakukan perbuatan kejam terhadap insan lain.
"Saya kini cuba menenangkan anak-anak dan berharap mereka boleh terima kenyataan bahawa bapa mereka sudah tiada lagi," katanya yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 13 tahun hasil perkahwinan dengan Mohd. Shafik.
Suri rumah itu memberitahu, sebelum ini, dia bersama ahli keluarga turut mengadakan solat ghaib dan tahlil untuk disedekahkan kepada Mohd. Shafik di beberapa masjid di Sungai Petani dan Pulau Pinang.
Utusan Malaysia pada Khamis lalu melaporkan, Mohd. Shafik turut disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam kumpulan suspek yang kini disiasat berhubung kes pembunuhan Sosilawati.
Dia dimaklumkan oleh polis bahawa 95 peratus kemungkinan suaminya telah dibunuh semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur dan IPD Kuala Langat, Selangor, pada 15 September lalu.
Ia adalah berikutan pengesahan salah seorang suspek yang mengaku melakukan jenayah itu, selain polis juga menemui seutas jam tangan berjenama Puma milik mangsa tersebut.
3 ahli keluarga Allal ke Malaysia
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Tiga anggota keluarga kepada hartawan dari India, Allal Kathan Muturaja, yang dilaporkan hilang di Banting, awal Januari lalu, hadir di Suruhanjaya Tinggi India, di Jalan Taman Duta, di sini hari ini.Dua abang Allal Kathan, Vijaya Subramaniam dan Dr. Kasi Viswanathan tiba di kedutaan tersebut pukul 3.30 petang dengan ditemani isteri Dr. Kasi, sebelum dilihat keluar kira-kira sejam selepas itu.
Turut menemani mereka ialah bekas anggota Majlis Tertinggi MIC, K. P. Samy.
Menurut Kasi, mereka hadir di kedutaan itu bagi memberi keterangan kepada pegawai kanan di suruhanjaya tersebut selain mendapatkan gambaran sebenar kehilangan adiknya yang dikaitkan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
"Kami berada di sini sehingga kes selesai. Saya berharap pihak kedutaan dapat membantu kami sekeluarga mencari adik saya.
"Kami juga ingin meminta penjelasan mengenai kehilangan adik saya yang mempunyai kaitan dengan kes Sosilawati," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau, ibu bapa mereka akan datang ke Malaysia untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), bagaimanapun tarikh tersebut belum dapat dipastikan lagi.
"Kami menunggu jemputan rasmi daripada pihak polis negara ini," katanya.
Akhbar pada 22 September lalu, melaporkan Allal Kathan yang menjalankan perniagaan batu permata di Chennai, India hilang selepas dipercayai berurusan dengan suspek utama kes Sosilawati di Banting, Selangor, pada awal Januari lalu.
Isterinya, S. Usharani membuat laporan kehilangan Allal Kathan pada 8 September lalu
35 peguam terlibat jenayah ditahan
KUALA LUMPUR 27 Sept. – Seramai 35 peguam telah ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, setakat ini kerana terlibat dalam kegiatan jenayah di seluruh negara termasuk dua beradik yang menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki baru-baru ini.Peguam dua beradik terbabit disiasat kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tanah yang didakwa ingin dibeli oleh Sosilawati di Pulau Pinang.
Timbalan Pengarah 1, JSJK, Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar berkata, kesemua peguam yang ditahan terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah seperti kes penipuan, pecah amanah, pemalsuan dokumen bagi geran tanah dan afidavit.
Beliau berkata, terbaru, polis menahan seorang peguam berusia 50-an di rumahnya di Sunway, Subang Jaya, dekat sini, hari ini setelah dipercayai cuba memalsukan geran tanah di ibu negara bernilai kira-kira RM15 juta kepada syarikatnya.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 8 pagi untuk siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Nooryah bagaimanapun enggan mengulas lanjut secara terperinci mengenai tangkapan tersebut, latar belakang peguam terlibat dan modus operandi digunakan.
Mengenai 35 peguam yang diberkas setakat ini, beliau berkata, tangkapan tertinggi dilakukan di Selangor iaitu 10 orang, diikuti lapan orang di Johor serta masing-masing empat orang di Kuala Lumpur dan Kedah.
Beliau berkata, Perak dan Negeri Sembilan pula masing-masing mencatatkan tiga tangkapan manakala dua orang di Pulang Pinang dan seorang di Melaka.
“Dalam tempoh sama, kita telah membuka dan menyiasat 290 kes jenayah membabitkan golongan peguam termasuk kes Sosilawati yang masih dalam siasatan,” katanya.
Menurut Nooryah, penglibatan peguam dalam kes-kes jenayah amat dikesali kerana mereka merupakan golongan profesional yang dipercayai oleh masyarakat.
“Sebagai golongan profesional, peguam diberi amanah oleh pelanggan. Pelanggan meletakkan harapan tinggi kepada mereka namun dimusnahkan apabila mereka melakukan penipuan dalam kes penjualan tanah dan pembiayaan rumah, pecah amanah serta pemalsuan afidavit,” ujarnya
Usharani sambung keterangan
BANTING 27 Sept. - S. Usharani, isteri usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang di negara ini sejak awal tahun lepas, hari ini menyambung keterangan berhubung kehilangan suaminya selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini.Usharani, 27, tiba di IPD berkenaan pada 1.45 tengah hari bersama anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam dan dua lelaki yang tidak dikenali.
Sebelum ini, Usharani telah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya 8 September lepas dan memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD sama pada 23 September.
Semalam, beliau dilihat hadir ke IPD berkenaan pada 10.00 pagi dan meninggalkan premis itu 45 minit kemudian.
Manikavasagam berkata Usharani dijangka pulang ke Chennai pagi Rabu depan dan malam ini, wanita itu akan melakukan upacara sembahyang untuk suaminya di sebuah kuil di Pudu.
Katanya, Usharani akan dibawa bertemu dengan pegawai Kedutaan India petang esok. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment