Monday, September 27, 2010

BAGAIMANA KALAU TERJADI PADA ANAKNYA...LANGSUNG TAK PENDULI HUKUM....

Diarah tumpang asrama lelaki

Oleh Alias Abd Rani

2010/09/27
SARATOK: Gara-gara tindakan pengurusan sebuah sekolah rendah di sini, menumpangkan empat murid perempuan di asrama lelaki membawa padah apabila mereka bukan saja menjadi mangsa cabul, malah dibuli penghuninya sejak April lalu.
Tindakan menempatkan sementara murid perempuan berusia lapan dan sembilan tahun di asrama lelaki itu dibuat selepas asrama yang sepatutnya didiami mereka penuh berikutan pertambahan bilangan penghuninya sejak tahun ini.
Bagaimanapun, tindakan itu mengundang musibah apabila murid terbabit menjadi mangsa cabul dan buli penghuni asrama lelaki itu hingga menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan perubahan sikap.

Perkara itu disedari seorang ibu mangsa yang mendapati sesuatu tidak kena dengan sikap anaknya ketika pulang bercuti minggu lalu sekali gus membongkar pengakuan yang memeranjatkan mereka sekeluarga.

Ibu seorang daripada mangsa dikenali sebagai Suzie, 29, berkata dia terkejut selepas anak perempuannya mendakwa dicabul, dibuli selain kepalanya dihentak ke dinding oleh murid lelaki sejak menginap di asrama berkenaan.

Menurutnya, lebih memeranjatkan apabila anaknya mendakwa mereka sering menjadi mangsa gangguan seksual apabila dipeluk murid lelaki terutama ketika tidur pada waktu malam.

Wanita itu mendakwa perkara berkenaan tidak diketahui pihak sekolah dan warden asrama kerana difahamkan mereka yang sepatutnya bertugas setiap malam terutama di asrama lelaki tidak kelihatan, sebaliknya hanya membuat pemeriksaan di asrama perempuan.

“Saya begitu terkilan dengan pihak sekolah yang membuat keputusan menempatkan anak saya dan tiga rakannya di asrama lelaki walaupun pernah menghalang mereka berbuat demikian.

“Malah, selepas mendesak pihak sekolah untuk tidak menempatkan murid perempuan menginap di asrama berkenaan, seorang guru wanita memberi jaminan menjaga keselamatan mereka,” katanya.

Katanya, dia tidak kisah jika anaknya terpaksa tidur atas lantai asrama perempuan berbanding ditempatkan di asrama lelaki kerana bimbang perkara tidak diingini menimpa seperti yang berlaku.

“Saya dimaklumkan hanya asrama perempuan dipantau guru sedangkan asrama lelaki dibiarkan menyebabkan perkara sebegini berlaku walaupun guru besar mengetahui terdapat murid perempuan menumpang di sana,” katanya

Dia yang kesal dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Saratok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Len, berkata laporan perubatan awal mengesahkan mangsa tidak dirogol, namun pihaknya memberi jaminan membuat siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan.

“Kita menerima dua laporan berasingan mengenai kejadian. Setakat ini, laporan perubatan dikemukakan Hospital Saratok (HS) mengesahkan dua mangsa berkenaan tidak dirogol.

“Esok (hari ini), polis akan ke sekolah berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut sekolah sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya.

No comments:

Post a Comment