NEGARA
Ramai andartu ditipu Awang Hitam
|
|
KUALA LUMPUR – Seramai 385 rakyat tempatan yang sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita terutama anak dara yang sudah lanjut usia tapi masih belum kahwin (andartu) menjadi korban sindiket penipuan yang didalangi oleh warga Afrika atau lebih dikenali sebagai Awang Hitam.
Jumlah tersebut direkodkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan kerugian dicatatkan melebihi RM7.4 juta.
Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, angka kes itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah aduan yang diterima (tahun ini) bertambah sebanyak 120 kes berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 265 kes dengan kerugian sebanyak RM7 juta.
“Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan mangsa penipuan bungkusan dan black money,” kata beliau kepada Kosmo! semalam.
Berdasarkan rekod, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain dengan jumlah 116 kes melibatkan kerugian sebanyak RM1.6 juta dan diikuti dengan Kuala Lumpur dan Johor.
Rohaimi memberitahu, sindiket tersebut mempunyai pelbagai modus operandi bagi memperdaya mangsa tanpa mengira gender.
NEGARA
Jumpa tulang disyaki milik Shafik
BANTING – Pasukan polis forensik semalam menjumpai sejumlah serpihan tulang dipercayai tulang manusia selepas menggali beberapa kawasan di sekitar ladang ternakan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat semalam.
Satu sumber berkata, ada kemungkinan tulang tersebut milik Shafik Abdullah (gambar kecil), 37, yang dilaporkan hilang sejak April lalu.
Penemuan tersebut didakwa oleh sumber itu amat penting bagi membantu siasatan kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah itu.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, tulang-tulang itu perlu dianalisis terlebih dahulu kerana ia dikhuatiri bukan tulang manusia.
“Tidak ada apa yang boleh didedahkan kecuali penemuan itu mungkin boleh membantu kehilangan Shafik,” kata sumber itu lagi.
Selain tulang, satu sumber lain turut mendakwa menjumpai barangan lain yang akan dianalisis untuk mengetahui sama ada ia milik Shafik atau mangsa lain yang dilaporkan hilang.
Ditanya mengenai kehadiran sebuah jentera bomba ke ladang itu, sumber itu memberitahu, ia dipanggil dengan tujuan membekalkan air kepada pasukan penyiasat di situ ekoran ladang tersebut menghadapi masalah air.
Sebuah lori Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.) turut berada di situ didakwa bagi membantu membaiki paip pecah.
NEGARA
Cedera ditetak akibat meludah
KUALA TERENGGANU – Gara-gara air ludah, seorang pekerja warga Myanmar cedera parah pada tangan kiri selepas ditetak seorang pekerja warga Indonesia di tapak projek Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun dekat sini kelmarin.Kejadian pada pukul 7 pagi itu berlaku akibat perselisihan faham kedua-dua pihak yang dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang didakwa meludah semasa mengambil air sembahyang.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, tindakan mangsa berusia 23 tahun yang meludah itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati suspek yang kemudian bertindak menegur mangsa.
Menurut beliau, teguran suspek yang berusia 20-an itu bagaimanapun telah mencetuskan suasana tegang sehingga berlaku pergaduhan.
“Kedua-dua pekerja itu bergaduh sehingga menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di bahagian tangan kiri dipercayai kerana ditetak dengan senjata tajam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
NEGARA
3 pelacur tak serik kena tangkap
SEREMBAN - Tak serik-serik.
Itulah yang boleh dikatakan mengenai tiga wanita warga China yang ditahan bersama tiga lagi wanita di sebuah rumah kedai di Jalan Temiang di sini kelmarin atas kesalahan melacur.
Ini kerana tiga wanita berusia 21 hingga 26 tahun itu sebelum ini pernah ditahan di Flat Taman Bukit Delima di sini pada Julai lalu atas kesalahan yang sama.
Kesemua wanita tersebut ditahan dalam Ops Noda yang dilancarkan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Ketua Operasi D7 negeri, Cif Inspektor Raidah Abiddin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, tiga pelanggan berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun turut ditahan.
"Ketika serbuan kesemua wanita dan pelanggan di dalam premis berkenaan cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi berjaya ditangkap.
"Berdasarkan risikan, kita mengesyaki kegiatan tidak bermoral di premis ini sudah berlanjutan sejak kira-kira tiga minggu lalu,'' katanya di sini semalam.
Katanya, pihak polis turut menemui 30 kondom dan tiga botol pelincir serta beberapa pil yang digunakan untuk kegiatan berkenaan.
NEGARA
Penjenayah Geng Atab tumpas
KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah bergelar Geng Atab yang aktif melakukan samun dan peras ugut di Ampang sejak 10 tahun lalu tumpas ekoran penahanan 13 lelaki termasuk ketua kumpulan penjenayah itu semalam.Ketua kumpulan Geng Atab berusia 28 tahun yang didakwa kerap menyamar sebagai orang kenamaan seperti menggunakan gelaran 'Datuk Paduka' ditahan pada pukul 2 pagi semalam sebaik keluar dari sebuah pusat hiburan di Cheras di sini.
"Suspek mendakwa dia menerima darjah tersebut daripada Sultan Kedah namun siasatan mendapati ia adalah palsu.
"Suspek juga hidup mewah hasil daripada kegiatan jenayah tersebut termasuk memiliki sebuah kereta mewah jenis BMW," kata seorang jurucakap polis.
Jurucakap polis berkata, susulan penahanan suspek yang merupakan seorang penganggur itu, polis kemudian menahan 12 lagi lelaki dipercayai anggota kumpulan tersebut di sekitar Ampang Jaya.
No comments:
Post a Comment