Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, dia hanya berdiam diri sambil memikirkan mengenai suaminya.
“Sejak bermulanya Ramadan, saya dapat mengagak dia akan pergi meninggalkan saya selama-lamanya. Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya.
“Saya bersyukur dia pergi menghadap Ilahi dengan penuh kesempurnaan. Segala hutangnya dibayar terlebih dulu, malah setiap satu kehendaknya ditunaikan Allah.
“Niat arwah mahu menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat tertunai jua.
“Malah, keinginannya mahu melihat anaknya bergelar tahfiz al-Quran juga berjaya apabila anak bongsunya menamatkan pelajaran dalam bidang berkenaan.
“Jadi, saya reda dengan pemergiannya lebih-lebih lagi segala impiannya berjaya dicapai,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Chik terkilan kerana arwah tidak sempat melihat dia dan madunya, Hashimah Md Din, 55, berbaik semula.
“Walaupun kami mempunyai masalah dan tidak bertegur sapa sehingga kini, saya tetap tidak mahu berdendam. Malah, niat saya mahu berbaik ketika arwah masih ada juga tidak tercapai.
“Namun, hati saya sentiasa terbuka jika kami berbaik semula walaupun selepas arwah pergi menghadap Ilahi. Bagaimanapun, hubungan saya dan arwah tidak pernah mempunyai masalah,” katanya.
Menurut Wan Chik, dia bersyukur kerana Tuhan menghantar arwah kepadanya untuk dijadikan suami.
“Walaupun dia tidak berharta, namun bagi saya dia adalah jutawan akhirat yang penuh dengan ilmu agama. Sebab itu, saya begitu kasih kepadanya dan bukan kerana harta atau popularitinya sebagai pelakon,” katanya sebak.
Kasih seorang suami
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Tidak tahan melihat penderitaan yang ditanggung oleh isteri, bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kamaruddin Abu Bakar, 62, hari ini memohon bantuan daripada orang ramai untuk mendapatkan kaki palsu bagi memudahkan isterinya bergerak.
Menurut Kamaruddin, isterinya, Zainon Abdul Rashid, 52, kini berada pada tahap keempat penyakit kencing manis dan kedua-dua belah kakinya sudah dipotong.
''Saya terpaksa memohon bantuan ini kerana wang simpanan kini semakin susut dan saya hanya mampu membuat beberapa kerja sambilan seperti melukis untuk menambah pendapatan keluarga termasuk membiayai kos perubatan isteri.
''Saya juga dalam proses untuk menjual rumah yang didiami sekarang untuk tujuan tersebut,'' kata bapa kepada tiga anak ini ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor hari ini.
Kamaruddin mula berkhidmat dengan Utusan Malaysia sejak 1979 sebagai pelukis ilustrasi sebelum menyertai Unit Grafik 20 tahun kemudian.
Pada 1995, beliau dilantik sebagai Ketua Pelukis Utusan Malaysia dan menjadi Pengarah Kreatif akhbar berkenaan mulai 1998.
Jawatan terakhir beliau di Utusan Malaysia ialah Ketua Unit Reka Bentuk sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada 2004.
Kamaruddin yang juga menghadapi masalah buah pinggang memberitahu, beliau memerlukan lebih daripada RM20,000 bagi mendapatkan kaki palsu untuk isterinya.
''Bagaimanapun, saya tidak pasti kos yang sebenar kerana saya difahamkan bahawa harga tersebut hanya untuk sebelah kaki,'' katanya yang turut menerima bantuan zakat bagi membiayai masalah buah pinggang yang dihadapinya.
Kamaruddin boleh dihubungi melalui talian untuk maklumat lanjut.
Mahligai Rita, Aidil goyah
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
edisimingguan@bharian.com.my
2010/10/02
RITA bersama suaminya Mohd Aidil Zafuan ketika saat bahagia.
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua tahun berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki, rumah tangga pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, yang dibina atas dasar cinta mula goyah
Bukan soal orang ketiga atau kecurangan menjadi punca, tetapi sebaliknya pelakon yang popular melalui filem Anak Mami dan Anak Mami Junior itu mendakwa ia banyak disebabkan mulut dan campur tangan individu tertentu terutama keluarga mentua.
" Tidak cukup mengaibkan dan memalukan saya selama ini, apa lagi mereka inginkan? Selama ini, saya tidak pernah membalas kenyataan dikeluarkan.
“Saya mendiamkan diri kerana ingin menjaga maruah dan air muka suami, tetapi saya tidak mampu bersabar lagi,” katanya menjawab gosip yang mendakwa dia menghalau ibu bapa Aidil ketika mereka berkunjung ke rumahnya, baru-baru ini.
Berita Harian difahamkan Aidil sudah lama tidak pulang menjenguk Rita dan anaknya, Airit Rayyan Rizkin. Malah ketika Aidilfitri baru-baru ini pun, mereka meraikannya bersama keluarga masing-masing tidak seperti tahun sebelumnya.
Sumber yang rapat dengan Rita berkata, akibatnya pelakon itu semakin tertekan dan bingung kerana tidak tahu punca kesalahannya. Bagaimanapun, Rita enggan mengulas perkara itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
"Cerita saya kurang ajar, halang suami pulang ke rumah keluarga dan suka mengongkong suami memang keterlaluan. Dulu, suami pernah dihalau keluarga, tetapi diterima semula selepas dua minggu dipulaukan. Sejak itu, suami tidak pernah berenggang dengan keluarga, malah Aidilfitri tahun ini turut disambut bersama keluarganya.
“Saya tidak pernah kecil hati dan menghalang suami pulang ke rumah keluarganya, malah setiap hari pasti suami menjenguk ibu bapanya" katanya lagi.
Anak kelahiran Kangar, Perlis itu berkata umum tahu, hubungannya dengan keluarga mentua keruh sejak berkahwin, tetapi hatinya gembira dan terharu apabila ibu bapa mentua menjenguknya ketika bersalin.
"Jujurnya, kami tidak pernah berbaik. Namun, saya tidak menyimpan dendam dan berharap masih ada jalan perdamaian, nampaknya keadaan semakin berkecamuk. Walaupun keluarga saya pernah dimaki, mereka masih berharap saya berbaik dengan keluarga mentua.
“Mereka tidak mahu perbalahan kami berpanjangan walaupun keluarga mentua sering mengeluarkan kenyataan keterlaluan di akhbar. Bagaimanapun, tidak sampai dua hari, anak saya, Airit Rayyan dilarikan suami untuk bertemu keluarganya ketika saya bekerja,” katanya.
Tidak pernah terfikir untuk bercerai - Rita Rudaini
KUALA LUMPUR 2 Okt. - "Rumah tangga kami tidak pernah aman gara-gara campur tangan pihak ketiga," demikian luah pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35, mengenai kemelut yang selama ini menghantui pernikahannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, sejak dua tahun lalu.
Menurut Rita, antara dia dan suami tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah besar sepanjang pernikahan, malah saling menyayangi antara satu sama lain.
Cinta mereka juga semakin kuat selepas dikurniakan zuriat sulung, Airit Rayyan Rizqin pada Julai tahun lalu.
"Sebab itu ingin saya tegaskan, masalah rumah tangga kami bukan berpunca daripada saya atau Aidil. Kami tak pernah ada masalah besar.
"Kalau ada pun, ia hanya masalah biasa suami isteri yang boleh diselesaikan dengan perbincangan.
"Bagaimanapun pihak ketiga inilah yang membuatkan kami selalu bergaduh dan rumah tangga kami tidak pernah aman, ada saja masalah," kata Rita, berterus terang kepada Mingguan Malaysia.
Menurut dramatis popular ini, pihak ketiga juga telah membuat pelbagai fitnah yang memalukan dirinya, termasuk mengharapkan agar rumah tangga pasangan ini berakhir dengan kehancuran.
"Saya sedih sangat sebab banyak yang masuk campur dalam urusan rumah tangga kami. Ini termasuklah orang yang ada kaitan dalam industri. Orang ini telah menyebar fitnah, mengutuk dan memfitnah macam-macam tentang saya kepada orang luar.
"Bila cerita tak betul macam itu timbul, lama-kelamaan hubungan kami suami isteri yang menjadi tegang.
"Gara-gara mulut pihak yang tidak bertanggungjawab itu, antara saya dan Aidil selalu menjadi 'panas' dan huru hara," katanya dalam nada kesal.
Bagaimanapun kata pelakon itu, meskipun sedang berhadapan dengan masalah, dia tidak pernah terfikir untuk bercerai, selain berdoa kepada Allah SWT agar kemelut rumah tangganya berakhir sedikit masa lagi.
Malah, cinta kepada suami masih utuh dan dia mengharapkan agar peminat dan semua yang mengenali dirinya mendoakan yang terbaik buat keluarganya.
"Selagi boleh diselamatkan, kami akan berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami demi anak yang masih kecil.
"Saya tak nak gara-gara orang lain, kami bercerai-berai. Saya cukup yakin, Aidil juga tidak mahu rumah tangga kami jadi porak peranda dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan ikatan suci ini," katanya.
Sementara itu, ibu mertua Rita, Azizah Arshad, 58, berkata, dia terkejut dengan laporan itu yang mendakwa hubungan anak dan menantunya sedang bergolak ekoran campur tangan individu tertentu termasuk keluarganya.
"Dari mata saya, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga. Saya tidak faham bagaimana berita itu timbul," katanya.
Bapa tunggu Aidil, tak mahu ulas kenyataan Rita
2010/10/03
SEREMBAN: “Biarlah apa pun yang dia nak cakap,” kata Abd Radzak Salleh dalam reaksi balas terhadap kenyataan menantunya, Rita Rudaini Mokhtar yang mendakwa rumah tangganya kini goyah akibat campur tangan individu tertentu, termasuk keluarga mentua. Sambil reda dengan jodoh Rita dan Mohd Aidil Zafuan, 23, kerana ia ketentuan Tuhan, Abdul Radzak, 61, berkata mereka sekeluarga tidak tergamak bertindak sesuatu atau memburukkan pelakon berkenaan dan buat masa ini beliau dan keluarga tidak mahu mengulas lanjut pendedahan Rita yang disiarkan Berita Harian, semalam
“Saya tak mahu ulas kenyataan pelakon itu (Rita) kerana sehingga kini pun kami tak dapat apa-apa maklumat daripada Aidil (Mohd Aidil Zafuan) yang kini ada di Vietnam bersama skuad bola sepak kebangsaan.
“Ada baiknya kami ahli keluarga berbincang dulu, terutama dengan Aidil kerana ia membabitkan kepentingan rumah tangga mereka. Biarlah dia (Rita) yang buat kenyataan atau apa juga yang dia nak cakap... kami perlu ambil masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rashibah Indah, Sikamat di sini, semalam.
Semalam, Berita Harian menyiarkan kenyataan Rita, 34, mendakwa rumah tangganya bersama Aidil, 23, yang dibina atas dasar cinta mula goyah, banyak disebabkan mulut dan campur tangan individu tertentu, terutama keluarga mentua. Mereka yang berkahwin dua tahun lalu dikurniakan cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin.
Abd Radzak yang kelihatan kurang sihat kerana penyakit paru-paru berkata, beliau perlu mendapat maklumat jelas daripada Aidil bagi mengelak kenyataan yang tidak benar dan memalukan keluarga, selain tidak mahu tumpuan anaknya terhadap karier dan tanggungjawab bersama pasukan bola sepak negara dan Negeri Sembilan terganggu.
“Kami belum dengar apa-apa daripada Aidil, malah sebelum ini pun kami tak pernah pergi ke rumah mereka di Kuala Lumpur dan tidak tahu hal rumah tangga mereka. Laporan yang kami dihalau ketika berkunjung ke rumah mereka juga tidak benar kerana memang kami tidak pernah ke sana, kecuali ketika Rita melahirkan Airit,” katanya.
Mengenai dakwaan bahawa Aidil sudah lama tidak menjenguk Rita dan bayi mereka, termasuk meraikan Aidilfitri lalu bersama keluarga masing-masing, beliau berkata, setiap kali selesai perlawanan bola sepak, Aidil pulang ke Kuala Lumpur.
“Aidilfitri lalu, Aidil baru selesai dengan tugasannya bersama skuad bola sepak kebangsaan di luar negara. Dia ada cuti singkat kerana terpaksa memberikan komitmen kepada skuad Negeri Sembilan pula bagi menghadapi perlawanan dengan Kelantan di Kota Bharu.
“Kami tidak campur tangan dalam jadual Aidil. Jika dia nak berhari raya di mana pun, terpulang kepadanya,” katanya yang turut kesal dengan dakwaan Rita bahawa Aidil melarikan Airit untuk bertemu keluarga pemain bola sepak itu.
“Wajarkah tindakan Aidil membawa anaknya bertemu datuk dan nenek dituduh sebagai melarikan anak?” katanya.
Rita Rudiani Masih Sayangkan Aidil
PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar,34, mengakui masih sayangkan suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, dan tidak pernah berhasrat untuk berpisah.
Rita berkata, masalah yang berlaku dalam rumah tangganya adalah berpunca daripada pihak ketiga yang cuba memecahbelahkan rumah tangga mereka.
Tambah Rita, pihak ketiga itu juga selalu menyebarkan fitnah semata-mata untuk memberi tekanan kepada Rita dan suaminya.
“Saya mempersoalkan di sini apakah motif mereka berbuat demikian? Apakah tujuan mereka ingin menghancurkan kebahagiaan kami,” katanya kepada mStar Online dalam satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di sini, Sabtu.
Rita diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Sabtu yang melaporkan rumah tangganya dengan pemain bola sepak kebangsaan itu seperti retak menanti belah.
Laporan itu turut menyebut Aidil sudah lama tidak pulang menjenguk Rita dan anak mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia lebih setahun sejak sekian lama.
Ujar Rita, dia masih mahu mempertahankan rumah tangganya dan tidak pernah berhasrat untuk berpisah seperti yang diheboh orang sejak kebelakangan ini.
“Saya masih sayangkan Aidil dan rumah tangga kami,” katanya.
Mstar Online pada 23 September lalu melaporkan kakak kepada Aidil aitu Ruzie,39, meminta Rita memaafkan keluarga mereka selepas berlaku selisih faham mengenai perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga.
Ruzie turut menafikan keluarganya tidak dapat menerima Rita sebeliknya telah merestui perkahwinan pelakon itu dengan Aidil yang dilakukan secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand
ADUN Kerdau mengakhiri zaman duda
TEMERLOH 2 Okt. – Lebih 5,000 penduduk menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri dan majlis persandingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kasim di Dataran Ketumbit, Kerdau di sini hari ini.
Zaharuddin, 64, yang sebelum ini menghadapi masalah jantung sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN) hampir dua bulan, mengakhiri zaman dudanya apabila mengahwini guru Kelas Asas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Rozlifah Ahmad, 33.
Beliau yang menduda selepas kematian isterinya sejak empat tahun lalu bernikah dengan Rozlifah pada 28 Ogos lalu di rumah keluarga pengantin perempuan di Felda Jengka 17, Maran.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk di DUN Kerdau dan rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan kepada saya hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu dekat sini hari ini.
Bung Nafi Cerai Isteri Pertama
PETALING JAYA: Selepas mahkamah mengesahkan pernikahan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, 51, dengan pelakon Zizie Izette, 32, pada Ogos lalu, khabar angin mengatakan Bung menceraikan isteri pertamanya, Nor Asidah Alimuddin sebulan lalu tersebar luas.
Bagaimanapun, Bung menafikan hal cerai tersebut dan menganggapnya sebagai khabar angin kosong sahaja.
"Tidak, mana ada. Ia cuma gosip sahaja," seloroh Bung ketika bertemu di majlis rumah terbukanya dan Zizie di kediaman mereka di Ukay Perdana.
Zizie pula berkata, dia harap gosip sebegini tidak akan timbul lagi kerana risau jika ia mengguris hati pihak lain.
"Setakat ini hubungan Bung dengan isteri pertamanya baik dan saya harap khabar angin ini tidak berlarutan kerana ia memberi impak kepada keluarga kami.
"Saya pun tidak mempunyai sebarang masalah dengannya," ujar Zizie.
Tambah Zizie, selepas 10 bulan bergelar isteri, pelakon itu gembira dengan kehidupan barunya itu.
Cuma, dari segi karier, Zizie tidak lagi dibenarkan menerima watak-watak seksi atau penggoda, sebagai tanda menghormati suaminya itu.
"Sekarang ini saya sibuk menemani suami memenuhi undangan majlis-majlis korporat. Oleh itu saya mempunyai masa yang sangat terhad sehingggakan saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerana kesibukan masa.
"Tambahan pula selepas berkahwin, suami sudah berpesan pada saya agar lebih memilih watak yang sesuai dengan status saya sekarang ini.
"Justeru itu, saya telah membuka syarikat saya sendiri iaitu 2121 Vision Pictures, diamana saya akan menjadi penerbit drama atau filem. Jadi, bagi sesiapa yang mempunyai skrip yang bagus, bolehlah hantar kepada saya," katanya yang tidak sabar untuk menimang anak
No comments:
Post a Comment