Saturday, October 2, 2010

PERISTIWA2 INI SEMUA TELAH MENJADI KETENTUAN ALLAH AGAR KITA MENGAMBILNYA SEBAGAI PENGAJARAN

RM40 bilion aset umat Islam dibekukan

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my
2010/10/02  
KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila sebanyak RM40 bilion aset umat Islam dibekukan berikutan pelbagai sebab, termasuk kegagalan si mati menulis wasiat ketika hidupnya.
Menurutnya, aset yang dibekukan itu merangkumi tanah, rumah, bangunan kedai, saham, wang simpanan dan sebagainya.

Katanya, jika tidak dituntut dalam tempoh tujuh tahun, wang tunai yang disimpan di dalam bank akan diselenggarakan mengikut Akta Wang Tak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara.

“Namun keadaan itu berbeza bagi harta tidak boleh dialih seperti tanah dan rumah kerana jika tidak dituntut, ia terpaksa dibekukan.

“Pemilikan harta berkenaan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya tanpa persetujuan waris yang sah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, penulisan wasiat dilihat sebagai satu langkah untuk mengurangkan masalah itu, namun tidak semua umat Islam di negara ini jelas mengenainya.

Katanya, wasiat adalah satu deklarasi oleh seseorang ketika hidup ke atas hartanya atau tujuan lain yang dibenarkan oleh undang-undang Islam yang berkuat kuasa selepas kematiannya.

Mengulas kes kematian jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh kejam awal bulan ini, Mohammad Adry berkata, jika mengikut hukum, harta berkenaan mesti dibahagikan secara faraid.

Katanya, Sosilawati tidak membuat wasiat bagi membahagikan semua hartanya walaupun difahamkan dia ada membuat kenyataan secara lisan mahu menyerahkan harta itu kepada anaknya.

“Kenyataan secara lisan tidak boleh dikira sebagai wasiat yang sah kerana ia tidak ada hitam putih dan boleh dipertikaikan.

“Bagaimanapun, itu semua bergantung kepada persefahaman dan persetujuan antara anaknya untuk menggunakan cara yang dirasakan sesuai untuk membahagikan harta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, perbincangan dan kata sepakat perlu dicapai jika mereka mahu membahagikan harta itu secara adil dan mengelak timbulnya masalah

Bagai hangat bercinta

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
2010/10/02
KUALA LUMPUR: Hubungan Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dengan penyampai berita Bernama TV, Zulkifli Bujang, 32, dilihat ramai bagai merpati dua sejoli, seolah-olah menggambarkan dua insan yang hangat bercinta.

Malah, Rita juga sering dilihat bersama Zul iaitu ketika ke pejabat Nouvelles Visages (NV) di Kampung Baru serta kediamannya di Taman Harmonis, Gombak.

Namun, seolah-olah sepakat, kedua-duanya mendakwa hubungan mereka tidak lebih sebagai kawan.

Menurut Rita, dia mengenali Zul sejak lebih 10 tahun lalu kerana pemuda itu pernah bekerja dengan ibunya sebagai pegawai perhubungan awam.

“Zul pernah bekerja dengan emak Rita. Rita kenal dia ketika masih bersekolah lagi. Rita memang rapat dengan kakitangan emak. Kebetulan apabila kejadian ini berlaku (kes pembunuhan itu), Zul datang menziarah,” katanya.

Tidak menafikan mereka sering berhubung sebagai rakan, Rita menegaskan, mereka sememangnya tiada hubungan istimewa seperti disangkakan.
Mengulas mengenai kemesraan mereka berdua sewaktu Rita diwawancara di konti, gadis itu berkata, ketika diajukan beberapa soalan oleh deejay bertugas, dia gementar kerana pertama kali ke udara.

“Saya tidak pernah ke udara selama ini. Jadi, waktu itu saya terlalu gementar hingga tidak mampu menjawab soalan.

“Mujur Zul yang berpengalaman dalam bidang penyiaran ada di situ dan tolong mengingatkan serta memberi panduan kepada saya,” katanya.

Anak sulung pengasas empayar kecantikan NV itu berkata, tiada apa yang perlu diperbesarkan kerana Zul rapat dengan ibunya, malah baik dengan semua ahli keluarganya.

“Saya tak mahu gosip itu mengganggu hubungan kami. Nanti jadi tak seronok kerana kami cuma kawan. Saya berterima kasih kepada Zul kerana banyak membantu,” katanya yang kini mengambil alih tanggungjawab menguruskan empayar perniagaan ibunya.

Ditanya sama ada dia sudah berpunya, sambil ketawa Rita berkata: “Saya masih single.” Sementara itu, Zul ketika diminta memberi reaksi mengenai hubungan mesranya dengan Rita berkata, perkara itu hanya andaian orang.

Dalam perbualan menerusi Yahoo Messenger, dia berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk membicarakan perkara itu kerana Rita dan keluarga masih bersedih dengan kejadian yang menimpa ibunya.

“Rasanya kita patut memberi ruang kepada Rita dan keluarga serta adik-beradiknya untuk menyelesaikan kes ibu mereka terlebih dulu. Lebih-lebih lagi dia kini menstruktur semula syarikat. Tanggungjawabnya besar ketika ini,” katanya.

Menjawab sama ada dia ‘panas telinga’ mendengar gosip hubungannya dengan Rita, Zul berkata, setakat ini dia tidak mendengar cerita itu di telinga sendiri dan tahu apa yang dia lakukan.

“Saya sudah berbincang dengan Rita, soal jodoh, hidup dan mati itu ketentuan Allah. Kalau kami ada jodoh, insya-Allah. Kalau kami belum masih ada jodoh hendak buat macam mana. Kami memang rapat, jadi diharap jangan ada spekulasi yang bukan-bukan,” katanya.

Menurutnya, apa dilakukannya selama ini ikhlas iaitu atas dasar kawan.

“Saya sentiasa bersama Datuk Sosilawati selama ini dalam memberi khidmat nasihat daripada segi media dan promosi syarikat. Dia menjadikan saya sebagai konsultan NV sejak lebih 10 tahun lalu.

“Jadi saya memang rapat dengan keluarganya, termasuk semua adik-beradik Rita,” katanya yang berkhidmat dengan Sosilawati sejak 1997



Lagi ahli perniagaan hilang

Oleh HAMIZAH BADIRAN
metahad@hmetro.com.my
2010/10/02 
KLANG: Menggemparkan apabila seorang lagi isteri ahli perniagaan yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu mengesyaki kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
SEDIH... Jayanthy  menunjukkan gambar suaminya  serta laporan polis mengenai kehilangan.
SEDIH... Jayanthy menunjukkan gambar suaminya serta laporan polis mengenai kehilangan.

S Jayanthi, 34, berkata suaminya, S Anpalagan, 43, hilang sejak 4 Ogos tahun lalu dan dipercayai kali terakhir dilihat berada di Banting, Selangor untuk berjumpa rakannya.

Katanya, suaminya pergi ke Banting sehari sebelumnya untuk berjumpa seorang lagi rakan mereka, namun tidak pulang ke rumah sehingga kini.

“Pada hari sama kehilangan suami, saya cuba menelefonnya namun gagal dan hanya dapat menjejaki lokasi kereta suami melalui sistem GPS yang dipasang pada kereta model Mercedes Benz milik suami.

“Kereta dijumpai di Nur Lembah Pangsun Eko Resort, Hulu Langat itu kosong dan suami saya juga tidak mendaftar masuk ke pusat peranginan berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, di sini, semalam.

Bimbang dengan keselamatan suaminya, Jayanthi membuat laporan polis di Balai Bolis Bukit Sentosa, Rawang.
Dakwaan segelintir kenalannya yang mengaitkan kehilangan suaminya dengan suspek utama pembunuhan kejam itu semakin diyakini berikutan suaminya berasal dari Teluk Bunut, Banting.

“Saya tak kenal suspek tapi menurut beberapa kenalan, suami saya berkawan dengannya sejak zaman sekolah dan beberapa kali pernah dilihat berjumpa dengannya.

“Cara kehilangan suami saya yang mirip dengan semua mangsa pembunuhan itu juga menguatkan lagi sebab munasabah dia hilang,” katanya.

Menurutnya, Anpalagan mempunyai empat hektar tanah di Banting, 174 hektar ladang kelapa sawit di Rawang dan beberapa hektar tanah lagi di sekitar Ipoh, Perak dan Sungai Petani, Kedah selain sebuah syarikat kewangan dan penternakan.

“Selepas kehilangannya, saya ditipu pula oleh seorang pekerja syarikat suami saya yang memberi beberapa dokumen dipercayai dokumen tukar hak milik syarikat.

“Saya tak tahu isi kandungan dokumen itu sebab tak tahu membaca tapi selepas diyakinkan olehnya dokumen itu untuk kebaikan syarikat, saya tandatangan saja.

“Ketika dia datang menemui saya, tiada peguam bersamanya dan dia hanya memberitahu peguam yang bertanggungjawab mewakilkan dirinya untuk berjumpa saya,” katanya.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, pihaknya dan Jayanthi akan menghantar memorandum ke Bukit Aman bagi mereka melakukan siasatan lanjut.

“Tujuan saya hanya untuk menolong keluarga Jayanthi supaya dia mendapat semula haknya yang kini dilarang mendekati pejabat suaminya.

“Saya juga berharap polis akan menyiasat siapa peguam yang menyiapkan dokumen itu dan lihat jika ia suspek utama atau tidak, selain melakukan serbuan ke dalam pejabat itu jika perlu,” katanya.

Difahamkan, pihaknya akan menghantar memorandum itu Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi dihubungi mengesahkan laporan kes berkenaan.


KAITAN SUSPEK DENGAN KES LAIN

1) Kes kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya, 47 dan tiga yang lain.

2) Kes kehilangan saudagar batu permata, Muthuraja Allal Kanthan dari Chennai, India.

3) Kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah dan seorang rakannya.

3) Turut dikaitkan dengan satu lagi kes pembunuhan membabitkan seorang wanita yang mati ditetak di hadapan rumahnya di Banting, tahun lalu.

4) Disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang pekerja di Unit Perancangan Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), K Celladuran, 50, yang ditembak dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru, pada 8 Mac lalu



NEGARA


Polis ambil keterangan Jayanthy


JAYANTHY melihat kerta Mercedez Benz milik suaminya yang ditemui di Hulu Langat baru-baru ini. Gambar kecil, S. Anpalagan.


SHAH ALAM – Polis telah memanggil S. Jayanthy, isteri ahli perniagaan, S. Anpalagan yang dilaporkan hilang lebih setahun lalu bagi mendapatkan keterangan berhubung maklumat terbaru yang didedahkannya kepada media dalam satu sidang akhbar di Kapar dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, keterangan Jayanthy diambil semalam untuk mengesahkan mengenai dakwaannya yang mengatakan suaminya itu hilang selepas ke Banting selain turut mendakwa ia ada kaitan dengan seorang individu di situ.
“Sepanjang siasatan dibuat, kita tidak ada menerima maklumat berkenaan Anpalagan telah pergi ke Banting atau ada kaitan dengan mana-mana orang di Banting sehinggalah Jayanthy mendedahkannya pada sidang akhbar semalam (kelmarin),” katanya di sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, Anpalagan, 43, dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu selepas menemui seorang pegawai polis bernama ‘Maniam’ di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini sebelum berjumpa dengan seorang lagi rakannya di Banting.
Anpalagan dari Telok Bunut, Banting dekat sini difahamkan berkawan rapat dengan peguam yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki.


Konvoi maut

Oleh AHMAD SAUFI MANSOR
opie@hmetro.com.my
2010/10/02
JASIN: Perjalanan sekumpulan 40 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) secara berkonvoi dengan menunggang motosikal untuk menghadiri rumah terbuka rakan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan, semalam.
REMUK... motosikal  ditunggangi mangsa. Mohd Nazrin (gambar kecil)
REMUK... motosikal ditunggangi mangsa. Mohd Nazrin (gambar kecil)
Akibat rempuhan itu, mangsa yang juga pelajar Tahun Dua Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Struktur Binaan) dikatakan terjatuh sebelum badannya dipercayai digilis tayar sebuah lori treler yang kebetulan bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau.

Rakan sebilik mangsa, Mohd Aisamudin Suhaimi, 20, berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda sebelum itu tertinggal di belakang apabila kumpulan pelajar terbabit berkumpul di kediaman mereka di Bukit Beruang untuk berkonvoi bersama dua kereta lain ke Parit Bakar, Muar, Johor.

Menurutnya, seminggu sebelum itu mereka merancang untuk pergi ke rumah seorang rakan sempena Aidilfitri kerana turut menghadiri rumah terbuka rakan lain di Jasin pada minggu lalu.

“Kami bergerak dari kolej kediaman kira-kira jam 12.15 tengah hari, tetapi tiba-tiba seorang rakan menyedari mangsa tertinggal di belakang lalu berhenti berhampiran sebuah hotel di Ayer Keroh untuk menunggu ketibaannya.
“Konvoi kami bergerak berpecah dalam tiga kumpulan, dan tanpa disedari mangsa berada dalam kumpulan paling depan lalu kami meneruskan perjalanan ke Muar.

“Namun, saya kemudian mendapat makluman daripada rakan memberitahu motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh lalu digilis lori,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Jasin, di sini.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Tawau, Sabah tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi pagi semalam bangun awal dari kebiasaan berbanding sebelum ini.

Katanya, dia juga tidak menyangka sesuatu yang pelik kerana mereka memang berjanji akan menyertai konvoi membabitkan 20 motosikal untuk menghadiri rumah terbuka berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa di laluan kiri persimpangan lampu isyarat terlanggar pembahagi jalan lalu terjatuh di atas jalan.

Katanya, pada masa sama, lampu isyarat bertukar hijau menyebabkan mangsa digilis tayar lori terbabit dan mati di tempat kejadian.

“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan ini bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya


Kereta isi petrol botol meletup



2010/10/02

TUMPAT: Seorang tukang rumah nyaris maut apabila keretanya meletup dan terbakar ketika mengisi petrol ke dalam tangki minyak kenderaannya dekat Pasir Pekan, di sini, pagi semalam.
MELECUR... Amirudin menunjukkan lengan yang melecur akibat disambar api daripada keretanya yang terbakar.
MELECUR... Amirudin menunjukkan lengan yang melecur akibat disambar api daripada keretanya yang terbakar.
Menceritakan kejadian itu, Amirudin berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke Kutan, di sini, untuk mengambil rakannya dikenali sebagai Azhar, 37.

Katanya, dalam perjalanan ke tempat itu enjin kenderaannya tiba-tiba mati akibat kehabisan minyak.

“Saya mahu ke rumah rakan di sana untuk mengambilnya sebelum menghantar tayar motosikal untuk ditampal di Kota Bharu.

“Bagaimanapun, enjin kenderaan mati di tengah jalan kerana kehabisan minyak. Secara kebetulan, sebotol minyak petrol disimpan di dalam bonet sebelum digunakan untuk diisi ke dalam tangki minyak kereta,” katanya.
Amirudin berkata, tidak sampai dua minit dia mengisi petrol itu, secara tiba-tiba kelihatan api keluar dari bahagian depan kenderaannya sebelum ia meletup dan terbakar.

Katanya, dia yang terkejut kemudian berusaha mengeluarkan barang dari kenderaannya namun gagal akibat bahang kebakaran.

“Kejadian berlaku begitu pantas apabila api marak membakar kereta saya. Usaha orang ramai untuk memadam kebakaran juga gagal.

“Walaupun mengalami kerugian, saya bersyukur kerana terselamat,” katanya.

Berikutan itu, Amirudin mengalami kerugian kira-kira RM6,000 apabila telefon bimbit, geran kereta dan wang turut hangus.

Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Darul Naim, Ghazimi Abdul Ghani berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim dan Tumpat bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, mereka menerima panggilan pada jam 9.17 pagi dan berjaya mengawal api 15 minit kemudian.
“Sebaik tiba, kami dapati kenderaan masih terbakar sebelum berusaha memadamnya.

“Api berjaya dikawal 15 minit kemudian, namun kita masih menyiasat punca kebakaran,” katanya

No comments:

Post a Comment