Saturday, August 27, 2011

BANYAK DAIF.....MISKIN.....PERLU BANTUAN ZAKAT...JANGAN PEJAM MATA ATAU TAK BEKERJA...NI DUIT PEMBAYAR ZAKAT...AMANAH ALLAH WAJIB DITUNAIKAN.....

Si cilik jual bunga pusara



KUALA LUMPUR: Syakira Wira, si kecil berusia lima tahun ini ringan tulang membantu neneknya, Wan Sakinah, 46, dan ibunya, Noryulaila Mohd Din, 30, berniaga bunga rampai untuk ditabur di atas pusara di hadapan pintu masuk tanah perkuburan Islam Jalan Ampang, dekat sini.
Mereka menjual bunga rampai dan air mawar yang masing-masing berharga RM2 dan RM3 dari awal Ramadan sehingga hari ketiga Syawal bermula jam 7 pagi hingga 2 petang.

Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat dua peniaga lain di pintu masuk tanah perkuburan itu yang turut menjual bunga rampai dan air mawar.
Menurut seorang peniaga di situ yang hanya hanya dikenali sebagai Liza, mereka berniaga setiap tahun dalam tempoh terbabit memandangkan pada masa itu ramai pengunjung yang akan menziarahi pusara.

“Awal puasa tidak ramai pengunjung dan kami hanya berniaga pada hujung minggu saja dari pagi sampai petang. Dua minggu terakhir puasa hingga awal Syawal memang ramai pengunjung,” katanya ketika ditemui.

Nurul Amira, 12, dan Amri, 10, kakak dan abang kepada Syakira turut membantu nenek dan ibu mereka dengan mengambil upah membersihkan pusara.


daif
Inilah pemandangan satu bahagian rumah salah seorang individu yg sempat kami ziarahi & sampaikan bantuan. Bandingnya dengan dapur kita. Beliau seorang ibu kepada 4 orang anak sekitar umur 10 ke bawah, digantung tidak bertali oleh suaminya. Baru dapat kerja pembantu di restoran tapi terpaksa tinggalkan anak2 masih kecil di rumah ini. Melihat keadaan rumah sewa ini amat sayu, dengan atap bocor di hampir setiap bahagian rumah. Sempitnya dan amat tidak terurus serta dhoif. Sewa rumah ini pula masih tertunggak. Rumah ini di Gombak, Selangor. Keluarga ini tidak mendapat bantuan zakat (mungkin tiada siapa yg bantu mereka memohon)

Dapur ni memang biasa jika anda hidup 20-30 atau 40 tahun lepas. Cuma anda belum melihat bahagian lain rumah sewa ini. Di zaman ini dan di bandar seperti Gombak, pula ia hanya rumah sewa dengan kadar sewa RM 350 sebulan, rumah seperti ini adalah amat mencabar. Diduduki oleh ibu 4 orang anak kecil yg diabaikan suami. Ia tidak mudah. Saya harap jgn ada yang merasa atau terasa 'hebat' krn pernah dan telah biasa hidup dalam suasana dapur sebegini, mgkn anda tidak dalam situasi yg sama dgn individu yg saya temui ini.

Kami sempat menziarahi banyak rumah sepanjang dua hari lepas, dan alhamdulilah, 90 % dari orang susah yg kami temui mendapat bantuan RM 500 secara bulanan samada dari Baitumal Wilayah atau Lembaga Zakat Selangor. Maka pusat zakat telah berfungsi sebenarnya cuma memang sukar cover setiap individu & boleh terus diperkasakan.

Terpaksa berlakon

Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor
norfaezah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Orang nampak saya bahagia bersama suami, tetapi derita di hati siapa yang tahu kerana hakikatnya saya ibu tunggal yang sudah bercerai kira-kira dua tahun setengah,” luah seorang wanita dikenali sebagai Aminah.
Aminah, 54, mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertama bersama arwah suami dan seorang anak menerusi rumah tangga yang didirikan bersama bekas suami kira-kira 12 tahun lalu.

“Saya menyembunyikan identiti sebagai ibu tunggal kerana saya tidak mahu anak-anak tertekan dan dipandang serong masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.
Aminah menyara kehidupannya dengan wang pencen arwah suami RM250 sebulan yang pernah bekerja sebagai posmen dan tidak mempunyai pendapatan tetap lain kerana tidak mampu bekerja kerana disyaki menghidap barah otak.

Katanya, dua anaknya berusia 19 dan 23 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka kurang cemerlang manakala seorang lagi masih meneruskan persekolahan dalam tingkatan satu.

“Saya buntu kerana wang sara hidup tidak mencukupi walaupun bekas suami masih memberi sedikit wang nafkah bergantung kepada kemampuan setiap bulan sekitar RM300 hingga RM500,” katanya.

Menurut Aminah, ibunya di kampung masih bergantung kepadanya bagi melangsaikan sewa rumah iaitu RM100 setiap bulan tidak termasuk wang makan minum serta bayaran sewa rumahnya iaitu RM124 sebulan.

Aminah berkata, dia tidak mahu kembali kepada bekas suaminya kerana lelaki itu kaki pukul dan kaki perempuan kerana hatinya seolah-olah sudah ‘kering’ walaupun itu adalah antara jalan penyelesaian kepada kebuntuannya.
“Bekas suami curang dan wanita yang mendampinginya bersilih ganti sehingga membabitkan hubungan sulit di rumah kami sendiri ketika ketiadaan saya, malah saya dan anak menjadi mangsa barannya sehingga dipukul dan ditengking,” katanya. Katanya, dia pernah rujuk dua kali dan perangai suaminya itu tetap tidak berubah dan dakwanya dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Kata Aminah, bekas suaminya masih ke rumah untuk menjenguk anak dan mereka ‘berlakon’ di hadapan masyarakat sekeliling seolah-olah masih suami isteri.

“Saya tidak mahu burukkan bekas suami kerana semua orang anggap kami pasangan bahagia dan setakat ini belum ada jiran yang menghidu mengenai pertengkaran kami sebelum ini. “Saya berharap ada pihak yang boleh tampil membantu saya terutama bantuan kepada anak saya menyambung pelajaran,” katanya.

Pada masa sama, dia juga berharap agar pihak kerajaan menaikkan kadar pencen yang diterimanya kerana baginya jumlah yang diperoleh sekarang tidak mencukupi bukan saja untuk dia sekeluarga, tetapi juga rakannya yang mengalami nasib serupa.

“Ada beberapa orang rakan saya turut mengalami kesempitan hidup akibat wang pencen yang terlalu sedikit jumlahnya,” katanya.


Tinggal nota

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my

KULIM: “Ketika umat Islam lain bersiap sedia bersama sanak-saudara untuk menyambut Aidilfitri, keluarga kami pula dibelenggu kesedihan mengenangkan nasib anak perempuan yang lari kerana mengikuti teman lelaki warga Nepal ke negara asalnya,” kata Siti Fatimah Yassin, 45, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan, dekat sini, apabila anak perempuannya, Noorshaheera Mohd Rasul, 21, keluar dari rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya pada 22 Ogos lalu.
Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak pulang ke rumah sehingga kini menyebabkan timbul kebimbangan di kalangan ahli keluarganya walaupun sudah puas mencarinya.

Siti Fatimah berkata, Noorshaheera keluar dari rumah kira-kira jam 1 tengah hari dengan membawa sebuah beg kecil dan sehelai pakaian kerana mahu berbuka puasa dan bermalam di rumah rakan perempuannya di Sungai Petani.
“Saya membenarkannya kerana dia ingin berbuka puasa dan mengambil kembali wang yang dipinjam rakannya itu, selain berjanji akan pulang semula kira-kira jam 11 malam pada keesokkan harinya bersama rakannya itu.

“Bagaimanapun, Noorshaheera tidak juga muncul pada masa dijanjikan lalu menghubungi rakannya, tetapi dia juga tidak mengetahui ke mana anak kami pergi sepanjang dua hari itu,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai, Asmaidi Abu Talib di rumahnya, di sini, semalam.

Siti Fatimah berkata, rakan anaknya itu kemudian memaklumkan Noorshaheera berpesan kepadanya supaya memberitahu ibunya mengenai sekeping nota yang disimpan di dalam laci almari biliknya.

Menurutnya, sebaik membaca nota itu, dia terkejut apabila anaknya meminta maaf kerana mengikut kekasihnya, lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan.

“Kami berusaha mencarinya pada keesokkan harinya dan dimaklumkan rakan senegara lelaki itu, mereka merancang kembali ke negara berkenaan menyebabkan kami bergegas pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.
“Berdasarkan maklumat, anak saya dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu pada 23 Ogos lalu,” katanya.


Wanita warga Guinea lahir anak dalam penjara dihukum gantung



SHAH ALAM: Seorang wanita warga Guinea yang melahirkan anak ketika dalam penjara dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar hampir dua kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu terhadap bekas jurutera telekomunikasi, Philomene Thea, 33, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Noor Azian pada penghakimannya berkata, pihaknya berpendapat semua keterangan tertuduh ketika membela diri adalah tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai.
“Mahkamah berpendapat bahawa cerita tertuduh (berhubung penemuan dadah) langsung tidak masuk akal. Ia tidak menimbulkan keraguan munasabah.

“Oleh itu, mahkamah tiada pilihan selain memutuskan tertuduh dihukum mati,” katanya.

Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Thea didakwa mengedar 1.743 kg syabu di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, kira-kira jam 9.O5 malam, pada 19 Februari tahun lalu.

Wanita yang sudah hamil ketika ditahan dan melahirkan anak dalam penjara itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Gan Peng Kun.

Manakala, tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Berdasarkan keterangan saksi sepanjang perbicaraan dadah itu ditemui dalam beg milik wanita itu.

Bayi lemas hingus

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sebuah taska di Menara Usahawan, di sini, ditutup berikutan kematian seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang dipercayai diabaikan ketika di bawah penjagaan pengasuh, 9 Ogos lalu.
Tindakan itu juga diambil selepas mendapati jumlah kanak-kanak dan bayi seramai 66 orang di taska berkenaan tidak seimbang dengan bilangan dua pengasuh yang bekerja di taska berkenaan.

Pegawai Kebajikan Masyarakat cawangan Putrajaya, Mohamad Fazli Abdul Rahman berkata, ketidakseimbangan itu mungkin menjadi penyebab bayi terbabit tidak mendapat penjagaan sewajarnya sehingga mangsa yang menghidap selesema lemas akibat hingus yang terlalu banyak di dalam hidung.
“Berikutan kejadian itu, kita tiada pilihan lain kecuali menutup taska ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“JKM menerima beberapa aduan daripada ibu bapa lain yang menghantar anak di taska berkenaan selepas kematian bayi lelaki itu, terutama mengenai perkhidmatannya yang tidak bagus.

“Selain itu, taska berkenaan tidak mempunyai perakuan pendaftaran daripada JKM,” katanya, semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu disertai lima pegawai JKM berlangsung dalam keadaan terkawal dan ibu bapa diminta membawa pulang anak masing-masing.

Bagaimanapun, pemilik taska berkenaan tidak kelihatan kecuali dua pekerjanya yang bertugas.
Mohamad Fazli berkata, walaupun taska berkenaan sudah memohon perakuan pendaftaran April lalu, tetapi JKM tidak meluluskannya kerana pengusahanya tidak memenuhi piawaian asas yang ditetapkan.

Antara piawaian yang ditetapkan JKM adalah bilangan pengasuh iaitu satu nisbah lima untuk kanak-kanak bawah tiga tahun dan satu nisbah 10 bagi kanak-kanak tiga hingga empat tahun. Selain itu, katanya pengusaha juga perlu mengemukakan surat sokongan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan selain berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Beliau berkata, JKM memberi tempoh 21 hari kepada pengusaha taska untuk memenuhi syarat piawaian yang ditetapkan dan sekiranya gagal pengusaha boleh dikenakan tindakan mahkamah.

“Jika didapati bersalah, pengusaha bakal berhadapan denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

Belasah kerana sudu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

GOMBAK: Hanya kerana terlambat memberi sudu, seorang pekerja sebuah restoran di Dataran Selayang, di sini, cedera di mulut, muka dan kepala selepas dipukul seorang lelaki yang tiba-tiba naik angin, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 23 tahun sedang bertugas menjaga kaunter apabila tiba-tiba didatangi pelanggan yang memarahinya kerana tidak mendapat sudu.

Menurut sumber, mangsa meminta lelaki terbabit bersabar dengan alasan akan menghantar sudu diminta dan pada masa sama meminta maaf.
“Namun permohonan maaf mangsa tidak diterima, malah lelaki itu terus menghamburkan kata-kata kesat dan menumbuk muka dan kepala mangsa beberapa kali walaupun cuba ditepis,” katanya.

Sumber berkata, berang apabila mangsa cuba melawan, lelaki itu memanggil dua lagi rakan yang turut membawa sebilah parang bersamanya.

“Mereka kemudian memukul mangsa bertubi-tubi. Malah pelanggan lain hanya memandang dan tidak berani campur tangan kerana lelaki itu bersenjata parang.

“Mangsa bernasib baik kerana berjaya melarikan diri daripada terus dibelasah lelaki terbabit,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Gombak untuk tindakan lanjut.
“Mangsa dirawat di sebuah klinik berhampiran akibat cedera di bibir, muka dan kepala,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek masih diburu bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment