Bayi baru lahir ada gigi
|
NEWCASTLE, Britain - Tangisan seorang bayi beberapa minit selepas dia dilahirkan mengejutkan sepasang suami isteri apabila mereka melihat dia memiliki dua batang gigi kacip, lapor sebuah akhbar semalam.
Biasanya, gigi pertama hanya tumbuh apabila bayi mencapai usia di antara enam bulan hingga setahun.
Namun, Summer Whelan dilahirkan dengan dua gigi kacip yang lengkap pada geraham bawahnya.
Bayi perempuan milik Andy Whelan, 35 dan isterinya yang berusia 31 tahun, Karen itu dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram di sebuah hospital di sini, tenggara England pada 20 Julai lalu.
"Sejurus selepas Summer dilahirkan, dia menangis dan saya menjerit 'dia memiliki dua gigi depan'," katanya.
"Dia berada dalam keadaan baik,'' tambah wanita tersebut. - Agensi
Awan debu 'telan' bandar
PHOENIX, Amerika Syarikat (AS) - Awan debu gergasi menyelubungi bandar raya ini, buat kali ketiga dalam tempoh kurang dua bulan, lapor sebuah akhbar semalam.
Tembok debu menyelimuti kota metropolitan berkenaan Khamis lalu dengan langit bertukar warna coklat manakala jarak penglihatan pula berkurangan sekali gus menjadikan keadaan merbahaya untuk memandu.
Awan debu dikenali sebagai 'Habook' itu turut menyebabkan beberapa penerbangan tergendala selama hampir sejam tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat fenomena tersebut. - Agensi
Mayat dalam longkang
21/08/2011 2:51pm
PORT DICKSON - Mayat seorang lelaki dijumpai dalam longkang di stadium mini Padang Merdeka di sini, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljit Singh berkata, mangsa dikenali sebagai Nor Azlan Mohd Nor, 29, seorang yang dibuang daerah kerana kesalahan jenayah yang berasal dari Perak.
"Polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu dari orang awam pada kira-kira pukul 12.05 pagi ini,” katanya ketika dihubungi.
Baljit berkata, terdapat kesan kecederaan di kepala mangsa.
"Siasatan awal mendapati mangsa mati dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di stadium mini di situ sebelum mayatnya dicampakkan ke dalam longkang. Setakat ini polis menahan seorang suspek,” katanya ketika dihubungi. - Bernama
Maut kereta terhumbang ke longkang
21/08/2011 2:49pm
IPOH - Seorang lelaki terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang yang dipenuhi air di Jalan Medan Ipoh di sini hari ini.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, mangsa Lim Cheng Woei, 27, bekerja sendiri dan berasal dari Butterworth yang mengalami cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.
Rodzi berkata kejadian berlaku pada 8 pagi tadi, apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa dikatakan cuba membuat pusingan U tetapi gagal lalu terbabas dan terhumban ke dalam longkang.
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di dalam keretanya. - Bernama
Suspek samun ditembak polis
21/08/2011 1:33pm
KUALA LUMPUR - Polis menembak mati seorang suspek kejadian samun di sebuah kafe siber di Kampung Baru Sungai Buloh di sini hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seorang lagi suspek berjaya ditahan selepas melarikan diri ke Damansara Damai.
"Kejadian berlaku kira-kira 6.45 pagi apabila dua lelaki rakyat tempatan berumur 20-an dan 30-an bersenjatakan pistol itu memasuki premis berkenaan untuk menyamun.
"Kebetulan pada masa itu, dua anggota polis sedang melakukan operasi di kafe siber berkenaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Tun Hisan berkata, suspek berusia 20-an itu terkena tembakan dalam kejadian berbalas tembakan.
Tun Hisan berkata, rakan suspek yang mengalami kecederaan sempat melarikan diri menaiki kereta jenis Citra berwarna hitam yang dipandu seorang rakan mereka.
"Polis mengejar kereta itu hingga Damansara Damai. Suspek kedua berjaya ditahan, manakala lelaki yang memandu kereta itu berjaya melarikan diri. Polis sedang mengesan kereta itu,” katanya. - Bernama
Jururawat dan bayi maut kemalangan
21/08/2011 1:26pm
PEKAN - Kemeriahan Aidilfitri mungkin tidak akan dirasai oleh seorang pegawai polis apabila beliau kehilangan isteri bersama anak dalam kandungan berusia tujuh bulan, dalam satu kemalangan di Kilometer 65 Jalan Kuantan-Segamat dekat sini, semalam.
Inspektor Mohd. Nor Idham Ali Mat Nor, 27, dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan kehilangan isteri Noor Edlina Ahmad Bakhari, 36, ketika mereka dalam perjalanan dari Kota Bharu ke rumah ibu suaminya di Taman Sri Kluang, Johor pada pukul 3.30 petang.
Hasrat Noor Edlina yang merupakan seorang jururawat di Hospital Kota Bharu untuk berbuka puasa dan bercuti bersama keluarga mentuanya itu bagaimanapun musnah apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Mohd. Nor Idham terbabas ketika tiba di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut terbabas ke bahagian kiri jalan akibat hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.
Katanya, kereta itu kemudiannya masuk kembali ke jalan dan berpusing beberapa kali sebelum berhenti akibat terlanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. - Bernama
No comments:
Post a Comment