Tuesday, August 23, 2011

TAKDIR ADA 3 JENIS...IAITU TETAP...KENA TERIMA ADANYA....TAKDIR YANG KITA PILIH SENDIRI...JIKA ELAK JUGA...BERLAKU JUGA...ITU TAKDIR YANG TELAH DITETAPKAN ALLAH SWT....

Minum racun selepas tolak anak



KLUANG: Selepas menolak anaknya berusia antara dua hingga lima tahun ke dalam kolam di Ladang Lambak/Elaeis, Mengkibol di sini, hingga mati lemas, seorang bapa meminum racun bagi membunuh diri, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad berkata, polis menahan lelaki berusia 29 tahun di rumahnya di ladang berkenaan jam 11 malam.

“Kami menerima laporan tiga kanak-kanak lemas dalam kolam di ladang itu jam 10.20 malam sebelum ke sana dan menahan suspek 40 minit kemudian.
“Ketika ditahan, suspek tidak melawan malah dalam keadaan sedarkan diri walaupun sudah meneguk racun dipercayai cuba untuk membunuh diri,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Polis bergegas ke Ladang Lambak/Elaeis, Mengkibol, selepas dihubungi anggota keluarga lelaki berkenaan yang menemui mayat tiga beradik, dua perempuan berusia tiga dan lima tahun serta lelaki berumur dua tahun, dalam kolam takungan air di situ, malam kelmarin. Menurut Fawzi, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan.

“Kami turut mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat Kluang bagi kerja mencari dan menyelamat.

“Hasilnya, anggota penyelam bomba menemui mayat ketiga-tiga mangsa di dasar kolam takungan air kira-kira sejam kemudian sebelum dibawa ke Hospital Kluang untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurut Fawzi, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek di bawah pengaruh alkohol ketika melakukan pembunuhan itu.
“Kami merakamkan kenyataan beberapa individu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Polis lemas jatuh bot

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

ULU TIRAM: Rasa hairan seorang nelayan apabila mendapati enjin sebuah bot masih hidup tetapi tiada pengemudi berhampiran Pangkalan Nelayan Sungai Serai, Ladang Nam Heng di sini, pagi kelmarin, membawa kepada operasi mencari dan menyelamat dua anggota polis yang dipercayai lemas ketika memancing udang.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, nelayan berkenaan sedang mengemudi botnya sebelum terserempak dengan bot terbabit.

“Nelayan yang baru pulang menangkap ikan itu hairan apabila mendapati tiada pengemudi di sana, lalu menghubungi nombor telefon yang tertera pada bot berkenaan untuk memaklumkan penemuan terbabit kepada pemiliknya.
“Pemilik bot itu kemudiannya membuat laporan polis sejurus dimaklumkan berkaitan perkara berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, semalam.

Dalam kejadian itu, Lans Koperal Hussin Isa, 48, dan Koperal Mohd Nazri Omar, 39, dipercayai lemas selepas seorang daripada mereka jatuh ke laut manakala seorang lagi cuba membantu, tetapi gagal berbuat demikian.

Kedua-duanya menyewa bot berkenaan sebelum jam 7 pagi daripada seorang nelayan tempatan.

Menurut beliau, sebaik menerima laporan berkaitan kejadian, operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dikenal pasti menyewa bot berkenaan terus dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor serta Pasukan Gerakan Maritim (PGM) Wilayah Dua.

“Seramai 80 pegawai dan anggota termasuk penyelam membantu operasi itu dan beliau berharap mangsa dapat ditemui secepat mungkin.
“Pada jam 3.30 petang semalam, jenazah Hussin ditemui kira-kira 150 meter dari pangkalan nelayan berkenaan manakala setakat jam 7 malam semalam, usaha masih dijalankan untuk mengesan Nazri,” katanya.

Menurut Mokhtar, punca kejadian masih disiasat dan pihaknya akan membantu keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.

“Kami menemui dompet seorang daripada mangsa di dalam bot berkenaan dan tiada unsur jenayah dalam kejadian,” katanya.


Cetek agama



KUALA LUMPUR: Cetek pengetahuan terhadap hukum agama berkemungkinan menjadi penyebab seorang gadis membuat pengisytiharan palsu di mahkamah syariah dengan mengaku anak luar nikah untuk mendapatkan wali hakim semata-mata mahu menafikan hak bapa kandung sebagai wali pernikahan.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralip berkata, hanya orang yang kurang pengetahuan agama saja membuat pengakuan sedemikian kerana tidak tahu kesan tindakannya.

“Salah satu syarat wajib pernikahan dalam Islam ialah mesti ada wali, tetapi dalam hal ini, dia sanggup membuat akuan palsu di mahkamah supaya tidak dinasabkan dengan bapa.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana bimbang pernikahannya tidak sah disebabkan hak wali dinafikan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang gadis bersekongkol dengan ibunya membuat pengisytiharan palsu di mahkamah syariah dengan mengaku anak luar nikah untuk mendapatkan wali hakim disebabkan tidak mahu bapa kandung menjadi wali.

Tumbuk bini

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Hanya kerana meminta wang untuk membelikan baju raya bagi anak-anaknya, seorang suri rumah patah tulang hidung ditumbuk suaminya dalam satu kejadian di kediaman mereka sekitar Ampangan di sini, Ahad lalu.
Difahamkan, mangsa berusia 40-an itu ditumbuk bertubi-tubi oleh lelaki berusia 30-an yang tiba-tiba naik berang selepas wanita berkenaan meminta duit.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa dikatakan berada di rumah bersama empat anaknya sebelum meminta duit daripada suami yang baru pulang dari kerja.
“Pada hari kejadian, wanita itu mengetahui suaminya mendapat bonus dan meminta membelikan baju raya untuk anak mereka.

“Akibat berang dengan keadaan itu, lelaki berkenaan dikatakan menumbuk muka mangsa hingga menyebabkan tulang hidung mangsa patah,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa sebelum itu mempersoalkan tindakan suaminya yang tidak mengendahkan permintaan untuk membeli baju raya anak-anak sehingga menimbulkan kemarahan lelaki berkenaan.

Kata sumber, mangsa cuba mempertahankan diri dengan membalas balik pukulan lelaki berkenaan namun menyedari perlakuannya diperhatikan anak, mangsa ditarik masuk ke dalam bilik mereka. “Sebelum ini, beberapa pergaduhan turut terjadi antara kedua-dua mereka namun tidak mencederakan sesiapa,” katanya yang memaklumkan mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Rahang pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Harian Metro difahamkan, mangsa sedang mendapat rawatan susulan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Dakwa diraba dalam lif



PETALING JAYA: Seorang pegawai perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat swasta mendakwa dicabul seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh ketika menunggu lif di sebuah stesen pengangkutan awam, di sini, kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 24 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya menaiki lif berkenaan menuju ke tingkat atas stesen itu.

“Tiba-tiba, suspek bersama seorang lagi rakannya yang berdiri di belakang mangsa bertindak meramas buah dada mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana pintu lif berkenaan terbuka dan mangsa terus meluru masuk sambil menjerit meminta tolong,” katanya.

Menurutnya, suspek yang tergamam melihat mangsa menjerit melarikan diri.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

5 terbabit kes bunuh dicekup



PORT DICKSON: Polis sudah menahan lima individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mati ditetak di Stadium Mini, Padang Merdeka di sini, Ahad lalu.
Dalam tangkapan terbaru kelmarin, polis memberkas tiga lelaki dan seorang wanita selepas dipercayai mencetuskan pergaduhan dengan mangsa, Nor Azlan Nohd Nor, 29.

Jurucakap polis berkata, keempat-empat suspek berusia 28 hingga 49 tahun berkenaan ditahan di sekitar daerah ini.
“Semua mereka sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi tadi (semalam) bagi mendapat tempoh reman yang akan berakhir pada 29 Ogos depan.

“Wanita yang ditahan itu adalah isteri kepada suspek pertama berusia 43 tahun yang ditahan pada hari kejadian. Siasatan kes berkenaan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki berstatus orang sekatan (buang daerah) mati dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata di Stadium Mini, Padang Merdeka.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Nor Azlan ditemui terbaring di dalam longkang dengan mayatnya berlumuran darah.
Difahamkan, selepas dibunuh, mayatnya dicampak ke dalam longkang dan hanya ditemui empat jam kemudian oleh orang awam.

Mangsa berasal dari Perak itu ditemui seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan stadium itu yang kemudian memaklumkan kepada seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah berhampiran.

Luluh hati ibu

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: “Masih terngiang-ngiang bisikan Norlela di telinga saya ketika bertanyakan hidangan apa hendak dimasak pada Aidilfitri nanti,” kata Maria Jabar, 52, ibu kepada Norlela Noran Kusyairi, 29, yang maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, pagi semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, ibu kepada tiga anak itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Maria berkata, sehari sebelum kejadian, Norlela sempat bertanyakan mengenai persiapan masakan menyambut hari raya minggu depan selain teruja untuk beraya dengan baju kurung oren yang baru dibeli beberapa hari lalu.

“Petang semalam (kelmarin) ketika berada di rumah, dia tanya berapa ekor ayam hendak beli dan kuih raya apa hendak dibuat nanti.


“Saya memberitahunya tidak dapat buat kuih raya kerana saya berat hati untuk menyambut hari raya pada tahun ini. Mulanya saya abaikan perasaan hati ini sehinggalah diberitahu kemalangan meragut nyawa anak saya itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Jurujual rugi RM1,000 disamun ‘tiga polis’



KAJANG: Hanya bimbang dirinya dicederakan, seorang jurujual terpaksa mengaku memiliki motosikal curi sejurus didatangi tiga lelaki yang menyamar sebagai polis dalam kejadian di Taman Megah, Batu 9, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam, mangsa yang berkerja di sebuah kedai sukan di pusat beli-belah di Cheras Selatan didatangi suspek yang mengaku anggota polis dan datang menghampiri mangsa dan mahu menahannya kononnya dia memiliki motosikal curi.

“Mangsa yang curiga kemudian meminta suspek menunjukkan kad kuasa dan bertanyakan alasan kenapa dia mahu ditahan sedangkan dia tidak memiliki motosikal curi seperti yang didakwa.
“Mangsa yang mempersoalkan tindakan suspek menyebabkan suspek berang dan seorang daripada mereka menarik mangsa keluar dari kedai dan menampar muka mangsa beberapa kali,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian mengugut untuk membawa mangsa ke balai polis jika enggan memberi kerjasama dan menuruti arahan mereka.

“Mangsa yang ketakutan kemudian menuruti segala arahan suspek sehingga dia dibawa ke satu kawasan sunyi di Taman Megah dan mangsa terkejut apabila mendapati tujuh lelaki dipercayai rakan suspek berada di kawasan berkenaan.

“Sebaik tiba di kawasan berkenaan, seorang daripada suspek menampar muka mangsa beberapa kali dan memaksa mengaku motosikal curi,” katanya.

Bimbang suspek melakukan sesuatu yang lebih buruk terhadap dirinya, mangsa kemudian terpaksa mengaku motosikal curi.
Sumber berkata, tidak puas hati dengan pengakuan mangsa, suspek merampas beg duit dan telefon bimbit mangsa yang dianggarkan bernilai RM1,000.

“Suspek turut mengugut melakukan sesuatu yang buruk terhadap mangsa dan keluarganya jika mangsa melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut giat dijalankan.

No comments:

Post a Comment