Sunday, August 21, 2011

MUHASABAHLAH..APABILA ORANG ISLAM SENDIRI RAGU2 DENGAN BADAN2 ISLAM...UNTUK MENJAGA ANAKNYA....KENA LIHAT PADA SEMUA SUDUT@SEGI....DAH JUMPA SEBAB...MAKA BAIKILAH...CONTOH....JANGAN JADI PUSAT ZAKAT DIPANDANG TIADA MEMPERDULIKAN NASIB2 ASNAF2 YANG PATUT DAPAT...KALAU DAPAT PUN TAK SEBERAPA.... HENDAK DAPAT PUNYALAH SUSAH...MAKA SEDARLAH ORANG YANG MENGURUSKAN WANG ZAKAT INI...KITA AKAN MATI...ALLAH TANYA JIKA KITA TAK AMANAH...LEBIH2 LAGI NI WANG PEMBAYAR ZAKAT...LEBIH BAIK KITA BAGI TERUS KEPADA ASNAF2 YANG PATUT MENERIMANYA...

Maut pada hari ulang tahun

Oleh MOHD SABRAN MD SANI dan KAMAL MAJID
am@hmetro.com.my

NGERI... kereta dinaiki Zazemi remuk akibat kemalangan. Gambar kecil,  Aniq Arshad.
NGERI... kereta dinaiki Zazemi remuk akibat kemalangan. Gambar kecil, Aniq Arshad.
JELI: “Naluri keibuan saya tersentuh tatkala menerima berita sedih mengenai kematian anak kerana tidak sangka dia meninggalkan kami semua pada sambutan hari lahirnya ke-18, hari ini (semalam), selepas terbabit dalam kemalangan.
“Paling tidak dapat dilupakan apabila dia membelikan saya kek sempena ulang tahun kelahiran saya ke-51 dan kami sempat meraikannya bersama malam tadi (kelmarin),” kata Mariam Abdul Rahim, 51, ibu bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Aniq Arshad Mohd Roseli, yang maut dalam kemalangan, semalam.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi semalam, perjalanan tiga sahabat untuk mengambil ikan kelah di Banding, Grik, Perak, dengan menaiki kenderaan masing-masing secara berkonvoi bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori.
Kejadian di Kilometer 88.3, Jalan Kota Bharu-Machang-Grik berdekatan Gemang, Ayer Lanas, dekat sini, menyebabkan motosikal ditunggang Aniq Arshad dan Perodua Kancil dipandu anggota tentera dari 8 Briged Kem Pengkalan Chepa, Zazemi Mat Jusoh, 27, berlanggar sebuah lori dari arah bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pertembungan dengan sebuah lori seberat 10 tan yang datang dari arah Butterworth, Pulau Pinang ke Kota Bharu.

Mariam berkata, dia terkejut sebaik mendapat berita kemalangan membabitkan anak ketujuh daripada sembilan beradik terbabit kerana menyangka anaknya pergi ke Banding menaiki sebuah kereta bersama rakannya.

“Saya hanya dimaklumkan arwah dalam perjalanan ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan ikan kelah yang dibeli daripada Orang Asli. Sebab itu saya memberi keizinan kerana ditemani beberapa rakan lain.

“Namun, sangkaan saya yang dia menaiki kereta nyata meleset selepas dimaklumkan dia maut dalam kemalangan ketika menunggang motosikal berasingan dengan rakannya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jeli, di sini, semalam.
Beliau yang juga peniaga kedai dobi berkata, sejak tamat menjalani latihan PLKN di Kem Cancun Park, Pasir Mas, arwah jarang dilihat ke luar rumah, selain banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

“Cuma ketika kami sama-sama menyambut hari jadi malam tadi (kelmarin), arwah banyak berdiam diri. Paling tidak dapat dilupakan, sambil menghulurkan tangan, dia merenung tajam ke arah saya,” katanya.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki perlakuan pelik, meskipun perbuatan itu (merenung mata) jarang dilakukannya terhadap saya,” katanya yang ditemani suami, Mohd Roseli Ismail, 55.

Sementara itu, isteri Allahyarham Koperal Zazemi, Zanariah Mohd Zain, 25, berkata dia sedih mengenangkan nasib suaminya, selain tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama tahun ini.

“Banyak kenangan ditinggalkan sepanjang tempoh empat tahun perkahwinan kami hingga dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Zakirah Najwa, 3. Sebelum kejadian pun, arwah meninggalkan pesan dan ia menjadi rahsia saya.

“Kami bertemu pagi tadi ketika bersahur dan saya sempat menyediakan juadah sahur ikan kukus goreng masak kicap. Tidak sangka ia menjadi permintaan terakhir arwah,” katanya.

Katanya, arwah baru berpindah ke kem terbabit dua bulan lalu dan dilihat berperangai pelik kerana memilih baju raya anaknya ketika ke pasar raya dekat Machang, beberapa hari lalu, sedangkan sebelum ini perlakuan seperti itu jarang ditunjukkan.

Dibelasah pelanggan



KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah restoran di Taman Mulia, di sini, cedera di muka dan badan selepas dibelasah seorang pelanggan yang berang kerana makanan dan minuman dipesannya untuk berbuka puasa lambat dihidangkan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 30-an dikatakan mengamuk apabila pesanan makanan dibuatnya belum dihidangkan sedangkan hampir masuk waktu berbuka.

Menurut sumber, suspek kemudian memanggil seorang pekerja restoran sebelum memarahinya.
“Mangsa yang berusia lewat 20-an kemudian menerangkan pihaknya berusaha menyediakan juadah untuk pelanggan mengikut giliran selain meminta suspek bersabar, namun tidak diendahkan.

“Suspek terus menampar dan menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh. Dua rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian itu kemudian cuba menenangkan suspek,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, dua rakan mangsa gagal berbuat demikian kerana suspek kemudian mengambil kerusi sebelum cuba memukul mereka.

“Dua rakan mangsa melarikan diri sebelum suspek terus memukul mangsa lebih 10 minit sambil disaksikan pelanggan lain. Suspek meninggalkan kawasan itu selepas azan,” katanya.

Mangsa kemudian menghubungi pengurus restoran itu. Sehubungan itu, mangsa dan pengurus restoran tampil ke Balai Polis Sungai Besi, di sini, membuat laporan berhubung insiden itu.

Ujian getir dilalui Rosli


KUALA LUMPUR: Ketabahan Rosli Abdul Rahim, 40, mengharungi dugaan dan cabaran hidup berkeluarga melayakkannya digelar suami mithali dan menjadi contoh kepada lelaki lain.
Sembilan tahun lalu, dia diuji apabila anak sulung kembar siamnya iaitu Ahmad dan Muhammad terpaksa dipisahkan menerusi pembedahan hingga mendapat simpati seluruh rakyat negara ini.

Kini, dia dikejutkan pula dengan perkhabaran isteri tersayang disahkan menghidap barah payudara.
Bukan calang-calang lelaki mampu berbuat demikian, apatah lagi cabaran itu memerlukan pengorbanan besar, terutama daripada aspek kewangan.

Pada saat Ahmad dan Muhammad, 13, makin ceria menjalani kehidupan seharian, malang hadir bertimpa-timpa apabila isterinya Aisah Kanda, 35, disahkan menghidap penyakit yang sangat ditakuti kaum Hawa selepas mengadu wujud benjolan di payudara kanannya, awal tahun ini.

Keadaan itu memaksa Rosli berhenti kerja di kilang elektronik di Shah Alam, Selangor semata-mata ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap lima anaknya, termasuk pasangan kembar siam itu.

“Sekarang saya bekerja sendiri menggunakan kemahiran sebagai tukang besi dengan mengambil upah membuat pagar dan gril.

“Dalam sebulan, sekurang-kurang saya mampu mendapat upah antara RM1,000 hingga RM2,000 dan ia mencukupi bagi kami anak beranak untuk makan, pakai serta perbelanjaan sekolah seadanya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Dalam pertemuan di rumahnya di Puchong, dekat sini, jelas tergambar kepayahan terpaksa dilalui lelaki berkenaan dalam usahanya membesarkan lima anaknya.

Pada masa sama, dia perlu memastikan kesihatan isteri tercinta dalam keadaan baik, namun perkara paling dikesalinya apabila ada segelintir individu enggan membayar upah selepas kerja bertukang dilakukannya selesai.

“Apa saya harus buat kalau orang tidak mahu bayar? Macam-macam cara mereka berdalih apabila saya merayu supaya membayar upah, tetapi setengahnya tidak mahu membayar sedangkan semua kerja diselesaikan.

“Takkan saya mahu robohkan semula gril yang dipasang? Dalam keadaan isteri disahkan ada simptom kanser payudara dan anak masih bersekolah, ia membuatkan saya buntu memikirkannya.

“Tambahan pula, Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi. Untuk menenangkan hati, saya terpaksa akur ia bukan rezeki kami anak beranak, biar Allah saja membalasnya,” katanya.

Rosli yang kini menggalas tanggungjawab isterinya tidak pernah mengeluh apabila perlu memasak, membasuh, menyidai dan menggosok baju sekolah anak, malah dia juga menghantar dan menjemput selepas tamat sesi persekolahan.

Katanya, isterinya tidak lagi mampu melakukan kerja rumah kerana kesihatan semakin tidak mengizinkannya bergerak lebih aktif.

Selepas Aisah disahkan menghidap kanser oleh Hospital Serdang, mereka mengambil inisiatif berubat secara tradisional, malah hampir seluruh Selangor mereka terokai untuk mengubatinya.

Atas dasar naluri keibuan yang tinggi, Aisah enggan mengikuti rawatan kimoterapi di hospital kerana bimbang terpaksa menjalani pembedahan, selain memikirkan nasib anaknya jika dia terlantar di hospital sedangkan kebajikan anak terabai.

“Sepanjang lapan bulan isteri sakit, dia tidak mampu melakukan sebarang kerja rumah, baik memasak untuk keluarga mahupun membasuh pakaian.

“Saya mengambil alih kerja memasak dan untuk resipi tertentu, saya tanya isteri mengenai bahan yang diperlu bagi makanan berbuka atau keperluan bersahur.

“Rutin harian saya banyak dihabiskan di bengkel di depan rumah iaitu melakukan kerja kimpalan besi kerana pengalaman bekerja kilang selama 14 tahun saya gunakan untuk kemahiran dalam kimpalan besi pula.

“Keputusan berhenti kerja itu saya ambil selepas terlalu kerap bercuti demi mengurus masalah anak sakit, selepas itu isteri pula menghidap kanser,” katanya.

Mengenai rutin harian, dia selalunya melakukan persiapan seawal mungkin, terutama selepas solat tarawih seperti membasuh pakaian serta menggosok baju sekolah anak.

“Ada kalanya Muhammad (Angah) menghadapi masalah bengkak pada lubang yang ditebuk untuk pembuangan najis, saya pastikan beg najis itu dalam kedudukan betul serta membuangnya jika penuh.

“Sebenarnya belanja bagi keperluan lampin pakai buang dan beg najis agak besar dan mencecah hampir RM500 sebulan. Namun saya tidak pernah menjadikan kesusahan diri ini untuk meraih simpati orang ramai.

“Saya yakin selagi kudrat masih ada, saya akan bekerja keras untuk memastikan anak dan isteri dalam keadaan baik. Saya lakukan dengan ikhlas dan tidak pernah merasakan ia satu beban kerana mereka adalah amanah yang Allah beri.

“Mungkin inilah pengorbanan yang mampu saya lakukan buat insan yang sungguh bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Walaupun penat dengan tugas hariannya di bengkel dan juga di rumah, lelaki itu tidak pernah mengeluh, bahkan sikapnya yang sentiasa kelakar membuatkan isteri dan anak terhibur dengan lawaknya.

Mengenai harapannya terhadap penyakit isteri, Rosli mengakui suami mana tidak risau melihat penderitaan dialami isteri tercinta.

Namun dia sering meniupkan harapan supaya bersabar selain tetap berusaha membawa isteri yang memerlukan pemantauan dua hari sekali bagi rawatan susulan.

“Tidak dinafikan, sukar bagi saya memastikan keadaannya kerana segala-galanya terserah kepada doktor yang bakal menentukan tahap kesihatan isteri pada 25 Ogos ini.

“Terus-terang saya katakan sudah puas berubat dan berhabis lebih RM6,000 untuk berubat secara tradisional dan turut menemui doktor pakar, namun penyakit isteri masih tidak berkurangan, malah semakin teruk,” katanya.

Menyaksikan penderitaan dialami isteri tercinta, Rosli nekad membawanya ke Hospital Putrajaya dan pembedahan dijangka dilakukan selepas mengetahui keputusannya pada tanggal berkenaan.

Dia berharap kesihatan isteri kembali pulih seperti biasa, terutama melihatkan kekuatan semangat Aisah yang luar biasa walaupun hanya mampu berbaring di katil.

Selain Ahmad dan Muhammad, tiga lagi adiknya iaitu Mohd Iman, 9, Amar Safi, 6, dan Nur Batrisia, 3, adalah penyeri kepada pasangan ini.

Rosli ketika ditanya apakah kekuatan dalam menempuh semua ujian itu turut mengakui, anak adalah pencetus semangat dan pengikat kasih sayang dalam hidupnya dan isteri sepanjang 14 tahun usia perkahwinan mereka.


Lebih percayakan gereja

Oleh HADZLAN HASSAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak sampai dua minggu lagi, lain pula dengan nasib lima beradik beragama Islam yang terpaksa menyambut 1 Syawal di bawah pengawasan sebuah gereja, dekat sini.
Semuanya gara-gara tindakan bapa mereka menyerahkan lima beradik terbabit kepada gereja itu selepas dia dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Yang menyedihkan, lelaki itu yang juga doktor, enggan menyerahkan anaknya kepada pusat jagaan kerajaan atau organisasi swasta beragama Islam biarpun pihak gereja bersedia berbuat demikian.
Menyedari masalah itu, sebuah badan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berusaha mengeluarkan lima beradik berusia lima hingga 15 tahun itu daripada jagaan gereja.

Kes itu terbongkar selepas pengurusan gereja menghubungi pusat kebajikan terbabit kerana tidak mahu berlaku isu berbangkit, terutama selepas isu serbuan di Gereja Methodist, Damansara Utama, dekat sini, dilaporkan 4 Ogos lalu.

Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah, berkata pengurusan gereja memaklumkan kehadiran lima beradik itu kepadanya dan ingin menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan Baitul Fiq.

“Selepas beberapa kali membuat perbincangan dengan pengurusan gereja, mereka bersetuju menyerahkan kanak-kanak terbabit, namun hasrat itu dihalang bapa mereka dengan alasan tidak mahu anaknya diserahkan kepada pihak lain.

“Pihak gereja pula tidak mahu kehadiran kanak-kanak itu menjadi isu sensitif dan meminta mereka diserahkan kepada pihak lain (pengurusan beragama Islam),” katanya.
Menurutnya, pendirian bapa kanak-kanak terbabit menyebabkan pengurusan gereja dalam dilema dan meminta jalan penyelesaian daripada pengurusan Baitul Fiqh.

“Inilah permuafakatan yang wujud dalam konteks bebas beragama di negara kita, tetapi masalah lain pula timbul apabila waris kanak-kanak itu enggan menyerahkan anaknya kepada pihak kita.

“Sebenarnya, saya tidak pasti apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak pernah mengendalikan kes seperti ini selain tiada kuasa mengambil hak penjagaan daripada waris yang memberi amanah kepada pihak lain.

“Yang saya khuatir ialah soal akidah lima beradik itu dan saya sedih dengan tindakan si bapa menempatkan mereka dalam gereja,” katanya.

Juhaidi Yean berkata dia bersedia memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika diminta berbuat demikian, malah pengurusan gereja turut bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

Katanya, lebih menyedihkan, anak sulung keluarga itu bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tahun ini, dan kemelut yang berlaku dikhuatiri turut menjejaskan persiapan peperiksaannya.

Difahamkan, setakat ini lima beradik terbabit masih beragama Islam tetapi dikhuatiri menukar agama jika waris atau penjaga mengarahkan mereka berbuat demikian kerana hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terletak di tangan waris.

Penduduk terharu

Oleh SURAYA ROSLAN dan MOHD AMIN JALIL
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: “Saya terharu atas keprihatinan Harian Metro yang sudi menghulur bantuan kerana kami sekeluarga jarang menerima bantuan seperti ini,” kata Mohd Rahim Suhut, 50, dari Kampung LBJ, Labu, di sini, antara keluarga yang menerima bantuan sempena program Titipan Kasih Harian Metro, semalam.
Dia yang menghidap penyakit saraf tunjang sejak 1999 tidak berupaya melakukan sebarang kerja, malah isterinya, Norita Md Khir, 34, juga tidak mampu menjaga keluarga akibat kemalangan pada 2009 selain terjatuh pada Februari lalu, mengakibatkan mereka kini hanya terlantar di rumah.

Mereka yang mempunyai empat anak termasuk seorang anak angkat berusia antara 12 hingga 29 tahun berasa terhutang budi dengan akhbar nombor satu itu kerana tidak menyangka menerima bantuan ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri dalam beberapa hari lagi.
“Tiada apa dapat saya luahkan kecuali ucapan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada Harian Metro kerana sudi menghulur bantuan kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui pada program lawatan rombongan Titipan Kasih, petang semalam.

Sumbangan diserahkan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, pada lawatan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi.

Hadir sama, Senator Datuk Mohd Najeeb Abdullah dan Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro merangkap Pengerusi Program Titipan Kasih Harian Metro, Othman Mamat.

Sementara itu, Padilamma A Majid, 53, turut tidak dapat menahan rasa terharu kerana menerima bantuan daripada Harian Metro.

Dia yang mempunyai suami tetapi menghidap penyakit mental sejak sekian lama berasa terhutang budi kerana bantuan itu dapat meringankan beban mereka sekeluarga, termasuk menyara sembilan anak dan tiga cucu dalam membuat persiapan menjelang lebaran.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan bersyukur kepada Tuhan kerana menerima bantuan ini dan kami sekeluarga mendoakan Harian Metro terus berjaya dan cemerlang,” katanya.

Dua keluarga terbabit antara 10 keluarga miskin di daerah itu yang menerima bantuan pada program khidmat sosial itu.

Kampung LBJ adalah destinasi ketiga program berkenaan selepas Bentong, Pahang, dan Hulu Langat, Selangor, pada dua minggu pertama Ramadan.

Othman berkata program kali ini sama seperti dua siri sebelumnya yang meraikan 50 anak yatim, 20 ibu tunggal dan 10 keluarga miskin.

“Konsep sama iaitu untuk membantu golongan tidak bernasib baik untuk menjalani ibadat puasa dan meraikan kedatangan Syawal. Pelbagai sumbangan diberi kepada golongan tidak bernasib baik ini supaya tidak berasa tersisih.

“Antara sumbangan adalah persalinan lengkap Aidilfitri, telekung, sejadah, kuih raya, termasuk hamper dan duit raya,” katanya.

Mengemis kerja sambilan

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dia mempunyai kerja tetap sebagai pekerja kilang di Selayang, namun menjalankan kerja ‘sambilan’ sebagai pengemis pada hujung minggu semata-mata untuk mendapat wang tambahan.
Malah, dia sanggup ‘mengheret’ bayi perempuannya berusia lima bulan duduk atas jalan di tengah kesesakan orang ramai lalu lalang untuk memancing simpati mereka yang melalui kawasan itu.

Itu taktik yang digunakan seorang wanita warga Kemboja yang ditahan ketika mengemis dalam operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sebuah pasar tani di Setiawangsa, semalam.
Wanita itu dipercayai masuk ke negara ini secara haram berikutan penemuan kad program pemutihan yang dimilikinya dan menyamar sebagai wanita tempatan dengan memakai tudung litup.

Keadaannya yang kelihatan serba kekurangan dan memangku bayinya berjaya mempengaruhi orang ramai untuk menghulur wang sehingga RM118.80 diperolehnya dalam tempoh kurang dua jam.

Operasi satu jam membabitkan lebih 10 anggota JKM WPKL itu berjaya menahan lima pengemis warga Kemboja, termasuk dua kanak-kanak berusia lima bulan dan empat tahun.

Keadaan dua pengemis yang mengalami kecacatan pada kaki dan bergerak menggunakan tongkat dan papan luncur menjadi ‘nilai tambah’ dalam memancing simpati masyarakat tempatan.

Timbalan Pengarah 1 JKM WPKL, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, sikap masyarakat kita yang terlalu bermurah hati tidak kena tempat menyebabkan aktiviti mengemis terus berleluasa walaupun pelbagai operasi dijalankan.
Katanya, bukan tidak boleh bersedekah atau melakukan kebaikan, tetapi biarlah menerusi saluran betul seperti menderma kepada tabung masjid.

“Sesetengah pengemis didalangi sindiket tertentu untuk memperdayakan masyarakat dalam mengaut keuntungan dengan cara mudah.

“Dalam tempoh kurang dua jam, jumlah keseluruhan wang yang diperoleh daripada pengemis ini mencecah hampir RM500 dan cuba bayangkan berapa banyak diperoleh dalam sehari,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu lebih bijak untuk ‘membaca’ keadaan seseorang pengemis itu sama ada betul-betul susah atau sebaliknya dan tidak menjadikan alasan Ramadan untuk bersedekah sewenang-wenangnya.

Mereka yang ditahan akan dibawa ke Asrama Sentosa, Jalan Sentul untuk menjalani proses dokumentasi sebelum mendapat perintah tahanan dari mahkamah sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk penghantaran pulang ke negara asal.


Ibu tunggal 5 anak tunggu jawapan bantuan JKM
Ogos 21, 11 2:44pm
Seorang ibu tunggal dari Kampung Paya Kerchut, Batu 10, di Jitra, Kedah berhadapan dengan kesukaran dalam hidupnya apabila terpaksa menanggung kehidupan lima anaknya, yang semuanya masih bersekolah.

Azimah Ali, 39, menjadi ibu tunggal selepas bercerai lima bulan lalu, menyara kehidupannya dan lima anak terdiri empat perempuan dan seorang lelaki yang berusia antara lima hingga 13 tahun, dengan membuat kuih dan dihantar ke kedai-kedai makan untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM400 sebulan.

"Saya ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mei lepas tetapi sehingga kini masih tiada jawapan. Saya berharap JKM dapat mempercepatkan proses permohonan saya," katanya ketika dikunjungi ahli parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom, yang turut bersahur bersama keluarga itu awal pagi ini.

Azimah berkata dia dan lima anaknya itu tinggal di rumah arwah ibunya bersama seorang kakaknya Azizah, 43, yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah berhampiran.

Katanya kakaknya yang tidak berkahwin itu turut membantu menanggung perbelanjaan anak-anaknya manakala bekas suaminya hanya membantu sekali-sekala.

Anak sulung Azimah, Wildayanti Mohd Rais, 13, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Darul Aman manakala Wilmayani, 12; Mimi Wahida, 11; dan Amylia Suhaida, 9, belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Darul Aman sementara anak bongsunya Fitri Haikal, 5, belajar di sekolah tadika.

Azimah berkata rumah yang didudukinya itu sudah uzur dan banyak bahagian bumbung yang bocor dan jika hujan, bahagian rumah tamu akan dipenuhi air.

Mohd Johari berkata pihaknya meluluskan bantuan awal RM10,000 untuk kerja-kerja membaiki rumah itu dan berharap ia dapat dijalankan segera.

Beliua juga akan berusaha mendapatkan bantuan persekolahan untuk anak-anak Azimah bagi memastikan mereka dapat belajar dengan sempurna dan keperluan lain untuk meringankan beban keluarga itu.

"Kami akan uruskan bantuan dengan JKM. Kami juga akan cuba dapatkan bantuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu program membasmi kemiskinan di bandar memandangkan Jitra adalah kawasan bandar. Tengok sama ada skim itu boleh digunakan atau tidak. Bantuan itu lebih banyak," katanya yang turut memberikan sumbangan barangan keperluan dan hari raya kepada keluarga itu.

Mohd Johari, yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani berkata kementeriannya akan menyediakan mesin asas tani bagi membantu Azimah membuat kuih.

Azimah berkata dia terharu dengan bantuan yang diberikan Mohd Johari bagi meringankan beban kehidupannya.

Bantuan kepada Azimah dan keluarganya boleh dibuat dengan menghubunginya di talian 012-5290118 atau memasukkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional di atas nama Azizah Ali (02100-29-86167187-2).

- Bernama
 
 

 

No comments:

Post a Comment