20 banglo terjejas akibat tebing runtuh
|
KUALA LUMPUR – Penduduk kawasan Puncak Setiawangsa di sini gempar apabila sebahagian daripada tebing konkrit setinggi 43 meter di situ runtuh mengakibatkan Jalan Bukit Setiawangsa yang merupakan jalan hubungan utama ditutup kepada kenderaan malam tadi.
Kawasan yang terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu melibatkan 15 hingga 20 buah rumah banglo di atas kawasan bukit Jalan Puncak Setiawangsa 2 di sini dengan tiga daripadanya berada pada tahap zon kritikal.
Difahamkan, antara rumah yang terjejas milik bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang juga ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan seorang warga asing dikenali sebagai Maulana.
Penolong Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa, Fauziah Jamaluddin berkata, penduduk di kawasan yang terjejas telah diarahkan berpindah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
“Keadaan sekarang sangat bahaya kerana masih berlaku pergerakan tanah. Apa yang kita bimbang ialah lebih banyak rumah lain akan turut terjejas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Isteri dibunuh, suami ditahan
|
|
ALOR SETAR - Pertengkaran sepasang suami isteri yang disyaki berpunca daripada perasaan cemburu berakhir dengan tragedi apabila wanita yang baru berkahwin enam bulan lalu itu ditemui mati di rumah mertuanya di Kampung Alor Gelegah di sini semalam.
Kejadian pukul 2 pagi itu mengakibatkan pembantu kedai, Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, mati dengan kesan kecederaan di kedua-dua belah kaki dan tangan selain kesan luka di dahi.
Dia dipercayai dipukul dengan dua batang buluh sepanjang 0.89 meter di hadapan rumah tersebut.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu dan bapa mertua mangsa tiada di rumah kerana pergi ke rumah anak mereka di Pahang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis percaya kejadian itu bermotifkan cemburu namun pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar.
"Sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan bertengkar di depan rumah sebelum mereka keluar dengan menunggang motosikal dan pulang 15 minit kemudian sambil diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal berasingan.
"Sebaik tiba di rumah, suami wanita itu dan lelaki tersebut bergaduh. Semasa pergaduhan itu, mangsa cedera selepas dipukul di kepala dengan objek keras," katanya kepada pemberita di sini.
Lelaki itu kemudian beredar manakala suami mangsa membawa isterinya masuk ke dalam rumah.
Menurut Mohd. Zakaria, polis telah menahan tiga lelaki termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua lelaki itu berusia dalam lingkungan 20-an. Dua lelaki itu merupakan kenalan pasangan tersebut.
"Kita anggap kes ini selesai dengan penangkapan tersebut," katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia bergegas ke rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan kediamannya selepas terdengar pasangan itu bertengkar.
Jamin laporan tidak disalahguna
KUALA LUMPUR - Pihak polis perlu memberi jaminan bahawa maklumat peribadi orang ramai yang membuat laporan secara dalam talian melalui portal Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlepas ke tangan pihak ketiga.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jaminan tersebut perlu bagi mengelakkan maklumat peribadi pihak yang memfailkan laporan tidak disalahgunakan.
"Pada masa kini ramai penjenayah juga pakar dalam teknologi maklumat.
"Oleh itu, polis perlu memberi jaminan supaya keselamatan orang ramai yang membuat laporan sentiasa dilindungi," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan PDRM akan memperkenalkan portal laporan dalam talian bagi memudahkan orang ramai membuat laporan tanpa perlu berkunjung ke balai polis mulai tahun depan.
Portal tersebut sedang dibangunkan oleh Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika membuat pengumuman itu berkata, kewujudan portal itu akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil membuat laporan polis dan seterusnya membantu pihak berkuasa membendung jenayah.
Apek, Leuniey bernikah
|
|
TUMPAT – Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menamatkan zaman bujangnya semalam apabila selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar atau Leuniey di Pasir Pekan di sini.
Khairul Fahmi, 23, atau lebih dikenali sebagai Apek dan Leuniey, 21, dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua mempelai serta para peminat di rumah keluarga pengantin perempuan.
Apek menyerahkan wang hantaran berserta mas kahwin berjumlah RM19,000 sempena nombor jersi 19 yang dipakai dalam skuad Harimau Malaya bersama tujuh dulang hantaran berbalas tujuh.
“Saya memilih Leuniey kerana dia sangat memahami karier saya yang terlalu sibuk. Buktinya dia faham dengan keadaan walaupun saya pulang untuk membuat persediaan hanya sehari sebelum majlis berlangsung,” katanya.
Mengenai anak, Khairul Fahmi berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat orang cahaya mata.
Majlis resepsi pengantin perempuan akan diadakan esok di Hotel Renaissance, Kota Bharu manakala pengantin lelaki pula di rumah keluarga Khairul Fahmi di Cherang dekat sini pada 5 Januari.
Dua sahabat maut tersepit
MARANG – Dua sahabat maut apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh dua batang tiang elektrik dan sebuah pondok menunggu bas di Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan semalam.
Kejadian pukul 7.15 pagi itu mengakibatkan pemandu 4WD jenis Mitsubishi Storm, Jamiluddin Zaiton, 28, dan penumpang depan, Shahrul Nazim Mohd. Azmi, 19, maut akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan, dua sahabat itu dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Dungun sebelum kenderaan itu terbabas ke kanan jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok dekat sini.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya memberitahu, ekoran kemalangan itu, kenderaan dinaiki dua sahabat itu terbabas kira-kira 30 meter sebelum terbalik.
“Kita terpaksa mendapatkan bantuan bomba kerana mayat kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing. Mereka mati akibat cedera parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.
Kastam tahan keldai dadah
KUANTAN - Cubaan seorang lelaki India menyeludup lima kilogram syabu bernilai RM1 juta gagal apabila dia ditahan ketika menjalani pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini Rabu lalu.
Keldai dadah berusia 37 tahun tersebut sebelum itu berjaya membolosi pemeriksaan di tiga buah lapangan terbang masing-masing di Calcutta, India; Changi, Singapura dan Sepang, Selangor.
Pengarah Kastam Diraja Malaysia Pahang, Datuk Sarip Ismail berkata, suspek memulakan penerbangan dari Calcutta ke Lapangan Terbang Changi sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
Katanya, suspek yang meneruskan perjalanan ke LTSAS bagaimanapun diberkas apabila pemeriksaan bagasi menemui dadah berkenaan dalam beg pakaian yang dibawanya.
"Suspek yang masuk ke negara ini sebagai pelancong berjaya melepasi pemeriksaan di tiga lapangan terbang sebelum itu.
"Bagaimanapun, buruh itu akhirnya berjaya diberkas selepas kita menerima maklumat awam," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tidak mengaku rompak kapal
KOTA TINGGI - Lapan warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dakwaan merompak sebuah kapal di Tanjung Stapa, Pengerang bulan ini.
Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Zainudin, 23, Hasbullah, 35, Ricky, 37, Trim, 36, Jais, 46, Arjadi, 32, Amie, 37, dan Zul, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Salawi Djambari.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua lelaki terbabit bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas kru kapal MT Merlion 2 yang berlabuh di perairan Tanjung Stapa, di sini, pada pukul 1.50 pagi, 11 Disember lalu dengan menggunakan senjata berbahaya.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Salawi kemudian menetapkan 29 Januari depan untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia (APMM), Juanita Mohd. Said manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Rusia desak Bashar berbincang
|
MOSCOW - Rusia yang merupakan satu-satunya negara yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Syria semalam mendesak Presiden Bashar Al-Assad untuk mengadakan perbincangan bersama para penentangnya.
Tekanan terbaharu terhadap Bashar itu berlaku ketika Rusia berusaha untuk menyelamatkan proses keamanan dengan merancang mengadakan pertemuan pada hari ini bersama pengantara keamanan Syria, Lakhdar Brahimi.
Moscow juga mengundang Ketua Majlis Perikatan Kebangsaan Syria, Ahmed Moaz al-Khatib untuk mengadakan perbincangan sama ada di Moscow atau di sebuah ibu kota negara di rantau tersebut.
Bagaimanapun, Rusia masih menganggap Bashar sebagai pemimpin yang sah.
Konflik yang berlaku di Syria itu bermula sejak Mac tahun lalu yang telah menyebabkan lebih 43,000 orang terbunuh.
Pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan itu dengan tentera Syria berlaku selepas kebangkitan rakyat di Asia Barat dan Afrika Utara.
Ahmed memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa beliau hanya akan bertemu dengan wakil-wakil Rusia di luar Moscow dengan syarat pihak negara berkenaan mengutuk dengan jelas jenayah kemanusiaan yang dilakukan rejim Syria.
Para penentang itu mahu Bashar meletakkan jawatan selepas beliau gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran selepas peralihan kepimpinan berlaku di Tunisia dan Mesir ekoran kebangkitan rakyat yang menuntut demokrasi.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyatakan pihaknya masih enggan menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya Bashar meletakkan jawatan.
Menurutnya, Moscow menjangkakan penduduk Syria akan memutuskan nasib negara mereka sendiri. - Agensi
Van jatuh dalam gaung
BEIJING - Seramai 10 orang maut termasuk lima kanak-kanak selepas sebuah van jatuh ke dalam gaung di Dahua, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang semalam.
Van yang membawa muatan berlebihan itu terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung itu di selatan China.
Kenderaan sembilan tempat duduk itu dinaiki sebanyak 20 orang.
Nahas tersebut berlaku pada pukul 6 pagi waktu tempatan.
Lapan penumpang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika tiba di hospital.
Menurut seorang jurucakap pemerintah tempatan, seramai 10 orang yang cedera diberikan rawatan perubatan.
Ibu seorang bayi, Wei Yuefang memberitahu, dia dan keluarganya dalam perjalanan ke Kampung Bahaotun di pekan Qibainong untuk menghadiri majlis perkahwinan.
Anaknya yang berusia 10 bulan itu kini berada dalam keadaan kritikal.
Menurut Yuefang, dia keluargnya tercampak keluar semasa kenderaan berkenaan terjatuh ke dalam gaung.
"Para penumpang yang masih sedar menjerit meminta pertolongan. Penduduk kampung dari kampung berhampiran datang membantu kami," katanya.
Punca kejadian masih disiasat.
- Agensi
Bermain dengan beberapa ekor ular sawa
BANDAR MALABON, Filipina - Seorang lelaki bermain dengan beberapa ekor ular sawa di bandar ini semalam.
Dia membuat persembahan bagi meraikan kedatangan Tahun Ular berdasarkan kalendar Cina pada bulan depan.
Sejumlah orang menyaksikan persembahan lelaki itu yang berbaring bersama ular-ular tersebut.
Ular sawa Albino Burma merupakan antara yang dipamerkan lelaki berkenaan semasa dia bermain dengan haiwan berkenaan. - Reuters
Ukiran lembu jantan di sawah padi
JAKARTA - Seorang artis seni, Budi Barnabas menghasilkan ukiran berjudul lembu jantan mendapat kecederaan di kawasan sawah padi di Kampung Nitiprayan, Bantul dekat Yogyakarta, Indonesia.
Ukiran kayu itu merupakan sebahagian daripada pameran ukiran di luar bangunan yang dikenali sebagai Tuaian Terakhir.
Pameran tersebut yang akan berakhir pada 31 Disember ini mempamerkan hasil kerja 30 artis seni yang menyuarakan tentang kemerosotan kawasan tanah pertanian. - Reuters
Peminat marah nama Psy diguna untuk watak perogol
|
|
TOKYO - Penyanyi Korea Selatan yang terkenal di seluruh dunia dengan tarian kuda, Psy digambarkan sebagai seorang perogol dalam komik manga Jepun, lapor akhbar The Japan Daily Press semalam.
Komik itu akan diterbitkan pada 31 Disember ini yang menunjukkan satu watak mirip Psy.
Ia mengisahkan watak tersebut mengetuai satu kumpulan penculik dari Korea Selatan dan merogol sekumpulan gadis Jepun.
Bagaimanapun, menurut laman Digital Journal, penduduk Korea Selatan menyuarakan kemarahan mereka tentang tindakan komik Jepun itu.
Ia melaporkan, kemarahan tersebut dinyatakan di laman-laman internet.
Psy menjadi terkenal di dunia menerusi muzik video Gangnam Style di laman YouTube yang dimuat naik sejak 15 Julai lalu.
Klip video itu yang menunjukkan Psy menari tarian kuda telah ditonton lebih satu bilion kali.
Psy kemudian menjadi kebanggaan warga Korea Selatan sehingga mengatasi populariti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon yang juga berasal dari negara yang sama.
Penyanyi itu juga diundang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadiri banyak majlis muzik ekoran kejayaannya itu.
Tarian kuda itu juga dipersembahkan bukan sahaja oleh artis AS tetapi juga ahli-ahli sukan terkenal dunia. - Agensi
No comments:
Post a Comment