Monday, December 31, 2012

MEREKA TAK TAKUT BERZINA SEBAB TAK DE REJAM SERTA 100X ROTAN

Laporan setiap hari

Oleh Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

SITU...Muhyiddin menunjukkan tanah runtuh ketika membuat lawatan 
ke Bukit Setiawangsa, semalam.
SITU...Muhyiddin menunjukkan tanah runtuh ketika membuat lawatan ke Bukit Setiawangsa, semalam.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu laporan kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa, Jumaat lalu, diserahkan kepadanya setiap hari.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat khas Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju, INP Sdn Bhd, berhubung kejadian, di sini, semalam.

“Berdasarkan taklimat hari ini (semalam), Ikram, DBKL dan pemaju sudah mengambil langkah awal menangani masalah tanah runtuh yang berlaku pada 28 Disember lalu.
“Tindakan ini dapat mengurangkan kesan kejadian tanah runtuh membabitkan aspek keselamatan penduduk.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kejadian ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau yang turut ditemani isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman meluangkan masa lebih satu jam di kawasan kejadian untuk meninjau dan berjumpa dengan penduduk.
Kata Muhyiddin, DBKL, Ikram dan pemaju akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan itu tanpa henti bagi mengesan sebarang pergerakan tanah di situ.

“Penghuni di 90 rumah sudah dipindahkan ke tempat terpilih dan pemaju turut membantu menanggung kos perpindahan itu.
“Dalam masa sama, satu laluan alternatif dibina memandangkan laluan utama (asal) berisiko dan berbahaya kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pembinaan tebing dan pembangunan di situ diluluskan mengikut garis panduan perancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi yang lama.

“Setakat ini pembinaan tebing itu mengikut spesifikasi garis panduan yang lama memandangkan projek ini berusia 22 tahun.

“Tetapi, jika mengambil kira garis panduan baru khusus untuk Kuala Lumpur, DBKL tidak meluluskan pembinaannya.

“Kelmarin, Ikram memaklumkan terdapat tiga rumah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh ini.

“Bagaimanapun, selepas pemantauan serta kajian terperinci, struktur dua buah rumah milik Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis didapati stabil.

“Oleh itu sebuah rumah saja dirobohkan kerana bimbang berat bangunan itu menjadi beban kepada tanah,” katanya.

Potong gaji untuk ‘buat visa’

Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
am@hmetro.com.my

BANTAH...pekerja warga asing membantah tindakan majikan mereka di hadapan Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, semalam.
BANTAH...pekerja warga asing membantah tindakan majikan mereka di hadapan Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, semalam.
PELABUHAN KLANG: Niat 33 pekerja lelaki warga asing untuk mencari rezeki di Malaysia terbantut apabila kerugian RM313,500 selepas ditipu sebuah syarikat perkhidmatan logistik, di sini.
Mereka yang terdiri daripada 26 warga India, Pakistan (lima) dan dua warga Bangladesh mendakwa syarikat tempatan itu mengambil RM4,200 hingga RM6,500 setiap seorang yang dipotong daripada sebahagian gaji mereka bagi Ogos 2010 hingga Oktober lalu kononnya bagi membuat permohonan permit kerja dan visa.

Ketua Biro Politik Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), K S Kottapan berkata, pekerja terbabit yang sudah bekerja di Malaysia sejak Ogos 2010 bimbang kerana hingga kini belum memperoleh permit kerja seperti dijanjikan majikan terbabit.

“Apabila ditanya, pengurusan syarikat itu memberi alasan Jabatan Imigresen menyimpan pasport semua pekerja terbabit menyebabkan urusan permohonan permit berkenaan tergendala.

“Syarikat terbabit juga berjanji untuk membayar semula tunggakan gaji itu pada 15 Oktober lalu, namun hingga hari ini (semalam) mereka belum memperolehnya,” katanya pada sidang media di Pejabat Tenaga Kerja, di sini, semalam.

Kottapan berkata, akibat tidak tahan dengan sikap majikan mereka, semua pekerja terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 24 Disember lalu.

“Kami juga sudah ke pejabat kedutaan masing-masing dua hari lalu dan mereka berjanji akan menghubungi syarikat terbabit secepat mungkin,” katanya.

7 lagi banglo mungkin lenyap

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tujuh banglo, termasuk dua milik Ahli Parlimen mungkin terpaksa dirobohkan jika keadaan gelongsoran tanah di Bukit Setiawangsa, di sini, tidak berubah.
Ketua Pegawai Operasi Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Mohd Taufik Harun berkata, dua banglo mewah milik Ahli Parlimen itu akan dirobohkan sekiranya kajian menyeluruh dilakukan dan mendapati keperluan dirobohkan.

"Sehingga ini, kita lihat pergerakan masih aktif. Tetapi lebih stabil berbanding semalam.

"Keputusan merobohkan rumah banglo berkenaan terpaksa diambil bagi menyelamatkan situasi daripada menjadi lebih buruk ekoran kemungkinan berlaku tanah runtuh lagi," katanya ketika sidang media di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, kerja merobohkan banglo berkenaan dilaksanakan pemaju Island and Peninsular (I&P) Sdn Bhd dan kontraktor dilantik dilakukan secara berhati-hati dan mengambil masa beberapa hari.

"Kerja merobohkan banglo terbabit dimulakan pada bahagian bumbung menggunakan kren. Mereka perlu melakukan kerja secara berhati-hati kerana masih ada pergerakan tanah.

"Oleh itu, kerja merobohkan akan mengambil masa beberapa hari bagi menjaga keselamatan pekerja dan lot kedai serta rumah teres yang ada di bahagian bawah," katanya.

Ikat, tetak hingga mati

Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

DIBUNUH...anggota polis membawa masuk mayat mangsa  ke dalam trak untuk dibawa ke HSB.
DIBUNUH...anggota polis membawa masuk mayat mangsa ke dalam trak untuk dibawa ke HSB.
KUALA NERANG: Tiga lelaki ditemui mati dalam keadaan diikat dan badan dipenuhi kesan tetakan senjata tajam dalam sebuah kebun getah berhampiran Kampung Cebar, Tanjung Piring, dekat sini.
Mereka dikatakan diikat sekumpulan 13 lelaki kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu, namun seorang rakan mangsa berjaya meloloskan diri dan membuat laporan polis kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Sumber berkata, mangsa yang terselamat itu dikatakan lewat membuat laporan polis kerana bersembunyi selama satu hari dipercayai bimbang anggota kumpulan terbabit berjaya mengesan jejaknya.

Menurutnya, lelaki itu kini dirawat di Hospital Kuala Nerang akibat kecederaan dialaminya.

“Siasatan awal mendapati tiga lelaki yang ditemui mati berusia antara 18 dan 30 tahun. Semua mangsa dan rakan mereka yang membuat laporan polis dipercayai berasal dari Arakan, Myanmar,” katanya.

Bayi mangsa bapa ayam

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my

LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa.
LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa.
KUALA LUMPUR: Tangan kanannya patah manakala seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan berbirat. Itu penderitaan seorang bayi perempuan berusia setahun dipercayai akibat didera seorang bapa ayam di Lorong Haji Taib, di sini, sejak dua minggu lalu.
Mangsa dikatakan dipukul menggunakan penyangkut baju selain dipijak lelaki berusia lewat 30-an itu kerana kegagalan ibunya berusia 34 tahun untuk melacur seperti diarahkan. Malah, ibunya turut dipercayai dipukul lelaki berkenaan.
Kejadian menimpa bayi itu disedari bekas pengasuhnya selepas melawat mangsa di rumah berkenaan, jam 9 malam kelmarin.

Pengasuh itu yang mahu dikenali sebagai Ran, 35, berkata, selepas melihat kecederaan bayi itu, dia meminta supaya mangsa diserahkan kepadanya untuk dihantar ke hospital, namun bapa ayam itu tidak membenarkan sebaliknya menghalaunya.

Menurut Ran, dia merakamkan beberapa gambar menunjukkan kecederaan mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Cinta terhalang bersalut dosa



BATU PAHAT: Satu pasangan mendakwa keengganan keluarga perempuan merestui keinginan mereka untuk berkahwin menyebabkan pasangan itu mengambil jalan songsang mengenepikan dosa dengan bersekedudukan sejak lebih setahun lalu hingga melahirkan seorang anak lelaki sedangkan mereka boleh menggunakan wali hakim berikutan berada di luar kawasan.
Malah, pasangan berkenaan bersekedudukan di rumah keluarga lelaki berusia lewat 20-an itu yang tinggal bersama bapa dan tiga anak angkat bapanya.

Kelakuan sumbang mereka terbongkar apabila penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Batu Pahat menyerbu rumah berkenaan di Punggor Rengit di sini, menerusi Ops Ambang Tahun Baru, jam 1.30 pagi, semalam.
Dalam serbuan itu, wanita berusia 20-an terbabit mendakwa bersekedudukan selepas buntu hubungan bersama teman lelakinya tidak direstui keluarga di Kemunting, Perak.

Menurut wanita itu, dia mengenali teman lelakinya empat tahun lalu dan sudah banyak kali memberitahu keluarganya di Perak, mereka mahu berkahwin.

Dia mendakwa keluarga enggan menerima teman lelakinya itu menyebabkan mereka tinggal bersama setahun lalu hingga melahirkan anak lelaki.

Jumpa mayat tanpa mata



SUNGAI PETANI: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan apabila dua matanya hilang dipercayai dimakan biawak dalam sungai berhampiran Kampung Pengkalan Ikan Bilis, Sungai Lalang, dekat sini, semalam.
Penemuan mayat lelaki berusia 30-an tanpa sebarang identiti jam 11 pagi itu, turut menimbulkan kegemparan apabila tersangkut pada akar pokok di tepi sungai berkenaan.

Seorang penduduk enggan dikenali berkata, pada mulanya dia ternampak objek pelik, tetapi tidak menyangka ia mayat manusia. “Mayat lelaki itu berpakaian baju-T warna merah dan hanya berseluar dalam serta memiliki gelang besi pada pergelangan tangan kiri. Dia juga dipercayai sudah mati sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan mayat sudah kembung,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Rosdi Ismail berkata, enam anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai.

“Kami turut menggunakan khidmat sampan nelayan untuk membawa mayat ke tebing sebelum diserahkan kepada pasukan polis,” katanya.

Sentuhan noda

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu sentuhan, seorang lelaki Arab berusia lewat 20-an dikatakan mampu mempengaruhi wanita mengikut segala kehendaknya, menyebabkan mangsa kemudian dibawa ke hotel sebelum disamun dan dirogol.
Menurut sumber, mangsa terbaru lelaki itu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang membuat laporan polis mendakwa dirogol lebih sekali oleh suspek di sebuah hotel di ibu kota.

Menurutnya, sebelum itu mangsa memberitahu dia dihampiri suspek ketika membeli makanan di pusat beli-belah di sini sebelum diajukan beberapa soalan.

“Mangsa yang tidak mengendahkan pertanyaan lelaki terbabit kemudian mendakwa disentuh di bahagian badan, menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah bilik hotel di ibu kota sebelum memaksa remaja itu supaya melakukan hubungan seks dengannya,” katanya.

Mangsa rogol mahu kahwin Februari



NEW DELHI: Mangsa rogol beramai-ramai di Delhi yang meninggal di Singapura kelmarin dijangka berkahwin dengan teman lelakinya dalam tempoh beberapa minggu lagi, menurut beberapa rakannya.
Mangsa yang juga anak kesayangan bapanya diyakini oleh semua rakan bakal mencapai kejayaan selepas selesai menamatkan pengajian dalam bidang perubatan.

Ketika rakyat India meluahkan simpati yang mendalam terhadap mangsa berusia 23 tahun yang diperkosa oleh sekumpulan perogol pada 16 Disember lalu itu, mereka yang mengenalinya menggambarkan mangsa sebagai seorang wanita muda yang sedang dilamun cinta dan disayangi ramai. Walaupun belum rasmi bertunang, semua rakan mengetahui mangsa merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang turut cedera parah dalam serangan itu yang menyebabkan kematian mangsa. Rakan mangsa, Meena Rai berkata, dia menemani mangsa membeli-belah pakaian dan hadiah perkahwinan. “Dia sepatutnya berkahwin Februari depan dengan lelaki sama yang turut diserang dalam bas itu bersamanya,” katanya yang tinggal bersebelahan kediaman mangsa di Mahavir Enclave, kawasan kejiranan di barat daya New Delhi.
“Mereka telah membuat semua persediaan dan merancang parti perkahwinan di Delhi,” katanya. Seorang lagi rakan yang menghadiri upacara pembakaran mayat semalam mengesahkan majlis perkahwinan akan berlangsung dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Kami tahu dia akan berkahwin Februari depan. Seluruh kawasan kejiranan sangat teruja mengenainya,” kata Usha Rai.

Pada 16 Disember lalu, mangsa dan teman lelakinya keluar menonton wayang gambar “The Life of Pi” di pusat beli-belah sebelum menaiki bas yang disangka akan membawa mereka pulang. Menurut laporan, serangan terhadap pasangan itu bermula apabila teman lelaki mangsa menjadi bahan cemuhan mengenai mengapa seorang wanita yang belum berkahwin berada di luar rumah pada lewat malam. - AFP

Masih hidup walau dua kali diisytihar mati



HARDY (kanan), anaknya, Anastasia (kiri) dan cucu, Nelli.
HARDY (kanan), anaknya, Anastasia (kiri) dan cucu, Nelli.
TOMSK (Siberia) : Seorang nenek dua kali bangkit daripada mati, malah terselamat selepas tiga hari berada di sebuah rumah mayat.
Wanita Russia berusia 61 tahun itu diisytiharkan mati sebanyak dua kali oleh doktor tetapi hidup semula, termasuk beberapa minit sebelum dibedah siasat.
Hardy Lyudmila Steblitskaya menghabiskan masa tiga hari di rumah mayat yang sejuk ketika keluarganya meratapi kematian bekas tukang masak itu di rumah mereka.

Akhbar Siberian Times melaporkan, kali pertama Hardy mengejutkan doktor, rakan dan keluarganya ialah November tahun lalu dan kali kedua pada Oktober tahun ini.

Dalam kejadian tahun lalu, dia dibawa ke Hospital Wilayah Tomsk dan dirawat beberapa hari kerana tidak sihat.

Apabila anaknya, Anastasia, 29, menelefon hospital, dia diberitahu bahawa ibunya sudah mati.

Anastasia yang begitu sedih mula merancang majlis pengebumian ibunya dan menyampaikan berita itu kepada rakan dan anggota keluarga lain.

Dia membelanjakan RM6,000 untuk membeli bunga, keranda, urusan gali kubur serta makanan.

Apabila dia ke hospital untuk mengambil mayat Hardy, dia diberitahu supaya tunggu kerana doktor belum menjalankan bedah siasat.

Seorang doktor yang kelihatan terkejut kemudian memberitahu ibunya tidak mati dan masih bernafas di katilnya.

Anastasia yang hampir tidak percaya dengan kata-kata doktor itu, memasuki bilik ibunya dan mendapati wanita itu memanggill namanya. Dia menjerit sehingga beg yang dipegangnya terlepas.

“Saya begitu terkejut hingga terlupa untuk masuk semula ke bilik itu dan memeluk ibu saya. Sebaliknya saya menelefon rakan dan keluarga dan meminta supaya kerja menggali kubur dihentikan,” katanya kepada akhbar itu.

Ibunya hanya ingat bahawa dia berada di hospital itu pada hari Jumaat dan terjaga di rumah mayat pada Isnin.

Pada Oktober lalu, Hardy yang menghidap sakit jantung, dikatakan sudah tidak bernyawa lagi ketika dimasukkan ke sebuah hospital tetapi kali ini doktor berjaya menyedarkannya semula selepas beberapa jam. - DM

Drebar teksi pulang wang RM300,000



BANGKOK: Seorang pemandu teksi memulangkan sebuah beg mengandungi tiga juta baht (RM299,755) kepada pengendali trak pembawa wang tunai yang tercicir wang itu di Jalan Rama III.
Pongsin Jirakulthavornpat memberitahu Jor Sor 100, stesen radio trafik dimiliki tentera bahawa dia memandu di jalan itu bersendirian kira-kira jam 2 pagi semalam apabila menemui beg mengandungi wang berkenaan.

Dia mengambilnya sebelum menghubungi stesen radio terbabit agar mencari pemilik wang berkenaan.
Pada jam 6 pagi, kakitangan keselamatan trak pembawa wang tunai milik syarikt Brink membuat laporan di balai polis Bukalo mengenai kehilangan satu daripada 27 beg mengandungi wang tunai dengan jumlah keseluruhan 53 juta baht (RM5.3 juta) ketika membawa wang itu untuk dimasukkan ke dalam mesin teler automatik (ATM) Bank Komersial Siam di kawasan Thon Buri. Ketua trak itu, Tossaporn Rewnak berkata, dia dan rakannya dimaklumkan penunggang motosikal dekat Hospital Krungdhon 1 di jalan Taksin bahawa satu daripada dua pintu belakang trak itu terbuka.

Mereka memberhentikan kenderaan itu dan mendapati kunci pintu belakang trak yang terbuka itu tertanggal. Mereka kemudian menghitung beg wang itu dan mendapati satu daripadanya sudah hilang. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment