Tuesday, January 1, 2013

BUMI ALLAH SANGAT LUAS...DENGAN CARA BEGINI KITA DAPAT BERITA...NAK PERGI SEMUA TEMPAT TAK KAN TERDAYA....MAHA KAYA ALLAH SWT

Pasrah walaupun banglo diroboh


lokasi rumah Jamaluddin (dalam bulatan di kiri) dan Zulhasnan (kanan) yang akan dirobohkan.


KUALA LUMPUR – Dua bekas menteri Kabinet terpaksa menyambut kedatangan tahun baru 2013 dengan berita sedih apabila banglo mereka di Puncak Setiawangsa di sini yang berdepan insiden tanah runtuh baru-baru ini disahkan tidak selamat dan terpaksa dirobohkan.
Mereka ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.
Jamaluddin pernah memegang jawatan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi manakala Zulhasnan Rafique pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Operasi Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Mohd. Taufik Harun berkata, keputusan untuk merobohkan banglo mereka dibuat kerana struktur tanah di kawasan itu tidak selamat.
Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan memberi ruang kepada zon penampan antara tebing runtuh dan rumah-rumah berhampiran.
Menurutnya, sebanyak tujuh buah rumah yang terletak di Jalan Puncak Setiawangsa 2 dikesan mengalami keretakan yang boleh mengundang bahaya.
“Kita sedang cuba untuk menyelamatkan tiga atau empat buah rumah di kawasan itu termasuk rumah dua ahli parlimen berkenaan.
“Bagaimanapun, semua itu bergantung pada keadaan dan jika perlu untuk dirobohkan, kita terpaksa melakukannya demi menjaga keselamatan penduduk yang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi tanah runtuh di sini semalam.

Ikan darat, putu halba rezeki tengkujuh


NORZIRA menyediakan putu halba di gerainya di Rantau Panjang semalam.


RANTAU PANJANG - Di sebalik musim tengkujuh yang mengundang bencana banjir di Kelantan, ia turut membawa rezeki kepada penduduknya.
Setiap kali musim banjir, jualan ikan air tawar atau ikan darat dan sejenis makanan yang dinamakan putu halba boleh didapati di sana sini.
Ikan air tawar seperti toman, sebarau, keli, belut dan tembakan dijual hidup di tepi jalan dan putu halba yang ramuan utamanya adalah ubi kayu.
Mohamad Abd. Noh, 36, yang pada hari biasa berniaga getah sekerap, akan menjual ikan air tawar di tepi jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Sungai Kalbat 5.
Menurutnya, dia memperoleh pendapatan sehingga RM300 sehari dengan menjual ikan air tawar dalam tempoh dua bulan musim tengkujuh.
"Ikan-ikan ini saya dapat dengan memukat sendiri dan dibeli daripada orang lain," ujarnya ketika ditemui semalam.

Naik berang dalam mahkamah


MOTSAMI diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas dijatuhi hukuman gantung mati kerana mengedar dadah semalam.


ALOR SETAR - Seorang lelaki warga Nigeria yang bekerja sebagai setiausaha sebuah gereja di Bangkok, Thailand berang apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya atas tuduhan mengedar ganja seberat 8.73 kilogram tahun lalu.
Motsami Goitsemodimo Peter, 27, memberitahu, dia tidak faham bagaimana dia boleh dikenakan hukuman mati selain mempersoalkan bukti yang digunakan sehingga dia disabitkan dengan pertuduhan tersebut.
Dia yang merupakan graduan sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur itu terus mempersoalkan hukuman tersebut walaupun peguamnya, B. Murthy memintanya bertenang.
Tertuduh kemudian diam dan keluar dari kandang tertuduh selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab memberitahu hukuman itu boleh dirayu di Mahkamah Rayuan.

Premis judi tawar cabutan bertuah


PREMIS judi di Sentul yang berselindung di sebalik perniagaan optik ini menawarkan cabutan bertuah kepada pengunjung.


KUALA LUMPUR - Sindiket perjudian tidak pernah berhenti menggunakan pelbagai taktik untuk menarik kaki judi terus menghabiskan wang di premis mereka.
Terbaharu, sebuah premis judi internet di Jalan Pasar Sentul di sini didakwa menawarkan cabutan bertuah yang mempertaruhkan sebuah motosikal jenis Honda sebagai hadiah utama selain wang RM300.
Caranya senang sahaja. Belanja sekurang-kurangnya RM50 di pusat judi itu dan secara automatik kaki judi akan diberi kupon untuk menyertainya.
Cabutan akan dilakukan setiap hujung bulan.
Bukan itu sahaja, perniagaan haram yang berselindung di sebalik kedai optik itu turut menawarkan makan tengah hari percuma kepada pelanggan.
Seorang pelanggan yang ditemui Kosmo! memberitahu, cabutan bertuah itu diadakan hampir setiap bulan namun malangnya setakat ini tiada seorang pun yang memenanginya.

Cedera tercucuk jarum tukang jahit


Shezzylah menunjukkan baju kurung moden yang tidak menepati ukuran badannya di Shah Alam baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Hasrat tiga sahabat untuk bergaya dengan baju kurung yang ditempah daripada seorang peniaga menerusi laman sosial Facebook berkecai apabila produk yang dihasilkan bukan sahaja tidak menepati ukuran badan malah, salah seorang mereka cedera akibat tercucuk jarum yang terselit pada baju.
Ekoran itu, hasrat mereka untuk memakai baju kurung moden pada majlis perkahwinan seorang teman rapat mereka pada 22 Disember lalu tidak kesampaian.
Salah seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Shezzylah, 23, memberitahu, dia dan dua rakannya menempah baju dengan seorang tukang jahit dikenali sebagai Ara selepas mendapati harganya murah iaitu RM160 untuk tiga pasang.
Katanya, kejadian itu berlaku empat hari sebelum majlis perkahwinan berkenaan.
"Kami menempah baju itu kira-kira dua minggu sebelum majlis. Saya mula syak sesuatu apabila peniaga itu mengambil ukuran badan secara tidak konsisten.
"Kadang-kadang dia meminta kami datang untuk mengukur sendiri ukuran badan dan ada ketikanya, dia meminta kami menghantar sendiri ukuran tersebut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Shah Alam, Selangor.

Banjir setiap kali hujan lebat


ABDUL RAHMAN menunjukkan sistem perparitan yang tersumbat sehingga mengakibatkan banjir kilat sering berlaku di rumahnya di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan semalam.


IPOH – Sebuah keluarga terpaksa merana lebih 20 tahun apabila rumah yang didiami ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan dekat sini.
Abdul Rahman Manap, 62, berkata, kediaman yang turut dihuni lapan ahli keluarganya termasuk isteri, Zabedah Tan Diah, 58, lima anak dan seorang cucu itu akan dinaiki air banjir sehingga satu meter setiap kali hujan lebat.
“Sejak 20 tahun lalu, hati kami sekeluarga tidak pernah tenang setiap kali hujan turun walaupun pada awal pagi kerana saya tahu rumah saya mesti menerima musibahnya.
“Jumlah kerugian harta benda tak terkira malah rumah dan laman rumah saya akan dipenuhi selut serta lumpur yang datang dari Bukit Kinding berhampiran,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, selain limpahan air dan lumpur dari bukit berhampiran, sistem perparitan yang tidak diselenggara juga menjadi faktor kepada masalah banjir itu.

2 anak tidak miliki sijil lahir


ALIZAH (dua dari kanan) bersama Nur Aina Edriana (kiri) dan Nur Aiman Halim (dua kiri) dan Nur Aflin Iskandar menunjukkan sijil perkahwinan dengan bekas suaminya, Nor Azman Ismail di Klang baru-baru ini.


KLANG - Seorang ibu tunggal buntu apabila dua daripada tiga anaknya, Nur Aina Edriana, 9, dan Nur Aiman Halim, 6, masih tidak mempunyai sijil kelahiran walaupun pernah beberapa kali mengemukakan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Klang di sini.
Alizah Sanip, 43, yang merupakan pekerja kilang ditinggalkan suami sejak tujuh bulan lalu gelisah memikirkan punca sebenar masalah itu sedangkan dia dan suami mempunyai sijil perkahwinan yang sah.
"Kali terakhir saya ke JPN cawangan Klang adalah bulan lalu. Mereka suruh tunggu dan akan telefon untuk beritahu status permohonan tersebut namun sehingga hari ini masih tidak mendapat sebarang berita," dakwanya ketika ditemui di Kampung Nelayan, Telok Gong di sini baru-baru ini.
Lebih menghairankan, anak pertamanya, Nur Aflin Iskandar, 10, tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan sijil kelahiran.
"Semua urusan pendaftaran dilakukan suami sebaik sahaja saya melahirkan anak tetapi saya dapat tahu JPN meminta dokumen lain menyebabkan perkara ini tertangguh sehingga ke hari ini," jelasnya.

Suami dituduh bersubahat bunuh isteri

PETALING JAYA - Seorang pengusaha rumah pusat kebajikan orang tua, M. Durai Raju dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan bersubahat membunuh isterinya, S. Suntarambhal, 33, yang mati dikelar dalam sebuah kereta, dua minggu lalu.
Turut dihadapkan ke mahkamah yang sama ialah rakannya, V. Nantakumaran, 24, yang didakwa atas tuduhan membunuh mangsa.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Surya Wati Shawal.
Durai Raju, 36, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama kerana bersubahat membunuh Suntarambhal, seorang penjual bunga, manakala Nantakumaran pula dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ramai cedera main mercun di Filipina

SEORANG peniaga menyusun mercun yang dijual di gerainya di Manila semalam.


MANILA - Pihak berkuasa Filipina melaporkan lebih banyak kecederaan akibat bermain mercun semalam ketika petugas-petugas kecemasan bersiap sedia menghadapi peningkatan kejadian tidak diingini menjelang sambutan tahun baru.
Jabatan Kesihatan mengumumkan, angka kecederaan akibat bermain mercun meningkat kepada 186 orang sejak hujung minggu cuti Krismas, termasuk 33 kecederaan mata dan enam mangsa yang terpaksa dipotong anggota badan mereka.
Setakat kelmarin, angka kecederaan akibat bermain mercun berjumlah 171 orang.
Ketua Wad Kecemasan Pusat Rawatan East Avenue di sini, Emmanuel Bello, berkata, angka kecederaan dijangka terus meningkat.
Menurutnya, hospital berkenaan telah merawat 22 kes kecederaan akibat bermain mercun setakat ini.
"Kebanyakan kecederaan melibatkan orang dewasa disebabkan mereka mabuk. Mereka minum arak dan membakar mercun," kata Bello.
"Jika mereka hilang ibu jari, mereka hilang sebahagian besar fungsi tangan dan tidak dapat bekerja sekali gus menjerumuskan keluarga mereka ke dalam kesusahan," tambahnya.
Namun, katanya, sebahagian besar angka kecederaan melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah yang tidak tahu tentang bahaya bermain mercun.
Keluarga di Filipina meraikan Hari Krismas dan tahun baru dengan membakar mercun yang mengeluarkan bunyi dentuman kuat serta asap hitam dengan menyebabkan keadaan di sebahagian kejiranan kelihatan seperti zon perang.
Pihak berkuasa Filipina melaporkan sebanyak 454 kecederaan akibat bermain mercun dicatatkan ketika sambutan menjelang tahun baru 2012. - AFP

Sembilan maut bas terbabas di AS


GAMBAR menunjukkan bas yang terjatuh (dalam bulatan) ke dalam gaung dari sebatang jalan raya yang licin itu.


LOS ANGELES - Sebuah bas dalam perjalanan ke Kanada merempuh rel penghadang di sebatang jalan raya yang dilitupi salji di Oregon, Amerika Syarikat (AS) kelmarin sebelum terjunam ke dalam gaung dengan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh kata polis.
Pihak berkuasa melaporkan, lebih 26 yang lain turut cedera dalam nahas jalan raya tersebut.
Polis negeri Oregon berkata, bas itu jatuh sejauh beberapa puluh meter ke dalam gaung.
Menurut polis, kemalangan berlaku semasa bas sewa khas itu dilaporkan menuju pulang ke Vancouver, Kanada selepas bertolak dari Las Vegas, dalam negeri Nevada, AS.
Setakat ini, polis masih menyiasat punca nahas jalan raya itu yang berlaku dekat bandar Pendleton, di timur laut Oregon.
Ketika kejadian kata mereka, terdapat 40 penumpang di dalam kenderaan tersebut tetapi jumlah sebenar masih belum dapat disahkan.
Bas itu dimiliki syarikat Mi Joo Tour & Travel dari Vancouver. - AFP

Penduduk Kemboja berusaha selamatkan ikan lumba-lumba


DUA ekor ikan lumba-lumba Irrawaddy kelihatan di Sungai Mekong di wilayah Kratie, kira-kira 300 kilometer ke timur laut Phnom Penh pada 6 Disember tahun lalu.


KRATIE - Para pengawal sungai Kemboja berusaha menyelamatkan kehidupan ikan lumba-lumba dengan melakukan rondaan di Sungai Mekong bagi memastikan tiada aktiviti nelayan dan penduduk yang boleh menjejaskan kehidupan haiwan itu.
Menurut beberapa pakar, punca kematian ikan lumba-lumba dewasa adalah disebabkan jaring pukat hanyut yang ditinggalkan terlalu lama di sungai itu.
Pakar-pakar berkenaan percaya kehidupan ikan lumba-lumba berwarna kelabu itu berada dalam keadaan bahaya dan berdepan ancaman kepupusan di sungai tersebut.
Jumlah haiwan dewasa itu yang dikenali sebagai ikan lumba-lumba air tawar Irrawaddy adalah antara 85 hingga 150 ekor.
Seorang pengawal sungai, Pech Sokhan berkata, pihaknya perlu mendidik penduduk pada setiap hari tentang bahaya penggunaan pukat tersebut untuk menangkap ikan kerana ia boleh membahayakan ikan lumba-lumba.
Pukat hanyut dan kurungan ikan diharamkan di sungai itu.
Bagaimanapun, para pesalah yang menggunakan kaedah menangkap ikan tersebut tidak akan ditangkap atau didenda tetapi peralatan perikanan mereka dirampas. - AFP

Siang cari duit, malam beli kokain


BOBO duduk di atas kerusi selepas dia mengutip barang-barang yang boleh dikitar semula untuk dijual di sebuah kawasan setinggan di Rio De Janeiro pada 21 Disember lalu.


RIO DE JANEIRO - Seorang bekas askar yang hanya dikenali sebagai Bobo menghabiskan masa pada waktu siang dengan mencari barang-barang yang boleh dikitar semula untuk dijual.
Bagaimanapun, apabila malam menjelma, dia menggunakan wang yang diperoleh daripada titik peluhnya sendiri untuk membeli kokain.
"Kadangkala saya tidak tidur sepanjang malam.
"Saya bekerja untuk membantu menampung ketagihan saya.
"Namun, saya hanya menggunakan kokain pada waktu malam," katanya yang enggan mendedahkan namanya yang sebenar.
Pihak berkuasa Brazil kini berusaha untuk membantu para penagih dadah dan menghentikan penyebaran tabiat tersebut dalam kalangan penduduk. - Agensi

No comments:

Post a Comment