Thursday, January 3, 2013

MASIH MENYALAHKAN ORANG LAIN...SENDIRI PUNYA HAL...DULU AMBIK PASARANA ORANG BUKAN KITA PENGASASNYA....PROJEK TUK BUKAN BOLEH SIAP 24 JAM...TAK PANDAI URUS BAGI BALIK...KITA TENGOK BOLEH URUS ATAU TAK...NI LIAT NAK BAGI...TENTU ADA MUSLIHATLAH TU

500,000 terputus bekalan air



RUMAH pam di Pudu Hulu Baru yang gagal berfungsi menjadi punca krisis bekalan air di Lembah Klang sejak seminggu lalu.



KUALA LUMPUR - Sebanyak 107,760 akaun pengguna membabitkan setengah juta isi rumah di sekitar Lembah Klang terpaksa menghadapi krisis bekalan air yang dijangka berlarutan selama seminggu sehingga Selasa depan.
Gangguan bekalan air yang melibatkan pengguna di daerah Gombak dan sebahagian kawasan di Kuala Lumpur itu berpunca daripada kegagalan sistem pam di dua lokasi berasingan iaitu di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.
Rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi dalam keadaan melebihi kapasiti mencecah 220 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti asal reka bentuk sebanyak 136 JLH manakala rumah pam Pudu Hulu Baru pula gagal berfungsi ekoran kerosakan papan suis utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ruslan Hassan berkata, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat mulai hari ini dan pulih sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari memandangkan kawasan yang terlibat dengan krisis air kali ini agak besar.

PENDUDUK di Flat Seri Melaka, Cheras beratur untuk mendapatkan bekalan air bersih semalam.



"Setelah kerja memperbaiki pam yang rosak selesai hari ini (semalam), kita jangka tempoh baik pulih penyaluran air ke kawasan-kawasan yang terlibat akan mengambil masa.
"Ini memandangkan kekurangan bekalan rezab bekalan air sedia ada telah hampir pada paras kosong dengan permintaan harian di ibu kota, Selangor dan Putrajaya sebanyak 4,400 JLH berbanding bekalan sebanyak 4,436 JLH," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan penduduk di Flat Sri Melaka, Cheras di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan mendakwa kelewatan kerajaan Selangor membangunkan sistem pengepaman tambahan baharu di rumah pam Wangsa Maju menjadi antara punca gangguan bekalan air di kawasan itu.
Menurutnya, sistem pengepaman sedia ada terpaksa diuruskan di peringkat melebihi tahap keupayaan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya akhir tahun ini.
"Pihak Syabas telah mengemukakan cadangan membina sistem itu kepada kerajaan pada tahun 2009 dan pelan pembangunan projek serta pinjaman itu telah diluluskan pada Mac tahun lalu.
"Namun sehingga kini, kita difahamkan projek tersebut masih lagi di peringkat rundingan reka bentuk oleh kerajaan Selangor dan dijangkakan projek itu akan mengambil masa setahun untuk disiapkan jika dilaksanakan pada kadar segera," katanya.
Ruslan berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) oleh kerajaan Persekutuan atau projek lain yang dicadangkan kerajaan Selangor perlu dilaksanakan dengan segera bagi menyelesaikan krisis bekalan air di negara ini dalam jangka masa panjang.
"Sistem pengepaman tambahan sekarang ini hanya bersifat penyelesaian jangka pendek," ujarnya.

Penduduk rayu diatasi segera masalah air


SEORANG pesara, Mohd. Isa Bujai, 58, terpaksa mengangkat air menggunakan tangga berikutan kawasan perumahannya di Flat Seri Melaka, Cheras terputus bekalan air.



KUALA LUMPUR - Penduduk yang terlibat dalam krisis bekalan air menggesa pihak yang terlibat dalam pengurusan air di Lembah Klang supaya segera menyelesaikan masalah yang membelenggu kehidupan mereka sejak seminggu lalu.
Tinjauan Kosmo! di Flat Sri Melaka, Cheras di sini mendapati penduduk semakin hilang sabar dengan masalah yang dialami sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.
Salah seorang penduduk, Mohd. Khadzari Mohd. Daie, 66, mendakwa penduduk tidak diberikan notis pemberitahuan mengenai gangguan bekalan air di kawasan itu.
"Ramai penduduk di sini tidak sempat menyimpan air sebab tiada notis memaklumkan kawasan ini tiada air selama seminggu.




"Sepatutnya, beritahu lebih awal selain menyediakan lori tangki bagi membolehkan penduduk mendapat air," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Hafizullah Kulop, 26, berkata, kedua-dua ibu bapanya terpaksa pulang ke kampung di Bukit Mertajam, Pulau Pinang buat sementara waktu kerana tidak sanggup berdepan dengan ketiadaan bekalan air.
"Mereka sudah tua dan masing-masing berusia dalam lingkungan 70-an, jadi sudah tentu mereka tidak larat nak angkat air lebih-lebih lagi tiada kemudahan lif di flat ini," katanya.
Musalmah Shafie, 58, pula berkata, dia terpaksa membeli bekalan air mineral dengan banyak memandangkan suaminya terlantar sakit dan memerlukan bekalan air bersih.
"Sekarang ini kadangkala stok air mineral di beberapa buah pasar raya di sekitar Bandar Tun Razak dan Bandar Sri Permaisuri juga habis dijual," ujarnya.
Gangguan Bekalan Air: SYABAS Gagal Baiki Pam Rosak Lebih Setahun!!!

Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menunding jari kepada Kerajaan Selangor bagi menutup kegagalan syarikat itu membekalkan air kepada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur amat tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, syarikat itu mempunyai obligasi untuk menyelenggarakan semua aset dan fasiliti pengagihan air seperti yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS.

"Sejak 1 Januari 2005, semua aset dan fasiliti pengagihan air milik Kerajaan Negeri Selangor diserahkan untuk dikendalikan sepenuhnya oleh SYABAS termasuklan Rumah Pam Wangsa Maju. Oleh itu, tiada sebab mengapa SYABAS boleh menuding jari kepada kerajaan negeri, “ kata Menteri Besar.

Terdapat lima unit pam Rumah Pam Wangsa Maju dan siasatan Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor pada 2 Januari lalu mendapati bahawa gangguan bekalan air yang melanda Gombak dan Kuala Lumpur berpunca kegagalan kelima-lima pam tersebut.

"Hasil lawatan ke Rumah Pam Wangsa Waju oleh Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor pada 2 Januari 2013 dan melalui pemerhatian dari buku log operasi pam untuk tahun 2012, didapati bahawa pam nombor dua telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki,” kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata, hasil siasatan jawatankuasa itu telah membuat kesimpulan bahawa SYABAS;

1. Gagal melaksanakan penyelenggaraan ke atas aset-aset dan fasiliti bekalan air yang telah sepenuhnya diletakkan di bawah pengendalian SYABAS bermula dari 1 Januari 2005 walaupun Perjanjian Konsesi memperuntukkan bahawa adalah menjadi obligasi SYABAS untuk menyelenggarakan semua aset dan fasiliti bekalan air

2. Gagal mengenal pasti kerosakan pam-pam yang terdapat di Rumah Pam berkenaan dan kegagalan mengenal pasti kerosakan ini telah menyebabkan kerosakan lebih besar lagi berlaku dan seterusnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna

3. Gagal mengambil tindakan segera dalam membaik pulih kerosakan pam-pam tersebut

4. Gagal memaklumkan kejadian sebenar kerosakan yang berlaku kepada Kerajaan Negeri Selangor sebaliknya menggunakan isu ketidakcukupan air untuk menimbulkan suasana panik di kalangan pengguna.

Menteri Besar berkata, gangguan bekalan air kali ini adalah kemuncak kepada siri-siri kegagalan SYABAS memenuhi tanggungjawab kepada pengguna seperti yang termaktud dalam Perjanjian Konsesi .

Justeru, Kerajaan Selangor mendesak kerajaan Persekutuan membenarkan penstrukturan semula industri air diteruskan mengikut Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA).

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Pelakon didakwa miliki dadah


ZARINA dan Mohamad Fakhruzaim semasa dibawa
ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan memiliki dadah.



PETALING JAYA - Pelakon dan model wanita kontroversi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bersama seorang lagi rakannya atas tuduhan memiliki dua biji pil eramin 5, empat hari lalu.
Zarina, 27, dan rakan lelakinya yang juga seorang pelajar kolej, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nazri Omran.
Zarina terpaksa ditahan di Penjara Kajang sementara menunggu tarikh sebutan berikutan tiada siapa membayar wang jaminan RM2,000 yang ditetapkan oleh mahkamah.
Selebriti yang pernah membintangi drama Anak Pontianak itu didakwa bersama-sama rakan lelakinya memiliki dua biji pil dadah tersebut dengan anggaran berat 0.6 gram di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai di sini pada pukul 5.30 petang, 30 Disember tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Bukhari Wan Mohd. menawarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.
Peguam Mohd. Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah agar mengurangkan wang jaminan tersebut atas alasan anak guam masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Nazri kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,000 dengan syarat penjamin merupakan ahli keluarga mereka.
Mahkamah menetapkan pada 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.
Mohamad Fakhruzaim membayar wang jaminan.
Sebuah akhbar kelmarin melaporkan pelakon dan model wanita terkenal dengan pelbagai kontroversi itu ditahan bersama teman lelakinya di kediaman mewah di Damansara Damai.
Semasa ditahan pasangan itu didapati menyimpan dua biji pil disyaki eramin 5 dengan anggaran berat 0.6 gram.
Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada di dalam rumah berkenaan dan mereka pada mulanya enggan bekerjasama walaupun polis sudah memperkenalkan diri.
Selepas pegawai yang mengetuai serbuan itu mengetuk pintu rumah tersebut, suspek wanita membuka tingkap tetapi segera menutup semula pintu itu selepas menyedari orang itu merupakan polis.
Pada 2011, Zarina pernah ditahan oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor bersama-sama seorang lagi rakannya dalam satu operasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang.
Bagaimanapun, ujian air kencing yang dilakukan terhadap Zarina yang ditahan ketika itu mendapati dia negatif dadah jenis ketamin.
Zarina yang lebih mesra disapa sebagai Anju menjadi perhatian ramai gara-gara gambar seksi dan mengghairahkan miliknya tersebar di alam maya yang dipetik daripada majalah FHM versi Indonesia.
Foto-foto tersebut menjadi kecaman dan kutukan banyak pihak kerana aksi-aksi panasnya itu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2GvCsel7R
Hakcipta terpelihara

Dua beradik maut kemalangan



KEADAAN kereta Perodua Kelisa yang merempuh tembok Plaza Tol Sungai Ramal di Kilometer 24, Lebuh Raya Sistem Lingkaran Luar Kajang, Kajang semalam.



KAJANG – Dua beradik maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta yang mereka naiki merempuh tembok Plaza Tol Sungai Ramal di Kilometer 24, Lebuh Raya Sistem Lingkaran Luar Kajang di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, pemandu kereta Perodua Kelisa, K. Harry Krisnan, 24, dan adiknya, K. Balamurugan, 19, yang duduk di sebelah pemandu maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta berwarna perak dinaiki tiga pemuda termasuk R. Ramesh, 21, yang cedera parah hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh tembok plaza tol itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, semasa kejadian, tiga pemuda itu dalam perjalanan pulang ke Taman Jasmin di sini selepas Harry menjemput Balamurugan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
“Ramesh yang cedera parah masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kajang dan punca kemalangan itu masih dalam siasatan,” kata beliau ketika ditemui.
Menurut beliau, pihaknya turut menyiasat sama ada pemandu kereta itu berada di bawah pengaruh alkohol.
Sementara itu, ibu kepada dua beradik malang itu, R. Kalaichelvi, 46, berkata, dia tidak menyangka gurau- an anak sulungnya untuk bertemu mendiang bapanya kelmarin merupakan petanda dia akan menemui ajal.
“Semalam (kelmarin) Harry mengadu sakit pipi yang selalu membengkak sebelum memberitahu mungkin mendiang bapanya sedang tunggu mahu jumpa dia,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini.
Sebelum kejadian, penjaga stor di sebuah kilang di Nilai itu dikatakan menghantar ibunya pergi bekerja di Hospital Kajang pada pukul 6.45 pagi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur untuk menjemput Balamurugan pulang.
“Saya suruh dia pergi cari adik dia kerana Balamurugan sepatutnya bekerja pagi ini (semalam),” katanya yang memberitahu anak ketiganya itu bekerja sebagai penyembur kawalan serangga perosak di Cheras.
Jelas Kalaichelvi, kebiasaannya Balamurugan akan pulang ke rumah selewat-lewatnya pada pukul 3 pagi sekiranya keluar melepak namun semalam anaknya itu langsung tidak pulang selepas keluar pada pukul 9 malam kelmarin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang atau menghubungi talian 03-8736 2222 untuk membantu siasatan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2GvD1biz3
Hakcipta terpelihara

Tujuh pelacur Indonesia diselamat



DI sebuah unit Apartmen Nountun, Inanam inilah tujuh wanita Indonesia yang dikurung diselamatkan polis.



KOTA KINABALU – Kesengsaraan tujuh wanita Indonesia yang dipaksa menjadi pelacur sejak setahun lalu berakhir selepas mereka diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah unit Apartmen Nountun, Inanam dekat sini pada Isnin lalu.
Ketika serbuan pada pukul 2.15 petang itu, kesemua wanita yang berusia 20 hingga 41 tahun itu ditemui dikurung di dalam sebuah bilik di apartmen tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, kejayaan tersebut hasil risikan pihaknya selama beberapa hari selepas mendapat maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan terbabit.
“Siasatan mendapati tujuh warga asing itu memasuki negara ini melalui ejen yang menjanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran.
“Pemeriksaan menunjukkan ada dalam kalangan warga asing itu yang berada di negara ini sejak setahun lalu dan ada juga dibawa masuk sejak dua hari lalu,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Menurut beliau, siasatan mendapati setiap pelanggan yang melanggan wanita warga asing itu dikenakan bayaran sebanyak RM150 bagi perkhidmatan seks.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan sepasang warga tempatan dipercayai bapa dan ibu ayam yang berusia 20 dan 42 tahun.
Bagi melanggan khidmat wanita itu, pelanggan perlu menghubungi ibu atau bapa ayam untuk membuat rundingan sebelum mangsa yang dikurung di apartmen akan dihantar ke hotel-hotel berhampiran sekitar pusat bandar ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2GvDAx3qg
Hakcipta terpelihara

Pemandu lori rempuh empat motosikal cedera dibelasah



KEADAAN lori pasir yang merempuh empat buah motosikal
di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor semalam.



PULAU PINANG - Seorang pemandu lori terpaksa dikejarkan ke hospital selepas cedera dibelasah orang ramai apabila kenderaan dipandunya merempuh empat buah motosikal yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi, pemandu lori pasir yang berusia 40-an itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar kesemua motosikal yang menunggu giliran untuk bergerak.
Akibat rempuhan itu, seorang penunggang motosikal patah sebelah kakinya, dua cedera ringan manakala seorang lagi bernasib baik kerana tidak cedera.
Orang awam yang melihat kejadian itu naik berang apabila cukai jalan lori yang dipandu lelaki terbabit sudah tamat tempoh sebelum beberapa orang membelasah pemandu lori itu.
Pemandu lori yang cedera itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2GvDJytBO
Hakcipta terpelihara

Pelajar ditemui mati tergantung


ANGGOTA polis mengusung mayat Alexander yang ditemui mati tergantung di sebuah rumah di Desa Pujut, Miri semalam.



MIRI – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua ditemui mati tergantung pada jeriji tingkap bilik tidur di sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Pujut dekat sini semalam.
Mayat Alexander Ajang Wan (gambar kecil), 14, ditemui pada pukul 12 tengah hari oleh bapanya dalam keadaan tergantung menggunakan tuala dan baju milik mangsa yang diikat pada jeriji tingkap bilik.
Ketika kejadian, remaja tersebut tinggal di rumah bersama bapa dan datuknya manakala ibu serta adik-beradik yang lain keluar bekerja dan ke sekolah.
Ibu saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, anak kedua daripada empat beradik itu langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini malah mereka sempat berborak ringkas.
Sejam sebelum kejadian, wanita itu memberitahu, bapa mangsa menyuruh Alexander yang bersekolah sesi petang bersiap untuk dihantar ke sekolah.
“Kira-kira setengah jam kemudian bapanya memanggil Alexander beberapa kali tetapi tiada jawapan,” katanya ketika ditemui di rumah tersebut.
Kata ahli keluarga itu lagi, si bapa yang curiga kemudian naik ke tingkat atas sebelum terkejut melihat anaknya dalam keadaan tergantung sebaik membuka pintu bilik tidur remaja itu.
Jelasnya lagi, sebelum ini, mangsa pernah meluahkan perasaan bahawa dia tidak suka bersekolah pada sesi petang kerana abang dan adik-beradiknya yang lain bersekolah pada sesi pagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi menolak kejadian itu mempunyai unsur jenayah.
Kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Mayat remaja itu dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.kap bilik tidur di sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Pujut dekat sini semalam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm#ixzz2GvDT6hZz
Hakcipta terpelihara

Banglo milik bekas menteri akan diroboh



KERATAN Kosmo! 1 Januari 2013.



KUALA LUMPUR - Banglo milik bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (gambar) yang terletak di kawasan tanah runtuh di Puncak Setiawangsa di sini akan dirobohkan sebanyak 80 peratus.
Ketua Pegawai Operasi Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Mohd. Taufik Haron berkata, keputusan itu dibuat susulan kemunculan tanda-tanda pergerakan tanah di kawasan berhampiran.
"Langkah itu juga bagi memberi laluan kepada pembinaan zon penampan untuk mengukuhkan cerun bukit," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 malam Jumaat lalu, beberapa buah rumah terjejas akibat benteng konkrit yang dibina di lereng bukit setinggi 60 meter di kawasan itu runtuh.
Selain banglo milik Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rompin, turut terlibat ialah kediaman Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.
Mengulas kerja merobohkan banglo milik seorang warga asing yang rosak dalam kejadian itu, Mohd. Taufik berkata, setakat ini proses berkenaan sudah siap 80 peratus.
"Namun kita tidak menetapkan tarikh atau garis masa bila sebenarnya kerja-kerja merobohkan banglo itu siap sepenuhnya. Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti cuaca dan pergerakan tanah demi keselamatan pekerja," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm#ixzz2GvDcof1o
Hakcipta terpelihara

Jet tentera Syria bom stesen minyak


AP
SEBUAH stesen minyak terbakar akibat serangan jet tentera Syria di Mleiha, dekat Damsyik semalam.



BEIRUT - Sebuah jet pejuang tentera Syria mengebom sebuah stesen minyak berhampiran Damsyik semalam menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh dan cedera.
Ia merupakan serangan yang terburuk dalam konflik yang berlanjutan selama 22 bulan.
Beberapa aktivis yang menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar Al-Assad berkata, sebuah jet pejuang MiG buatan Rusia melakukan serangan itu dengan menggunakan peluru berpandu.
Menurut mereka, stesen minyak itu kemudian terbakar di bandar Mleiha.
Sebuah video amatur di internet menunjukkan sekurang-kurangnya 10 mayat bergelimpangan di stesen tersebut dengan sejumlah anggota badan manusia bertaburan.
Dalam kejadian berasingan, satu serangan udara tentera dilancarkan di bandar Moadamiyet al-Sham, barat daya Damsyik mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Untuk Syria.
Kebanyakan daripada mangsa merupakan kanak-kanak daripada ahli keluarga yang sama.
Pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tentera Bashar bermula sejak Mac 2011.
Lebih 43,000 terbunuh dalam konflik itu.
Para penentang itu menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana mereka tidak berpuas hati dengan pentadbirannya yang tidak membawa pembaharuan sejak kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2GvDmOXHG
Hakcipta terpelihara

Wanita dilarang duduk seperti lelaki



AFP
SEORANG wanita membonceng sebuah motosikal di Banda Aceh semalam.



BANDA ACEH, Indonesia - Sebuah bandar di sini akan melarang wanita daripada duduk seperti lelaki ketika membonceng motosikal bersama kaum Adam, kata datuk bandarnya semalam kerana beliau menganggap posisi tersebut tidak sopan.
Langkah itu diambil selepas pemimpin-pemimpin wilayah berkenaan mendraf beberapa rang undang-undang baharu termasuk melarang wanita berseluar ketat, merejam suami atau isteri yang berzina dan merotan pesalah homoseks.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.
Di bawah undang-undang baharu itu, wanita di bandar Lhokseumawe, utara, Pulau Sumatera perlu membonceng dengan kedua-dua kaki mereka terjuntai di sisi motosikal.
"Wanita yang membonceng motosikal tidak boleh duduk seperti menunggang kerana ia akan membangkitkan nafsu penunggang lelaki. Peraturan itu juga bagi melindungi wanita daripada sebarang perkara yang tidak diingini," kata Datuk Bandar, Suaidi Yahya.
"Tidak sopan untuk wanita duduk seperti lelaki. Kami melaksanakan undang-undang Islam di Lhokseumawe," tambahnya.
Namun, kata Suaidi, wanita-wanita dibenarkan duduk seperti lelaki jika motosikal berkenaan dikendalikan mereka. Bagaimanapun, katanya, mereka mereka perlu berpakaian sopan menurut cara Islam.
Beliau merancang menghebahkan larangan itu dalam tempoh beberapa minggu lagi dan membincangkannya dengan ulama-ulama sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan.
Aceh mula melaksanakan undang-undang syariah selepas wilayah tersebut diberikan kuasa autonomi khas pada 2001.
Pihak berkuasa wilayah berkenaan kerap melaksanakan hukuman rotan ke atas mereka yang didapati meminum arak dan berjudi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2GvE6t68i
Hakcipta terpelihara

73 pelarian Rohingya dari Myanmar bakal diusir dari Thailand



AFP
SEBUAH bot yang membawa 73 pelarian Rohingya diapit dua bot pihak berkuasa Thailand di Phuket kelmarin. - AP



PHUKET, Thailand - Beberapa pegawai berkata, 73 orang pelarian Rohingya dari Myanmar yang ditemui menaiki sebuah bot di Laut Andaman dekat pulau peranginan di sini akan dihantar pulang ke negara mereka.
Gabenor Phuket, Maitri Inthusut semalam berkata, semua pelarian tersebut memberitahu, mereka tidak dapat meneruskan perjalanan ke Malaysia kerana keletihan dan takut sesuatu yang buruk akan berlaku ketika berada di laut.
Maitri berkata, 73 orang pelarian termasuk 12 orang kanak-kanak itu akan dihantar pulang ke Myanmar dengan menggunakan pengangkutan darat yang disediakan oleh polis imigresen negara ini.
Pihak berkuasa Thailand memberikan para pelarian Rohingya itu ubat-ubatan, makanan dan minyak selepas mereka ditemui kelmarin.
Dasar kerajaan Thailand adalah tidak menerima pelarian tetapi akan membantu mereka untuk memasuki negara ketiga. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2GvEG4THa
Hakcipta terpelihara

10,000 sirip ikan jerung dijemur



AFP
LEBIH 10,000 sirip ikan jerung dijemur di atas bumbung sebuah kilang di Hong Kong semalam.



HONG KONG - Lebih 10,000 sirip ikan jerung dijemur di atas bumbung sebuah kilang memproses hidupan laut di sini semalam.
Sirip ikan jerung itu dihantar ke kilang tersebut dari sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Harga untuk setiap 453.59 gram sirip itu ialah antara AS$369 (RM1,120) hingga AS$459 (RM1,393) di sini.


AFP
GAMBAR dari jarak dekat menunjukkan sirip ikan tersebut yang dijemur.



Sirip itu dijadikan sup yang dijual di restoran mewah.
Ia juga dijual di kedai-kedai ubat Cina yang dipercayai boleh meningkatkan kualiti kulit, menguatkan tenaga batin, mengelak terkena sakit jantung dan merendahkan paras kolesterol. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2GvEURJjP
Hakcipta terpelihara

Kasut tergantung di wayar elektrik



REUTERS
SEJUMLAH kasut tergantung pada wayar elektrik di Taman Letna, Prague semalam.



PRAGUE, republik Czech - Sejumlah kasut tergantung pada wayar elektrik di Taman Letna di sini. Kasut-kasut itu milik para pemain papan beroda yang membalingnya ke arah wayar tersebut.
Mereka membaling kasut-kasut yang rosak dan tidak lagi boleh digunakan. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2GvEkkkEf
Hakcipta terpelihara

Barang-barang terbuang ditukar dengan makanan



AFP
BEBERAPA kanak-kanak mengumpulkan botol dan tin sebelum menukarkannya dengan pelbagai jenis barang di kedai milik Peerathorn di Bangkok pada 23 Disember tahun lalu.



BANGKOK - Sebuah koperasi barang kitar semula ditubuhkan oleh bekas pengutip barang-barang terbuang, Peerathorn Seniwong dan isterinya, Buarin di sini.
Skim itu melibatkan 800 ahli bagi membolehkan barang-barang terbuang yang dikutip penduduk miskin akan ditukar dengan pelbagai jenis barang termasuk makanan.
Keuntungan koperasi itu dibayar dalam bentuk dividen kepada ahli-ahli dan kemudahan lain seperti insurans nyawa dan membantu membayar yuran perubatan.
Peerathorn yang merupakan bekas pengawal keselamatan dan pemandu teksi motosikal mendapat idea untuk menubuhkan koperasi itu selepas enam tahun dia tinggal di bawah jejambat di sini.
Barang-barang terbuang yang dihantar ke kedai koperasi itu antaranya ialah tin, botol dan surat khabar.
Menurut Buarin, sos ikan, beras, telur, mi segera, ubat gigi dan bahan pencuci merupakan antara barang yang paling menjadi pilihan ahli-ahli koperasi untuk ditukar dengan barang-barang terbuang.


AFP
PEERATHORN menyusun barang-barang terbuang di kedai koperasi miliknya.



Dia berkata, kira-kira 20 hingga 30 orang mengunjungi kedainya pada setiap hari.
Menurut perangkaan Institut Pembungkusan dan Pengurusan Kitar Semula Untuk Mempertahankan Alam Sekitar, terdapat ratusan ribu pengutip barang-barang terbuang dengan pendapatan mereka antara AS$6.50 (RM19.73) hingga AS$10 (RM30.35) sehari. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2GvEvLu8X
Hakcipta terpelihara

Rain disiasat tentera Korea Selatan



AFP
GAMBAR yang dirakamkan dari laman majalah Dispatch semalam menunjukkan Rain (kanan) dan Tae-hee (kiri) memasuki sebuah kereta.



SEOUL - Bintang pop Korea Selatan, Rain disiasat oleh pihak tentera selepas beberapa gambar paparazi menunjukkan dia keluar temu janji bersama seorang aktres terkenal di sini.
Kementerian Pertahanan semalam menyatakan, pihaknya kini menyiasat sama ada Rain melanggar undang-undang tentera kerana menemui aktres Kim Tae-hee ketika penyanyi berkenaan sedang bertugas.
Rain kini berkhidmat sebagai penghibur pasukan tentera kerana dia memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat negara ini dengan menyertai sistem kerahan tenaga yang diwajibkan ke atas setiap lelaki Korea Selatan.


TAE-HEE



Dia tidak dibenarkan mengadakan pertemuan peribadi untuk tujuan rakaman dan persembahan di luar pangkalannya di sini ketika masih bertugas.
Mengulas insiden tersebut, pihak kementerian berkenaan menyatakan Rain mungkin dikenakan hukuman penjara berhubung kesalahan itu.
Sebuah agensi yang menguruskan Tae-hee mengesahkan bahawa mereka keluar bersama sejak sebulan lalu.
Pihak pengurusan Rain pula enggan menafikan atau mengesahkan berita tersebut.
Bintang drama popular Full House itu memasuki tentera pada Oktober 2011.
Rain dijadual menamatkan khidmat kerahan tenaga pada Julai depan. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2GvFFGKzJ
Hakcipta terpelihara

Bapa bagi hantaran RM495 juta
untuk perkahwinan anak perempuan

Agensi
GAMBAR menunjukkan wajah anak perempuan Duanbiao yang berkahwin di Jinjiang.


JINJIANG, China - Seorang ahli perniagaan di sini, Wu Duanbiao bermurah hati apabila beliau memberikan hantaran mencecah 1.01 bilion yuan (RM495 juta) menjelang perkahwinan serba mewah seorang anak perempuannya, menurut beberapa laporan semalam.
Menurut akhbar The South China Morning Post, antara hadiah perkahwinan yang diberikan ahli perniagaan itu termasuk empat kotak barang kemas yang diperbuat daripada emas, sebuah buku akaun bank bersama deposit 20 juta yuan (RM9.9 juta) dan portfolio hartanah.
Duanbiao merupakan pengerusi firma seramik tempatan, Fujian Wanli Group.
Selain itu, beliau memberikan 500 juta saham dalam firmanya yang bernilai lebih 100 juta yuan (RM49.5 juta) kepada pasangan pengantin baharu tersebut.
Menurut laporan media tempatan, usahawan berkenaan turut menghulurkan derma berjumlah 15 juta yuan (RM7.4 juta) kepada dua buah badan amal di China.
Beliau juga menghadiahkan sebuah kereta Mercedes dan Porsche.
Seorang jurucakap firma Duanbiao mengesahkan hantaran tersebut tetapi menafikan majlis perkahwinan itu akan berlangsung selama lapan hari berturut-turut.
Menurutnya, majikannya mahu mengadakan acara yang ringkas tetapi meriah.
Sebelum ini, sebuah akhbar mendakwa beliau akan mengadakan majlis perkahwinan selama lapan hari bermula 28 Disember tahun lalu untuk menjamu tetamu dalam kalangan orang awam.
Pengantin lelaki yang merupakan seorang kakitangan awam sudah mengenali isterinya sejak dari zaman prasekolah.
Bagaimanapun nama anak perempuan Duanbiao itu tidak didedahkan.
Pada bulan lalu, seorang lagi bilionair di sini mengahwinkan anak perempuannya dengan jumlah hantaran lebih 2.48 bilion yuan (RM1.2 bilion). - Agensi

No comments:

Post a Comment