Kos amah Indonesia RM6,700
|
KUALA LUMPUR - Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) mengumumkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada harga RM6,700, berkuat kuasa serta-merta.
Struktur kos baharu itu tidak termasuk tambahan RM1,000 sebagai pinjaman kepada pembantu rumah untuk berkongsi yuran Penempatan Tenaga Kerja Indonesia Sektor Domestik di Indonesia.
"Kos sebenar majikan hanya RM6,700. Struktur kos itu dicapai selepas rundingan berpanjangan dengan rakan kami, Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga kerja Indonesia (Apjati) sejak beberapa bulan kebelakangan ini," kata Presiden Papa, Jefrrey Foo (gambar kecil) pada sidang media di sini semalam.
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini antara kerajaan Indonesia dan Malaysia, bayaran kepada agensi pembantu rumah asing Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu RM2,711 dibayar oleh majikan dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.
Foo berkata, struktur kos baharu sebanyak RM6,700 itu adalah munasabah selaras dengan permintaan dan bekalan pasaran.
Beliau meramalkan bahawa struktur kos baharu itu boleh menarik lebih 10,000 pembantu rumah Indonesia ke Malaysia.
Beliau juga percaya cadangan yuran baharu itu akan diterima oleh kerajaan kedua-dua negara itu.
"Kami mengakui dan menghargai niat baik Kementerian Sumber Manusia dalam membenarkan Papa mencadangkan dan mamatuhi struktur harga yang adil," katanya.
Foo berkata, proses pengambilan pembantu rumah Indonesia melalui anggota persatuan itu akan dilakukan mengikut prosedur yang betul dan dikawal selia.
"Kami akan melibatkan rakan kami di Indonesia (Apjati) dalam mengenal pasti calon-calon yang sesuai yang akan direkrut dan dilatih.
"Kami menjangka sambutan yang baik daripada mereka dalam beberapa bulan akan datang," katanya.
Sementara itu, Foo berkata Apjati akan membuka sebuah pejabat perwakilan asing di Malaysia bulan depan bagi memantau kebajikan dan keselamatan pekerja mereka di negara ini. - Bernama
Rayu kerajaan kuat kuasa umur persaraan 60 tahun 1 Julai
PUTRAJAYA - Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) bimbang kira-kira 500,000 pekerja swasta bakal ditamatkan perkhidmatan jika kerajaan bertegas untuk menguatkuasakan had umur persaraan minimum 60 tahun mulai 1 Julai depan.
Sehubungan itu, Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie BP Mamal memohon agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan dengan segera.
Beliau berkata, masalah tersebut boleh diatasi jika kerajaan menukarkan kembali tarikh penguatkuasaan umur persaraan tersebut pada 1 Januari, bukannya 1 Julai sebagaimana diumumkan baru-baru ini.
"Kira-kira 500,000 ataupun setengah juta pekerja sektor swasta yang akan bersara dalam tempoh enam bulan iaitu Januari hingga Jun dengan kadar 100,000 orang tamat perkhidmatan setiap bulan merangkumi syarikat kecil dan besar.
"Justeru kita mahukan tarikh kuat kuasa dan pelaksanaan itu mestilah disatukan agar mereka yang telah bersara pada 1 Januari hingga Jun dapat terus diambil bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai kira-kira 300 anggota UNI-MLC menyerahkan Memorandum Tuntutan Penyelarasan Had Umur Bersara 60 Tahun kepada Pegawai Khas di Pejabat Perdana Menteri, Mohd. Samsi Kamarudin di sini semalam.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebelum ini berkata, umur persaraan 60 tahun bagi sektor swasta dijangka dilaksanakan enam bulan selepas undang-undang berkenaan diwartakan.
Dinamakan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012, ia telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Jun tahun lalu, diikuti Dewan Negara pada 17 Julai.
Rang undang-undang itu kemudian telah diwartakan pada 16 Ogos.
Mohamed Shafie menjelaskan, golongan pekerja di sektor swasta sebenarnya kecewa dengan keputusan kerajaan yang menetapkan tarikh kuat kuasa umur persaraan pada 1 Julai kerana ia bakal menjejaskan pekerja dan tanggungan mereka.
"Sepatutnya pekerja diberi opsyen sama ada untuk terus bekerja sehingga 60 tahun atau menamatkan perkhidmatan pada usia 55 tahun," ujarnya.
Laluan ditimpa banjir lumpur masih ditutup
PETALING JAYA - Laluan persimpangan Persiaran Putra Bahagia dan Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, Subang Jaya dekat sini yang dipenuhi banjir lumpur yang membuak keluar dari kolam tadahan di kaki Bukit Cermin kelmarin masih ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.
Tinjauan Kosmo! di tempat kejadian semalam mendapati laluan sepanjang 50 meter itu masih diliputi dengan lumpur yang bertakung di jalan raya,
Kerja-kerja pembersihan dijangka siap menjelang hari ini sebelum laluan itu dapat dibuka semula.
Lokasi banjir lumpur tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan Putra Heights menyebabkan laluan di jalan Persiaran Putra Perdana tidak dapat digunakan.
Bagaimanapun, penduduk boleh menggunakan laluan alternatif dengan melalui jalan di Seksyen 27, Taman Alam Megah, Shah Alam dan Lebuh Raya Elite.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, ekoran kejadian itu pemaju projek perumahan di Bukit Cermin diarahkan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit termasuk membersihkan longkang yang dipenuhi lumpur.
Menurut beliau, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sedang menyiasat punca kejadian itu selain pihak pemaju pula diminta mengemukakan laporan dan pelan tindakan bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
"Pembangunan projek perumahan Kingsley Hill di situ mengikut garis panduan yang diluluskan MPSJ," kata beliau ketika ditemui semasa membuat lawatan ke lokasi kejadian semalam.
Dalam pada itu, Asmawi berkata, MPSJ turut mengarahkan pemaju Kingsley Hill Sdn. Bhd. yang sedang melaksanakan projek pembinaan pelbagai jenis rumah itu supaya membayar ganti rugi kepada tujuh pemilik kenderaan yang ditimpa banjir lumpur.
Jarak projek pembinaan kawasan perumahan Kingsley Hill dengan laluan ditimpa banjir lumpur kira-kira 50 meter.
Semalam Kosmo! melaporkan, dalam kejadian pada pukul 6 petang, tujuh buah kenderaan yang melalui laluan berkenaan ditimpa banjir lumpur yang mengalir secara tiba-tiba dari kolam tadahan di kaki Bukit Cermin.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila timbunan tanah yang digunakan untuk membuat tebing sebuah kawasan pembinaan di Bukit Cermin runtuh lalu memasuki ke dalam takungan terbabit sebelum melimpah hingga ke jalan.
Balasan pukul wartawan
GEORGE TOWN - Anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS), Lim Ah Chye, 52, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku bersalah memukul seorang wartawan akhbar Cina.
Majistret Norhayati Ibrahim memerintahkan tertuduh didenda RM1,000 atau penjara satu bulan untuk tuduhan pertama kerana menyebabkan kecederaan ke atas Ang Kean Siang, 32, pada 30 Disember 2012 pada pukul 1.40 pagi.
Tertuduh yang bekerja sebagai tukang cat juga didenda RM2,000 atau penjara dua bulan untuk tuduhan kedua kerana dengan niat menyebabkan kerugian kepada mangsa sebanyak RM1,200.
Ah Chye didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di hadapan kontena PPS di Lorong Perak ketika mangsa membuat liputan mengenai kejadian seorang wanita ditemui mati di pangsapuri di Jalan Perak di sini.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya, Mohd. Khairul Fairoz manakala Ah Chye diwakili peguam Sukhindarpal Singh.
Tertuduh membayar denda itu.
Ah Chye semasa dibawa keluar dari mahkamah kelihatan tersenyum memandang orang ramai sebelum tergesa-gesa meninggalkan mahkamah bagi mengelakkan gambarnya dirakam wartawan.
Dalam kejadian, Kean Siang daripada akhbar Guan Ming Daily cedera di mulut dan badan selepas dibelasah sekumpulan anggota PPS ketika membuat liputan berita di Jalan Perak.
Kean Siang yang juga Penolong Ketua Meja Jenayah akhbar tersebut mendakwa diugut dan dipukul empat lelaki selain ditendang di bahagian kemaluan manakala kameranya pula dihempas sehingga rosak.
Beliau yang cedera dan lebam di bibir mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
Berikutan kejadian itu, tertuduh pada sidang akhbar kelmarin memohon maaf kepada Kean Siang dan mengaku kesalahannya serta memberikan angpau kepada Kian Siang sebagai tanda rasa bersalah.
Tertuduh mendakwa dia tidak tahu Kean Siang sedang menjalankan tugas.
Bagaimanapun, Kean Siang menolak angpau diberi Ah Chye tetapi memberitahu memaafkan lelaki itu.
Sementara itu, Kean Siang ketika dihubungi enggan mengulas mengenai hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh.
"Sejak hari kejadian, saya serahkan kes ini sepenuhnya untuk siasatan polis dan menerima apa jua keputusan yang ditentukan mahkamah," ujarnya.
PPS ditubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang pada 17 September 2011 untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung aspek keselamatan selain membantu polis menjalankan rondaan menjaga keselamatan.
Jarum tertinggal di paha anak
|
GEORGE TOWN – Seorang bapa mendakwa kakitangan sebuah klinik kesihatan di sini bertindak cuai sehingga meninggalkan jarum suntikan sepanjang tiga sentimeter di paha kiri anaknya yang mendapatkan rawatan di situ kelmarin.
Mohd. Zahrin Tumin, 30, berkata, isterinya, Norashilla Razak, 26, telah membawa anaknya, Muhammad Danish yang berusia lima bulan ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Jalan Perak di sini untuk mendapatkan suntikan pada pukul 12 tengah hari.
Bagaimanapun, katanya, dia yang berada di tempat kerja telah menerima panggilan telefon daripada isterinya pada pukul 12.30 tengah hari yang memberitahu anaknya menangis ketika dalam perjalanan pulang dari klinik kesihatan tersebut.
“Apabila diberitahu anak saya tidak berhenti menangis, saya menyangka ia adalah perkara biasa apabila dicucuk dan meminta isterinya menuam bekas suntikan berkenaan bagi meredakan kesakitan.
“Tetapi saya dikejutkan dengan satu lagi panggilan telefon tidak lama kemudian daripada isterinya yang memberitahu terdapat sebatang jarum terlekat di tempat suntikan di paha anak saya itu.
“Risau sesuatu yang buruk berlaku saya bergegas pulang walaupun dihalang oleh majikan,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Jelutong di sini semalam.
Menurutnya lagi, sebaik tiba di rumah dia terus mendapatkan anaknya itu dan melihat ada sebatang jarum di paha anaknya lalu mencabutnya untuk mengelakkan sebarang kecederaan lain.
“Tidak puas hati dengan keadaan itu, saya menelefon klinik kesihatan terbabit untuk mendapatkan penjelasan namun saya diberikan alasan yang tidak masuk akal seolah-olah mereka lepas tangan,” ujarnya dengan nada kecewa.
Berikutan itu, beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jelutong kelmarin mengenai kejadian terbabit dan kini menunggu jawapan dari pihak pusat kesihatan itu.
Restoran rosak angkara mercun
BUKIT MERTAJAM - Sebuah restoran di Pusat Perniagaan Gemilang, Jalan Song Ban Kheng di sini menjadi mangsa khianat apabila pintu premis berkenaan musnah dalam satu letupan dipercayai menggunakan mercun.
Kejadian pukul 5 pagi semalam itu disedari seorang pekerja restoran berkenaan yang terdengar bunyi letupan kuat dari rumahnya di pangsapuri yang dijadikan asrama pekerja kira-kira 250 meter dari tempat kejadian.
Menurut pemilik premis tersebut, Low, 40-an, dia mendapat berita mengenai kejadian itu pada pukul 5.20 pagi selepas dihubungi pekerjanya.
"Apabila tiba di kedai, pintu gelongsor jenis besi di bahagian tepi kedai sudah terkopak dan sisa bahan letupan dipercayai mercun bertaburan.
"Letupan ini juga menyebabkan empat buah meja rosak apabila bahagian atas yang diperbuat daripada kaca pecah dan saya anggarkan kerugian RM5,000," katanya ketika ditemui.
Jelasnya, dia tidak mengetahui motif kejadian itu kerana tidak mempunyai musuh dalam perniagaan dan akan meneliti kandungan rakaman televisyen litar tertutup di premis berkenaan bagi mengenal pasti individu terlibat.
Katanya, dia membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sejurus kejadian
Bebas selepas dua hari tidur jel
PETALING JAYA - Selepas dua hari bermalam di Penjara Kajang, pelakon dan model kontroversi Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul akhirnya bebas setelah dijamin keluar oleh adik perempuan tirinya semalam.
Ahli politik ditampar wanita kerana merogol
NEW DELHI - Belumpun reda kemarahan rakyat ekoran kes rogol lima lelaki ke atas seorang gadis baru-baru ini, polis di negeri Assam, timur laut India menangkap seorang pemimpin parti Kongres yang memerintah negara ini, Bikram Singh Brahma kerana kesalahan yang sama kelmarin.
Dia ditangkap kerana didakwa merogol seorang ibu yang mempunyai dua anak di sebuah kampung di Santipur di daerah Chirang di negeri berkenaan.
Imej yang disiarkan di televisyen India menunjukkan beberapa wanita mengepung Brahma dan mengoyak bajunya.
Seorang wanita turut menampar muka ahli politik itu.
Menurut polis, Brahma memasuki rumah wanita tersebut dan merogolnya pada pukul 2 pagi waktu tempatan.
Seorang pegawai polis, G.P. Singh berkata, ekoran jeritan wanita itu, beberapa orang di kampung tersebut keluar dari rumah dan menangkap Brahma.
Ketika kejadian, Brahma sedang melawat kampung tersebut.
Kejadian itu berlaku selepas seorang pelajar wanita berusia 23 tahun dirogol oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah bas di New Delhi pada 16 Disember tahun lalu.
Pelajar itu meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura pada minggu lalu akibat kecederaan dalaman selepas dia dipukul dengan batang besi dan dicampak keluar dari bas itu.
Lima lelaki telah didakwa kelmarin kerana merogol dan membunuh pelajar tersebut.
Mereka yang didakwa itu ialah pemandu bas tersebut, Ram Singh dan adiknya, Mukesh Singh.
Mukesh bertugas sebagai pencuci bas tersebut.
Turut didakwa ialah seorang penjaja buah-buahan, Pavan Gupta dan pengajar kecergasan, Vinay Sharma.
Seorang lagi pencuci bas, Akshay Singh juga didakwa melakukan perbuatan itu.
Kesemua mereka berdepan hukuman mati jika disabit kesalahan.
- Agens
Ratusan ribu berhimpun di Bandar Gaza
BANDAR GAZA - Ratusan ribu penyokong Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah mengadakan perhimpunan besar-besaran buat kali pertama di sini semalam, lapor seorang jurucakap pergerakan Fatah.
Perhimpunan julung-julung kali itu diadakan sejak Hamas merampas kuasa di wilayah itu pada tahun 2007.
Hamas yang sedang merancang untuk bergabung dengan Fatah itu telah memberi kebenaran untuk perhimpunan tersebut.
Ia diadakan sebagai kemuncak kepada sambutan ulang tahun ke-48, penubuhan Fatah yang menentang Israel.
Sambutan ulang tahun tersebut telah berlangsung sejak seminggu lalu.
Para peserta perhimpunan itu mengibarkan bendera Palestin dan Fatah serta membawa beberapa gambar Abbas, lapor seorang koresponden AFP.
"Peserta-peserta perhimpunan itu merupakan kumpulan yang menyokong Abbas yang mentadbir Palestin dan mahu menunjukkan Fatah masih berada di barisan hadapan perjuangan," kata seorang pemimpin tempatan Fatah, Selim al-Zaraei.
- Agensi
Ramai wanita India minat belajar cara mempertahankan diri
NEW DELHI - Lebih ramai wanita di India mula menunjukkan minat untuk menghadiri kelas yang mengajar cara untuk mempertahankan diri bagi mengelak mereka menjadi mangsa rogol dan keganasan kaum lelaki.
Jumlah itu meningkat selepas hampir tiga minggu kejadian seorang pelajar wanita berusia 23 tahun dirogol oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah bas di sini.
Pelajar wanita itu kemudian mati di sebuah hospital di Singapura pada minggu lalu kerana kecederaan dalaman yang teruk selepas dia turut dipukul dengan batang besi.
Pada Khamis lalu, lima lelaki berumur 19 hingga 35 tahun didakwa secara rasmi kerana melakukan pembunuhan dan merogol pelajar wanita tersebut.
Seorang pengajar seni mempertahankan diri, Amuj Sharma berkata, dia dihujani dengan panggilan telefon daripada kaum Hawa yang berminat minat untuk mengikuti kelas yang ditawarkan di Institut Invictus Survival Science di selatan Delhi.
"Terdapat peningkatan permintaan untuk belajar tentang cara dan nasihat untuk mempertahankan diri dan latihan perlindungan peribadi," katanya.
Sharma mengajar pelajar-pelajarnya cara untuk menumbuk, menendang dan membebaskan diri ketika ditangkap oleh para penyerang.
Sebuah akhbar dalam minggu ini turut melaporkan, terdapat beberapa wanita yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen senjata api selepas kejadian rogol itu berlaku.
Sementara itu, seorang pemilik kedai di sini memberitahu, jualan alat penyembur lada turut meningkat.
"Kami hanya dapat menjual beberapa botol dalam tempoh sebulan. Bagaimanapun, kini lebih ramai wanita telah datang ke kedai saya untuk membeli penyembur tersebut," kata pemilik kedai itu, Jai Shankar. - AFP
Kastam Hong Kong rampas 779 gading gajah
HONG KONG - Pihak berkuasa Hong Kong semalam mendedahkan lebih satu tan gading gajah bernilai kira-kira AS$1.4 juta (RM4.26 juta) dari Kenya berjaya dirampas di sini.
Ia merupakan rampasan ketiga terbesar di pulau ini dalam tempoh kurang tiga bulan.
Pihak kastam menyatakan, rampasan itu melibatkan 779 gading gajah seberat 1.3 tan yang ditemui kelmarin.
Ia disembunyikan bersama batu-batu di dalam lima kotak kayu.
Menurut kastam, kotak kayu tersebut diletakkan di dalam sebuah kontena yang mengandungi perkataan bagi menunjukkan ia merupakan batu-batu arkeologi.
Seorang pegawai kastam, Clare Kwan memberitahu para pemberita, kontena itu disiasat kerana jarang batu-batu arkeologi datang dari Kenya.
Pihak kastam enggan menyatakan destinasi kontena itu akan dihantar.
Kontena yang dihantar menerusi sebuah kapal itu melalui Malaysia sebelum tiba di sini.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini berhubung penyeludupan itu. - Agensi
Pertandingan main bola berminyak
YANGON - Beberapa lelaki bermain permainan bola berminyak di sini sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Myanmar kali ke-65 di sini semalam.
Bola itu disapu dengan minyak kelapa dan pemenang dikira berdasarkan jumlah bola tersebut berjaya dimasukkan ke dalam sebuah raga.
Badan setiap pemain perlu disapu dengan minyak enjin.
Myanmar memperoleh kemerdekaan pada 4 Januari 1948 selepas dijajah Britain. - Agensi
Kubu kuat kumpulan anti-Bashar diserang
DAMSYIK - Pesawat pejuang dan tentera rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam bertindak menggempur beberapa kubu kuat kumpulan penentang sekitar bandar ini, kata beberapa pemerhati.Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas ke atas serangan bom kereta yang mengorbankan 11 orang penganut Syiah Alawi di kawasan kejiranan Massaken Barzeh.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Untuk Syria berkata, pesawat pejuang mengebom Duma yang terletak di timur Damsyik dan pihak tentera rejim membedil barat daya Daraya dengan menggunakan meriam.
Pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tentera Bashar bermula sejak Mac 2011 itu dipercayai telah mengorbankan 60,000 nyawa. - Agensi
Jurutera kompter didakwa jadi perisik Israel
ADEN, Yemen - Seorang lelaki di sini yang didakwa menjadi perisik Israel bakal dibicarakan di sebuah mahkamah di sini, kata satu sumber rasmi semalam.Sebuah akhbar melaporkan, lelaki itu, Ibrahim al-Dharahi, 24, yang merupakan seorang jurutera komputer telah ditangkap tiga minggu lalu di bandar Taiz selepas dia diawasi selama beberapa minggu.
Satu sumber kehakiman yang memberitahu akhbar itu berkata, Ibrahim telah dibawa ke Aden untuk disoal siasat.
Dia dituduh menjadi seorang ejen yang bekerja dengan agensi perisikan Israel, Mossad.
Kes tersebut akan dirujuk ke sebuah mahkamah dalam tempoh masa beberapa hari, kata sumber itu kepada akhbar September26. - Reuters
No comments:
Post a Comment