Tak sedarkan diri selepas terhumban ke atas jalan
1 Januari 2013
Rempuhan kuat di bahagian hadapan kiri kereta Toyota Vios dinaiki satu keluarga dalam kejadian pada jam 7.20 petang itu menyebabkan mangsa berusia 20-an, tidak sedarkan diri dipercayai kerana mengalami cedera parah.
Mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan dalam perjalanan dari Bagan Lebai Tahir ke Taman Sri Bagan di Bagan Dalam, untuk bertemu rakan.
Difahamkan, mangsa yang menunggang dalam keadaan laju gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar bahagian hadapan kereta dinaiki keluarga itu yang membelok untuk pulang ke rumah mereka di Taman Meranti Indah di sebelah kanan laluan berkenaan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting dan terhumban di sebelah kenderaan berkenaan menyebabkannya cedera dan tidak sedarkan diri kemudiannya.
Pengguna jalan raya yang prihatin dilihat bersama petugas Klinik Xavier memberikan bantuan di lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya kemudiannya.
Laluan berkenaan turut sesak apabila pemilik kenderaan turut memberhentikan kenderaan mereka untuk melihat kejadian itu, bagaimanapun aliran trafik kembali lancar sejurus ketibaan polis mengawal keadaan.
Gara-gara RM1,000, pengurus berdepan 20 tahun penjara
1 Januari 2013
Tuduhan terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dibuat Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Ahsan Ab Latif di hadapan Hakim Azman Mustapha di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Rusli Husain dituduh sebagai seorang pengurus sebuah syarikat di sini menerima wang tunai daripada Azmi Mohamad Noor, 42, di Oriental Kopitiam, Jalan Sri Cemerlang di sini, 4.35 petang, 10 Mac 2011.
Tertuduh didakwa menerima suapan itu sebagai balasan untuk membantu Azmi mendapatkan tuntutan ganti rugi am dan khas berjumlah RM5,000.
Rusli dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Pada prosiding semalam, dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Susulan itu, Azman membenarkan tertuduh diikat jamian RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes bersambung 31 Januari depan.
Acu pisau pada ibu, lelaki dipenjara setahun
1 Januari 2013
Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan si anak, Fazil Ngah @ Awang, 30, menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Fazil mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada ibunya, Hamidah Embong, 56, dengan niat menyebabkan mangsa berasa takut.
Fazil mengaku melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Banggol, Mengabang Telipot, 26 Disember lalu kira-kira jam 8 malam.
Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang tidak bekerja telah didatangi anaknya, Fazil, meminta sejumlah wang tetapi tidak diendahkan.
Bagaimanapun, Fazil naik angin dengan mengambil sebilah pisau di dapur dan mengacukan ke arah ibu malang itu.
Bimbang keselamatannya terancam memandangkan anaknya itu sering mengamuk sebelum ini, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini.
Banjir gelombang kedua
1 Januari 2013
Kebanyakan mangsa dari Kampung Haji Wan Musa kembali ke rumah dua hari lalu selepas berada di pusat pemindahan berikutan kejadian banjir kali pertama yang melanda daerah ini sejak 26 Disember lalu.
Semua mangsa mengambil keputusan kembali ke pusat pemindahan selepas air naik sejak jam 5 pagi dan kawasan tersebut ditenggelami air sedalam kira-kira 1 meter sehingga jam 4 petang semalam.
Air paras dada di laman
Salah seorang mangsa, Wan Jeriah Wan Musa, 54 berkata, hujan yang turun berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan kawasan itu dinaiki air.
Menurutnya, air mula naik kira-kira jam 5 pagi dan mula masuk ke dalam rumah sejam kemudian.
“Paras air dalam rumah mencapai paras betis manakala di kawasan halaman sehingga paras dada kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) lalu saya dan anak, Nor Anizawati Yusof, 31 mengambil keputusan untuk berpindah ke sini.
“Kami lega dapat kembali ke rumah dua hari lalu tetapi kini (semalam) terpaksa kembali ke sini akibat kejadian banjir kali kedua ini,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Dewan Balok di sini, semalam.
Kata Wan Jeriah, boleh dikatakan setiap tahun penduduk kampung itu terpaksa berpindah akibat banjir dan tahun ini sudah dua kali mereka dilanda musibah itu.
“Masalah ini mungkin disebabkan perparitan yang tidak sempurna kerana tiada longkang di kawasan ini malah kalau ada pun sudah tertimbus,” katanya.
Datang sendiri ke pusat pemindahan
Sementara itu, bagi ibu kepada empat anak termasuk bayi berusia 3 bulan, Wan Shafariah Wan Osman, 30 berkata, dia bersama anaknya terpaksa kembali ke pusat pemindahan tersebut selepas rumah mereka turut ditenggelami air.
Menurutnya, pengalaman berdepan bencana banjir saban tahun menyebabkan mereka sekeluarga sentiasa bersedia dan tidak menunggu lama untuk berpindah.
“Dalam kejadian banjir lalu kami sempat menyelamatkan barang sebelum berpindah ke pusat pemindahan dan kali ini kami juga mengambil langkah sama walaupun agak berat untuk meninggalkan rumah kali kedua.
“Kami datang sendiri dan tidak menunggu bantuan kerana bimbang air naik dengan cepat dan boleh mengancam nyawa anak-anak,” katanya.
Dia berkata, penat membersihkan rumah belum hilang dan perkara sama terpaksa dilakukan selepas banjir itu surut kelak.
Dua laluan ditutup
Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Balok, Mohd Zainul Ali, 66 berkata, semua mangsa berada di pusat itu sejak jam 11.30 pagi.
Menurutnya, kebanyakan mangsa datang sendiri ke pusat pemindahan bagaimanapun Angkatan Tentera Malaysia turut mengerahkan anggota bersama kenderaan bagi menghadapi kemungkinan sekiranya ada lagi mangsa yang terpaksa dipindahkan.
“Bagaimanapun sehingga jam 3 petang jumlah mangsa banjir tidak berubah tetapi ada kemungkinan akan bertambah jika hujan tidak berhenti.
“Setakat ini Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan masyarakat setempat tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata, selain itu beberapa agensi sukarela termasuk Rela, badan bukan kerajaan (NGO) dan JKKK turut membantu mangsa.
Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melaporkan sehingga jam 5 petang semalam, seramai 59 mangsa dari 14 keluarga berada di pusat pemindahan.
Daripada jumlah itu, 50 mangsa daripada 13 keluarga berada di Dewan Balok manakala sembilan sekeluarga kini berada di pusat pemindahan Sungai Ular.
Sehingga jam 5 petang juga, dua laluan terpaksa ditutup kepada kenderaan termasuk di Jalan Gebeng berhampiran Bulatan Jabor (sejak seminggu lalu) dan Kilometer 23,
Jalan Kuantan-Kemaman.
Tinjauan Sinar Harian ke kawasan dilanda banjir mendapati, ada beberapa penduduk berada di kediaman masing-masing untuk menjaga rumah dan menyelamatkan haiwan peliharaan bagaimanapun kebanyakan ahli keluarga lain sudah berada di pusat pemindahan.
Berikutan kejadian banjir di kawasan itu, keadaan lalu lintas agak terganggu apabila kenderaan kecil tidak dapat melaluinya malah ada beberapa buah kereta rosak selepas tersangkut dalam air.
Ambang 2013: 6 cetus kecoh di i-City ditahan
1 Januari 2013
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Mazlan Othman berkata kesemua yang ditahan itu terdiri daripada lima warganegara asing berusia dalam lingkungan 20-an dan seorang remaja lelaki tempatan.
"Kita menahan kesemua lelaki terbabit apabila mereka menimbulkan kekecohan dengan menolak orang ramai kerana mereka mahu menghampiri pentas utama.
"Pemeriksaan ke atas kumpulan lelaki yang berpakaian seperti 'band punk' itu, pihak polis menemui dua bilah parang daripada dua suspek.
"Manakala sebilah pedang samurai pula ditemui berhampiran tempat kejadian yang kita percaya sengaja dijatuhkan (ke tanah) oleh seorang daripada suspek bagi mengelakkan dia ditahan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati kesemua lelaki asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah manakala remaja tempatan itu tidak membawa kad pengenalan bersamanya.
Kumpulan warga asing itu direman empat hari untuk siasatan lanjut manakala remaja itu dibebaskan setelah diambil keterangan, katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata berbahaya dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1963 kerana berada di negara ini tanpa permit sah. - Bernama
Cuti akhir persekolahan
1 Januari 2013
Dalam kejadian kira-kira jam 5.56 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sebuah kolam air panas dekat sini.
Jurucakap Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, mangsa Izat Muadzam Junaidi, 16, beralamat di Jalan Klang Lama disahkan maut akibat kecederaan dalaman.
Menurutnya, siasatan awal kemalangan mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Rawang menghala ke Kuala Lumpur dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan.
Pemandu kenderaan yang masih belum dapat dikenalpasti itu dikatakan melarikan diri selepas kejadian berlaku.
“Mangsa yang hilang kawalan akibat geselan dengan kenderaan lain terpelanting dan tercampak di lorong kiri jalan.
“Kenderaan yang bergesel dengan motosikal mangsa dipercayai melarikan diri dan masih dikesan sehingga kini,” katanya.
Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mangsa didapati tiada lesen memandu.
Sehubungan itu, saksi kemalangan atau mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Muhamad Izam Ibrahim di talian 03-61262273, 03-61262257 atau 013-2006111 untuk membantu siasatan.
Jururawat maut, dua daripada tiga anaknya cedera
31 Disember 2012
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama suami dan tiga anaknya terbabas serta melanggar besi pengadang jalan.
“Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada tayar depan sebelah kiri kereta dinaiki sekeluarga itu pecah menyebabkan pemandunya, Binorizam Basri, 34, gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar besi pengadang jalan sebelah kiri.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa, Norhamiza Abd Rani, 34, maut di tempat kejadian manakala dua daripada tiga anaknya cedera,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, anak mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).
Sementara itu, ibu mangsa, Rahmah Itam, 55, bersama suami tiba di Unit Forensik HKKB untuk menuntut jenazah anaknya.
Turut menziarahi mangsa, rakan sekerja serta pegawai dan kakitangan Perodua yang juga rakan sekerja suami Norhamiza yang bekerja sebagai eksekutif di bahagian pengedaran di Kilang Perodua, Sungai Choh.
Rahmah berkata, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan kembali ke kediaman mereka di Cheras, Kuala Lumpur setelah menghabiskan cuti seminggu di kampung halaman di Jitra, Kedah.
“Mereka bertolak kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin) kerana bercadang berehat seketika sebelum memulakan kerja malam nanti (semalam).
“Tapi kami terkejut apabila mendapat panggilan mengatakan mereka terbabit kemalangan,” katanya.
Menurutnya, jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Jitra untuk dikebumikan.
Gempar paip meletup
1 Januari 2013
Kejadian yang berlaku antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari itu menyebabkan laluan berkenaan terpaksa ditutup sementara waktu berikutan terdapat satu lubang besar tengah jalan terbabit.
Walau bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian terdapat beberapa kenderaan yang melalui jalan terbabit, namun sempat mengelak.
Pegawai Khas Ketua MCA Bahagian Jempol, Siew Kok Fow berkata, beliau terkejut melihat air yang memancut tinggi beberapa meter.
“Kita akui keadaan ini begitu bahaya kerana laluan berkenaan adalah jalan utama penduduk ke Pekan Bahau.
“Namun keadaan terkawal dan tiada kecederaan berlaku," katanya yang sempat melawat tempat kejadian, kelmarin.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Azlan Abdul Aziz berkata, kerja pembaikan paip berukuran 500 milimeter yang pecah itu siap pada hari sama.
"Akibat kejadian ini, kawasan di Johol mengalami masalah gangguan air tetapi kini penduduk sudah menerima bekalan air secara berperingkat.
"Bekalan air dijangka stabil dalam tempoh 24 jam dan pihak Sains memohon maaf di atas kesulitan yang timbul,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dirogol remaja baru dikenali
1 Januari 2013
Difahamkan, tindakan licik yang dilakukan di sebuah rumah teres, di sekitar Masjid Tanah, di sini kelmarin bagaimanapun terbongkar setelah mangsa, seorang remaja berusia 14 tahun bertindak mendedahkan kegiatan jijiknya itu kepada seorang kenalan.
Selepas pekungnya terdedah, kenalan mangsa berusaha mencari suspek yang berusia 18 tahun itu di sekitar pekan berkenaan sebelum suspek bersama mangsa ditemui kira-kira jam 10 malam.
Jurucakap polis, berkata, ketika ditemui suspek berpura-pura tidak tahu dan cuba memujuk mangsa supaya perlakuannya itu tidak terdedah sebelum mangsa menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
“Bimbang kegiatannya terbongkar, suspek melarikan diri dengan melintas jalan raya namun gagal apabila suspek dikepung orang awam yang melihat kejadian itu,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan dirinya terkepung, suspek yang juga anak seorang pensyarah sebuah kolej sempat berdalih mendakwa dia tidak melakukan aktiviti terkutuk itu dan berani bersumpah.
“Melihatkan mangsa juga berada di tempat berkenaan, suspek menyatakan sudah meniduri mangsa sebanyak lapan kali di sebuah hotel bajet di sekitar Melaka dan terbaru di sebuah rumah teres.
“Berikutan kenyataan suspek terbabit, orang awam yang kemudian membawa suspek terbabit masuk ke dalam kereta sebelum suspek diserahkan ke balai polis berdekatan,” katanya.
Mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, mendakwa, kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu, suspek masuk ke dalam bilik dan memaksanya melakukan hubungan seks.
Menurutnya, kejadian berlaku di rumah seorang kenalannya di taman perumahan di sekitar Masjid Tanah, di sini.
“Saya cuba menghalangnya dengan memberi alasan takut perbuatannya itu nanti diketahui rakan saya namun suspek tetap berkeras dan terus perkosa saya,” katanya.
Selepas kejadian itu, mangsa mendakwa, suspek tergesa-gesa keluar dan menghilangkan diri, disebabkan takut mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru mengenai kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan laporan dan penahanan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan diserahkan ke balai polis berdekatan sebelum suspek ditahan untuk sesi soal siasat mengenai dakwaan merogol seorang gadis bawah umur.
“Kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Keganasan Rumahtangga, Wanita dan kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.
Gadis dakwa dilacur
1 Januari 2013
Mangsa, seorang gadis berusia 17 tahun mendakwa dirinya dipaksa memuaskan nafsu beberapa lelaki separuh umur dengan bayaran tertentu sejak awal Disember tahun ini.
Lebih malang lagi, mangsa yang dilacurkan suspek berusia awal 30-an itu bukanlah orang asing malah amat dikenalinya.
Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama kakak iparnya di sekitar Pulau Sebang, di sini, dipercayai pergi ke rumah seorang saudaranya di luar Melaka dan bermalam di sana.
Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai dijemput oleh suspek sebelum mangsa dibawa bersiar-siar di sekitar bandar raya Melaka sebelum menyewa sebuah hotel bajet berhampiran sungai.
“Suspek terbabit yang turut tinggal bersama kakak ipar mangsa di sekitar Pulau Sebang dipercayai memperdaya mangsa yang masih tidak tahu tujuan sebenar suspek membawanya ke sini.
“Mangsa yang tidak berkunjung ke bandar raya ini hanya mengikut sahaja ke mana suspek pergi sebelum mereka menginap di sebuah hotel bajet tepi sungai di sekitar bandar raya Melaka, " katanya.
Menurutnya, setibanya di hotel berkenaan, mangsa mendakwa diperkenalkan kepada seorang lelaki separuh umur dan dipaksa melayan nafsu lelaki berkenaan dengan bayaran RM200.
"Mangsa yang menyedari niat jahat lelaki berkenaan meronta sambil merayu supaya dirinya tidak dinodai orang lain namun, rintihannya langsung tidak diendahkan,” katanya.
Sumber berkata, mangsa dipercayai turut dibawa ke beberapa daerah yang tidak dikenal pasti tempatnya untuk diniagakan kepada pelanggan yang sedia menunggu di tempat dijanjikan.
“Mangsa yang tinggal serumah dengan suspek di sini, turut mendakwa dipaksa melakukan enam persetubuhan dengan beberapa lelaki di beberapa tempat tanpa kerelaannya.
“Bimbang kejadian sama berulang, mangsa nekad meloloskan diri daripada kawalan suspek dan membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini, kelmarin” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
Menurutnya, kes dirujuk ke Jabatan Keganasan Rumah tangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang untuk tindakan selanjutnya.
Askar didakwa cabul kanak-kanak
1 Januari 2013
Norazhar Nazar, 30, yang berdepan dua pertuduhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan meminta untuk dibicarakan.
Tertuduh dari Jalan Bakti, Kem Terendak yang berpakaian kemas semasa prosiding membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Syajaratudur Abdul Rahman, semalam.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak berkenaan dengan mencium pipi kiri dan lehernya dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 1 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa meraba buah dada mangsa serta menyuruh mangsa memegang kemaluan tertuduh dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa, kira-kira 5 pagi pada 5 September lalu.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zaini A Aziz, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.
Syajaratudur kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 selain menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Terkejut dengar teriakan kuat
1 Januari 2013
Penemuan mayat K Thanabalan, 28, pada jam 5.40 petang itu menimbulkan kehairanan orang ramai kerana dia bukan penduduk flat setinggi 10 tingkat itu.
Mayat pemuda yang dikatakan penganggur dan tinggal di Kampung Paya itu ditemui di laluan masuk, bawah flat berkenaan oleh beberapa penghuni di situ.
Saksi, seorang penghuni flat berkenaan, yang enggan dikenali berkata, sebelum penemuan mayat itu sebahagian besar daripada penghuni terkejut apabila mendengar suara teriakan nyaring yang dikesan bermula dari tingkat 9 flat itu petang semalam.
“Sebaik melihat ke bawah kami mendapati mayat seorang lelaki terlentang tidak bergerak, manakala beberapa bahagian anggota badannya dikesan patah.
“Penemuan mayat itu dilaporkan kepada pihak polis yang tiba bersama kakitangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) kemudiannya dan hasil pemeriksaan, mangsa disahkan meninggal dunia kerana cedera parah,” katanya.
Seorang penghuni, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chai berkata, mangsa dilihatnya mundar mandir dan berada dalam keadaan gelisah sewaktu ditemuinya berhampiran lif di tingkat bawah premis kediaman itu sekitar jam 5 petang, kelmarin.
“Mangsa turut dilihat bercakap sendirian sebelum dikesan menghilangkan diri dan hanya ditemui selepas kejadian itu dalam keadaan menyayat hati kemudiannya.
“Dia bukan mendiami flat ini dan kelibatnya sebelum ini tidak pernah dilihat di kawasan ini berbanding kemunculannya petang kelmarin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke HSJ untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya selepas dimaklumkan polis sejurus selepas itu.
Maut ditembak depan rumah
31 Disember 2012
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.50 malam, mangsa, S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee dikatakan baru sahaja tiba di rumah salah seorang rakannya itu.
Menurutnya, ketika sedang berbual datang dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari salah sebuah kereta berkenaan dan bertindak menembak ke arah mangsa sebelum melarikan diri.
“Melihat mangsa rebah, rakan mangsa bergegas membawanya ke sebuah hospital swasta berhampiran namun, mangsa disahkan mati sebaik tiba di hospital.
“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa mati akibat terkena tembakan di bahagian bahu kanan,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.
Turut hadir, Ketua Polis Negeri, Datuk Rahim Hanafi dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh.
Sementara itu, Kong Meng berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar kejadian dan pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek.
Katanya, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebulan sahaja lagi sebelum nikah
1 Januari 2013
Timbalan Ketua Unit Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, tinjauan yang dilakukan oleh unitnya di beberapa buah hotel bajet di daerah ini berjaya menemui pasangan berkenaan yang berumur lewat 30an itu.
"Semasa serbuan dilakukan di bilik pasangan terbabit, pada mulanya mereka enggan memberi kerjasama membuka pintu namun akhirnya terpaksa akur setelah didesak oleh pegawai penguatkuasa yang menyatakan ingin memecahkan pintu bilik itu.
“Setelah membuka pintu tersebut, pasangan yang berlagak seperti suami isteri ini berada dalam keadaan ketakutan setelah perbuatan sumbang mereka ini terbongkar.
"Ketika itu juga pasangan terbabit merayu supaya tidak dikenakan sebarang tindakan berikutan kesalahan yang telah dilakukan dan mereka menyatakan sedang dalam proses melangsungkan pernikahan kira-kira sebulan sahaja lagi," katanya.
“Menurutnya, pasangan ini tetap akan dikenakan tindakan kerana berada dalam bilik tertutup secara berdua-duaan sedangkan mereka ini bukan muhrim dan tiada ikatan perkahwinan yang sah.
"Pasangan berkenaan yang ditahan kira-kira jam 2 pagi itu berasal dari daerah Batu Pahat, mengikut alamat terakhir mereka.
"Atas kesalahan yang dilakukan ini kes disiasat di bawah Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh dikenakan dengan atau penjara jika sabit kesalahan," katanya.
Menyorok dalam tandas setelah terkantoi
1 Januari 2013
Pelbagai alasan diberikan oleh wanita terbabit termasuklah mahu membuang air dan membersihkan diri, namun dia tetap ditahan setelah didapati berdua-duaan dengan pasangannya, di sebuah hotel bajet di daerah ini, kelmarin.
Timbalan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, apabila pintu hotel dibuka, didapati seorang lelaki sahaja berada di dalam bilik berkenaan.
Menurutnya, dengan bersahaja sambil memakai tuala, lelaki tersebut mengakui dia bersama dengan teman wanitanya di bilik terbabit.
“Lelaki yang bekerja di sebuah kilang di Sri Gading ini hanya mampu tersenyum apabila ditanya hubungannya dengan wanita yang didapati menginap dalam bilik yang sama.
“Manakala, wanita yang menyorok dalam bilik air enggan membuka pintu dan memberikan pelbagai alasan, namun 30 minit kemudiannya dia membuka pintu setelah didesak.
“Pasangan berkenaan yang tidak mempunyai hubungan yang sah ini, kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses dokumentasi,” katanya.
Menurut Saiful, pasangan berkenaan ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berdua-duaan dalam keadaan berkurung.
“Pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan yang dilakukan itu. Operasi ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang semakin menular di kalangan anak-anak muda sejak akhir-akhir ini.
“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi berdasarkan aduan orang ramai, operasi berkala di hotel-hotel bajet dan kawasan yang berpotensi untuk berlakunya aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.
Wanita bersuami dua
2 Januari 2013
Bertindak hasil aduan orang ramai dan siasatan selama beberapa hari, serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat dilakukan di sebuah vila semasa Operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi semalam.
Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, setelah menerima aduan, pihaknya melakukan semakan dengan pihak berkuasa di Thailand dan mendapatkan salinan dokumen pernikahan wanita terbabit.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, pada mulanya wanita berkenaan enggan mengaku bernikah secara senyap di selatan Thailand bersama seorang lelaki berusia 40-an, yang turut berada di rumah berkenaan.
Mereka bernikah di Thailand Julai lalu.
“Kami berjaya mendapatkan salinan dokumen pernikahan mereka, namun serbuan dilakukan untuk mendapatkan salinan asal surat nikah berkenaan dan bukti yang lebih kukuh kami peroleh iaitu gambar pernikahan mereka.
“Begitu licik wanita ini. Setelah hampir satu jam kami mencari, namun dokumen berkenaan gagal kami temui. Bagaimanapun setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengaku telah bernikah dan dokumen berkenaan disorok dalam kotak kasut yang diletakkan di bonet kereta.
“Kami difahamkan doktor yang menjadi ‘suami kedua’ diberitahu yang wanita terbabit sudah bercerai dengan suami pertamanya,” katanya.
Saiful berkata, kes seumpama itu kali pertama berlaku di daerah ini dan rumit diselesaikan kerana perlu dilakukan dengan teliti kerana banyak kesalahan dilakukan.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perceraian yang didakwa oleh wanita terbabit dengan suami pertamanya.
“Saya harap kes seperti ini dijadikan iktibar dan jika ada kemusykilan terhadap nikah atau kahwin, orang ramai boleh buat rujukan kepada kami.
“Kami akan terus cari punca sebenar dan bantu selesaikannya kerana tidak boleh wanita mempunyai dua suami dalam satu-satu masa.
“Jika wanita ingin berkahwin lain, dia perlu melalui proses perceraian dengan suami terdahulu, namun ia juga perlu melalui hukum ditetapkan syarak,” katanya.
Tukang kebun jumpa mayat
2 Januari 2013
Guru Besar, Tugi Wagiman berkata, dia dimaklumkan tukang kebunnya berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, sebaik sampai, dia melihat mayat lelaki tersebut yang lengkap berpakaian berada dalam keadaan kaku dan sudah tidak bernyawa.
“Pihak sekolah segera menghubungi polis untuk menguruskan mayat berkenaan. Difahamkan, tukang kebun sekolah yang juga orang pertama menjumpai mayat tersebut sedang bertugas ekoran musim persekolahan yang akan bermula esok (hari ini).
“Mujurlah segala proses pendaftaran murid sudah diadakan minggu lalu dan bukannya hari ini (semalam). Jika tidak, pasti menimbulkan keadaan kurang selesa kepada ibu bapa dan murid-murid,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian berkata, lelaki berkenaan dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah setinggi tiga tingkat sebelum mati di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.
Mayat mangsa lemas ditemui
1 Januari 2013
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia daerah Mersing, Penolong Penguasa Bomba (PPGB) Mohd Alias Hussin berkata, pasukan penyelamat menemui mayat mangsa pertama, Muhamad Azhari Suranto, 17, kira-kira jam 12.40 petang di Pantai Teluk Buih, di sini, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
Menurutnya, mayat Mohamad Hafis Jamuladin, 17, pula ditemui pasukan Gerak Khas pada jam 4.15 petang di kawasan berdekatan tempat kejadian.
“Mayat Azhari ditemui di celah batu Pantai Teluk Buih dan mengalami kecederaan di kepala. Dia ditemui pasukan bot penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya semalam.
90 anggota cari mangsa
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid berkata, pihaknya menambah 20 lagi anggota penyelamat bagi misi mencari mangsa berbanding 70 orang, kelmarin.
“Kami telah menambah anggota bagi misi mencari mangsa lemas dan satu bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada hari ini (semalam).
“Operasi ini bermula sejak laporan diterima dan dilakukan secara berterusan, anggota juga telah membuat rondaan sepanjang 18 batu nautika antara Pantai Penyabong hingga Pantai Teluk Iskandar,” katanya.
Beliau berkata, usaha mencari itu melibatkan Pasukan Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerak Khas.
“Selain pencarian di laut, usaha juga digiatkan di persisiran pantai dengan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Beritahu hendak pergi jauh
Ibu kepada Mohamad Hafis, Jamaliah Mohd Idris, 52 berkata, selepas pulang dari kerja pada 23 Disember lalu, anaknya itu ada memberitahunya hendak pergi jauh bagi mengikuti rombongan kompang.
Katanya, dia menegur tindakan Hafis supaya tidak bercakap bukan-bukan kerana lokasi rombongan yang ingin ditujui adalah jauh dari Batu Pahat.
“Saya tidak terkejut dengan tindakannya baring di pangkuan saya kerana dia adalah seorang anak yang manja, tetapi apabila dia mengatakan mahu pergi jauh, saya terdiam dan menegurnya.
“Kehilangannya sangat dirasai kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Jamaliah berkata, dia menemui anaknya buat kali terakhir pada jam 2.00 pagi sebelum Muhamad Hafis bertolak ke Pantai Air Papan.
“Dia salam, peluk dan cium pipi saya sebelum keluar rumah pada pagi tersebut. Kenangan tersebut tidak akan saya lupakan,” katanya.
Sementara itu, bapa Muhamad Azhari, Suranto Fandi, 45, berkata, dia menerima berita kehilangan anaknya, melalui panggilan telefon daripada anak saudara yang turut serta dalam rombongan berkenaan.
“Perasaan tidak sedap hati ketika ingin melepaskan anak saya pergi rupanya petanda yang dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Ikut arahan, elak tragedi berulang
Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Mohd Nasir Abd Salam menasihatkan orang ramai yang datang melancong ke daerah ini supaya mengikut arahan dikeluarkan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Tanda amaran bendera merah telah diletakkan di pantai Mersing dan orang ramai tidak dibenarkan turun mandi ke laut kerana bahaya.
“Malah bacaan ombak juga telah meningkat antara 3 hingga 3.5 meter dan kelajuan angin pula adalah 40km/j dilaporkan,” katanya.
Difahamkan, jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing, di sini, untuk dibedah siasat.
Semalam, Sinar Harian melaporkan dua remaja dari rombongan Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Air Papan.
Maut jatuh tingkat 19
31 Disember 2012
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mayat Tan Lee Kean, 39, ditemui orang ramai dalam keadaan terbaring berhampiran tempat letak motosikal di bawah pangsapuri berkenaan.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru sahaja pulang ke rumah selepas keluar makan malam bersama suaminya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, beliau mengesah kejadian berkenaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan tidak melibatkan unsur jenayah.
No comments:
Post a Comment