Sunday, December 30, 2012

ZAMAN SEKARANG BANYAK KAKI AUTA...PENIPU....JANJI SENANG DAN MEWAH

Bapa tinggal tiga anak kecil

Oleh KASDI ALI dan NURUL HUSNA MAHMUD
metahad@hmetro.com.my

DOA AYAH BAHAGIA... Amin dan Mila menonton televisyen.
DOA AYAH BAHAGIA... Amin dan Mila menonton televisyen.
KUALA LUMPUR: “Tunggu sini sekejap, abah nak pergi beli rokok.” Itulah alasan diberikan seorang bapa kepada tiga anaknya yang baru berusia sembilan bulan, dua tahun dan lima tahun sebelum menghilangkan diri.
Tindakan tidak berhati perut itu dilakukan tidak sampai dua bulan selepas tiga beradik berkenaan kematian ibu mereka akibat barah, dua tahun lalu.
Lebih tragis, mereka ‘dibuang’ pada waktu malam di tepi jalan berhampiran kaki lima sebuah masjid tanpa dokumen dan wang belanja.

Kejadian yang berlaku terhadap Mira, Mila dan Amin (bukan nama sebenar) adalah contoh semakin ramai lelaki layak dilabel ‘bapa binatang’ kerana tergamak meninggalkan darah daging bagaikan ‘membuang’ kucing di tepi jalan.

“SAYA tak nak ikut kalau ayah datang nak ambil kami. Dia kejam! Kalau benar dia sayang saya dan adik, takkan dia tergamak buang kami di tepi jalan. Lagipun, dia tak pernah cari kami.

Buang macam anak kucing


KUALA LUMPUR: Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang bapa yang tergamak memperlakukan tiga anaknya seperti anak kucing apabila membuang mereka di tepi jalan dipercayai berpunca daripada kurang didikan agama dan pengaruh dadah.
Kes itu bukan terpencil, malah dikatakan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini seperti diakui Pertubuhan Kebajikan Rumah Silaturrahim Nurul Qana’ah.

Naib Pengerusi merangkap penyelianya, Zainab Ahmad, 59, berkata, air matanya sudah kering mengenangkan nasib kebanyakan anak yatim dan miskin yang tinggal bersamanya.
Ibu kepada tiga anak ini mengakui, selain dihantar waris atau diambil pihaknya untuk jagaan sehingga berusia 18 tahun, ada juga kes anak kecil yang terpaksa tinggal di rumah kebajikan kerana dibuang atau disisihkan keluarga.

“Setiap kanak-kanak yang berada di rumah kebajikan mempunyai kisah masing-masing, tetapi apa menyedihkan ialah semuanya cerita sedih. Biarpun lali dengan perkara ini, naluri keibuan sering menyebabkan saya menangis setiap kali mengenangkannya.

“Berdasarkan kes anak terbuang, punca kebanyakan daripada mereka diperlakukan sedemikian ialah disebabkan ibu, bapa atau penjaga mereka kurang didikan agama dan menagih dadah,” katanya.
Menurutnya, dalam kes tiga beradik malang itu, dia percaya bapa mereka bertindak demikian kerana tidak sanggup memikul tanggungjawabnya apabila isterinya yang juga ibu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.

Justeru, bekas jururawat yang juga bidan bertauliah ini meluahkan rasa kesalnya terhadap kerenah birokrasi pihak tertentu dalam membantu NGO sepertinya yang tidak mempunyai sokongan sumber kewangan kukuh.
Katanya, pihak berwajib perlu membuka mata dan tidak mengambil kesempatan atas keikhlasan golongan sepertinya dalam menubuhkan rumah kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik kerana mereka secara tidak langsung turut membantu kerajaan dalam mengurangkan masalah kejatuhan moral di kalangan remaja khususnya.

“Selain anak yatim dan miskin, pertubuhan kami menjadi rumah perlindungan buat anak terbiar, termasuk mangsa penganiayaan fizikal dan mental oleh ahli keluarga,” katanya sebak.

Menurut Zainab, selain menjadi tempat berteduh dan menumpang kasih kanak-kanak bernasib malang ini, pertubuhannya menekankan aspek pendidikan, termasuk menghantar ke kelas tambahan demi memastikan mereka mendapat bekalan ilmu dunia terbaik untuk masa depan.

Orang ramai yang mahu melihat perjalanan hidup penghuni rumah kebajikannya atau memberi sumbangan boleh datang ke No 34A/34B, Jalan 10, Taman Batu Off Taman Greenwood, Batu Caves, Selangor.

‘Nenek tinggal kami di hospital’



“KAMI tak pernah kenal ayah, ibu,” kata Muhammad Aiman Abdullah, 7, kini menetap di Kompleks Damai, Sungai Buloh, bersama dua adiknya, Muhammad Abdullah, 4, dan Muhammad Ayip Abdullah, 3.
Aiman hanya mengenali neneknya yang meninggalkan mereka di hospital di Klang, dua tahun lalu.

“Aiman hanya ingat kami tiga beradik ikut nenek pergi hospital. Nenek tak beritahu sakit apa.
“Nenek minta saya dan adik tunggu di ruang pelawat hinggalah kami tertidur. Selepas itu nenek tidak muncul hinggalah seorang mak cik jemput dan hantar kami ke sini,” katanya.

Pengetua kompleks itu, Suhaimi Dzajuli berkata, ketika dihantar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dua tahun lalu, hanya abang sulung memiliki surat beranak manakala dua lagi tiada dokumen pengenalan diri.

“Saya dimaklumkan, mereka ditemui di sebuah hospital di Klang dalam keadaan tidak terurus dan dokumen sah hanya surat beranak abang yang sulung.
“Maklumat ibu juga tidak lengkap kerana hanya ada nama dan tertera umur ibu berusia 16 tahun ketika melahirkannya. Namun hendak ditanya siapa ibu bapa, mereka masih kecil dan tak mengerti apa- apa,” katanya.

Budak bawah 10 tahun sering jadi mangsa



KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dalam kumpulan umur di bawah 10 tahun dikenal pasti golongan kritikal sering menjadi mangsa pengabaian dan penderaan.
Pengarah Bahagian Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Arfan Sulaiman berkata, ini kerana mereka sasaran mudah dan tidak tahu mengadu mahupun melawan individu dewasa.

Menurutnya, punca timbulnya kes pengabaian mahupun kanak-kanak ditinggalkan oleh keluarga adalah pelbagai, tetapi sebab utama ialah ketidakstabilan institusi kekeluargaan.
“Sebenarnya, ibu bapa kanak-kanak itu tidak bersedia menguruskan rumah tangga, sama ada daripada aspek ekonomi mahupun masalah berkaitan emosi.

“Ibu bapa yang tidak mampu menguruskan keluarga akhirnya gagal memainkan peranan baik selaku penjaga serta pelindung kepada anak mereka,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Arfan berkata, kebanyakan kes diterima dilaporkan orang awam yang menemui kanak-kanak.
“Selepas itu kes akan diteliti dan siasatan dilakukan bagi mengesan waris. Jika tiada waris tampil, baru kita mohon perintah sementara sebagai pelindung dan menempatkan mereka di institusi JKM supaya nasib kanak-kanak ini terbela,” katanya.

Kegagalan institusi keluarga menjadi punca kewujudan kes pengabaian turut disokong Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia, Fadhlina Siddiq.
Katanya, bukan saja ibu bapa harus menjadi sasaran utama apabila membabitkan isu pengabaian anak kecil, tetapi keluarga kedua-dua pihak perlu memainkan peranan mereka.

“Undang-undang keluarga syariah sudah cukup adil meletakkan soal nafkah di bahu bapa dan penjagaan pula sebelah ibu. Apabila kedua-duanya gagal, tanggungjawab itu perlu dimainkan oleh keluarga kedua-dua pihak,” katanya.

Ibu saudara tak sanggup



“SAYA tak sanggup biarkan Syafiq (Rizal Azman Mohd Jerry, 6) jaga adiknya, (Nur Qistina, 2) sendirian ketika saya keluar bekerja,” kata Nur Natisha Mohd Jefri, 18, ibu saudara kepada dua beradik yang hidup terbiar selepas ditinggalkan bapa kandung.
Keadaan semakin rumit apabila nenek kepada dua kanak-kanak itu, Rohani Ali, meninggal dunia tiga bulan lalu akibat asma.

Menurutnya, sebelum ini dua beradik itu dijaga nenek mereka sejak kecil berikutan diabai bapa yang terbabit dengan dadah.
“Bapa mereka tak pernah peduli soal makan minum anak, apatah lagi menjaga mereka. Mereka sebapa tapi berlainan ibu yang masing-masing enggan mengambil tahu anak mereka.

“Ibu Syafiq yang sudah berkeluarga tak pernah bertanya mengenai anaknya, seolah-olah dia benci dengan anak sendiri, manakala ibu Qistina adalah penagih dadah dan pernah meninggalkan anaknya sendirian pada rakan lelaki.

“Disebabkan rakan lelaki berkenaan kenal ibu saya, dia serahkan Qistina apabila melihat dia menangis selepas ditinggalkan ibunya,” katanya.
Natisha berkata, pada mulanya dia meninggalkan dua beradik itu dalam jagaan bapa mereka yang juga abang kandungnya yang tinggal bersama kerana terpaksa bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.

Bagaimanapun, pada satu hari abangnya meninggalkan dua beradik itu tanpa pengawasan, menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja.
“Pernah sekali mereka ditinggalkan abang tanpa makanan atau dimandikan, menyebabkan kedua-duanya lapar dan menangis.

“Simpati saya menggunung melihat keadaan dua beradik ditinggalkan bapa mereka tanpa memikirkan risiko keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan kekangan sumber kewangan membesarkan kanak-kanak berkenaan, dia terpaksa menyerahkan mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Rasa hati jadi penyelamat

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA dan RAJA NORAINA RAJA RAHIM
am@hmetro.com.my

INI DIA...sebahagian benteng musnah akibat tanah runtuh  Taman Puncak Setiawangsa.
INI DIA...sebahagian benteng musnah akibat tanah runtuh Taman Puncak Setiawangsa.
KUALA LUMPUR: “Disebabkan rasa tak sedap hati, saya memindahkan sebahagian besar barang dalam rumah ini sejak tiga bulan lalu,” kata bekas Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.
Beliau antara 88 penghuni rumah yang terpaksa berpindah akibat tanah runtuh yang mengakibatkan sebahagian besar benteng konkrit pada lereng bukit di Bukit Setiawangsa rosak, selain merosakkan beberapa rumah, jam 10 malam kelmarin.

Jamaludin berkata, beliau seolah-olah merasakan sesuatu kejadian buruk bakal berlaku di kawasan itu lalu membuat persiapan awal dengan memindahkan barang ke rumah lain sejak tiga bulan lalu.
“Saya tidak sedap hati untuk terus tinggal di sini dan membuat keputusan memindahkan barang sebagai persediaan awal.

“Ketika kejadian, isteri saya berada di rumah namun terselamat dan tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni di kawasan berkenaan, Siti Mahfudzah Ashahril, 34, berkata dia melihat beberapa individu memeriksa tebing tengah cerun itu kelmarin, manakala pada waktu petang pasukan bomba melakukan pemantauan, menyebabkannya terdetik mungkin ada masalah dengan tanah.
“Jangkaan saya tepat apabila jam 10 malam, saya dengar bunyi siren. Beberapa minit kemudian, saya lihat jiran berpusu-pusu keluar dari rumah masing-masing,” katanya.

Beliau yang baru dua bulan menyewa di rumah itu tidak menyangka kejadian terbabit bakal berlaku.
“Saya dengar bunyi siren jam 10 malam. Pada mulanya saya sangka tiada perkara serius berlaku kerana rumah saya di bahagian belakang dan tidak dengar bunyi runtuhan.

“Jam 11 malam, saya dengar bunyi bising dan lihat jiran keluarkan kereta. Saya juga diarah keluar dan baru tahu ada tebing runtuh dan menjejaskan sebuah rumah,” katanya.

Mahfudzah yang bekerja sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan penyelenggaraan saliran air.

“Memang sekarang sering hujan, namun saya tidak rasa kejadian ini (tebing runtuh) disebabkan cuaca.

“Yang saya bimbangkan ialah keselamatan kami sekeluarga, tambahan pula persekolahan bakal bermula tidak lama lagi. Anak saya bersekolah berhampiran tempat tanah runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia dan suami serta tiga anak berusia lapan hingga enam bulan terpaksa berpindah keluar jika pihak berkuasa mengarahkan mereka keluar.

Seorang lagi penduduk yang tinggal berhampiran kawasan runtuhan, Veronika Thoene, 45, berkata, ketika kejadian, dia mendengar bunyi bising dan menyangka ia bunga api sempena sambutan perayaan.

Diarah pindah

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA dan RAJA NORAINA RAJA RAHIM
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lebih 88 penghuni banglo, rumah teres dan rumah kedai di Persiaran Bukit Setiawangsa, di sini, diarah pindah berikutan tanah runtuh yang mengakibatkan sebahagian besar benteng konkrit pada lereng bukit runtuh, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam, benteng konkrit setinggi bangunan 25 tingkat itu tiba-tiba runtuh dan menimbus satu-satunya jalan ke dari Taman Puncak Setiawangsa, selain mengakibatkan lapan banglo di puncak bukit itu rosak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, sebagai langkah keselamatan, lebih 88 penghuni banglo dan rumah teres di kawasan itu diarah berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, berlaku pergerakan tanah yang aktif dan kemungkinan besar kejadian tanah runtuh berulang.

“Seramai 30 penghuni banglo, 18 rumah kedai dan 58 rumah teres dua tingkat di kawasan ini diarah berpindah.

Peragut nyawa

Oleh ZULFA MOHAMAD dan SITI AZILA ALIAS
am@hmetro.com.my

SIASAT... anggota forensik memeriksa mayat A Josop (gambar kecil) yang menjadi mangsa ragut ketika menunggang motosikal bersama isterinya.
SIASAT... anggota forensik memeriksa mayat A Josop (gambar kecil) yang menjadi mangsa ragut ketika menunggang motosikal bersama isterinya.
KEPALA BATAS: Seorang warga emas tidak sempat menghadiri majlis sambutan hari lahir anak saudaranya ke-21 akibat maut selepas terjatuh daripada motosikal manakala isterinya cedera angkara peragut dekat Permatang Manggis, di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku jam 7.30 malam ketika A Josop, 65, yang menunggang motosikal Honda Wave bersama isteri, A Alaies, 52, dari rumah mereka di Bagan Ajam, Butterworth, menuju Dewan Serbaguna Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Bertam.
Mangsa yang juga pesara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dipercayai tidak menyedari diekori dua lelaki menunggang sebuah motosikal sehingga ke Jalan Permatang Manggis.

Sebaik tiba di tempat kejadian, seorang daripada suspek merentap rantai loket emas dipakai isteri mangsa sebelum menghimpit motosikal mereka.

Berikutan itu, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbalik ke kiri jalan sebelum jatuh tersembam, menyebabkan cedera teruk pada muka dan hidung sebelum meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya cedera di tangan kanan.

Ajal budak jatuh tingkat lapan



TINGGI... Devakumar menunjukkan tempat anaknya terjatuh.
TINGGI... Devakumar menunjukkan tempat anaknya terjatuh.
JOHOR BAHRU: “Saya menghampiri Dinesh dan melihat dia masih bernyawa. Apabila memanggil namanya, mata dia masih bergerak,” kata B Devakumar, 22, bapa Dinesh Kumar, 4, kanak-kanak yang mati selepas terjatuh dari tingkat lapan di Blok Cemara 2, kuarters Hospital Permai di sini, jam 7 malam kelmarin.
Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu apabila pulang ke rumah selepas membeli barangan dapur dan meletak motosikal di bangunan itu.

Katanya, ketika itu dia terkejut melihat sekumpulan penduduk berkumpul berhampiran surau di tingkat bawah dan lebih terkilan apabila mendapati anaknya, Dinesh Kumar, terbaring kaku berlumuran darah.
“Saya panik dan tidak percaya ia anak saya lalu berlari menaiki lif bagi mendapatkan kepastian isteri yang berada di rumah.

“Ketika itu saya melihat isteri turun ke tingkat bawah sambil menangis dan membawa dua adik Dinesh Kumar,” katanya.

Devakumar berkata, akibat kejadian itu, anaknya dipercayai patah leher, namun dilihat masih bernyawa ketika dihampiri keluarganya.
Menurutnya, yang mengecewakan, ambulans hanya tiba selepas 45 minit kemudian, menyebabkan anaknya lewat menerima pertolongan kecemasan.

Katanya, malah doktor yang memeriksa anaknya menyatakan Dinesh Kumar sudah meninggal dunia.
“Saya tinggal di sini selama setahun bersama abang ipar yang bekerja di Hospital Permai dan kami mendaftar masuk ke sini secara sah.

“Sebelum ini, beberapa kali kami membuat aduan berhubung ketiadaan jeriji di tingkap rumah seluruh bangunan, kecuali tingkat bawah. Kami berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan anak.

“Bagaimanapun, kami difahamkan, usaha memasang jeriji tidak dapat dilakukan kerana tidak dibenarkan pihak atasan,” katanya.

Devakumar berkata, dia tidak menjangka anaknya menjadi mangsa apabila terjatuh daripada tingkap bilik ketika isterinya, V Jayadurka, 22, yang juga suri rumah, mandi di bilik air.

“Saya difahamkan, beberapa saksi melihat Dinesh menjenguk ke luar sebelum sebahagian badannya tersepit antara tingkap.

“Keadaan itu tidak mungkin berlaku jika tingkap mempunyai jeriji. Akibat kecuaian pengurusan, anak saya meninggal dunia.

“Saya berharap pengurusan akan membaiki kelemahan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati mangsa membuka sendiri tingkap bilik di rumahnya.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh dari bilik dan cedera parah di kepala.

Maut ditetak mak cik

Oleh SAFURI KAMARUDDIN
am@hmetro.com.my

BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut akibat ditetak ibu saudara di rumah neneknya di Kampung Kejai, Tawar, di sini, semalam.
Dalam kejadian 11.30 pagi, Muaz Idris dikatakan bermain di beranda rumah sebelum didatangi ibu saudara berusia 36 tahun yang tiba-tiba menetaknya di kepala, tangan kanan serta lutut dengan sebilah golok, menyebabkan kanak-kanak itu rebah.

Mangsa yang cedera parah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulim (HK).
Difahamkan, suspek yang mengalami masalah mental sejak 20 tahun lalu dan masih mendapatkan rawatan di hospital.

Keluarga mangsa yang bekerja di Perlis dikatakan pulang ke Kampung Kejai, di sini, sejak petang kelmarin untuk mengubati anak mereka yang demam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.10 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang bermain seorang diri di beranda rumah tiba-tiba didatangi ibu saudara yang membawa sebilah golok lalu menetaknya.

“Ibu mangsa yang juga adik suspek berusia 30 tahun yang datang membantu turut cedera di leher dan tangan akibat ditetak.
“Suspek yang cuba melarikan diri kemudian ditahan ahli keluarganya dan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek ditahan reman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Malang berganda si lumpuh



CHUKAI: “Sudahlah lumpuh, rumah pula ditenggelami air dan paling menyedihkan, 20 lembu yang diternak keluarga hilang dibawa arus deras, selain kebun sayur diusahakan turut musnah,” kata Baharom Muhamed, 34, antara mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Felda Seberang Tayor, dekat sini, kelmarin.
Dia yang lumpuh dari pinggang ke bawah berkata, air mula naik di kawasan rumahnya di Kampung Seberang Tayor Hulu, dekat sini, jam 3 pagi Selasa lalu, sebelum dia dan keluarga dipindahkan ke balai raya berhampiran.

“Tidak sampai dua jam kami berlindung di situ, saya, isteri dan lima anak dipindahkan pula ke Pusat Pemindahan Felda Seberang Tayor berikutan air semakin naik.
“Air sedalam 10 meter menenggelami rumah kami, menyebabkan semua 20 lembu yang diternak keluarga dihanyutkan arus deras.

“Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting manakala barangan berharga, termasuk perabot, ditenggelami air.

“Kebun sayur diusahakan isteri juga musnah akibat banjir paling besar pernah melanda kampung ini,” katanya yang lumpuh akibat kemalangan sejak tiga tahun lalu.
Isterinya, Zaleha Ali, 39, berkata dia, ibu dan abang iparnya kerugian RM40,000 akibat kehilangan 20 lembu yang dihanyutkan arus deras.

“Kami memang orang susah, ditimpa pula musibah, jadi bertambah sukar kehidupan kami sekarang apabila hilang punca pendapatan sampingan.
“Maklumlah suami tidak boleh bekerja, jadi saya terpaksa mencari inisiatif lain dengan menternak dan bercucuk tanam.

“Kami bernasib baik kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan kepada suami sebanyak RM150 sebulan dan bantuan sebagai penjaga kepada saya sebanyak RM200 sebulan,” katanya.

Rampas 5,000 pil kuda



KOTA BHARU: Dalam tempoh empat jam saja, polis berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah membabitkan tiga individu, termasuk seorang wanita, dengan merampas 5,453 pil kuda dan Eramin 5 serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM158,050 dalam serbuan di Pasir Mas, Khamis lalu.
Sebahagian dadah sebelum itu dirampas dalam poket seluar dan dua kenderaan dinaiki ketiga-tiga mereka membabitkan 1,393 biji pil kuda dalam operasi dilakukan sepasukan anggota bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, jam 10 malam.

Anggota polis terbabit diketuai Inspektor Nor Badrul Hisham Mohd Nor dan Inspektor Fuu a/l Akau kemudian dipandu arah oleh pengedar berkenaan ke tempat operasi mereka di sebuah hotel bajet di Jalan Lemal sebelum menemui sejumlah lagi pil kuda dan Eramin 5 berjumlah 4,060 biji, jam 2 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Superintendan Amran Ramli berkata, modus operandi digunakan mereka ialah menyewa beberapa bilik di hotel berkenaan sebagai tempat menyimpan dadah.

Katanya, ketiga-tiga mereka ditahan tiada rekod tangkapan, namun dipercayai ada kaitan dengan satu sindiket dadah di Tanah Merah dan Kuala Krai.

“Ini kali pertama mereka ditangkap. Kita percaya mereka dalam rangkaian sama dan ada kaitan dengan sindiket di daerah lain,” katanya.

Datuk auta jadi buruan

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my

IPOH: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kini diburu polis dan along selepas disyaki melakukan penipuan membabitkan ratusan ribu ringgit sebelum melarikan diri sejak hampir sebulan lalu.
Suspek yang turut menggunakan gelaran doktor itu dipercayai memperdaya ramai pelajar tempatan yang mahu melanjutkan pengajian ke Australia dengan mengenakan bayaran RM20,000.

Bagaimanapun, kebanyakan mangsa yang membuat pembayaran menyedari ditipu apabila suspek berusia 40-an menghilangkan diri dan gagal dikesan sejak awal bulan ini.
Bekas pekerja syarikat milik Datuk berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Alice Chan, 42, berkata, dia menjadi buruan beberapa mangsa yang ditipu majikannya walaupun meletakkan jawatan Februari lalu.

Menurutnya, dia sebelum ini bekerja dengan Datuk berkenaan yang membuka pejabat di Pusat Perniagaan Greentown, di sini, namun meletakkan jawatan berikutan masalah kesihatan.

“Bagaimanapun, nombor telefon saya pernah diletakkan Datuk berkenaan pada risalah perniagaan, menyebabkan kebanyakan mangsa yang ditipu menghubungi saya bagi menuntut wang mereka.
“Saya terkejut dan tak tahu apa berlaku. Kebanyakan mangsa mendakwa membayar untuk menyambung pelajaran ke Australia antara RM20,000 hingga RM30,000 seorang,” katanya ketika membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, semalam.

Bagaimanapun, katanya, Datuk berkenaan menghilangkan diri tiba-tiba manakala pejabatnya tidak dibuka sehingga kini, menyebabkan hasrat semua pelajar terbabit menyambung pendidikan terkandas.
“Mangsa menuduh saya bersubahat melarikan wang dan memaksa saya membayar kembali. Saya tertekan kerana tidak tahu apa berlaku.

“Sebelum ini, lima pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke Australia ketika saya masih bekerja di syarikat itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ampang Baru, di sini.

Mangsa lain, Simon, 30-an, berkata, dia turut menjadi mangsa apabila kebanyakan keluarga pelajar mencarinya untuk mendapatkan kembali wang yang dibayar.

Dia yang bertindak sebagai ejen bebas untuk syarikat menawarkan pendidikan di Australia itu mendakwa menyerahkan wang lebih RM100,000 milik pelajar kepada Datuk berkenaan sebelum suspek lesap.

“Saya tertekan kerana dipersalahkan mangsa, sedangkan semua wang diserahkan kepada Datuk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Difahamkan, polis kini menjejaki suspek yang dipercayai menyembunyikan diri, selain turut melarikan dokumen penting syarikat.

Sebelum ini, ibu bapa suspek berusia 77 dan 70 tahun membuat laporan polis selepas rumah mereka disimbah cat oleh samseng along yang menuntut hutang Datuk berkenaan.

Kedua-dua warga emas itu terpaksa melarikan diri dan tinggal di hotel murah di bandar raya ini berikutan bimbang ancaman along yang kerap muncul di depan rumah mereka di Taman Cempaka, di sini.

No comments:

Post a Comment