Sunday, December 30, 2012

TAK TAHU SERIK KE...HUKUM HUDUD ALLAH SESUAI UNTUK PENJENAYAH

Ariel disiasat polis jalin hubungan dengan isteri orang



JAKARTA - Penyanyi kumpulan muzik Noah, Ariel (gambar) disoal siasat pihak polis kelmarin ekoran dakwaan dia menjalin hubungan dengan seorang pramugari, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.
Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, 31, dilaporkan disoal siasat selama lebih 90 minit di ibu pejabat polis Metro Jaya di sini.
Pramugari berkenaan, Magdalena Awuy yang sudah bersuami dan mempunyai seorang anak didakwa berkenalan dengan Ariel sejak konsert jelajah kumpulan Noah di lima negara pada November lalu.
Namun, bekas penyanyi kumpulan Peterpan itu menafikan dia menjalin hubungan dengan wanita tersebut dan mendakwa ada pihak sengaja menuduhnya.
Berita hubungan sulit mereka mula tersebar di Internet pada 21 November lepas.
Pada 31 Januari 2011, Ariel dihukum penjara tiga tahun setengah kerana terlibat dalam penerbitan pita video seks melibatkan wanita mirip dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.
Dia dibebaskan dari Rumah Tahanan Kebon Waru, Bandung pada Julai lalu. - Agensi

Kuil berusia 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis


TAPAK kuil purba yang ditemui di Tel Motza, Baitulmuqaddis kelmarin.


TEL MOTZA, Israel - Beberapa ahli arkeologi Israel mendakwa telah menemui sebuah kuil dan patung-patung kecil keagamaan berusia kira-kira 3,000 tahun dan dipercayai wujud pada zaman empayar Judah, kata pihak berkuasa antikuiti negara itu kelmarin.
Artifak itu ditemui di Tel Motza, di luar Baitulmuqaddis semasa kerja-kerja arkeologi dilakukan di hadapan sebuah kawasan pembinaan lebuh raya baharu di lokasi terbabit.
"Struktur bangunan keagamaan yang ditemui amat luar biasa dan menarik," kata pengarah penggalian dalam satu kenyataan.
Salah seorang pengarah penggalian, Anna Eirikh memberitahu agensi berita AFP, penemuan tersebut membuktikan terdapat amalan keagamaan ketika zaman empayar Judah.
"Apa yang pasti semua patung kecil yang ditemui digunakan untuk tujuan keagamaan," katanya.
Penemuan bertarikh 9 hingga 10 sebelum Masihi itu membuktikan terdapat kuil pertama dibina di kawasan Baitulmuqaddis. - AFP

Paus finback terdampar di Queens


PENDUDUK berjalan melintasi kawasan di mana ikan paus finback ditemui terdampar di Teluk Jamaica, Breezy Point, Queens pagi kelmarin.


NEW YORK - Seekor ikan paus finback sepanjang 18.28 meter ditemui terdampar di Teluk Jamaica, Breezy Point, Queens pagi kelmarin, kata beberapa pegawai.
Para penyelamat dari Yayasan Riverhead berkata, paus itu kelaparan dan bergelut untuk hidup.
"Ia kelihatan amat kurus dan ini bukanlah situasi yang bagus," kata Pengarah Eksekutif yayasan itu, Rob DiGiovanni.
Polis dan bomba terpaksa menggunakan hos getah untuk menyiram air ke atas ikan paus itu bagi memastikan ia terus hidup.
Menurut Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar negeri, ikan paus finback merupakan spesies kedua terbesar selepas paus biru.
Seekor ikan paus finback berukuran sepanjang 6.09 meter ketika lahir dan boleh membesar sehingga 21.3 meter panjang apabila dewasa. - Agensi

Buat laporan melalui internet


ORANG ramai kini lebih mudah untuk melaporkan sesuatu kes apabila PDRM memperkenalkan sistem membuat laporan dalam talian tahun depan. – Gambar hiasan.


SABAK BERNAM – Bermula tahun depan, orang ramai boleh membuat laporan polis secara dalam talian melalui portal laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa perlu ke balai polis, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata, portal laporan dalam talian itu kini dalam peringkat akhir penyediaan, diperkenalkan oleh PDRM bagi memudahkan orang ramai membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa itu pada bila-bila masa sahaja.
“Ini merupakan satu lagi usaha PDRM untuk memudahkan orang ramai serta menjamin keselamatan mereka. Mereka boleh buat laporan di mana sahaja mereka berada hanya dengan menggunakan internet,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kesedaran Jenayah Peringkat Sabak Bernam di sini semalam.
Khalid berkata, portal itu sedang dibangunkan oleh Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan dijangka boleh digunakan bermula tahun depan.
Beliau berkata, beberapa perkara juga sedang diteliti termasuk menilai dari aspek perundangan dan keberkesanannya termasuk cara memastikan kesahihan laporan yang diterima.
“Kita yakin portal laporan polis dalam talian ini akan memudahkan orang ramai kerana kini majoriti masyarakat menggunakan gajet dan telefon pintar yang mempunyai capaian internet selain ia menjimatkan masa,” katanya.

Bapa dijel 30 bulan dera 3 anak


NORDI (berkaca mata) dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan mendera tiga anaknya, Safiza Fitri (kanan), Nurmasyita Amiera (depan) dan Muhammad Nurhan baru-baru ini.


JOHOR BAHRU – Seorang bapa yang pernah mendapat simpati ramai melalui kisah empat anaknya dilarikan bekas isteri ke Lampung, Indonesia sebelum tiga daripadanya berjaya dibawa pulang, dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mendera tiga zuriatnya itu minggu lalu.
Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias memerintahkan Nordi Ali, 57, menjalani hukuman tersebut selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.
Beliau memerintahkan setiap pertuduhan dikenakan hukuman 10 bulan penjara dan memutuskan supaya ia berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Disember lalu. Ini bermakna, pengawal keselamatan itu hanya menjadi penghuni tirai besi selama 10 bulan sahaja.
Mengikut kesemua pertuduhan, Nordi didakwa mencederakan Nurmasyita Amiera, 8; Nurul Safiza Fitri, 11, dan Muhammad Nurhan, 9, di rumah mereka di No. 07-03, Jalan Dataran 2/8, Flat Taman Kempas di sini antara pukul 6 pagi hingga 6 petang, 21 Disember lalu.
Nordi didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Nordi mengaku salah apabila memukul anak-anaknya menggunakan batang paip PVC dan tali pinggang.
“Saya hanya berniat untuk mendidik anak-anak. Saya bimbangkan mereka kerap keluar rumah tanpa pengetahuan dan tidur di rumah jiran yang ada anak lelaki,” katanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Sze Han dan Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tuntut rebat telefon pintar mulai Selasa ini

KUALA LUMPUR – Belia yang berusia antara 21 dan 30 tahun boleh mula memohon rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G terpilih daripada pengedar berdaftar mulai Selasa ini.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, permohonan di bawah Pakej Komunikasi Belia itu boleh dibuat menerusi pendaftaran dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.
Skim itu berasaskan siapa cepat dia dapat dan khas bagi 1.5 juta belia yang layak mendapatkan telefon pintar itu selagi stok masih ada, katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohamed Sharil berkata, belia yang layak menikmati rebat RM200 itu boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 daripada pengedar terpilih dan ejen yang dilantik oleh penyedia perkhidmatan.
“Tujuannya ialah untuk memperluaskan insentif itu merangkumi belia berpendapatan rendah yang masih belum menggunakan telefon pintar dan tidak mampu untuk menaik taraf telefon lama 2G mereka kepada telefon pintar 3G yang asas,” katanya.

Dua maut ditimbus tanah runtuh


ANGGOTA bomba mengeluarkan salah satu mayat pekerja kontrak yang maut selepas ditimbus tanah runtuh di Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI – Malang menimpa dua pekerja kontrak apabila mereka maut akibat ditimbus tanah runtuh ketika sedang melakukan kerja-kerja memasang saluran paip kumbahan di tapak pembinaan projek perumahan Ambangan Heights, Jalan Bukit Selambau di sini semalam.
Kejadian pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan P. Morgan, 39, dari Bedong dan S. Saravanan, 25, dari Sungai Lalang di sini maut. Majikan mereka, Ng Jun Chuan, 45, pula parah dan sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berada di dalam tanah yang telah dikorek sedalam 10 meter sebelum tebing lubang itu tiba-tiba runtuh lalu menimpa mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Rosdi Ismail memberitahu, ketika kejadian, seorang lagi rakan mereka, Ming Wei Toh, 51, pula berada di atas.
“Morgan, Saravanan dan Jun Chuan berada di bawah tapak saluran paip berkenaan sebelum ditimpa tebing tanah runtuh.

Penjenayah Korea menyorok di Malaysia diberkas

KUALA LUMPUR – Kelicikan seorang penjenayah Korea yang bersembunyi di negara ini sejak lima tahun lalu tidak ke mana apabila dia diberkas sepasukan anggota Imigresen Kuala Lumpur di sebuah stesen minyak di Desa Sri Hartamas di sini kelmarin.
Lelaki berusia 53 tahun tersebut diberkas pada pukul 11.30 pagi selepas pihak berkuasa itu membuat risikan selama sebulan untuk menjejakinya.
Difahamkan, dia dikehendaki oleh pihak berkuasa Korea atas kesalahan jenayah yang dilakukan sebelum dia melarikan diri ke negara ini. Bagaimanapun, Korea tidak mendedahkan jenis jenayah yang telah dilakukan suspek.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Zamry Mohd. Nor berkata, suspek pada mulanya dikesan di sebuah kondominium mewah di Ampang sebelum mereka mengekori kereta mewah yang dipandunya sejauh 20 kilometer.
Katanya, anggotanya kemudian cuba memberkas suspek ketika dia turun untuk mengisi minyak sebelum berlaku sedikit pergelutan.
“Siasatan mendapati suspek hidup mewah di negara ini dan kita syak dia menjalankan peniagaan pusat hiburan dan restoran.
“Lelaki itu dikesan sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan pergerakannya dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Pengedar syabu kepala harimau ke tali gantung

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang peniaga lelaki warga Iran kerana mengedar syabu seberat 2.4 kilogram yang dicampur bahan lain dan dibentuk seperti kepala harimau.
Mohammaderfan Estiyagi Ahmad, 27, didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada pukul 11 pagi, 2 Ogos tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Karpal Singh. - Bernama

20 terbunuh kereta kebal bedil kampung

SATU imej yang dirakam daripada laman perkongsian video YouTube menunjukkan mayat-mayat penduduk kampung bergelimpangan selepas sebuah kampung di wilayah Kahtaniyeh diserang tentera rejim Syria.


DAMSYIK - Seramai 20 orang termasuk lapan kanak-kanak terbunuh selepas kereta kebal tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad membedil sebuah kampung di wilayah utara Kahtaniyeh semalam, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia untuk Syria.
"Sekurang-kurang 20 orang termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh selepas tentera rejim Bashar menyerang sebuah ladang di kampung Kahtaniyeh, barat bandar Raqa," kata kumpulan pemerhati itu.
Sebuah video amatur yang dimuat naik ke Internet oleh kumpulan aktivis menunjukkan beberapa mayat berlumuran darah dan mayat seorang kanak-kanak ditutup dengan selimut di dalam sebuah rumah.
"Berpuluh-puluh orang lagi dilaporkan cedera di ladang itu," kata aktivis di Raqa.
Sementara itu, menurut kumpulan pemerhati sama, lebih 45,000 orang dilaporkan terbunuh di Syria sejak penentangan terhadap Presiden Bashar Al-Assad meletus pada Mac tahun lalu.
"Secara keseluruhan kami telah mendokumen kematian seramai 45,048 orang," kata pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Tambahnya, lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh sepanjang minggu lepas.
Katanya, mereka yang terbunuh termasuk 31,544 orang awam, 1,511 orang berpaling tadah, 11,217 tentera dan 776 tidak dapat dikenal pasti. - Agensi

Dipukul sampai mati kerana kebakaran


SEKUMPULAN penduduk pulang ke rumah mereka yang hangus terbakar di kawasan setinggan di Bandar San Juan, Manila Filipina.


MANILA, Filipina - Lapan orang terbunuh manakala 5,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas satu kebakaran berlaku di sebuah kawasan setinggan di bandar San Juan ketika sambutan Hari Krismas, kata beberapa pegawai semalam.
Pegawai Kanan Bomba, Domingo Cabog berkata, seorang penduduk dipukul sehingga mati oleh jirannya selepas dituduh memulakan kebakaran itu kelmarin.
Lelaki itu dilaporkan mabuk tetapi bukan penyebab kepada kebakaran tersebut.
Cabog berkata, kebakaran bermula di dalam sebuah rumah apabila sekumpulan kanak-kanak bermain dengan lilin.
Seramai 13 orang turut dilaporkan cedera. Mangsa yang cedera termasuklah dua anggota bomba dan sukarelawan akibat dibaling batu oleh penduduk yang marah, kata Cabog.
Polis kini menjalankan siasatan mengenai kejadian lelaki yang dipukul sehingga mati. Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat. - AP

Landasan kereta api laju terpanjang beroperasi


SEBUAH kereta api laju G802 menuju ke Beijing dari Shijiazhuang semalam.


BEIJING - Landasan kereta api laju terpanjang di dunia yang dibina di China mula beroperasi semalam, sekali gus menjadi pencapaian terbaharu sistem rel di negara berkenaan.
Laluan sejauh 2,298 kilometer (km) itu menghubungkan bandar raya ini dan kota metropolitan Guangzhou di selatan China.
Landasan itu membolehkan perjalanan antara kedua-dua kota metropolitan berkenaan dipendekkan kepada hanya lapan jam berbanding 22 jam sebelum ini.
Media tempatan, Televisyen Pusat China, menyiarkan perjalanan kereta api laju pertama dari Stesen Kereta Api Beijing Barat di sini pada pukul 9 pagi semalam.
Tren tersebut bergerak pada purata kelajuan 300 kilometer sejam dan akan berhenti di 35 bandar utama di sepanjang laluan itu termasuk Zhengzhou, Wuhan dan Changsha.
Siap pada 2007, rangkaian landasan kereta api laju China kini berkembang sebagai yang terbesar di dunia.
Agensi berita Xinhua melaporkan China kini mengendalikan laluan kereta api laju sejauh 9,300 km. - AFP

Terjun kereta dipandu 100km/j

NOR (duduk kanan) menunjukkan jubah hitam yang dipakai kepada wartawan Kosmo!, Firdaus Hassan (kiri) ketika ditemui di Kuching semalam.


KUCHING – Seorang wanita tidak menyangka sehelai jubah hitam pemberian suami yang dibeli di Mekah semasa menunaikan haji pada tahun ini menjadi perisai apabila dia hanya cedera ringan ketika nekad terjun dari kenderaan yang sedang bergerak laju kelmarin.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Nor, 41, itu bertindak demikian selepas menyedari kenderaan jenis Mitsubishi Pajero milik suaminya dipandu seorang pencuri dengan kelajuan 100 kilometer sejam dalam kejadian pukul 11 malam di Jalan Main Bazaar, Kuching Waterfront di sini.
Selepas berguling beberapa kali di atas jalan, ibu kepada lima anak itu hanya cedera di lengan, siku, kedua-dua lutut dan kaki.
Mengimbau semula kejadian itu, peniaga gerai makanan itu mendakwa, dia terlena di kerusi penumpang depan dalam kenderaan yang diletakkan di bahu jalan kira-kira 20 meter dari gerainya dalam keadaan enjinnya hidup manakala pintu tidak dikunci. Dia dan suami berniaga di Kuching Waterfront.

Pembunuh gadis ke tali gantung

JOHOR BAHRU – Perbuatan kejam seorang pengawal keselamatan yang membunuh seorang gadis sebelum mengerat dan membakar mayat mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Masai di sini tahun lalu berbalas apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman mengarahkan D. Kalaiselvan, 47, menjalani hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, Kalaiselvan bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh Nur Rahayu Qomarodin, 16, di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai, antara pukul 2.30 pagi hingga 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Abdul Halim berkata, tertuduh gagal memberikan penjelasan yang munasabah selain pembelaan yang dibuat secara bersumpah menerusi kandang saksi itu bersifat penafian semata-mata.
“Tertuduh gagal memperjelaskan mengapa dia perlu lari daripada pihak polis dan memindahkan beban kejadian terhadap orang lain iaitu Ramani dan Siva yang tidak diceritakan dengan lebih lanjut identiti mereka.
“Perbuatan kamu kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun kerana kamu tergamak melakukan perbuatan itu terhadap gadis yang sebaya dengan anak kamu. Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu,” katanya.

Mayat bogel dalam bilik


ANGGOTA polis mengangkat mayat Edward Rajasooria (gambar kecil) yang dijumpai mati selepas disamun di Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan bogel dengan kaki dan tangan terikat manakala kepalanya ditutup dengan sehelai kain sarung dalam kejadian dipercayai bermotifkan samun di Jalan Rasah di sini semalam.
Mayat Edward Rajasooria Sebastian, 62, dijumpai pada pukul 9 pagi di dalam sebuah bilik di rumahnya oleh sepasukan anggota polis.
Difahamkan, mangsa yang belum berkahwin tinggal bersendirian di rumah yang diwarisi daripada keluarganya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya bergegas ke rumah mangsa sebaik menerima panggilan daripada seorang jiran mengatakan lelaki itu tidak keluar rumah sejak petang kelmarin.
“Sebaik tiba, polis dapati pintu depan rumahnya tidak berkunci sebelum menemui mayat mangsa di dalam bilik dalam keadaan berbogel dengan kaki dan tangan terikat manakala mukanya ditutup dengan sehelai kain sarung,” katanya di sini semalam.

Parah dilibas angkara dendam


SEORANG lelaki yang parah akibat dilibas diberi bantuan awal oleh pasukan penyelamat di George Town kelmarin.


GEORGE TOWN - Perasaan dendam yang membuak-buak mendorong sekumpulan lima samseng bertindak nekad menyerang, menetak dan menghentak seorang lelaki hingga parah dalam kejadian di Gat Lebuh Macallum di sini kelmarin.
Kejadian pukul 11 malam itu mengakibatkan mangsa yang berusia 40 tahun cedera di kepala, tangan dan lengan kiri selepas dilibas dengan parang sebanyak lima kali selain dihentak dengan kerusi plastik.
Kejadian berlaku apabila kesemua suspek yang berjalan kaki menyerang lelaki itu sebelum melarikan diri sebaik melihat mangsa rebah.
Difahamkan, mangsa terpaksa menanggung sakit selama setengah jam sebelum ditemui oleh orang awam yang terus menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan awal mendapati punca serangan adalah bermotifkan dendam.

Kelab sedia jumpa Fauziah

SHAH ALAM – Pihak pengurusan Kelab Cahaya SPK Resort menyatakan kesediaan untuk bertemu dan berbincang dengan seorang ahli perniagaan, Fauziah Osman bagi menyelesaikan isu hidangan majlis perkahwinan yang didakwa tidak menepati tempahan.
Pengurus Besar kelab tersebut, Dass Ponniah ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan menyediakan senarai tugas (checklist) untuk majlis tersebut dan menyimpan rekod bagi setiap perbincangan yang dilakukan dengan keluarga tersebut.
“Kami sedia untuk berbincang pada bila-bila masa tetapi pelanggan juga perlu tahu mengenai polisi syarikat yang tidak akan memulangkan wang kepada mereka.
“Kami sudi untuk menawarkan pilihan lain sebagai menjaga hubungan baik ini,” katanya sambil menyatakan pihaknya kesal dengan apa yang berlaku kerana menjadi keutamaan bagi mereka untuk menjaga hubungan dengan pelanggan dan memenuhi permintaan majlis mereka.

Menangis lihat klinik terbakar


HERMAN (kiri) meminta Pauline supaya mendapatkan suntikan bayinya di klinik lain selepas Klinik Kesihatan Triboh, Serian terbakar petang kelmarin.


SERIAN - Kebakaran yang memusnahkan Klinik Kesihatan Triboh berusia 48 tahun di Jalan Gedong di sini telah mengundang pelbagai perasaan, bahkan ada yang menangis dengan tragedi menimpa bangunan itu petang kelmarin.
Bukan setakat itu, para ibu yang mempunyai janji temu di klinik berkenaan pagi semalam turut terkejut serta tercengang apabila mendapati klinik itu hanya tinggal beberapa tiang dan arang sahaja.
Bagaimanapun, seorang kakitangan klinik telah ditugaskan di tempat kejadian untuk memaklumkan kepada kaum ibu supaya merujuk ke klinik lain bagi mendapatkan pemeriksaan bayi masing-masing sementara waktu.
Penolong Rendah Am, Herman Ginsal yang ditemui Kosmo! memberitahu, seawal pukul 7 pagi lagi dia sudah berada di tempat kejadian bagi memaklumkan kepada kaum ibu untuk merujuk ke klinik lain buat sementara waktu.
"Lebih 20 orang kaum ibu yang tidak mengetahui klinik ini terbakar telah datang hari ini (semalam) untuk temujanji masing-masing dan rata-ratanya terkejut apabila melihat bangunannya musnah.
"Klinik ini biasanya menerima sehingga 100 orang pesakit terutamanya pada hari puncak, manakala lebih 40 orang pada hari-hari biasa kerana ia menjadi tumpuan lebih 20 kampung di sekitar kawasan ini," katanya di sini semalam.

Berita muka depan



TAHUN 2012 membuka pentasnya dengan kebimbangan segelintir pihak di Barat bahawa peradaban manusia akan berakhir 21 Disember lalu berdasarkan pengiraan kalendar kaum Maya.
Apa pun ia hanyalah mitos semata-mata. Tumpuan masyarakat dunia, khususnya umat Islam lebih terarah kepada kisah kekejaman berterusan tentera Israel terhadap penduduk Palestin, perang saudara di Syria, penindasan di Rohingya serta penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Bagaimanapun, amarah yang memuncak itu diredakan dengan pembelaan nasib umat Islam di selatan Filipina di samping pengiktirafan kuasa terhadap ikon pro demokrasi, Aung San Suu Kyi di Myanmar.
Kuasa alam nyata tidak mengenal mangsa. Taufan Sandy selaju 281 kilometer sejam membadai dan memusnahkan beberapa bahagian Caribbean, tengah Atlantik dan timur laut Amerika Syarikat.
Episod suka dan duka juga turut mewarnai dalam negara. Imej Kuala Lumpur yang tercalar melalui perhimpunan Bersih 3.0 sebelum ini pulih seketika selepas menerima kunjungan pasangan diraja popular Britain, Putera William dan Kate Middleton.
Sistem Penguatkuasaan Automatik yang dilaksanakan di seluruh negara pada 12 Ogos lalu juga turut mencetuskan kontroversi di samping mengundang ketidakpuasan hati rakyat.
Kanak-kanak juga terus menjadi sasaran mudah penjenayah seperti kes penculikan di Kampung Baru serta penculikan seorang kanak-kanak warga Belanda.
Episod sukan negara juga seakan-akan kelam tahun ini apabila jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei gagal membawa pulang pingat emas, manakala skuad Harimau Malaya juga seakan-akan hilang taringnya dalam misi mempertahankan Piala Suzuki AFF buat kali kedua berturut-turut.
Gaza diserang 1 Muharam
UMAT Islam di seluruh dunia yang bersiap sedia meraikan sambutan Maal Hijrah pada 15 November lalu dikejutkan dengan serangan udara besar-besaran oleh rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di wilayah Genting Gaza.
Konflik itu dikatakan bermula selepas pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas wilayah Israel yang membunuh tiga rakyatnya bagi menuntut bela atas pembunuhan Ketua Ketenteraan Gaza, Ahmed Jabari sehari sebelumnya.
Serangan udara yang disifatkan terburuk dalam tempoh empat tahun lalu telah meragut nyawa enam rakyat Israel dan 164 penduduk Gaza termasuk 38 kanak-kanak.
Selepas lapan hari pertempuran, satu gencatan senjata telah diadakan di antara kedua-dua pihak pada 22 November lalu hasil usaha yang dilakukan oleh Presiden Mesir, Mohamed Morsi.

PAWANG buaya, Indet Sanabong (kanan) berjaya menewaskan Bujang Sebelak yang menjadi buruannya dengan umpan anjing putih.


Indet tumpaskan Bujang Sebelak
KONFLIK manusia dan buaya tercetus lagi di Sarawak yang melibatkan buaya ganas, Bujang Sebelak. Terbaharu, buaya jantan seberat 200 kilogram dan sepanjang lima meter itu mengorbankan tiga mangsa di sekitar Sungai Sebelak termasuk isteri ketua rumah panjang Nanga Sungai Anak, Roban, Siah Munsong, 42.
Bujang Sebelak yang buta di sebelah mata kirinya dan menjadi buruan selama 14 hari akhirnya berjaya ditumpaskan oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong, 49, dengan menggunakan mantera dan umpan khas daging anjing putih.
Filem kontroversi hina Nabi
FILEM anti-Islam, Innocence of Muslims telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila filem tersebut didakwa menghina Nabi Muhammad.
Filem arahan Sam Bacile, 52, itu disiarkan dalam laman YouTube itu menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem tersebut.
Seorang lelaki dari negeri California, Nakoula Basseley Nakoula, 55, mengaku membekalkan logistik untuk produksi pembikinan filem tersebut.
Chong Wei kempunan emas Olimpik
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus kempunan untuk melakar sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik selepas tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir yang diadakan di Arena Wembley.
Dalam perlawanan itu, Chong Wei menang set pertama 21-15 tetapi tewas 10-21 dan 19-21 pada set kedua dan ketiga.
Beliau hanya membawa pulang pingat perak untuk kontinjen negara.

CEMAS. Fifi Ramadhani diselamatkan pihak polis selepas menjadi tebusan selama enam jam.


Drama penculikan di Kampung Baru
DUA kes penculikan menggemparkan negara menarik perhatian masyarakat sepanjang tahun ini. Selepas gagal dipujuk oleh pihak polis selama enam jam supaya melepaskan kanak-kanak perempuan yang menjadi tebusannya, Fifi Ramadhani Syafrudin, 10, seorang lelaki bogel ditembak mati oleh polis. Kejadian berlaku pada awal Januari lalu di sebuah rumah di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Suspek yang berusia 34 tahun itu yang hanya meminta air dan dadah meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur.
Putera William, Kate kunjungi Malaysia
BUAT julung-julung kalinya, rakyat di negara ini berpeluang melihat dengan lebih dekat Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate Middleton yang melakukan kunjungan rasmi selama tiga hari sempena meraikan ulang pemerintahan ke-60 Ratu Elizabeth II pada September lalu.
Selain Malaysia, pasangan diraja itu turut melawat Singapura, Kepulauan Solomon, Melanesia dan Tuvalu.
Peserta Bersih 3.0 gagal kawal emosi
PERHIMPUNAN anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 pada 29 April lalu yang kononnya mahu menuntut pilihan raya yang adil bertukar ganas.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga mengakui pihaknya gagal mengawal emosi peserta demonstrasi hingga memaksa polis mengambil tindakan menembak meriam air dan gas pemedih mata.
Antara yang menyertai Bersih 3.0 ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Nayati selamat ke pangkuan keluarga
NEGARA sekali lagi gempar dengan penculikan seorang kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, pada 27 April lalu.
Selepas enam hari diculik, di sekolahnya di Mont Kiara International School, Kuala Lumpur itu berjaya ditemui semula di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Buloh pada 3 Mei lalu. Keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 kepada penculik di satu lokasi di Cheras.
Saham Felda terbesar di Asia
TARIKH 31 Mei merupakan hari bersejarah buat warga Felda apabila Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) yang terbesar di Asia pada tahun ini.
Tawaran tersebut merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook yang membabitkan 2.19 bilion saham.
FGV merupakan syarikat perladangan kelapa sawit ketiga terbesar di dunia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lalu.
Suu Kyi menang pilihan raya
SELEPAS hampir 25 tahun berjuang menentang pemerintahan junta tentera di Myanmar, pejuang kemerdekaan yang juga pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi, Aung San Suu Kyi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas menang pilihan raya kecil pada April lalu.
Pilihan raya berkenaan menjadi pentas kepada bekas tahanan politik itu untuk menjadi wakil rakyat buat kali pertama dan menerajui blok pembangkang dalam Parlimen Myanmar yang didominasi pihak tentera.

No comments:

Post a Comment