88 keluarga diarah berpindah
|
KUALA LUMPUR - Demi keselamatan, pihak berkuasa mengarahkan 88 keluarga yang menghuni banglo mewah, rumah teres dan kedai di kawasan perumahan elit di Taman Setiawangsa, di sini berpindah ekoran masih berlaku pergerakan tanah yang aktif selepas kejadian tanah runtuh di kawasan itu malam kelmarin.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati masih berlaku runtuhan tanah dan bongkah batu di tebing konkrit setinggi 60 meter dan panjang 400 meter itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, kesemua penghuni 30 rumah banglo, 58 pemilik rumah teres dua tingkat dan 18 unit rumah kedai di kawasan tersebut diarah berpindah dan mengosongkan bangunan.
"Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mengesahkan pergerakan tanah masih berlaku di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian semalam.
Setakat ini tiga buah banglo rosak termasuk yang dimiliki Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis.
Othman berkata, setakat ini hanya 49 penghuni telah mendaftar di bilik gerakan polis di kawasan kejadian.
Polis telah membuka pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Setiawangsa sejak semalam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib yang turut melawat tempat kejadian berkata, kawasan itu kini dipantau rapi oleh polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Kerja Raya dan IKRAM.
Katanya, jika berlaku lagi tanah runtuh di kawasan itu, dianggarkan 11,000 meter padu tanah akan melimpah dan memerlukan sekurang-kurangnya 1,800 lori untuk mengangkut tanah keluar.
Penduduk dakwa aduan tidak diendahkan
KUALA LUMPUR - Petanda awal kejadian tanah runtuh di Jalan Puncak Setiawangsa 2, Taman Setiawangsa di sini sudah disedari beberapa penduduk sejak beberapa minggu lalu dengan mendakwa air bukit yang mengalir dari tembok konkrit menjadi keruh manakala bangunan pula mulai retak.Ada penduduk mendakwa telah melaporkan kejadian itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi tiada tindakan susulan segera diambil.
Seorang penduduk, Mustafa Fuzer Nawi, 52, berkata, sudah ada penduduk merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku selepas air bukit yang ditadah melalui tembok konkrit itu asalnya jernih kemudian bertukar keruh.
"Selepas itu laman rumah seorang ahli perniagaan Arab yang dikenali sebagai Syed Maulana merekah.
"Apa yang kami bimbangkan akhirnya terjadi apabila saya terdengar bunyi seperti guruh hasil dentuman batu akibat tanah runtuh pada pukul 10 malam tadi (semalam)," dakwanya yang telah menetap di situ sejak 12 tahun lalu.
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis yang turut mempunyai rumah di situ pula memberitahu, pintu pagar rumahnya telah runtuh sepenuhnya manakala kolam renang telah mendap sedalam 50 meter.
"Kami sekeluarga terpaksa bermalam di hotel sementara menunggu keadaan pulih. Lot banglo ini dibeli pada 1987 dan saya mula mendiami semula selepas tamat perkhidmatan sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat," katanya sambil meminta satu penyelesaian konkrit dibuat agar insiden tanah runtuh itu tidak berulang.
Penolong Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa, Fauziah Jamaluddin pula berterima kasih kepada pemaju, Island & Peninsular Berhad kerana menghulurkan RM1,500 sebagai bantuan awal kepada setiap pemilik rumah.
Beli telefon pintar ikut kemampuan
KUALA LUMPUR – Golongan belia dinasihatkan memahami bahawa tujuan di sebalik pemberian rebat RM200 oleh kerajaan adalah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan memiliki telefon pintar.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, belia yang mampu membeli telefon pintar berharga lebih RM500 tidak perlulah memohon supaya peluang terbuka kepada individu lain yang kurang mampu memenuhi kuota 1.5 juta orang di bawah tawaran Pakej Komunikasi Belia itu.
“Jika mampu beli telefon pintar berharga RM1,000 hingga RM2,000, tidak perlulah mengharapkan bantuan kerajaan beli telefon.
“Belia perlu belajar tengok keperluan (rakan) yang lain, bukan tengok keperluan kita sendiri sahaja,” katanya kepada Bernama semalam.
Mohamed Maliki mengulas keresahan kalangan belia mengenai rebat itu yang hanya untuk pembelian telefon pintar berharga sehingga RM500.
Menurut beliau, telefon pintar dalam lingkungan harga tersebut tidak mempunyai fungsi yang mereka kehendaki dan meminta rebat RM500 itu dinaikkan.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi baru-baru ini dipetik berkata, telefon pintar 3G yang boleh dibeli melalui Pakej Komunikasi Belia itu untuk mendapatkan rebat RM200, hanyalah bagi telefon berharga sehingga RM500.
Banjir kian pulih, peringatan gelombang kedua
KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu beransur pulih dengan hanya 17,512 mangsa banjir berada di pusat pemindahan berbanding 22,522 orang semalam.Namun begitu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan nasihat peringkat kuning kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir.
Jurucakapnya berkata, nasihat itu dikeluarkan berikutan jangkaan hujan sederhana hari ini dan esok di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis.
"Buat masa ini, nasihat peringkat kuning dikeluarkan tetapi akan dipertingkatkan kepada amaran iaitu jingga dan merah jika merbahaya," katanya ketika dihubungi.
Justeru, katanya, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan tepi sungai diminta berwaspada.
Sementara itu, banjir di Pahang pulih sepenuhnya setelah pusat pemindahan terakhir di Sekolah Kebangsaan Galing, Kuantan yang menempatkan 182 orang daripada 46 keluarga ditutup.
Di Terengganu, banjir di Setiu, Marang dan Besut pulih sepenuhnya menjadikan jumlah mangsa banjir menurun daripada 17,246 kepada 15,529 orang.
Daripada jumlah itu, Dungun mempunyai 3,340 mangsa, Kemaman (11,161), Kuala Terengganu (1,002) dan Hulu Terengganu (26).
Di Kelantan, mangsa banjir di Tumpat menurun kepada 1,983 orang manakala pusat pemindahan di Pasir Mas dan Kota Bharu ditutup.
Kanak-kanak maut ditetak ibu saudara
BALING - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati dibunuh oleh seorang ibu saudaranya dalam kejadian di rumah datuknya di Kampung Kejai, Tawar dekat sini semalam.
Ibu saudara mangsa yang menghadapi masalah mental sejak 20 tahun lalu dipercayai sudah menerima rawatan sebanyak lapan kali.
Mangsa, Muhammad Muaz Mohd. Izwani mati ketika dikejarkan ke Hospital Kulim.
Anak sulung daripada dua beradik yang tinggal di Arau, Perlis dan berkunjung ke rumah datuknya sejak petang kelmarin ditetak dengan sebilah parang di kepala, tangan dan leher oleh wanita berusia 36 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.10 tengah hari.
Katanya, suspek yang juga ibu saudara mangsa kemudian ditahan polis dan dikenakan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
"Suspek sebelum ini memang mempunyai rekod dan pernah beberapa kali dirawat termasuk di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan," katanya.
Jelasnya, ibu mangsa, Faizah Idris, 30, yang cuba membantu untuk menyelamatkan anaknya turut cedera di belakang kepala serta tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
CUEPACS mahu kerajaan umum jadual gaji segera
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, dengan adanya jadual gaji baharu, ia dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau gaji mati tahun depan.
"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji lengkap bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya di sini semalam.
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berkata, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.
Beliau berkata, kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea bagi melahirkan pelajar kreatif dan inovatif.
"Namun, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk guru berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea dan kefasihan dengan negara luar," katanya. - Bernama
Suami mangsa bunuh direman
|
|
ALOR SETAR - Polis semalam menahan reman tiga lelaki termasuk suami kepada pembantu kedai, Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, yang maut dipercayai akibat dipukul dengan dua batang buluh dalam satu pertengkaran di Kampung Alor Gelegah di sini awal pagi kelmarin.
Suami mangsa berusia 26 tahun dan dua lagi suspek yang berusia 23 dan 26 tahun direman sehingga 4 Januari depan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Superintendan V. Saravanan berkata, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai mekanik direman selama seminggu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.
Katanya, siasatan awal mendapati pertengkaran yang berlaku di antara pasangan suami isteri itu berpunca daripada perasaan cemburu.
"Hasil semakan kita juga mendapati suami mangsa mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi motosikal," ujarnya di sini.
Enam suspek berdepan hukuman mati
|
NEW DELHI - Seorang pelajar perubatan yang dirogol beramai-ramai tanpa perikemanusiaan di sini meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura semalam dengan para pemimpin India merayu orang ramai agar bertenang dan tidak melakukan bantahan jalanan yang ganas.
Polis mengadakan kawalan ketat di pusat bandar raya ini selepas berita kematian pelajar berusia 23 tahun itu tersebar.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi semalam setelah menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak dua hari lalu.
Dia dibawa ke hospital berkenaan yang memiliki kepakaran dalam melakukan pembedahan pemindahan organ itu pada Khamis lalu selepas dirawat selama 10 hari di sebuah hospital di ibu kota India di sini.
Mengetuai penghormatan kepada pelajar itu yang tidak didedahkan identitinya, Perdana Menteri Manmohan Singh berkata, beliau memahami gelombang tunjuk perasaan yang tercetus susulan kejadian pada 16 Disember lalu.
"Kita telah lihat emosi dan kemarahan rakyat susulan insiden ini," kata Manmohan dalam satu kenyataan.
"Kita faham reaksi sebegini daripada golongan muda di India dan warga India yang benar-benar mahu perubahan dilakukan," tambahnya.
Pelajar perempuan itu diserang semasa dia bersama seorang rakan lelakinya menaiki sebuah bas sekolah yang dicuri enam lelaki mabuk pada 16 Disember lalu.
Bukan sahaja dirogol beramai-ramai, malah mangsa turut diserang menggunakan sebatang besi sebelum dicampak keluar dari bas yang sedang bergerak bersama kawan lelakinya.
Polis dan pihak pendakwa raya memberitahu, pada hari kejadian, kedua-duanya baru keluar dari sebuah panggung wayang. Rakan lelakinya turut diserang dalam insiden tersebut.
Menurut pihak berkuasa, bas bercermin gelap itu berjaya melepasi beberapa pos pemeriksaan polis sebelum kedua-dua mangsa dicampak keluar dari kenderaan berkenaan.
Mayat pelajar itu dijangka diterbangkan ke India lewat semalam dengan diiringi oleh ibu bapanya yang berada di sisi mangsa semasa dia menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan.
"Dia mengalami kegagalan organ ekoran kecederaan serius pada badan dan otak," kata ketua eksekutif hospital berkenaan, Dr. Kelvin Loh.
"Mangsa cekal dan terus berjuang untuk hidup tetapi trauma pada badannya terlalu teruk untuk diatasi." tambahnya.
Kejadian rogol beramai-ramai berlaku setiap hari di India dengan ramai mangsa enggan membuat laporan polis kerana kurang percayakan sistem perundangan negara di samping bimbangkan reaksi negatif daripada pegawai polis lelaki.
Namun, serangan amat kejam itu menyebabkan kemarahan orang ramai menggelegak dan mendorong pemerintah menjanjikan keselamatan lebih baik kepada wanita serta hukuman lebih berat untuk jenayah seks.
Pihak polis pula dikritik hebat kerana menggunakan kekerasan dalam usaha menyuraikan protes berkaitan serangan berkenaan termasuk kerap menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
Dalam perkembangan berkaitan, enam lelaki yang ditangkap berhubung serangan itu didakwa kerana membunuh semalam dengan mereka berdepan hukuman mati jika didapati bersalah.
Sementara itu Pesuruhjaya Tinggi India ke Singapura, TCA Raghavan berkata, keluarga mangsa amat bersedih dengan kematian anak perempuan mereka.
"Namun, mereka berharap kematiannya akan menjadi titik-tolak kepada masa depan yang lebih baik untuk wanita di sini dan India keseluruhannya," kata Raghavan.
- Agensi
16 maut minum ubat batuk
LAHORE - Sekurang-kurangnya 16 orang dengan kebanyakan mereka penagih dadah yang ingin melepaskan gian, mati selepas meminum ubat batuk beracun di sebuah bandar di timur Pakistan, kata beberapa pegawai semalam.Pihak polis dan beberapa orang doktor berkata, kematian itu berlaku pada Rabu lalu di bandar Gujranwala, sekitar 70 kilometer ke utara bandar ini.
"Kami menerima 54 pesakit di sebuah hospital yang mana keadaan kesihatan mereka semakin buruk selepas mengambil ubat batuk dengan 16 orang telah mati," kata ketua pentadbiran hospital tempatan, Anwar Aman.
Menurutnya, semua mangsa berumur antara 20 hingga 40 tahun dengan kebanyakan mereka ialah penagih dadah.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai kanan polis Azam Mehr mengesahkan angka kematian tersebut dan memberitahu, sampel-sampel ubat batuk itu telah dihantar ke beberapa buah makmal untuk ujian lanjut.
Beliau berkata, ubat batuk berkenaan dijual di farmasi-farmasi tempatan.
"Polis dan jabatan kesihatan memulakan siasatan berhubung insiden ini," tambahnya.
Pada bulan lalu, sekurang-kurangnya 19 orang maut di sini juga akibat meminum ubat batuk beracun. - AFP
Presiden Filipina lulus undang-undang kawal kehamilan
|
|
MANILA - Presiden Filipina menandatangani undang-undang bagi menggalakkan kaedah pencegahan kehamilan secara semula jadi dan buatan manusia di samping pendidikan seks dan program perancangan keluarga yang ditentang hebat oleh Gereja Roman Katholik.
Timbalan jurucakap Presiden, Abigail Valte berkata, Presiden Benigno Aquino III menandatangani undang-undang itu pada 21 Disember lalu tetapi pengumuman mengenainya hanya dibuat semalam ekoran isu tersebut dianggap sensitif di Filipina.
Menurut Valte, perkembangan tersebut "menamatkan percanggahan (pendapat) ketara dalam sejarah negara kami" dan "membuka peluang jalinan kerjasama dan perdamaian" dalam kalangan mereka yang menentang dan menyokong undang-undang itu.
Bekas Presiden Persidangan Biskop Katholik Filipina, Bsikop Besar (Besara) Oscar Cruz yang mengecam kerahsiaan dalam menandatangani undang-undang tersebut.
Tegasnya, Aquino III berbuat demikian kerana malu dan takut akan akibatnya.
Gereja Katholik menganggap undang-undang itu tidak bermoral dan akan menggalakkan seks bebas.
Undang-undang itu ditandatangani bagi mengekang pertambahan penduduk Filipina yang kini berjumlah 94 juta orang. - Agensi
No comments:
Post a Comment